Wehrmachtbericht

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Wehrmachtbericht (Bahasa Jerman untuk "Laporan Angkatan Tentera") merupakan laporan radio setiap hari di Grossdeutscher Rundfunk (Badan Penyiaran Reich) Jerman Nazi, diterbitkan oleh Oberkommando der Wehrmacht (OKW) mengenai situasi ketenteraan di semua perbatasan Perang Dunia II.

Ia telah disunting oleh sebuah jabatan khas propaganda yang diserapkan di dalam Wehrmachtfuhrungsstab (Staf Operasi Angkatan Tentera) di bawah Generaloberst Alfred Jodl, berpandukan pada bahan cerita yang dihantar oleh Propagandakompanien yang berada bersama tentera barisan depan, manakala wartawan perang persendirian tidak dibenarkan masuk sama sekali. Kesemua penyiaran mesti mendapat kelulusan dari Kementerian Penerangan Awam dan Propaganda Reich Joseph Goebbels yang mengawal sepenuhnya institusi media Jerman, menyebabkan berlakunya persaingan yang berterusan antara birokrasi kementerian dan staf eksekutif Wehrmacht. Goebbels dan Jodl menganggap Wehrmachtsbericht sebagai satu alat penting pengerahan tentera dalam negeri di bawah keadaan perang mutlak.

Laporan pertama bersiaran dengan penjajahan Poland pada 1 September 1939 dan yang terakhir pula dibuat pada 9 Mei 1945 dari Flensburg. Selepas pencerobohan Kesatuan Soviet pada bulan Jun 1941, laporan yang disiarkan pada waktu tengahari akan bermula dengan bunyi trompet (dari puisi simfoni Les Préludes ciptaan Franz Liszt), diikuti dengan kata-kata aluan penyampai radio, "Aus dem Führerhauptquartier, das Oberkommando der Wehrmacht gibt bekannt" ("Dari Markas Führer, Markas Besar Angkatan Tentera mengumumkan").

Erich Murawski, pengarah Jabatan Rekod Tentera, menganalisis laporan-laporan yang diberikan oleh Wehrmacht dan menentukan empat peringkat gaya siaran daripada Wehrmachtbericht:

  • September 1939-Mei 1940 - sekatan yang berwaspada
  • Kempen Barat 1940 hingga akhir 1941 - penuh semangat dari kemenangan
  • Tahun 1942 hingga musim gugur 1944 - menutup kelemahan
  • Musim gugur 1944 hingga perang berakhir - laporan pembubaran yang suram

Perajurit-perajurit atau unit-unit tentera yang dirujuk oleh Wehrmachtbericht dianggap satu penghormatan besar tentera dan dipandang tinggi. Rujukan ini telah diwujudkan oleh Oberkommando des Heeres di bawah Generaloberst Walther von Brauchitsch pada 27 April 1940. Satu anugerah tambahan, Daftar Kehormat Tentera Darat Jerman, telah diperkenalkan kemudian pada pertengahan tahun 1941. Adolf Hitler menzahirkan Lencana Daftar Kehormat Tentera Darat pada 30 Januari 1944 sebagai anugerah nyata dan boleh dipakai untuk menunjukkan keberanian.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Murawski, Erich (1962). Der deutsche Wehrmachtbericht 1939 - 1945, vom 1.7.1944 bis zum 9.5.1945 (in German). Boppoard am Rhein, Germany: Harald Boldt Verlag.
  • Die Wehrmachtberichte 1939-1945 Band 1, 1. September 1939 bis 31. Dezember 1941 (in German). München: Deutscher Taschenbuch Verlag GmbH & Co. KG, 1985. ISBN 3-423-05944-3.
  • Die Wehrmachtberichte 1939-1945 Band 2, 1. Januar 1942 bis 31. Dezember 1943 (in German). München: Deutscher Taschenbuch Verlag GmbH & Co. KG, 1985. ISBN 3-423-05944-3.
  • Die Wehrmachtberichte 1939-1945 Band 3, 1. Januar 1944 bis 9. Mai 1945 (in German). München: Deutscher Taschenbuch Verlag GmbH & Co. KG, 1985. ISBN 3-423-05944-3.
  • Die Berichte des Oberkommandos der Wehrmacht. (5 Bände) Parkland, Köln 2004. ISBN 3-89340-063-X.