Sungai Muda

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sungai Muda
Lokasi
NegaraMalaysia
Ciri-ciri fizikal
MuaraSelat Melaka

Sungai Muda ialah sungai terpanjang di negeri Kedah yang terletak di utara Malaysia. Sungai ini berukuran 178 km dan melalui daerah-daerah Baling, Sik, dan Kulim selain Kuala Muda sebelum menemui Selat Melaka. Sungai ini, yang dijadikan sempadan di antara negeri Kedah dan Pulau Pinang merupakan sumber utama air di negeri Pulau Pinang selain menjadi punca pengairan bagi penanaman padi di kawasan ini.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sungai Muda dipercayai turut terletak di dalam kawasan lingkungan kerajaan lama Hindu-Buddha yang bertapak di Lembah Bujang sekitar abad ke-3 Masihi. Sejarawan percaya muara sungai ini yang lebar dan dalam pada suatu ketika dahulu membolehkan kapal-kapal pedagang singgah dan berlabuh di pelabuhannya sebelum meneruskan perjalanan mereka samada ke subbenua India di sebelah barat atau negeri China di sebelah timur.

Menurut catatan sejarah, sungai ini turut menyaksikan satu pertempuran berdarah di antara Daeng Perani dan Raja Kechil. Daeng Perani, seorang bangsawan Bugis telah bersetuju membantu seorang putera raja dari negeri Kedah merebut takhta daripada adindanya. Daeng Perani menulis kepada Raja Kechil bagi membahagi-bahagikan tugas dan kawasan pengaruh bagi mengelakkan sengketa di antara mereka lebih-lebih lagi setelah Raja Kechil dikalahkannya sebelum ini sekitar tahun 1722 ketika konflik perebutan takhta Johor. Di dalam pertempuran itu, Daeng Perani baru sahaja mahu melabuhkan kapalnya sebelum dibedil meriam milik Raja Kechil.[1]

Air mentah[sunting | sunting sumber]

Sungai Muda merupakan sumber utama air mentah bagi negeri Kedah, Pulau Pinang dan juga kawasan selatan negeri Perlis. Ia membekalkan sekitar 80% daripada keseluruhan bekalan air di Pulau Pinang.[2] Air sungai ini mengalir ke Sungai Dua sebelum dipam ke seluruh negeri Pulau Pinang.

Di Kedah sungai ini amat penting terutamanya setelah sebuah empangan dibina di punca sungai ini sekitar Hulu Muda di bawah Rancangan Pengairan Muda yang dilancarkan semasa Rancangan Malaysia Kedua. Rancangan pengairan ini bertanggungjawab membekalkan air secukupnya kepada petani-petani di sekitar kawasan ini yang dikenali sebagai jelapang padi negara. Kawasan penanaman padi sekitar Sungai Muda membekalkan kira-kira sejuta tan metrik beras pada setiap tahun atau 40% daripada keperluan beras Malaysia. Rancangan pengairan ini membolehkan penanaman padi dwimusim diamalkan dengan membekalkan air secukupnya ketika musim kemarau.[2] Sungai Muda juga bertemu dengan Sungai Beris di lembah Sungai Beris yang sempit.[3]


Senarai Mangsa Lemas[sunting | sunting sumber]

  • Siti Hajar Abu Bakar, 48 tahun, 29 Oktober 2014[4]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Johari Ibrahim (13 Januari 2008). "Daeng Perani maut dibedil meriam" (Cetakan semula). Berita Harian. Dicapai pada 2008-09-01.
  2. ^ a b Elizabeth John & Adib Povera (5 Julai 2008). "Under siege again" (dalam bahasa B. Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 2008-09-01.CS1 maint: unrecognized language (link)
  3. ^ Empangan Beris.[pautan mati kekal]
  4. ^ Mayat guru wanita jatuh jambatan di Sungai Muda ditemui

Nota[sunting | sunting sumber]