Kim Sun-il

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Kim Sun-il (김선일; 金鮮一) (13 September 1970- 22 Jun 2004) adalah seorang penterjemah dari Korea Selatan yang bekerja di Iraq dengan Gana General Trading Company, sebuah syarikat Korea Selatan yang bekerja erat dengan tentera Amerika Syarikat.

Kim fasih dalam bahasa Arab dan meraih ijazah dalam bahasa tersebut dari Hankuk University of Foreign Studies di Seoul pada Februari 2003. Dia juga memegang ijazah dalam bahasa Inggeris dan teologi dan bercita-cita untuk menjadi seorang mubaligh Kristian di Timur Tengah. Dia tiba di Iraq pada 15 Jun 2003.

Pada 30 Mei 2004, Kim diculik di Fallujah, lebih kurang 50 km (30 batu) dari Baghdad, oleh kumpulan militan yang bernama Jama'at al-Tawhid wa'l Jihad (Jemaat Tauhid dan Jihad) dan dijadikan tebusan. Kumpulan yang diketuai oleh Abu Musab al-Zarqawi ini, telah membunuh Kim dengan memenggal kepalanya pada 22 Jun 2004 setelah Korea Selatan menolak tuntutan kumpulan tersebut untuk tidak menghantar 3000 pasukan tentera ke Iraq dan menarik kembali 600 pegawai perubatan tentera (medics) dan jurutera dari negara tersebut.

Jama'at al-Tawhid wa'l Jihad memberi tempoh hingga 21 Jun untuk Korea Selatan akur dengan permintaan mereka. Mereka juga menayangkan sebuah video yang menunjukkan Kim merayu supaya tidak dibunuh. Di dalam video itu, Kim merayu, "Tolong keluar dari sini,(merujuk kepada tentera Korea Selatan yang sudah pun berada di Iraq). Saya tidak mahu mati". Pada 22 Jun, setelah laporan awal mengatakan bahawa kumpulan ini telah memberi Korea Selatan lebih masa untuk mengubah polisinya, stesen televisyen Al-Jazeera mengumukan bahawa mereka telah menerima satu pita rakaman video yang menunjukkan bahawa Kim telah menerima nasib yang sama dengan tebusan yang lain seperti Nick Berg di Iraq, Paul Johnson di Arab Saudi dan Daniel Pearl di Pakistan. Pemerintah Korea Selatan telah mengesahkan kejadian tersebut.

Presiden syarikat Gana General Trading sedar akan penculikan Kim tetapi tidak melaporkan kejadian tersebut sehinggalah video itu ditayangkan. Dia telah mendapat pendapat seorang peguam yang mengatakan situasi tersebut harus ditangani tanpa pertolongan pemerintah jikalau Kim mahu selamat. Oleh itu, pegawai pemerintah Korea Selatan mengatakan bahawa mereka mempunyai masa yang terlalu suntuk untuk memberi reaksi yang sewajarnya.

Kementerian Maklumat dan Penerangan Korea Selatan telah mengharamkan penayangan video pemenggalan Kim Sun-il dan sedang berusaha untuk mencegah video tersebut daripada menular.