Stortinget

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Bangunan Storting tempat bersidangnya parlimen.

Stortinget, (Inggeris: Storting) atau dalam Bahasa Melayu Dewan Perundangan Agung ialah parlimen negara Norway yang bersidang di Oslo. Jumlah anggotanya ialah seramai 169; 150 daripadanya dipilih mewakili wilayah-wilayah di Norway. Baki 19 ahli yang lain adalah sebagai tambahan bagi mengimbangi pengaruh setiap parti yang diwakili di parlimen. Dalam tradisi Norway, ahli-ahli dewan ini tidak duduk mengikut parti atau kumpulan parti, sebaliknya duduk bersama-sama perwakilan dari wilayah yang sama.

Dewan ini sebenarnya adalah ekadewan. Tetapi bagi urusan-urusan tertentu anggota-anggotanya dibahagikan kepada dua: Lagtinget sebagai dewan atasan dan Odelstinget sebagai dewan rendah. Pembahagian ini akan dimansuhkan pada tahun 2009 apabila parlimen yang baru mula bersidang. Penggal perkhidmatan parlimen biasanya tidak lebih daripada empat tahun.

Persidangan parlimen ini dipengerusikan oleh seorang presiden. Jawatan itu kini dipegang oleh Thorbjørn Jagland dari Arbeiderpartiet (Ap).

Dewan ini mempunyai tugas menggubal undang-undang, menentukan belanjawan kerajaan dan mengawas tindakan-tindakan pihak eksekutif. Persidangan parlimen diadakan di Bangunan Storting.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Dewan ini dalam keadaannya sekarang ditubuhkan sejak 17 Mei 1814 apabila Perlembagaan Norway disahkan di Eidsvoll dan terus wujud sewaktu Kesatuan dengan Sweden yang berakhir pada tahun 1905. Pada tahun 1884 sistem berparlimen digunapakai sepenuhnya yang memaksa kerajaan bergantung kepada kehendak majoriti ahli-ahli dewan.

Pada awal sejarah penubuhannya, parlimen dikuasai oleh puak liberal. Tetapi, selepas Perang Dunia Kedua golongan ini terpaksa melepaskan dominasi mereka kepada ahli-ahli demokratik sosial yang diterajui oleh Parti Pekerja (Ap).