Kim Jwa-jin
Kim Jwa-jin | |
|---|---|
김좌진 | |
| Pengerusi Persatuan Orang Korea di Manchuria | |
| Dalam jawatan Ogos 1929 – Januari 1930 | |
| Pengerusi Jawatankuasa Ketenteraan Pentadbiran Rakyat Baharu | |
| Dalam jawatan 1925–1929 | |
| Maklumat peribadi | |
| Lahir | 24 November 1889 Daerah Hongseong, Wilayah Chungcheong, Joseon |
| Meninggal dunia | 24 Januari 1930 (umur 40) Hailin, Mudanjiang, Heilongjiang, China |
| Cause of death | Pembunuhan |
| Kewarganegaraan | Korea |
| Anak | Kim Du-han (dipertikai) |
| Ibu bapa |
|
| Pendidikan | Akademi Ketenteraan Diraja Korea |
| Pekerjaan | Pegawai tentera |
| Keluarga | Keluarga Andong Kim |
| Perkhidmatan tentera | |
| Kesetiaan | |
| Cabang/khidmat |
|
| Tahun khidmat | 1919–1930 |
| Pangkat | Jeneral |
| Perang/Pertempuran | Gerakan kemerdekaan Korea |
| Nama Korea | |
| Hangul | 김좌진 |
| Hanja | 金佐鎭 |
| PDS | Gim Jwajin |
| MR | Kim Chwajin |
| Art name | |
| Hangul | 백야 |
| Hanja | 白冶 |
| PDS | Baekya |
| MR | Paegya |
Kim Jwa-jin[a] (Korea: 김좌진; Hanja: 金佐鎭; 24 November 1889 – 24 Januari 1930), juga dikenali dengan nama seni Paegya, merupakan seorang jeneral tentera, pejuang kemerdekaan Korea, dan penganut anarkisme. Dilahirkan dalam keluarga bangsawan, beliau mendapat pendidikan di sebuah akademi tentera tidak lama sebelum pengilhakan Jepun ke atas Korea.
Selepas menghabiskan tiga tahun di penjara kerana membebaskan hamba keluarganya, Kim menyertai gerakan kemerdekaan Korea dan pergi ke Manchuria untuk berjuang menentang Empayar Jepun. Di sana, beliau menubuhkan Pejabat Pentadbiran Tentera Utara dan melatih tentera Korea dalam peperangan gerila, sebelum memimpin Tentera Kemerdekaan Korea meraih kemenangan dalam Pertempuran Cheongsanri.
Kemudian, beliau menubuhkan bersama Tentera Kemerdekaan Korea dan pergi ke Siberia, tetapi terpaksa kembali ke Manchuria akibat Peristiwa Kota Bebas. Kim kemudian dipengaruhi oleh anarkisme, dan pada tahun 1925, beliau menubuhkan Pentadbiran Rakyat Baharu, yang bertujuan mengamalkan prinsip egalitarianisme dan libertarianisme. Selepas berlaku perpecahan dalam pentadbiran tersebut, beliau bekerjasama dengan golongan muda sosialis dan anarkis untuk menubuhkan Persatuan Rakyat Korea di Manchuria, sebuah persekutuan autonomi koperasi pertanian.
Hanya setahun kemudian, pada tahun 1930, beliau dibunuh oleh seorang anggota muda Parti Komunis Korea. Kim dianggap sebagai wira negara di negara Korea Selatan moden dan sering dibandingkan dengan anarkis Ukraine, Nestor Makhno.
Kehidupan awal dan pendidikan
[sunting | sunting sumber]Kim Jwa-jin dilahirkan pada tahun 1889 di Daerah Hongseong, selatan Korea, dalam sebuah keluarga bangsawan Korea. Beliau mengambil nama seni "Paegya" (백야; 白冶) dan sejak kecil sudah mempercayai prinsip keadilan sosial.[1]
Pada tahun 1905, Kim mendaftar di sekolah latihan tentera di Angkatan Tentera Diraja Korea dan menjalani pengkhususan dalam seni mempertahankan diri Yudo. Beliau juga mahir dalam menunggang kuda, menembak, dan pertarungan pedang. Bagaimanapun, pada dua tahun kemudian, Perjanjian Jepun–Korea 1907 memaksa angkatan tentera Korea dibubarkan. Akademi tentera itu sendiri dikurangkan menjadi hanya 15 pelatih, termasuk Kim, dan beliau lulus sebagai pegawai sebelum akademi itu dibubarkan secara rasmi oleh titah diraja pada September 1909.[2]
Pada usia 18 tahun, Kim membebaskan semua hamba keluarganya, membakar daftar hamba, dan bahkan membahagikan sebahagian tanahnya kepada lebih 50 orang yang dibebaskan. Tindakan ini menjadi pembebasan hamba berskala besar pertama dalam sejarah moden Korea, yang menyebabkan Kim dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun.[3]
Gerakan kemerdekaan
[sunting | sunting sumber]Selepas pengilhakan Jepun ke atas Korea dan Pergerakan Satu Mac 1919, Kim Jwa-jin pergi ke Manchuria dan menyertai pergerakan kemerdekaan Korea. Di sana, beliau menjadi pengikut Daejongisme, satu aliran agama baru yang popular di kalangan pejuang kemerdekaan di Manchuria.
Pada 18 Oktober 1919, Kim menubuhkan Pejabat Pentadbiran Tentera Utara di wilayah Jilin, Manchuria, untuk melatih rakyat Korea menentang Tentera Imperial Jepun, dan akhirnya berjaya melatih lebih 400 orang askar. Beliau juga menghantar ejen ke Seoul, yang ketika itu diduduki Jepun, untuk menghubungi gerakan bawah tanah dan mengumpul dana bagi operasi pemberontakan di Manchuria. Tidak lama kemudian, pejuang kemerdekaan Korea mula bertembung dengan tentera Jepun di sempadan Manchuria-Korea.[4]
Pada tahun 1920, setelah mendapat maklumat bahawa Jepun merancang serangan ke Manchuria, Kim memindahkan pejabat tentera ke Pergunungan Changbai yang lebih selamat. Pada Oktober 1920, selepas Peristiwa Hunchun, seramai 15,000 tentera Jepun dihantar ke Manchuria untuk menyerang pasukan Korea. Kim memimpin Tentera Kemerdekaan Korea untuk menang dalam Pertempuran Cheongsanri, kemenangan pertama Korea menentang Jepun sejak Perjanjian Jepun–Korea 1876, dan menjadikannya wira negara.[1]
Kemudian, Kim mengumpulkan pasukannya di Mishan, bergabung dengan pasukan Ji Cheong-chon, Cho Sŏnghwan, Hong Beom-do dan Sŏ Il untuk menubuhkan Kor Tentera Kemerdekaan Korea. Mereka bergerak ke Siberia dan sementara waktu bersekutu dengan Tentera Merah menentang campur tangan Jepun. Bagaimanapun, selepas Peristiwa Kota Bebas, Tentera Merah melucutkan senjata Kor Tentera Kemerdekaan Korea, dan Kim membawa pulang pasukannya ke Manchuria.[5]
Gerakan anarkis
[sunting | sunting sumber]Pada 1920-an, dengan meningkatnya populariti sosialisme dalam kalangan pejuang kemerdekaan Korea di Manchuria, Kim Jwa-jin mula menggabungkan falsafah kebangsaan Korea Na Ch’ŏl dengan unsur republikanisme dan anarkisme. Beliau amat dipengaruhi oleh falsafah politik anarkisme, terutamanya oleh saudara jauh beliau, Kim Chongjin, seorang anarkis Korea.
Pada 1924, Kim menerima dana operasi dari pemimpin agama Bocheon, Ch’a Kyŏngsŏk. Pada 1925, beliau menubuhkan Pentadbiran Rakyat Baharu di Manchuria Utara dengan matlamat mewujudkan masyarakat egalitarian dan libertarian.[6] Pentadbiran ini menjadi kerajaan de facto di wilayah tersebut, dengan pembahagian kuasa, di mana Kim mengetuai jawatankuasa ketenteraan. Beliau menubuhkan akademi tentera, memimpin kira-kira 500 tentera, dan menguruskan ladang untuk membekalkan pasukannya.
Menjelang 1929, kerajaan sivil Pentadbiran Rakyat Baharu bergabung dengan Kerajaan Adil dan Ibu Pejabat Staf Am (dua kerajaan de facto Korea lain di Manchuria) untuk menubuhkan Kerajaan Rakyat Baharu. Sementara itu, kelompok tentera Kim bergabung dengan ahli sosialisme Liga Belia Korea untuk menubuhkan Perhimpunan Revolusioner.[7]
Pada Ogos 1929, Persekutuan Anarkis Korea menghubungi Kim dengan cadangan menubuhkan persekutuan autonomi koperasi pertanian di Manchuria. Kim bersetuju, dan bersama-sama mereka menubuhkan Persatuan Orang Korea di Manchuria (KPAM). Sebagai jeneral Tentera Kemerdekaan Korea, Kim juga menjadi ketua tentera organisasi itu. KPAM kemudian menghadapi ancaman dari Parti Komunis Korea, Empayar Jepun, dan kerajaan nasionalis China. Kim berpendapat bahawa mereka boleh mengabaikan Stalinisme dan menangguhkan pergolakan politik sehingga kemerdekaan Korea tercapai.[8]
Kematian
[sunting | sunting sumber]Kim Jwa-jin dibunuh pada Januari 1930 ketika sedang membaiki kilang padi koperasi.[9] Pembunuhnya, Pak Sang-sil, seorang ahli Parti Komunis Korea, berjaya melarikan diri, tetapi pengendali beliau, Kim Bong-whan, ditangkap dan dibunuh.[10]
Selepas kematian Kim, Persatuan Orang Korea di Manchuria (KPAM) mula mengalami masalah kewangan dan kehilangan lebih ramai pemimpin utamanya. Pada September 1930, aktivis anarkis Yi Ŭlgyu ditangkap, manakala Kim Chongjin dibunuh pada Julai 1931. Menjelang 1932, KPAM tumbang akibat tekanan daripada pencerobohan Jepun ke atas Manchuria.
Gerakan anarkis Korea terpaksa beroperasi secara bawah tanah, tetapi terus menentang imperialisme Jepun. Ahli Perhimpunan Revolusioner menubuhkan Parti Kemerdekaan Korea, di bawah pimpinan Hong Chin dan Ji Cheong-chon. Tentera Kemerdekaan Korea terus aktif di Utara Manchuria sehingga 1933, sebelum bergerak ke selatan ke China.[11]
Legasi
[sunting | sunting sumber]Di Korea Selatan, Kim Jwa-jin dianggap sebagai warga negara wira dan pejuang patriotik dalam gerakan kemerdekaan. Kepimpinannya dalam Pertempuran Cheongsanri dipamerkan di Dewan Kemerdekaan Korea, termasuk pembinaan semula medan pertempuran dan potret Kim bersama rakan komandonya, Hong Beom-do. Sebuah patungnya juga didirikan di dewan itu, bersebelahan patung An Jung-geun dan Yun Bong-gil, dua pejuang kemerdekaan lain.[12]
Tempat kelahirannya di Daerah Hongseong telah diisytiharkan sebagai monumen negara. Pada 1991, rumah kelahirannya dipulihkan dan sebuah bangunan pameran didirikan. Dari 1998 hingga 2001, daerah ini juga membina kuil peringatan untuk Kim. Setiap bulan Oktober, daerah ini mengadakan festival tahunan untuk memperingati kemenangan Kim di Cheongsanri.[13]
Kim sering dibandingkan dengan revolusioner anarkis Ukraine, Nestor Makhno, dan digelar "Makhno Korea". Ahli sosiologi Lucien van der Walt turut membandingkan Kim dengan Julio López Chávez, Francisco Zalacosta dan Augusto Sandino, kerana mereka mempromosikan sosialisme libertarian dan menggerakkan rakyat tani untuk tindakan revolusi.[14]
Seorang ahli politik kanan dan gangster Korea Selatan, Kim Doo-han mendakwa dirinya adalah anak Kim Jwa-jin, walaupun kesahan dakwaan ini masih diperdebatkan. Hubungan ini menjadi subjek filem General’s Son, yang membuka era filem jenayah di Korea Selatan.[15]
Nota
[sunting | sunting sumber]- ^ Nama juga dieja "Kim Chajin", "Kim Chwa-chin", "Kim Joa-jin" atau "Gim Jwajin"
Catatan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b Jang-Whan 2009, m/s. 1.
- ^ Park & Im 2020, m/s. 28.
- ^ Allison 2023, m/s. 199.
- ^ Kang 2019, m/s. 36.
- ^ Kang 2019, m/s. 37.
- ^ Jang-Whan 2009, m/s. 1; Kang 2019, m/s. 38.
- ^ Kang 2019, m/s. 63.
- ^ MacSimoin 2002, m/s. 4–5.
- ^ Allison 2023, m/s. 1; Ha 1986, m/s. 84; Jang-Whan 2009, m/s. 1; MacSimoin 2002, m/s. 5; Ramnath 2019, m/s. 683; van der Walt & Schmidt 2009, m/s. 285-286.
- ^ Ha 1986, m/s. 88; Hwang 2016, m/s. 51-52.
- ^ Kang 2019, m/s. 64.
- ^ Podoler 2011, m/s. 191.
- ^ "Kim Jwa-jin". Hongseong County. Dicapai pada 30 May 2025.
- ^ van der Walt & Schmidt 2009, m/s. 289.
- ^ Kim 2018, m/s. 504–505.
Bacaan tambahan
[sunting | sunting sumber]- Lee, Young-Mi (2013). "Anarchism and Kropotkin: Another Source of North Korean Revolutionary Cultural History". 평화학연구. 14 (6): 75–94. doi:10.14363/kaps.2013.14.6.75.
- Shin, Eun Kyong (2022). "The Morphology of Resistance: Korean Resistance Networks 1895-1945". Journal of Social Sciences. 61 (2): 335–361. doi:10.22418/JSS.2022.8.61.2.335. ISSN 1975-0625.
- Sassa, Mitsuaki (2017). "北路軍政署の創設と大倧教 ― 総裁・徐一の活動を中心に" [The Influence of the Daejyonggyo on the Establishment of the Northern Military Administration Office Army (Bungnogunjeongseo)] (PDF). Ritsumeikan Journal of International Relations and Area Studies (dalam bahasa Jepun). Ritsumeikan University (45): 135–151. ISSN 0917-2971. OCLC 7018162146. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2024-06-18.