King Charles spaniel

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari King Charles Spaniel)
King Charles spaniel
Seekor anjing hitam dan perang kecil dengan telinga panjang duduk dan memandang ke atas. Ia mempunyai muncung gabuk pendek.
Warna King Charles
Nama lainSpaniel mainan Inggeris
Spaniel mainan
Charlie
Prince Charles spaniel
Ruby spaniel
Blenheim spaniel
Negara asalGreat Britain
Trait
Berat 8–14 lb (3.6–6.4 kg)
Tinggi 9–11 in (23–28 cm)
Warna King Charles (hitam dan sawo matang), Prince Charles (putih dengan tompok-tompok hitam dan sawo matang), Blenheim (putih dengan tompok-tompok merah), Ruby (merah)
Saiz perinduk 5 ekor
Jangka hayat 10–16 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)

King Charles spaniel[a] atau spaniel mainan Inggeris[b] ialah satu baka anjing daripada jenis spaniel. Pada tahun 1903, The Kennel Club menggabungkan empat baka spaniel mainan berlainan di bawah satu judul tunggal ini. Keragaman lain yang bergabung menjadi baka ini ialah Blenheim spaniel, Ruby spaniel, dan Prince Charles spaniel, setiap satu menyumbangkan salah satu daripada empat warna tersedia pada baka ini.

Spaniel mainan yang disangkakan berasal dari Asia Timur pertama kali dilihat di Eropah pada abad ke-16. Ia menjadi berkait dengan kerabat diraja Inggeris pada zaman pemerintahan Ratu Mary I dan dimasyhurkan dengan kaitannya dengan Raja Charles II. Anjing baka ini pernah dimiliki oleh Ratu Victoria (Dash) dan cicit baginda Duchess Agung Anastasia Nikolaevna dari Rusia.

King Charles spaniel dan jenis spaniel mainan lain dibiakbakakan secara bersilang dengan pug pada awal abad ke-19 untuk mengurangkan saiz hidungnya mengikuti gaya zaman itu. Pada abad ke-20, terdapat usaha untuk memulihkan susur galur King Charles spaniel kepada baka dari zaman Charles II. Ini termasuk spaniel pemukat mainan yang tidak berjaya dan cavalier King Charles spaniel yang kini popular. Cavalier King Charles spaniel lebih besar sedikit dengan kepala rata dan hidung lebih panjang, sementara King Charles spaniel adalah lebih kecil dengan kepala berkubah dan muka rata.

Dahulu, baka-baka yang bergabung dengan King Charles spaniel digunakan untuk perburuan; kerana tingginya, ia tidak sesuai. Ia telah mengekalkan naluri perburuannya, tetapi tidak mempamerkan paras tenaga tinggi dan lebih sesuai sebagai anjing riba. Baka moden ini terdedah kepada beberapa masalah kesihatan, termasuk keadaan jantung dan pelbagai isu mata.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sebuah lukisan hampir secara keseluruhan berwarna hitam, kuning, dan merah yang menggambarkan seorang lelaki dan seorang wanita yang berpakaian abad ke-16 yang duduk. Terdapat dua ekor anjing kecil hampir putih menyeluruh di kaki pasangan tersebut.
Potret Ratu Mary I dan Raja Felipe oleh Hans Eworth (1558)
Hakikat bahawa anjing sentiasa menjadi sebahagian daripada hadiah diraja Jepun mencadangkan kepada Komodor pemikiran bahawa mungkin satu spesies spaniel yang kini di England dapat dikesan kepada asal Jepun. Pada tahun 1613, semasa Kapten Saris kembali dari Jepun ke England, beliau membawa kepada Raja sepucuk surat daripada Maharaja, dan hadiah sebagai balasan kepada mereka yang diutuskan kepada beliau oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja England. Anjing barang kali merupakan sebahagian daripada hadiah dan dengan itu mungkin telah diperkenalkan ke Kerajaan itu baka Jepun. Walau apa pun, terdapat satu spesies Spaniel di England yang sukar untuk dibezakan daripada anjing Jepun. Spesies yang dikirimkan oleh Maharaja sama sekali tidak umum walaupun di Jepun. Ia tidak pernah terlihat berlari -laridi jalan-jalan, atau mengikuti tuannya dalam berjalan-jalan, dan Komodor memahami bahawa anjing-anjing ini mahal.

Francis L. Hawks dan Komodor Matthew C. Perry (1856)[1]

King Charles spaniel mungkin mengongsi keleluhuran bersama dengan anjing Peking dan chin Jepun.[2]

Keragaman merah dan putih bagi spaniel mainan pertama kali terlihat dalam lukisan oleh Titian,[3] termasuk Venere di Urbino (1538), yang mempunyai seekor anjing kecil yang digunakan sebagai lambang daya penggodaan wanita.[4] Lukisan lanjut yang menampilkan spaniel mainan ini dihasilkan oleh Palma Vecchio dan Paolo Veronese semasa abad ke-16. Anjing-anjing ini sudah mempunyai kepala berkubah tinggi dengan hidung pendek, walaupun muncungnya lebih runcing berbanding dengan muncung kini. Spaniel mainan Itali ini mungkin telah disilangkan dengan anjing kecil tempatan seperti anjing Malta dan juga dengan anjing import China.[3] Papillon ialah keturunan benua bagi spaniel serupa bersaiz mainan.[5]

Kemunculan tercatat terawal bagi spaniel mainan di England adalah dalam sebuah lukisan Ratu Mary I dan Raja Felipe.[6] Mary, Ratu Scotland, juga menggemari anjing mainan kecil, termasuk spaniel,[7] dengan menunjukkan kesukaan kerabat diraja British terhadap jenis anjing ini sebelum Charles II.[6]

Raja Henri III dari Perancis memiliki sebilangan spaniel kecil, yang dipanggil Damarets. Walaupun salah satu terjemahan karya berbahasa Latin oleh John Caius dari tahun 1570 De Canibus Britannicis menyebut tentang "jenis spaniel baharu yang dibawa keluar dari Perancis, jarang, pelik, dan sukar diperoleh",[8] ini ialah tambahan dalam terjemahan kemudian, dan tiada dalam teks asli.[8] Caius memang membincangkan "Spainel-gentle, atau Comforter" walaupun bagaimanapun, yang dikelaskan oleh beliau sebagai keturunan murni halus. Spaniel ini dianggap berasal dari Malta dan dicari-cari hanya sebagai anjing riba untuk "para gadis ayu".[9]

Kapten John Saris mungkin telah membawa pulang contoh spaniel mainan daripada pelayaran beliau ke Jepun pada tahun 1613,[2] teori yang dikemukan oleh Komodor Matthew C. Perry semasa ekspedisi beliau ke Jepun bagi pihak Amerika Syarikat pada pertengahan abad ke-19. Beliau menyatakan bahawa anjing merupakan hadiah umum dan berpendapat bahawa pelayaran awal Kapten Saris memperkenalkan jenis spaniel Jepun ke England.[1]

Abad ke-17 dan Charles II[sunting | sunting sumber]

"Potret lima orang kanak-kanak yang berpakaian satin abad ke-16, dari kiri seorang anak perempuan berpakaian putih, seorang anak lelaki berpakaian dan berbonet, dan seorang anak lelaki berpenampilan serba indah berseluar merah di tengah-tengah. Yang di sebelah kanak seorang anak perempuan lebih muda yang duduk sambil mendukung seorang bayi. Seekor anjing mastif perang besar duduk di tengah-tengah di sebelah anak lelaki itu dan seekor spaniel putih dan perang kecil berada di bawah kanan."
Five children of King Charles I of England (1637) oleh Anthony van Dyck, yang menampilan seekor spaniel dari zaman itu di bawah kanan

Pada abad ke-17, spaniel mainan mula ditampilkan dalam lukisan oleh artis Belanda seperti Caspar Netscher dan Peter Paul Rubens. Seniman Sepanyol, termasuk Juan de Valdés Leal dan Diego Velázquez, juga menggambarkannya; dalam karya Sepanyol, anjing ini triwarna, hitam dan putih, atau putih sepenuhnya. Naturalis Perancis Georges-Louis Leclerc, Comte de Buffon kemudiannya memerihalkan jenis anjing ini sebagai silangan antara spaniel dengan pug.[5]

Raja Charles II dari England sangat menyukai spaniel mainan, yang menjadi sebab bahawa anjing ini kini membawa nama baginda,[10] walaupun tiada bukti bahawa baka moden diturunkan daripada anjing khusus baginda. Baginda dikreditkan sebagai penyebab peningkatan kepopularan baka ini semasa tempoh ini. Diari Samuel Pepys menerangkan cara spaniel diizinkan untuk berkeliaran di mana-mana di Istana Whitehall, termasuk semasa majlis kenegaraan.[10] Dalam entri bertarikh 4 September 1667, dalam memerihalkan mesyuarat majlis, Pepys menulis, [terjemahan]: "Semua yang aku perhatikan di sana merupakan kebodohan sang Raja, yang bermain dengan anjingnya sepanjang masa dan tidak mempedulikan urusan."[11][12] Adik perempuan kepada Charles, Puteri Henrietta, dilukis oleh Pierre Mignard sambil memegang seekor spaniel kecil merah dan putih bersaiz mainan.[13] Judith Blunt-Lytton, Baroness Wentworth ke-16, yang menulis dalam karya beliau pada tahun 1911 Toy Dogs and Their Ancestors ("Anjing Mainan dan Leluhurnya"), berteori bahawa selepas kemangkatan Henrietta pada usia 26 tahun pada tahun 1670, Charles mengambil anjing-anjing milik adik baginda untuk diri baginda sendiri.[13]

Selepas Charles II[sunting | sunting sumber]

Potret seekor King Charles spaniel, oleh Jean-Baptiste Huet 1778

Spaniel mainan terus popular di pekarangan istana British semasa pemerintahan Raja James II, melalui pemerintahan Ratu Anne. Jenis-jenis popular termasuk keragaman putih dan merah.[14] Ikutan Revolusi Keagungan pada tahun 1688 dan pemerintahan Raja William III dan Ratu Mary II, pug diperkenalkan ke Britain yang akhirnya akan membawa kepada perubahan fizikal drastik kepada King Charles spaniel.[15] Perbandingan antara gambar jahitan tentang spaniel mainan Inggeris dan keragaman benua menunjukkan bahawa perubahan telah mula berlaku pada jenis-jenis Inggeris pada tahun 1736, dengan hidung lebih pendek yang dipaparkan dan baka ini yang secara keseluruhannya bergerak menjauhi yang terlihat dalam karya-karya terdahulu oleh Anthony van Dyck pada abad ke-17.[16]

Spaniel mainan Inggeris kekal cukup popular semasa abad ke-18 untuk dipaparkan dengan kerap dalam kesusasteraan dan dalam kesenian. On Rover, a Lady's Spaniel, satira Jonathan Swift terhadap puisi Ambrose Philips kepada anak perempuan Lord Leftenant, menerangkan ciri-ciri anjing mainan Inggeris, dengan menyatakan "dahi besar dan tinggi" antara banyak ciri fizikal lain pada baka ini.[17] Spaniel mainan dan pug ditampilkan dalam kedua-dua potret berkumpulan dan karya satira oleh William Hogarth.[18] Spaniel mainan masih popular dalam kalangan kelas atasan sebagai anjing wanita, walaupun pug diperkenalkan;[19] kedua-dua potret Ratu Charlotte oleh Thomas Gainsborough dari tahun 1781 dan Lady Hamilton as Nature oleh George Romney dari tahun 1782 menampilkan spaniel mainan dengan wanita tuan masing-masing. Spaniel mainan pada abad ini berukuran seringan hanya 5 paun (2.3 kg),[20] walaupun anjing ini dianggap sebagai baka anjing paling terdedah kepada berat berlebihan, atau "kegemukan".[21]

Abad ke-19 dan Blenheim spaniel[sunting | sunting sumber]

Sebuah lukisan hitam dan putih tentang sekumpulan beberapa spaniel kecil dengan penampilan serupa dan tanda berlainan
Sebuah lukisan dari tahun 1852 bagi King Charles spaniel dan Blenheim spaniel

Keragaman spaniel mainan kadang-kadang digunakan dalam perburuan, seperti yang dilaporkan oleh Sportsman's Repository pada tahun 1830 tentang Blenheim spaniel: "Dua puluh tahun yang lalu, Yang Mulia Duke Marlborough terkenal kerana memiliki baka cocker terkecil dan terbaik di Britain; anjing-anjing ini sentiasa merah dan putih dengan telinga sangat panjang, hidung pendek, dan mata hitam."[22] Dalam tempoh ini, istilah "cocker" tidak digunakan untuk memerihalkan kokerspaniel, melainkan sejenis spaniel kecil yang digunakan untuk memburu woodcock. Kediaman Duke, Istana Blenheim, memberikan namanya kepada Blenheim spaniel. Sportsman's Repository menerangkan bahawa spaniel mainan mampu berburu, walaupun bukan selama sehari penuh atau di rupa bumi sukar: "'Spaniel permaidani' yang sangat halus dan kecil mempunyai hidung ang indah dan akan berburu dengan bersungguh-sungguh dan menyenangkan, tetapi tidak juga sesuai untuk hari panjang atau duri tersembunyi."[23] Idea ini disokong oleh Vero Shaw dalam karya beliau pada tahun 1881 The Illustrated Book of the Dog[23] dan oleh Thomas Brown pada tahun 1829 yang menulis, "Ia jarang digunakan untuk sukan padang, daripada saiz kenitnya, mudah letih, dan tungkai terlalu pendek untuk melalui tanah berpaya."[24] Semasa abad ke-19, anjing Malta masih dianggap sebagai sejenis spaniel dan dianggap sebagai baka induk bagi spaniel mainan, termasuk kedua-dua jenis King Charles dan Blenheim.[22]

Baka-baka spaniel spaniel kerap menyaingi pug dari segi kepopularan sebagai anjing pangkuan untuk para wanita. Kelemahan baka-baka mainan spaniel ialah lapis bulu panjangnya memerlukan penjagaan berterusan.[22] Menjelang tahun 1830, spaniel mainan telah berubah sedikit daripada anjing zaman Charles II. William Youatt dalam kajian beliau pada tahun 1845, The Dog, tidak tertarik kepada perubahan itu: "Baka King Charles pada masa kini telah terubah secara material menjadi lebih teruk. Muncungnya hampir sama pendek dan dahinya hodoh dan menonjol dan nyata seperti buldog paling sejati. Matanya diperbesar menjadi dua kali ganda saiz sebelumnya dan mempunyai ekspresi kebodohan yang dengannya perwatakan anjing itu sepadan dengan terlalu tepat." Youatt memang mengaku bahawa telinga panjang, lapis bulu, dan pewarnaan baka ini menarik.[25] Oleh sebab oleh fesyen zaman itu, spaniel mainan disilangkan dengan pug untuk mengurangkan saiz hidungnya dan kemudian dibiakbakakan secara terpilih untuk mengurangkannya selanjutnya. Dengan melakukan ini, deria bau anjing ini dicacatkan dan, menurut para penulis abad ke-19, ini menyebabkan keragaman spaniel mainan dikeluarkan daripada penyertaan dalam sukan padang.[23] Blunt-Lytton mencadangkan agar Blenheim spaniel merah dan putih sentiasa mempunyai hidung lebih pendek yang kini terlihat pada King Charles spaniel moden.[3]

Sebuah lukisan tentang seekor spaniel merah dan putih kecil dengan telinga panjang
Sebuah lukisan King Charles spaniel oleh Édouard Manet, dari sekitar 1866

Dari abad ke-16, terdapat fesyen untuk para wanita untuk membawa spaniel kecil bersaiz mainan semasa mereka berjalan-jalan di sekitar pekan.[9] Anjing-anjing ini dipanggil "Comforter" dan diberi pengelasan biologi spesies Canis consolator oleh para penulis anjing abad ke-19. Menjelang tahun 1830-an, amalan ini tidak lagi popular dan jenis spaniel ini semakin jarang.[26] "Comforter" diberikan sebagai istilah generik kepada anjing riba, termasuk anjing Malta, spaniel mainan Inggeris, dan spaniel kerdil benua yang serupa dengan phalène moden.[27] Anjing-anjing ini pernah dipercayai mempunyai sesetengah kuasa penyembuhan: pada tahun 1607, Edward Topsell mengulangi pemerhatian Caius bahawa [terjemahan] "anjing-anjing kecil ini adalah bagus untuk melegakan sakit perut, yang kerap digunakan sebagai pengawet plaster, atau dibawa di dada orang sakit dan lemah, yang kesannya dilakukan dengan haba sederhananya."[28] Menjelang tahun 1840-an, "Comforter" telah berhenti digunakan dan baka ini telah kembali dipanggil spaniel mainan.[29] Kejadian bertulis pertama tentang spaniel mainan berwarna delima ialah seekor anjing bernama Dandy yang dimiliki oleh En. Garwood pada tahun 1875.[30]

Anjing ini terus popular sesama kerabat diraja. Pada tahun 1896, Otto von Bismarck membeli seekor King Charles spaniel daripada sebuah kenel Amerika dengan harga $1,000.[31] Berat anjing itu kurang daripada 2 paun (0.9 kg) dan telah disingkirkan daripada Westminster Kennel Club pada tahun sebelumnya kerana beratnya.[31] Harga purata adalah lebih rendah daripada yang dibayar oleh Bismarck. Pada tahun 1899, harga antara $50 dengan $200 untuk King Charles atau Blenheim,[32] dengan Ruby dan Prince Charles spaniel pada antara $50 dengan $150.[33][34]

"Flossy" milik Anne Brontë, yang diberikan kepada beliau oleh anak-anak Robinson semasa beliau meninggalkan jawatan gabenor kepada mereka, ialah seekor King Charles spaniel.

Penunjukan pengakuran dan abad ke-20[sunting | sunting sumber]

Sekeping fotograf hitam putih tentang seekor spaniel kecil yang duduk, ia menghadap kanan
Seekor Blenheim spaniel pada 1903

Pada tahun 1903, The Kennel Club mencuba untuk menggabungkan King James spaniel (hitam dan sawo matang), Prince Charles spaniel (triwarna), Blenheim spaniel, dan Ruby spaniel menjadi satu baka tunggal yang dipanggil spaniel mainan. Toy Spaniel Club, yang memantau baka berasingan itu, sekerasnya membantah dan hujahnya hanya diselesaikan ikutan campur tangan Raja Edward VII, yang menjelaskan bahawa baginda lebih menyukai nama "King Charles spaniel".[35] Pada tahun 1904, American Kennel Club menyusul dengan menggabungkan keempat-empat baka itu menjadi satu baka tunggal yang dikenali sebagai English Toy Spaniel ("spaniel mainan Inggeris").[36] Spaniel Jepun juga dianggap sebagai sejenis spaniel mainan,[37] tetapi tidak digabungkan ke dalam baka baharu dan pun diiktiraf sebagai baka tersendiri.[35]

Duchess Agung Anastasia Nikolaevna dari Rusia memiliki seekor King Charles spaniel pada masa penembakan keluarga Romanov pada 17 Julai 1918. Lapan hari kemudian, Nicholas Sokolov daripada Tentera Putih menemui kawasan lapang yang dipercayai olehnya sebagai lokasi pembakaran mayat keluarga Romanov dan menemukan bangkai seekor King Charles spaniel di tapak itu.[38] Pada tahun 1920-an, Duchess Marlborough membiakbakakan begitu banyak King Charles spaniel di Istana Blenheim sehingga suami beliau berpindah dan kemudian mengusir sang Duchess sendiri.[39]

Blunt-Lytton mendokumenkan percubaan beliau pada awal abad ke-20 untuk membiakbakakan jenis abad ke-18 bagi King Charles spaniel semula seperti yang terlihat dalam potret Raja Charles II.[40] Beliau menggunakan spaniel pemukat mainan, iaitu spaniel berambut kerinting, kebanyakannya hitam, kecil hingga sederhana, dan membiakbakakan anjing ini secara bersilang dengan pelbagai baka lain, termasuk Blenheim spaniel dan kokerspaniel, dalam percubaan tidak berjaya untuk menghasilkan gaya terdahulu semula.[30]

Fotograf tangkapan kepala hitam putih bagi seekor spaniel kecil dengan hidung gabuk dan tanda yang kebanyakannya gelap
Tangkapan kepala bagi seekor Ruby spaniel awal abad ke-20

Cavalier King Charles spaniel berasal daripada pertandingan yang diadakan oleh orang Amerika, Roswell Eldridge, pada tahun 1926. Beliau menawarkan dana hadiah untuk anjing jantan dan anjing betina terbaik daripada "Blenheim spaniel jenis lama, seperti yang tertunjuk dalam gambar dari zaman Charles II dari England, muka panjang, tiada stop, tengkorak rata, tidak cenderung untuk berkubah, dengan titik di tengah-tengah tengkorak."[41] Pembiak baka memasukkan anjing yang dianggap oleh mereka sebagai King Charles spaniel kurang syarat. Walaupun Eldridge tidak berumur panjang untuk melihat baka baharu yang dihasilkan, beberapa orang pembiak baka bersatu dan mendirikan kelab baka pertama untuk cavalier King Charles spaniel yang baharu pada tahun 1928, dengan The Kennel Club yang pada mulanya menyenaraikan baka baharu ini sebagai "King Charles Spaniels, Cavalier type" ("King Charles spaniel, jenis cavalier"). Pada tahun 1945, The Kennel Club pun mengiktiraf baka baharu ini.[41] American Kennel Club tidak mengiktiraf cavalier King Charles spaniel sehingga tahun 1997.[42]

Puteri Margaret, Countess Snowdon, meneruskan hubungan antara kerabat diraja dengan King Charles spaniel dengan menghadiri pesta ulang tahun kesepuluh Puteri Anne bersama dengan anjing baginda Rolly pada tahun 1960.[43][44] Elizabeth II juga pernah memiliki King Charles spaniel sebagai tambahan kepada anjing yang paling kerap dikaitkan dengan baginda, corgi Wales Pembroke.[45]

Sekeping foto hitam putih tentang empat ekor spaniel kecil yang duduk sambil menghadap kamera. Anjing-anjing ini masing-masing mempunyai tanda-tanda serupa.
King Charles spaniel dari 1915

Pada tahun 2008, dokumentari BBC Pedigree Dogs Exposed mengkritik pembiakbakaan keragaman baka pedigri termasuk King Charles spaniel. Rancangan itu mengetengahkan isu yang melibatkan siringomielia pada kedua-dua baka King Charles dan cavalier. Mark Evans, ketua penasihat veterinar untuk Royal Society for the Prevention of Cruelty to Animals (RSPCA), berkata, "Pertunjukan anjing yang menggunakan piawaian baka semasa sebagai kriteria penghakiman utama secara aktif menggalakkan kedua-dua pembiakabakaan sengaja bagi anjing cacat dan kurang upaya serta pembiakbakaan dalam bagi haiwan berkait rapat";[46] pendapat ini disokong oleh SPCA Scotland.[46] Ikutan rancangan itu, RSPCA menamatkan penajaannya bagi pertunjukan anjing tahunan Crufts[47] dan BBC menolak untuk menyiarkan rancangan tersebut.[48]

King Charles spaniel kurang popular berbanding dengan cavalier di United Kingdom dan di Amerika Syarikat. Pada tahun 2010, cavalier ialah baka ke-23 paling popular menurut angka pendaftaran yang dikumpulkan oleh American Kennel Club, manakala spaniel mainan Inggeris ialah yang ke-126.[49] Di United Kingdom, menurut The Kennel Club, cavalier ialah baka paling popular dalam Kumpulan Mainan, dengan 8,154 ekor anak anjing yang didaftarkan pada tahun 2010, berbanding dengan 199 pendaftaran untuk King Charles spaniel.[50] Oleh sebab angka pendaftaran rendah, King Charles dikenal pasti sebagai Baka Asli Rentan oleh The Kennel Club pada tahun 2003 dalam usaha untuk membantu mempromosikan baka ini.[51]

Perihal[sunting | sunting sumber]

King Charles spaniel mempunyai mata gelap besar, hidung pendek, kepala berkubah tinggi, dan garis kulit hitam di sekeliling mulut.[7] Pada purata, ia berdiri setinggi 9–11 inci (23–28 cm) pada paras kelasa dengan tubuh kecil namun padat.[52] Baka ini mempunyai ekor yang terpotong secara tradisional, kecuali di United Kingdom dan di sesetengah negara Eropah lain yang mengharamkan pemotongan ekor dan telinga sejak tahun 2006.[53]Templat:Non-primary source needed Pemotongan telinga telah diharamkan di United Kingdom selama lebih daripada 100 tahun.[54] Ia mempunyai telinga panjang berayun yang tipikal bagi spaniel dan lapis bulunya terdapat dalam empat keragaman, trait yang dikongsi dengan cabangnya, cavalier King Charles spaniel.[52][55]

Seekor spaniel hitam dan putih kecil berbaring di hadapan, menghadap kiri.
Seekor King Charles spaniel dengan tanda-tanda Prince Charles

Keempat-empat set tanda mencerminkan empat baka terdahulu yang menjadi asas bagi baka moden. Tanda-tanda hitam dan sawo matang dikenali sebagai "King Charles", manakala "Prince Charles" adalah triwarna, "Blenheim" adalah merah dan putih, dan "Ruby" ialah merah pekat padu berwarna tunggal.[52] Tanda-tanda hitam dan sawo matang "King Charles" biasanya terdiri daripada lapis bulu hitam dengan tanda-tanda mahogani/sawo matang pada muka, tungkai, dan dada serta di bawah ekor. "Prince Charles" triwarna kebanyakannya berwarna putih dengan tompok-tompok hitam dan tanda-tanda mahogani/sawo matang di lokasi serupa dengan "King Charles". "Blenheim" mempunyai lapis bulu putih dengan tompok-tompok merah dan patut mempunyai tompok merah distingtif di tengah-tengah tengkorak.[56][57]

King Charles spaniel kerap disalah anggap sebagai cavalier King Charles spaniel. Terdapat beberapa perbezaan ketara antara kedua-dua baka, yang utama ialah saiznya.[41] Walaupun cavalier pada purata berukuran seberat 13–18 paun (5.9–8.2 kg),[55] King Charles spaniel adalah lebih kecil iaitu setinggi 8–14 paun (3.6–6.4 kg).[52] Sebagai tambahan, ciri-ciri wajahnya, walaupun serupa, dapat dibezakan: telinga cavalier terletak lebih tinggi dan tengkoraknya rata, manakala tengkorak King Charles berkubah. Akhirnya, panjang muncung King Charles cenderung lebih pendek daripada muncung tipikal pada cavalier.[41]

American Kennel Club mempunyai dua kelas, English Toy Spaniel (B/PC) (Blenheim and Prince Charles) dan English Toy Spaniel (R/KC),[36] manakala di United Kingdom, The Kennel Club menempatkan baka ini dalam satu kelas tunggal.[58] Dalam pengelompokan Persekutuan Kinologi Antarabangsa, King Charles spaniel ditempatkan dalam seksyen Spaniel Mainan Inggeris dalam Kumpulan Anjing Teman dan Mainan, bersama-sama dengan cavalier King Charles spaniel.[59]

Perangai[sunting | sunting sumber]

A toy Spaniel, a dwarf Spitz and a Maltese next to a basket (1855) oleh Johann Friedrich Wilhelm Wegener [de]

King Charles spaniel ialah baka ramah sehinggakan ia biasanya tidak sesuai sebagai anjing pengawal seperti sesetengah baka,[52] namun ia mungkin masih menyalak untuk memberikan amaran kepada pemiliknya tentang pelawat yang menghampiri.[7] Ia bukan baka tenaga tinggi dan menikmati pendampingan daripada ahli keluarga,[52] terutamanya sebagai anjing pangkuan.[7] Walaupun ia dapat berhubungan dengan baik dengan kanak-kanak dan bertolak ansur dengan mereka, ia tidak akan menerima pengendalian kasar. Ia lebih suka untuk tidak dibiarkan bersendirian untuk tempoh lama. Sebagai anjing yang dikenali sebagai salah satu baka mainan paling senyap, ia sesuai untuk kehidupan di pangsapuri.[52]

Baka ini mampu bertolak ansur dengan haiwan peliharaan lain dengan baik,[52] namun King Charles spaniel masih mempunyai naluri perburuan leluhurnya dan mungkin tidak selalu ramah terhadap haiwan lebih kecil.[36] Ia cukup cerdas untuk digunakan untuk kerja kepatuhan dan, oleh sebab perangai stabilnya, ia mampu menjadi anjing terapi berjaya untuk hospital dan rumah penjagaan.[7]

Kesihatan[sunting | sunting sumber]

Ekor kontot semula jadi dapat ditemukan pada sesetengah anggota baka ini, yang bukan mutasi gen T-box, dan dengan itu diizinkan di bawah peraturan pertunjukan pengakuran.[60] Penyelidikan berkaitan dengan kesihatan mengenai baka ini telah terbatas, tanpa kajian besar yang dijalankan di Britain. Walau bagaimanapun, ia telah disertakan dalam kajian di luar United Kingdom, termasuk oleh Orthopedic Foundation for Animals (OFA) di Amerika Syarikat.[61] King Charles spaniel mempunyai sebilangan gangguan mata dan sistem pernafasan yang umum pada anjing brakisefalik dan penyakit endokrin dan metabolik yang umum pada baka kecil,[62] serta keadaan kesihatan spesifik berkaitan dengan baka.[61] Purata jangka hayat ialah 10 hingga 12 tahun[63][64] dan baka ini patut mampu membiak secara semula jadi.[61]

Keadaan mata dan jantung[sunting | sunting sumber]

Masalah mata yang berkaitan dengan King Charles spaniel termasuk katarak, distrofi kornea, distikia, entropion, mikroftalmia, drusen cakera optik, dan keratitis. Berbanding dengan baka lain, King Charles spaniel mempunyai peningkatan risiko bagi distikia (yang melibatkan bulu mata atau bulu tambahan yang menyebabkan kerengsaan pada mata). Pewarisan disyaki dalam keadaan lain dengan usia permulaan antara enam bulan untuk katarak dengan dua hingga lima tahun untuk distrofi kornea.[65]

Keadaan jantung yang berkaitan dengan King Charles spaniel termasuk penyakit injap mitral, yang melibatkan injap mitral yang merosot, lalu menyebabkan darah mengalir ke arah belakang melalui kebuk-kebuk jantung dan akhirnya membawa kepada kegagalan jantung kongestif.[66][67] Duktus arteriosus paten, yang melibatkan darah yang disalurkan kembali dari jantung ke dalam paru-paru, juga terlihat dan dapat menyebabkan kegagalan jantung.[68] Kedua-dua keadaan ini hadir dengan gejala serupa dan dapat diwarisi.[67][68] OFA menjalankan tinjauan mengenai penyakit jantung, yang antara 105 baka, King Charles spaniel didapati berada di tempat ke-7 paling teruk, dengan 2.1% daripada 189 ekor anjing yang terjejas.[69]

Isu umum lain[sunting | sunting sumber]

Sebagai baka brakisefalik, King Charles spaniel dapat menjadi sensitif kepada anestesia.[70] Ini adalah kerana pada anjing brakisefalik, terdapat tisu tambahan di dalam tekak yang betul-betul di belakang mulut dan rongga hidung, yang dikenali sebagai farinks, dan anestesia bertindak sebagai pengendur otot yang menyebabkan tisu ini menghalang saluran udara sempit pada anjing ini.[71] Saluran udara sempit ini dapat mengurangkan keupayaan anjing berkenaan untuk sebetulnya bersenam dan meningkatkan kerentanannya terhadap strok haba.[71] Gangguan kongenital dan keturunan lain yang terdapat pada King Charles spaniel merupakan lidah tergantung, yang melibatkan kecacatan saraf yang menghalang lidah daripada ditarik balik ke dalam mulut; diabetes melitus, yang mungkin dikaitkan dengan katarak; sumbing lelangit dan hernia umbilikus.[72] English Toy Spaniel Club of America mengesyorkan agar hernia umbilikus dibetulkan hanya jika pembedahan lain diperlukan, kerana risiko pembedahan pada baka brakisefalik.[73] Dalam sebuah lagi kajian yang dijalankan oleh OFA, King Charles spaniel ialah yang ke-38 terburuk daripada 99 baka untuk kehelan tempurung lutut; daripada 75 ekor haiwan yang diuji, 4% didapati menghidap penyakit ini.[74] Walau bagaimanapun, tinjauan yang dijalankan oleh kelab baka Finland pada antara tahun 1988 dengan tahun 2007 mendapati bahawa kejadian adalah lebih tinggi pada sesetengah tahun, antara 5.3% hingga 50%.[61]

Terdapat beberapa trait baka yang mungkin menyebabkan kebimbangan sebagai isu kesihatan.[75] Ini termasuk isu tengkorak seperti fontanel terbuka, yang pada anjing muda melibatkan titik lembut pada tengkorak; ini umum pada anjing di bawah umur setahun. Komplikasi daripada keadaan itu ialah hidrosefalus, yang juga dikenali sebagai air di dalam otak. Keadaan ini boleh menyebabkan gejala neurologi yang memerlukan agar anjing berkenaan dieutanasia. Jari kaki bercantum, iaitu apabila dua atau lebih jari kaki anjing berkenaan bercantum bersama, mungkin kelihatan seperti isu kesihatan tetapi trait baka ini tidak perlu dibimbangkan.[73]

Mitos bandar[sunting | sunting sumber]

Legenda bandar mendakwa bahawa Charles II menitahkan dekri khas yang memberi King Charles spaniel keizinan untuk memasuki mana-mana pertubuhan di United Kingdom,[76][77] mengatasi peraturan "tiada anjing kecuali anjing pandu". Satu varian mitos ini berkaitan secara khusus dengan Dewan Parlimen.[78][79] Mitos ini kadang-kadang digunakan untuk cavalier King Charles spaniel.[80]

Tapak web Parlimen United Kingdom menyatakan: "Bertentangan dengan khabar angin popular, tiada Akta Parlimen yang merujuk King Charles spaniel yang diizinkan di mana-mana di Istana Westminster. Kami kerap ditanya pertanyaan ini dan telah menelitinya dengan menyeluruh."[78][tiada dalam ayat yang diberikan] Begitu juga, tiada bukti bahawa mana-mana undang-undang sedemikian meliputi United Kingdom yang lebih luas. Jurucakap untuk The Kennel Club berkata: "Undang-undang ini telah dipetik dari semasa ke semasa. Terdapat dakwaan dalam buku bahawa Raja Charles menitahkan dekri ini tetapi penyelidikan kami belum menjejakinya."[76]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: کيڠ چرلس سڤانيئل; bahasa Inggeris: King Charles spaniel
  2. ^ Jawi: سڤانيئل ماءينن ايڠݢريس; bahasa Inggeris: English toy spaniel

References[sunting | sunting sumber]

Spesifik
  1. ^ a b Hawks, Francis L.; Perry, Commodore Matthew C. (1856). Narrative of the Expedition of an American Squadron to the China Seas and Japan (dalam bahasa Inggeris). Washington, D.C., Amerika Syarikat: Beverley Tucker. m/s. 369.
  2. ^ a b Lytton (1911): hlm. 94
  3. ^ a b c Lytton (1911): hlm. 14
  4. ^ Cohen, Simona (2008). Animals as Disguised Symbols in Renaissance Art (dalam bahasa Inggeris). Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat: Brill. m/s. 137. ISBN 978-90-04-17101-5.
  5. ^ a b Lytton (1911): hlm. 15
  6. ^ a b Lytton (1911): hlm. 38
  7. ^ a b c d e Rice, Dan (2002). Small Dog Breeds (dalam bahasa Inggeris). Hauppauge, New York, Amerika Syarikat: Barron's Educational Series. m/s. 145–146. ISBN 978-0-7641-2095-4.
  8. ^ a b Lytton (1911): hlm. 16
  9. ^ a b Caius, John; Fleming, Abraham (1576) [1570]. De Canibus Britannicis (dalam bahasa Latin). London, United Kingdom: Richard Johnes. m/s. 6.
  10. ^ a b Shaw (1881): hlm. 162
  11. ^ Lytton (1911): hlm. 52
  12. ^ Pepys, Samuel (1893). Wheatley, Henry B. (penyunting). The Diary of Samuel Pepys M.A. F.R.S. . George Bell & Sons – melalui Wikisource.
  13. ^ a b Lytton (1911): hlm. 17
  14. ^ Walsh (1876): hlm. 667
  15. ^ Moffat (2006): hlm. 19
  16. ^ Lytton (1911): hlm. 19
  17. ^ Browning, William Ernst, penyunting (1910). The Poems of Jonathan Swift (dalam bahasa Inggeris). 1. London, United Kingdom: G. Bell and Sons. m/s. 288.
  18. ^ Hogarth, William (1833). Anecdotes (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: J.R. Nichols and Son. m/s. 374.
  19. ^ Bowon, Edgar Peter (2006). Best in Show : the Dog in Art from the Renaissance to Today (dalam bahasa Inggeris). New Haven, Connecticut, Amerika Syarikat: Yale University Press. m/s. 49. ISBN 978-0-89090-143-4.
  20. ^ Wood, John George (1862). Natural History Picture Book: Mammalia (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom; New York, New York, Amerika Syarikat: Routledge, Warne, and Routledge. m/s. 102.
  21. ^ Anderson, James (1800). Recreations in Agriculture, Natural–History, Arts, and Miscellaneous literature (dalam bahasa Inggeris). 2. London, United Kingdom: T. Bensley. m/s. 241.
  22. ^ a b c Shaw (1881): hlm. 163
  23. ^ a b c Shaw (1881): hlm. 164
  24. ^ Brown (1829): hlm. 295
  25. ^ Youatt (1852): hlm. 78
  26. ^ Brown (1829): hlm. 301
  27. ^ Hungerland, Jacklyn E. (2003). Papillions (dalam bahasa Inggeris). Hauppauge, New York, Amerika Syarikat: Barron's Educational Series. m/s. 6. ISBN 978-0-7641-2419-8.
  28. ^ Brown (1829): hlm. 302
  29. ^ Lytton (1911): hlm. 36
  30. ^ a b Lytton (1911): hlm. 40
  31. ^ a b "Gillie Sells for $1,000" (PDF). The New York Times (dalam bahasa Inggeris). 17 April 1896. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  32. ^ Diehl (1899): hlm. 39
  33. ^ Diehl (1899): hlm. 41
  34. ^ Diehl (1899): hlm. 42
  35. ^ a b Jackson, Frank (1990). Crufts: The Official History (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: Pelham Books. m/s. 116. ISBN 978-0-7207-1889-8.
  36. ^ a b c "English Toy Spaniel Did You Know?" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  37. ^ Diehl (1899): hlm. 38
  38. ^ Dalley, Jan (7 Januari 1996). "Grave Affairs". The Independent (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Februari 2024.
  39. ^ "Gladys, Duchess of Marlborough: the aristocrat with attitude". The Telegraph (dalam bahasa Inggeris). 7 Februari 2011.
  40. ^ Lytton (1911): hlm. 80
  41. ^ a b c d Coile (2008): hlm. 9
  42. ^ Moffat (2006): hlm. 23
  43. ^ "Princess Anne's 10th Birthday". The Herald (dalam bahasa Inggeris). Newsquest. 16 Ogos 1960. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  44. ^ Gilmore, Eddy (29 Ogos 1959). "Anne Happy, Phillip Miffed as Ike Leaves Family". Gadsden Times (dalam bahasa Inggeris). Roger Quinn. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  45. ^ "Queen, Looking Well, Goes To Palace". The Evening Times (dalam bahasa Inggeris). Newsquest. 18 Januari 1960. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  46. ^ a b Donnelly, Brian (16 September 2008). "Crufts Hit by 'Deformed' Breeds Row". The Herald (dalam bahasa Inggeris). Newsquest. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  47. ^ Sugden, Joanne (15 September 2008). "RSPCA Pulls Out of Crufts Over Breeding Row". The Times (dalam bahasa Inggeris). News Corporation. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  48. ^ Kiss, Jemima (12 Disember 2008). "BBC Suspends Coverage of Crufts Dog Show After Four Decades". The Guardian (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Februari 2024.
  49. ^ "AKC Dog Registration Statistics" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Mei 2012. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  50. ^ "Comparative Tables of Registrations For the Years 2001 – 2010 Inclusive" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 25 Mac 2012. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  51. ^ Hankins, Justine (19 Februari 2006). "The Dying Breeds". The Guardian (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Februari 2024.
  52. ^ a b c d e f g h Palika (2007): hlm. 232–233
  53. ^ "Animal Welfare Act: Seksyen 6", legislation.gov.uk (dalam bahasa Inggeris), Arkib Negara, 2006 c. 45    (s. 6), dicapai pada 6 Februari 2024
  54. ^ "Traditionally Docked Breeds" (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. 22 Julai 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Mac 2011. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  55. ^ a b Palika (2007): hlm. 190
  56. ^ "English Toy Spaniel" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Canadian Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 27 Mei 2011. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  57. ^ "King Charles Spaniel Breed Standard" (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Disember 2007. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Disember 2014. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  58. ^ "Breed and Class Results: King Charles Spaniel" (dalam bahasa Inggeris). DFS Crufts. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Ogos 2011. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  59. ^ "Breeds Nomenclature" (dalam bahasa Inggeris). Fédération Cynologique Internationale. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  60. ^ "Routuesittely" (dalam bahasa Finland). King Charlesin Spaniel r.y. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 April 2012. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  61. ^ a b c d "Kingcharlesinspanieli Jalostuksen tavoiteohjelma" (PDF) (dalam bahasa Finland). King Charlesin Spaniel r.y. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 24 April 2012. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  62. ^ Fleming, J.M.; Creevy K.E., Promislow, D.E.L. (2011). "Mortality in North American Dogs from 1984 to 2004: An Investigation into Age-, Size-, and Breed-Related Causes of Death". Journal of Veterinary Internal Medicine (dalam bahasa Inggeris). 25 (2): 187–198. doi:10.1111/j.1939-1676.2011.0695.x. ISSN 1939-1676. PMID 21352376.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  63. ^ Michell, A. R. (1999). "Longevity of British breeds of dog and its relationships with-sex, size, cardiovascular variables and disease". Veterinary Record (dalam bahasa Inggeris). 145 (22): 625–629. doi:10.1136/vr.145.22.625. PMID 10619607. S2CID 34557345. "n=22, median=10.1"
  64. ^ O’Neill, D. G.; Church, D. B.; McGreevy, P. D.; Thomson, P. C.; Brodbelt, D. C. (2013). "Longevity and mortality of owned dogs in England" (PDF). The Veterinary Journal (dalam bahasa Inggeris). 198 (3): 638–643. doi:10.1016/j.tvjl.2013.09.020. PMID 24206631. "n=26, median=12.0, IQR=10.0-14.2"
  65. ^ Gough, Alex (2010). Breed Predispositions to Disease in Dogs and Cats (dalam bahasa Inggeris). Chichester, United Kingdom: Wiley–Blackwell. m/s. 126. ISBN 978-1-4051-8078-8.
  66. ^ "Breed Health Concerns/Research Interests" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club Canine Health Foundation. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  67. ^ a b "Mitral Valve Disease" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club Canine Health Foundation. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Julai 2011. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  68. ^ a b "Patent Ductus Arteriosus" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club Canine Health Foundation. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Julai 2011. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  69. ^ "Cardiac Statistics" (dalam bahasa Inggeris). Orthopedic Foundation for Animals. Diarkibkan daripada yang asal pada 31 Ogos 2017. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  70. ^ Arden, Darleen (2006). Small Dogs, Big Hearts (dalam bahasa Inggeris). Hoboken, New Jersey, Amerika Syarikat: John Wiley & Sons. m/s. 175. ISBN 978-0-471-77963-6.
  71. ^ a b McKay, Scott Alan. "Brachycephalic Syndrome in Dogs and Cats" (dalam bahasa Inggeris). Peteducation.com. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  72. ^ "Disorders by Breed: King Charles Spaniel" (dalam bahasa Inggeris). Faculti Sains Veterinar, Universiti Sydney. 14 Julai 2010. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  73. ^ a b "Breed Pro" (dalam bahasa Inggeris). English Toy Spaniel Club of America. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Oktober 2011. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  74. ^ "Patella Luxation Statistics" (dalam bahasa Inggeris). Orthopedic Foundation for Animals. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 April 2013. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  75. ^ "Cavalier King Charles Spaniel Dog Breed Information". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Februari 2024.
  76. ^ a b "Shops centre ban for 'royal' dog". Manchester Evening News (Jan 2007) (dalam bahasa Inggeris). 17 Februari 2007. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  77. ^ "King Charles and a point of law". Dogcast Radio (dalam bahasa Inggeris).
  78. ^ a b "I want the act saying that King Charles spaniels have special rights in the Houses of Parliament". Parliament.uk (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Februari 2024.
  79. ^ "Feeding your small breed puppy". Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Jun 2016. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  80. ^ "Buchlyvie 513 OES". Buchlyvie chapter No 513 Order of The Eastern Star (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Julai 2019. Dicapai pada 6 Februari 2024.
Umum

Pautan luar[sunting | sunting sumber]