Zhang Heng

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Zhang Heng (張衡)
Setem Zhang Heng keluaran China Post (1955)
Kelahiran78
Meninggal dunia139 (berumur 60–61)
Terkenal keranaSeismometer, sfera armila janaan hidraulik, pengiraan pi, shi, model alam semesta, teori gerhana
Kerjaya saintifik
BidangAstronomi, matematik, seismologi, hidraulik, geografi, etnografi, kejuruteraan mekanik, ilmu takwim, metafizik, puisi

Zhang Heng (Cina ringkas: 张衡Cina tradisional: 張衡pinyin: Zhāng HéngWade-Giles: Chang Hêng; 78–139 M) merupakan seorang ahli astronomi, ahli matematik, pencipta, ahli geografi, ahli kartografi, pelukis, pemuisi, bangsawan, dan cendekiawan sastera berbangsa Cina yang berasal dari Nanyang, Henan. Beliau hidup pada Dinasti Han Timur (25–220 M) di negara China. Beliau menerima pendidikan di ibu kota Luoyang dan Chang'an, lalu memulakan kerjaya sebagai kakitangan awam biasa di Nanyang. Lama-kelamaan, beliau menjadi Ketua Ahli Astronomi, Pengawas Ahli Pedati Rasmi, selepas itu Pengiring istana diraja. Pendirian beliau yang tanpa kompromi terhadap isu-isu sejarah dan ketakwiman menyebabkan Zhang dianggap sebagai tokoh penuh kontroversi lalu dihalang daripada menjadi ahli sejarah diraja rasmi. Perbalahan politik beliau dengan sida-sida istana sewaktu pemerintahan Maharaja Shun (p. 125–144) mendorong beliau untuk bersara dari istana utama untuk berkhidmat sebagai pentadbir di Hejian, Hebei. Beliau kembali ke Nanyang buat seketika, sebelum dipanggil semula untuk berkhidmat di ibu kota pada tahun 138. Setahun kemudian, iaitu pada tahun 139, beliau meninggal dunia.

Zhang menggunakan pengetahuannya yang luas tentang mekanik dan gear dalam beberapa ciptaanya. Beliau mencipta sfera armila janaan air yang pertama di dunia untuk menggambarkan pencerapan astronomi;[1] memperbaiki jam air alir masuk dengan menambahkan sebuah lagi takung;[2] serta mencipta seismometer yang pertama di dunia, yang menentukan arah mata angin gempa bumi sejauh 500 km (310 bt).[1][3][4] Lebih-lebih lagi, beliau mempertingkat perhitungan Cina yang terdahulu bagi rumus pi. Selain menyuratkan kira-kira 2,500 bintang dalam katalog bintangnya yang menyeluruh, Zhang turut menganjurkan teori-teori tentang Bulan dan hubungannya dengan Matahari; terutama sekali, beliau membincangkan bentuk Bulan yang sfera, pencahayaannya dengan memantulkan cahaya matahari di satu muka dan kekal gelap di muka yang lain, serta sifat gerhana matahari dan bulan. Puisi-puisi fu (rapsodi) dan shi beliau disanjungi dan diulas oleh para sasterawan Cina yang mendatang. Zhang banyak menerima penghargaan atas kesarjanaan dan kebijakan beliau, dan oleh itu dianggap sebagai seorang polymath oleh sesetengah ilmuwan. Sesetengah ilmuwan masa kiri juga membandingkan kerja-kerja astronomi beliau dengan kerja-kerja Ptolemy (86–161 M).

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b Needham (1986), Volume 4, 30.
  2. ^ Needham (1986), Volume 4, Part 2, 479 footnote e.
  3. ^ Wright (2001), 66.
  4. ^ Huang (1997), 64.

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

  • Needham, Joseph (1986). Science and Civilization in China: Volume 4, Physics and Physical Technology, Part 2: Mechanical Engineering. Taipei: Caves Books, Ltd.
  • Wright, David Curtis (2001) The History of China. Westport: Greenwood Press.
  • Huang, Ray (1997). China: A Macro History. New York: An East Gate Book, M. E. SHARPE Inc.