Klip video Lingam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Isu video Lingam (Star)

Isu klip video "Lingam" muncul pada 2002 tetapi menimbulkan kontroversi di Malaysia pada tahun 2007. Klip video ini dikatakan mengandungi perbualan telefon antara seorang peguam terkemuka, Datuk V.K. Lingam dan seorang hakim kanan bagi mengatur perlantikan hakim-hakim di Malaysia pada 2002.[1]

Gambar video ini tidak begitu jelas tetapi transkrip perbualan telah disiapkan. Kemungkinan video ini dirakam dengan telefon kamera 1.2 megapiksel. Klip video ini menjadi serius kerana cubaan mengatur pelantikan Ketua Hakim Negara dan lain-lain. Kredibiliti badan kehakiman akan dipersoalkan.

Menurut Kod Etika Kehakiman 1964, Peruntukan 3 (d), perbuatan melobi oleh seseorang hakim boleh mencemarkan nama baik Badan Kehakiman. Seseorang hakim tidak boleh berkelakuan tidak jujur sehingga mencemar nama Badan Kehakiman.

Memorandum Majlis Peguam[sunting | sunting sumber]

Majlis Peguam Malaysia amat mengambil berat isu ini kerana akan menjejaskan kredibiliti mereka sebagai peguam , dari peringkat atasan hingga bawahan. Pandangan Majlis Peguam Malaysia dihormati di peringkat tempatan malahan di peringkat antarabangsa.

Lantaran itu pada 27 September 2007, satu perarakan yang disertai 1500 peguam yang menjadi ahli Majlis Peguam Malaysia telah diadakan di Putrajaya. Mereka berarak sejauh 1.5 km dalam hujan lebat. Semua peguam ini berarak dari Istana Kehakiman ke Dataran Putra, Putrajaya. Perarakan ini diketuai oleh Ambiga Sreenavasan dan dipantau oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Tuntutan mereka ialah :

  • Menggesa agar suruhanjaya kehakiman bebas ditubuhkan bagi melantik para hakim.
  • Menggesa Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kebenaran klip video seorang peguam terkenal dikatakan mengatur pelantikan hakim-hakim di negara ini pada 2002 semasa Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Panel khas[sunting | sunting sumber]

Pada 27 September 2007, sebuah panel khas telah dibentuk oleh kerajaan terdiri dari bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohd Noor, aktivis masyarakat Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar.

Pada 6 November 2007, laporan penuh panel ini telah disiapkan.[2]

Pada 13 November 2007, Kabinet telah dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berhubung laporan panel khas itu.

Pada 14 November 2007, Kabinet Malaysia telah melantik 3 orang menteri untuk meneliti dari segi perundangan laporan panel khas yang dibentuk sebelum ini. Mereka ialah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad. Menteri-menteri ini dipilih kerana mempunyai latar belakang undang-undang.

Suruhanjaya Diraja[sunting | sunting sumber]

Pada 16 November 2007, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah bersetuju dengan cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja mengkaji pengesahan dan implikasi klip video "Lingam" ini terhadap kehakiman di Malaysia.

Suruhanjaya Diraja lebih sesuai kerana panel khas bebas terdahulu tidak mempunyai kuasa penuh dan menyeluruh. Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan mahu perlantikan hakim sebelum dan selepas 2002 hendaklah juga disiasat kerana mungkin ada kaitan dengan klip video tersebut agar semua pihak terutama peguam mendapat keadilan.

Ahli Suruhanjaya Diraja yang diperkenankan oleh Yang DiPertuan Agung ialah :

  1. Bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor
  2. Bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong
  3. Bekas Peguamcara Negara, Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh
  4. Dato' Mahadev Shankar
  5. Prof Emeritus, Khoo Kay Kim.

Prosiding Suruhanjaya Diraja klip video V.K Lingam bermula pada 15 Januari 2008 di Kompleks Mahkamah Persekutuan di Jalan Duta, Kuala Lumpur, Malaysia.

Pertikaian Keahlian Suruhanjaya[sunting | sunting sumber]

Keahlian suruhanjaya diraja ini dipertikaikan.Keanggotaan bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohamed Noor, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong dan bekas Peguamcara Negara Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh dibantah oleh peguam M.Puravelan yang mewakili Anwar Ibrahim. Bantahan ini ditolak kerana ahlu suruhanjaya telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Tan Sri Haidar Mohamed Noor dipertikaikan kerana merupakan pemegang amanah Yayasan Kepimpinan Perdana bersama bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan ahli perniagaan terkenal Tan Sri Vincent Tan . Nama Tan Sri Steve Shim Lip Kiong diperkatakan dalam perbualan klip video itu . Zaitun Zawiyah Puteh menjadi peguam pendakwa dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Vincent Tan pernah menyaman akhbar Wallstreet Jornal dan wartawannya Rafael Pura.Soal percutian bekas Ketua Hakim, Eusoff Chin dengan VK Lingam di New Zealand dan kes Vincent saman MGG Pillay dan ada tuduhan bahawa Lingam menulis penghakiman yang diberikan oleh hakim.[3]

Senarai saksi[sunting | sunting sumber]

Datuk Nordin Hassan mengemukakan 17 orang saksi termasuk :

Peguambela / peguam pemerhati[sunting | sunting sumber]

Peguam V.K. Lingam diwakili oleh R. Thayalan, Vincent Tan diwakili N. Ravikumar. Anwar Ibrahim, R. Sivarasa dan Sim Tze Tzin diwakili oleh M. Puravelan dan tiga lagi peguam.

Bekas ketua hakim negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim diwakili oleh Salehudin Saidin dan dua peguam. Bekas ketua hakim negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah diwakili oleh Khoo Huan Huat. Ahli perniagaan Loh Mui Fah diwakili oleh Americk Singh Sidhu.

Badan Peguam Malaysia diwakili oleh Robert Lazar, Yeo Yang Poh, Christopher Leong, Ranjit Singh dan Razlan Abdul . Tiga NGO iaitu Aliran, Hakam dan Suaram -- diwakili oleh Azahar Haron dan tiga lagi peguam.[5]

Saksi 1:Shahadan Mohd Yatim[sunting | sunting sumber]

Shahadan Mohd Yatim (53) merupakan pegawai BPR bahagian Risikan Ibu Pejabat BPR cawangan bantuan teknik. Beliau ditugaskan mengambil gambar foto menggunakan kamera digital di ruang tamu rumah peguam Datuk V.K Lingam di Petaling Jaya, Selangor pada 25 Disember 2007 ( Hari Krismas). 17 keping gambar telah diambil.

Antara gambar yang diambil yang menunjukkan mangkuk porselain di bilik tamu, tombol pintu, lampu candelier, bahagian siling dan kabinet bilik tamu dan bingkai gambar menunjukkan Lingam dan isterinya serta sofa.[6]

Saksi 2: Chuah Lay Choo[sunting | sunting sumber]

Chua Lay Choo (52) merupakan Penguasa Kanan Badan Pencegah Rasuh (BPR) .

Lokasi sebenar rakaman perbualan telefon itu adalah di rumah Datuk V.K Lingam. Buktinya 17 keping gambar yang diambil oleh jurukamera BPR dengan gambar dalam rakaman klip video adalah sama. Chua menerima klip video Lingam pada 19 Dis 2007 jam 10.30 pagi daripada Penguasa Wan Zulkifli Wan Jusoh dari Unit Forensik Komputer Ibu Pejabat BPR.

Pada 26 Disember 2007, Chua mengarahkan Wan Zulkifli menghantar CD klip video Lingam ke Cyber Security Malaysia bagi pengesahan ketulenan rakaman dan menerima kembali Cd itu pada 12 Januari 2008. Chua dibantu oleh Datuk Azmi Ariffin .

Saksi 3:Loh Mui Fah[sunting | sunting sumber]

Loh Mui Fah merupakan seorang ahli perniagaan perhutanan dan teknologi maklumat. Loh dan dan anak lelakinya Loh Gwo-Burne pergi ke rumah Lingam di Damansara untuk berbincang mengenai satu majlis yang akan diadakan pada 20 disember 2001. Beliau juga mendapatkan nasihat perundangan selain makan malam sempena perjumpaan akhir tahun.

Rakaman ini dibuat oleh anaknya Loh Gwo Burne. Ketika ini anaknya Loh Gwo Burnee bekerja di Shanghai, China dan akan pulang ke Malaysia jika diminta. Ketika rakaman itu dilakukan, Loh Gwo Burnee berusia 27 tahun. Kini berusia 30 tahun. Loh Mui Fah tidak tahu siapa yang mengedarkan klip video itu, sama ada anaknya atau pekerja syarikatnya.

Perbualan telefon antara Lingam dengan Datuk (Tun) Ahmad Fairuz Syeikh Abdul Halim amat jelas sekali kerana berada berhampiran dengannya di ruang tamu rumah. Lingam sendiri mengaku orang yang dilawan bercakap ialah Ahmad Fairuz yang ketika itu merupakan Hakim Besar Malaya.[7]

Pada Disember 2007, Loh Mui Fah telah menulis surat kepada Perdana Menteri Malaysia, Abdulah Ahmad Badawi yang menyatakan kesanggupannya tampil menjadi saksi.[8]

Loh Mui Fah juga mengaku lelaki Cina dalam klip video itu adalah dirinya. Lelaki India yang bercakap melalui telefon adalah V.K Lingam. [9]

Saksi 4: Wan Zulkifli Wan Jusoh[sunting | sunting sumber]

Wan Zulkifli Wan Jusoh merupakan Penguasa BPR di bahagian Forensik ibu pejabat BPR , Kuala Lumpur.

Pada 18 Disember 2007, Wan Zulkifli memuat turun klip video selama 14 minit dari laman web anwaribrahimblog.com ke dalam komputer dan pindahkan ke CD. CD itu diserahkan kepada Penguasa Kanan BPR, Chuah. Kemudian Chuah mengarahkan CD itu dihantar ke Cyber Security Malaysia pada 26 Disember 2007. Sebelum itu ,klip video 8 minit telah dihantar pada 11 Oktober 2007. [10]

Saksi 5: Mohd. Zabri Adil Talib[sunting | sunting sumber]

Mohd. Zabri Adil Talib (28) merupakan pakar forensik digital dari Cyber Security Malaysia. Lulusan Sarjana Muda Sains Komputer dari UTM . Beliau bertugas dengan Cyber Security Malaysia sejak Januari 2007. Beliau mendapat tauliah daripada Global International Assurance Certification sebagai Penganalisis Forensik Bertauliah .

Setelah mengkaji klip video selama 8 dan 14 minit itu, beliau mendapati klip video itu asli, bebas suntingan atau pertindihan imej (super impose). Suara Lingam sepadan dengan suara Lingam yang sebenar setelah membuat analisis audio dan visual di makmal biometrik agnition di Madrid, Sepanyol. Markah nisbah kebarangkalian ialah 185 dan ia cukup kuat untuk diterima di mahkamah.[11]

Zabri pergi ke Madrid diringi pegawai BPR Azam Baki , Penguasa BPR Putrajaya Wan Zulkifli Wan Jusoh dan Ketua Jabatan Forensik CyberSecurity Malaysia Aswami Fadillah Mohd Arifin.

Saksi 6:Tan Sri Samsudin Osman[sunting | sunting sumber]

Tan Sri Samsudin Osman (60) merupakan bekas Ketua Setiausaha Negara Malaysia. Kini beliau Presiden Perbadanan Putrajaya selepas bersara dari perkhidmatan awam.

Setelah disoal Pegawai Pengendali Datuk Nordin Hassan, beliau menafikan mengenali peguam bernama Datuk V.K Lingam .Keputusannya melantik Hakim Besar Malaya , Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Negara tidak dipengaruhi oleh V.K Lingam atau sesiapapun. Samsudin juga hanya melihat klip video Lingam menerusi televisyen sahaja. Pelantikan Tun Ahmad Fairuz sebagai Ketua Hakim Negara adalah mengikut dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Lazimnya Ketua Hakim Negara memberi senarai calon yang layak . Tugas Ketua Setiausaha Negara ialah mengetuai sekretariat yang mengendalikan proses pelantikan Ketua Hakim Negara , Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak dan Hakim Mahkamah Tinggi. Samsudin menjelaskan beliau tiada komunikasi lisan dengan bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah mengenai pelantikan hakim, termasuk cadangan pelantikan Tan Sri Abdul Malek Ahmad sebagai Hakim Besar Malaya.

Samsudin mengesahkan beliau sering berinteraksi dengan Tengku Adnan Tengku Mansor yang betika itu menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia.

Samsudin Osman juga mengenali tikon Tan Sri Vincent Tan kerana banyak berhubung dengan konglomerat tempatan dan asing .[12]

Saksi 9: Tun Dr Mahathir Mohamad[sunting | sunting sumber]

Tun Dr Mahathir Mohamad (84) merupakan Perdana Menteri Malaysia ke-4 ketika rakaman klip video Lingam dibuat iaitu pada 20 Disember 2001. Tun Dr Mahathir bersara pada 2003. Sepanjang tempoh 22 tahun beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia , pelbagai isu kontroversi berlaku tetapi berjaya ditangkis.

Peguam Tun Dr Mahathir ialah Engku Sofea Jewa , Datuk Dr Yaakob Hussein Merican dan Datuk N. Chandran.

Selaku Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berhak melantik sesiapa yang difikirkan sesuai dan layak tanpa mengambil kira pandangan sesiapa dan kemudian diajukan kepada Yang di-Pertuan Agong Malaysia untuk disahkan. Namun begitu, beliau menerima pelbagai pandangan dan pendapat daripada pegawai kerajaan , tokoh korporat dan lain-lain dalam perjumpaan sosial. Selain itu siasatan pasukan khas polis , peguam dan pegawai BPR jika sekiranya perlu demi kelancaran pentadbiran perundangan negara. Sebab musabab seseorang itu dilantik ke jawatan tertinggi tidaklah perlu dinyatakan dan beliau berhak berbuat demikian.

Beliau telah menerima surat cadangan daripada bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Zaiddin Abdullah yang mengemukakan 5 orang calon sebagai Ketua Hakim Negara. Calon pertama ialah Datuk Abdul Malek Ahmad dan calon ke-2 ialah Datuk Ahmad Fairuz . Dua nama calon iaitu Dr Andrew Chew dan Zainudin Ismail telah digugurkan kerana 'tidak sesuai'.[13]

Tun Dr Mahathir memang kenal rapat dengan Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun selaku tokoh korporat ternama di Malaysia. Sebaliknya Tun tidak kenal dengan peguam bernama Datuk V.K Lingam. Anehnya V.K Lingam dilantik sebagai peguam ketika berhadapan dengan kes saman oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Lantaran itu V.K Lingam pernah datang ke rumahnya semasa kes itu dibicarakan dan selepas rakaman video itu pada 2001.

Saksi 11: Tun Eusoff Chin[sunting | sunting sumber]

Tun Eusoff Chin merupakan bekas Ketua Hakim Negara dan dipanggil menjadi saksi oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja pada 18 Januari 2008 di Kompleks Mahkamah Persekutuan, Jalan Duta , Kuala Lumpur. Ketika video klip V.K Lingam pada 20 Disember 2001, beliau telah bersara dari jawatan Ketua Hakim Negara.

Semua butiran dalam transkrip video V.K Lingam dinafikannya. Beliau menafikan pernah berbincang dengan Tengku Adnan Tengku Mansor , Tan Sri Vincent Tan , Datuk V.K. Lingam bagi perlantikan Tun Ahmad Fairuz. Eusoff Chin juga tidak pernah ber'memo' dengan Dr Mahathir Mohamad dalam urusan perlantikan Tun Ahmad Fauruz.[14]

Saksi 12: V.K Lingam[sunting | sunting sumber]

V.K Lingam (57) merupakan peguam 2 kontroversi di Malaysia iaitu pada 1998 dan 2007. Beliau ternyata seorang yang hebat sehingga Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri melantik beliau sebagai peguam bela ketika berhadapan dengan saman Datuk Seri Anwar Ibrahim . Loh Mui Fah juga melantik beliau sebagai peguam.

Kenalan rapatnya terdiri daripada Tan Sri Vincent Tan, Tun Ahmad Fairuz, Tun Mohamad Eusof Chin , ahli perniagaan Loh Mui Fah dan lain-lain.

Antara 1995-1996 V.K Lingam , Tan Sri Vincent Tan dan bekas Peguam Negara , Tan Sri Mokhtar Abdullah dan keluarga masing-masing pernah bergambar ketika mereka bercuti di Sepanyol dan Maghribi. V.K Lingam pernah bersama dengan Tan Sri Vincent Tan ketika mengadakan lawatan keagamaan ke India.

Bagi V.K Lingam , Mokhtar Abdullah sekadar kawan biasa, tidak rapat. Mohtar Abdullah meninggal dunia pada 2003 akibat angin ahmar. V.K Lingam mula kenal rapat dengan Mohtar Abdullah pada 1994 ketika bertemu di Kelana Jaya.

V.K Lingam pernah bekerja dengan syarikat Berjaya Group of Companies sejak 1991. Syarikat ini milik konglomerat Tan Sri Vincent Tan. Tugasnya di Berjaya Group termasuklah mendraf perjanjian, khidmat nasihat dan mengenai perkara-perkara korporat. Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika itu ialah pengerusi eksekutif Berjaya Group.

Beliau merendah diri ketika dipanggil menjadi saksi oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja - tindakan yang ditelah . Beliau mengaku seorang pemabuk whisky dan brandy dan 'pelakon handalan tanpa skrip' serta boleh bercakap merapu. Watak Presiden Bush pun dia sanggup. Dalam klip video V.Lingam terdapat pelbagai botol wine di atas meja. Sementara di dinding rumanya dalam video itu terdapat potret Saibaba - sami Hindu yang tidak menyebelahi mana-mana pihak. Antara mereka berdua tidak pernah ada komunikasi telefon. [15]

V.K Lingam berpendirian bahawa "Saya kata ia kelihatan seperti saya dan tidak mengatakan ia bukan saya". Sebaliknya mengakui foto beliau bersama Eusoff Chin di New Zealand tahun 1994 memang sahih dirinya.[16]

Saksi 14:Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim[sunting | sunting sumber]

Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim {66}merupakan bekas Ketua Hakim Negara Malaysia dan namanya disebut dalam video klip V.K Lingam pada 20 Disember 2001. Beliau menjadi saksi ke-14 dalam perbicaraan di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri Malaysia , Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi - bukti ketelusan pimpinan Paklah.

Tun Ahmad Fairuz pernah bertugas sebagai Hakim Besar Malaya, Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Negara dan kenaikan pangkatnya tanpa lobi sesiapa. Pada 19 November 2007, setiausahanya memberitahu Ahmad Fairuz tentang kewujudan klip video V.K Lingam. Sumber itu diperolehi melalui laman web Malaysiakini bertajuk "Video Link CJ To Judge Fixing Scandal" dan "Transcript Of Lingam Connversation With Ahmad Fairuz". Surat penjelasan telah dihantar kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz). Baginya perbualan telefon V.K Lingam tohmahan semata-mata. Tiada keperluan baginya membuat laporan polis dan BPR dan terpulang kepada pihak lain berbuat demikian. Tindakan undang-undang seperti saman malu hanya selepas pasti dalang yang memfitnahnya. Selelas itu beliau tidak langsung menghubungi V.K Lingam kerana bimbang fitnah lain pula muncul.[17]

Sepatutnya V.K Lingam boleh diberi surat tunjuk sebab kerana menghina mahkamah atas dakwaan membuat kenyataan tidak benar dan menimbulkan skandal dalam badan kehakiman. Tetapi Tun Ahmad Fairuz tidak berbuat demikian kerana perkara itu sedang disiasat oleh BPR samada video itu tulen atau hanyalah rekaan.[18]

Saksi 15: Tan Sri Vincent Tan[sunting | sunting sumber]

Ahli perniagaan terkemuka Malaysia Tan Sri Vincent Tan mempunyai pelbagai perniagaan besar di Malaysia yang bernama Berjaya Group.

Tan Sri Vincent Tan berterima kasih kepada Dr Mahathir Mohamad kerana mengakui beliau sebagai rakan baiknya. Vincent Tan mula rapat dengan Dr Mahathir Mohamad pada 1980-an ketika menubuhkan perniagaan francais McDonald - rsstoran makanan segera.[19]

Tan Sri Vincent Tan mengakui pernah berjumpa dengan Tun Ahmad Fairuz dan menyapanya.Tan Sri Vincent Tan juga mengenali Tengku Adnan Tengku Mansor aebagai rakan perniagaan. Kemudian beliau melantik Tengku Adnan menjadi pengarah dan pengerusi anak syarikat Berjaya.

Tan Sri Vincent Tan menafikan mempengaruhi Dr Mahathir berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara sebagaimana dakwaan dalam klip video itu. Beliau bukan seorang yang berpengaruh. Jika banyak pengaruh tentu banyak dapat projek, tetapi tidak.[20]

Saksi 16: Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah[sunting | sunting sumber]

Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah menjadi saksi Suruhanjaya Siasatan Diraja pada 28 Disember 2008. Beliau merupakan bekas Ketua Hakim Negara.

Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah hanya tidak menyukai Tun Eusoff Chin (Ketua Hakim ke-8), bukan membencinya. Tun Eusoff Chin adalah ketuanya. Antara sebabnya ialah mengenai geran Tan Sri kepada dirinya( Dzaiddin Abdullah) dan menunggu 7 tahun untuk mendaatkan gelaran itu tanpa sebarang penjelasan. Hanya pada tahun 2000 beliau dianugerah gelaran Tan Sri.[21]

Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah menjadi hakim selama 28 tahun dan pada 1993 menjadi Hakim Mahkamah Agung. V.K Lingam sekali-sekala hadir dalam kes rayuan.

Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah pernah menghantar 5 nama kepada Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia dalam pelantikan hakim Mahkamah Tinggi. Dr Mahathir Mohamad setuju dengan nama Datuk Heliliah Mohd Yusof, Datuk Ramli Ali, Datuk Ahmad Ma'arop tetapi menolak nama Dr Andrew Chew dan Zainuddin Ismail . Tun Mohamad Dzaiddin tidak tahu punca Dr Andrew Chew dan Zainuddin Ismail ditolak kerana membantah pelantikan Tun Ahmad Fairuz dan Tan Sri Mokhtar Abdullah.

Tun Mohamad Dzaiddin mengakui pernah mencalonkan Tan Sri Abdul Malek Ahmad sebagai Hakim Besar Malaya. Beliau tidak mengetahui pencalonan Malek ditolak kerana beliau (Malek) dikatakan anti PM.[22]

Saksi 17:Thirunama Karasu[sunting | sunting sumber]

Thirunama Karasu ialah adik kepada peguam Datuk V.K Lingam. Suruhanjaya Siasatan Diraja akhirnya terpaksa setuju memanggil beliau sebagai saksi kerana keterangannya mungkin relevan. Peguam Wee Choo Keong bertindak sebagai peguam kepada Thirunama Karasu.

Pada 4 Februari 2008, Thirunama menegaskan bahawa dia pasti dirinya 110 peratus siuman serta tidak pernah menerima sebarang rawatan psikiatri sebagaimana yang didakwa oleh abangnya, Datuk V. K. Lingam.[23]Beliau juga pernah diarah oleh Datuk V. K. Lingam, abang kandungnya, untuk menghantar pelbagai hadiah termasuk tiga mangkuk sup ke rumah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd. Eusoff Chin pada 1995 dan 1996. Thirunama turut mengesahkan bahawa dia diberi tanggungjawab oleh Lingam mencari dua bidang tanah untuk dihadiahkan kepada Eusoff pada 1995.

Jelasnya, Lingam menyuruh dia berbuat demikian selepas Eusoff tidak berkenan dengan rumah yang ingin dihadiahkan kepadanya serta mahukan tanah lebih besar untuk membina rumah mengikut citarasanya sendiri.

Ditanya oleh Choo Keong bagaimana dia mengetahui bahawa Eusoff kurang menyukai rumah milik Lingam di alamat No. 2, SS1/38, Kampung Tunku, Petaling Jaya dekat sini, juruelektrik itu memberitahu dia terdengar perbualan mereka. 'Saya terdengar Eusoff kata kawasan rumah itu besar tapi ia terletak dekat dengan jalan besar dan bimbang anak- anak akan dilanggar oleh kenderaan yang lalu lalang.

Saya cadangkan pada Eusoff agar pasang dua pintu pagar automatik, satu untuk masuk dan satu untuk keluar. Beliau tersenyum dan berkata, ia cadangan yang baik, ujarnya.

Berikutan itu, kata Thirunama, dia terdengar Lingam berkata: Kalau Tun tidak suka, kami akan cari tanah yang lebih besar untuk bina rumah mengikut cita rasa Tun.

Selepas diarah oleh Lingam, dia menghubungi kawannya, P. M. Vijendran yang bekerja di Reapfields Sdn. Bhd. dan memberitahu abangnya, Datuk Sivaparanjothi dan Panjararatnam untuk mencari dua bidang tanah.

Jelasnya, walau mereka berjaya mendapatkan lot yang sesuai di SS7, Petaling Jaya, dekat sini, dia tidak pasti sama ada Lingam membeli tanah itu atau tidak.

Menurut Thirunama, sekitar Oktober 1995, dia diarah untuk membawa kunci rumah tersebut dan menaiki kereta BMW dengan nombor pendaftaran WDV 788 ke sana.

Jelasnya, Lingam memberitahu kereta kalis peluru yang dinaiki itu kepunyaan ahli perniagaan terkemuka, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun sementara Eusoff dan isteri mengekori mereka dengan kereta Mercedes.

Di samping itu, Thirunama mendakwa pernah bercakap dengan Eusoff sebanyak empat kali termasuk semasa dia menjawab telefon bimbit Lingam yang ketika itu sedang sibuk.

Dia turut mendakwa Eusoff dan isteri pernah berkunjung ke rumah abangnya untuk makan malam bersama-sama bekas Presiden Mahkamah Rayuan pertama, Tan Sri Lamin Yunus dan mengucapkan selamat jalan kepada Lingam dan isteri yang akan berlepas ke Amerika Syarikat.

Saksi 18:Jayanti L. Govindarajulu Naidu[sunting | sunting sumber]

Jayanti L. Govindarajulu Naidu merupakan bekas setiausaha V.K. Lingam turut mengaku menguruskan tempahan tiket penerbangan keluarga Lingam dan Eusoff melalui agensi pelancongan, Holiday Tours & Travel Sdn. Bhd. Beliau mendakwa diarahkan oleh Lingam supaya menempah tiket penerbangan dua hala yang berasingan bagi keluarga Eusoff dari Kuala Lumpur ke Singapura, iaitu berbeza waktu selama setengah jam pada Disember 1994. Merujuk kepada bukti salinan jadual perjalanan yang tertera nama "Jeyanthi", saksi berkata, nama itu adalah merujuk kepada dirinya.

"Saya sendiri yang menerima faksimili dokumen itu. Pada 20 Disember 1994, saya terima semua tiket penerbangan bertarikh 22 Disember dan 30 Disember bagi kedua-dua keluarga itu," katanya.

Jayanti berkata, Lingam mengarahkannya menyiapkan jadual perjalanan di New Zealand bagi tiket penerbangan domestik yang dibeli secara berasingan di sana. Katanya, ia membabitkan tiket penerbangan bagi keluarga Lingam dan Eusoff menyebabkan beliau menyediakan jadual perjalanan itu sekali gus yang ditaip pada sekeping kertas.

"Seingat saya, semua tiket itu dibayar oleh Lingam. Jadual perjalanan yang saya siapkan itu adalah bagi tujuan rekod, mungkin urusan perakaunan," katanya.

Jayanti berkata, Lingam turut menyerahkan tiga gulung filem mengandungi gambar-gambar percutian di New Zealand untuk dicuci. Katanya, bekas majikannya hanya mengambil semula dua gulung filem manakala segulung lagi disimpan olehnya (Jayanti). "Lingam juga menyerahkan tiket penerbangan ke New Zealand dan saya simpan sehinggalah saya serah kepada peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah," ujarnya. Beliau berkata, sebelum berhenti kerja, peguam W. Satchithanandan berpesan supaya beliau menyimpan semua dokumen itu untuk keselamatan dirinya pada masa depan.Katanya, Satchithanandan berpesan supaya beliau berwaspada kerana Lingam adalah seorang yang berbahaya dan berdendam. Jayanti berkata, semasa masih bekerja di V.K. Lingam & Co., beliau memperoleh gambar Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun bersama bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah dan Lingam bersama isteri masing-masing. "Saya juga mengambil salinan foto cek Bank of Nova Scotia bagi bayaran kepada Holiday Tours. Saya serahkan gambar kepada Muhammad Shafee," katanya. Beliau berkata, salinan cek tersebut diserahkan sama ada kepada Muhammad Shafee, peguam Tommy Thomas atau Badan Pencegah Rasuah (BPR). Katanya, pada Jun atau Julai 1998, beliau memberi keterangan penuh kepada BPR berhubung perkara tersebut melalui pegawai penyiasat Abdul Razak Idris dan penolongnya.

Menerima wang daripada BPR[sunting | sunting sumber]

Beliau berkata bahawa beliau menerima wang tunai itu tiga bulan selepas membuat laporan kepada BPR mengenai urusan bekas majikannya dengan hakim-hakim daripada pegawai penyiasat kes tersebut iaitu Wong Chee Kong pada April 1998. "Tiga bulan kemudian, BPR memberitahu saya bahawa kes itu ditutup kerana ia melibatkan ramai pegawai kerajaan berpangkat tinggi. "Saya diberi ganjaran RM3,000 dalam bentuk tunai. Saya ambil wang itu," katanya ketika memberi keterangan pada hari ke-15 prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja Klip Video di sini, hari ini. Menjawab soalan Rayer sama ada wang itu adalah satu ganjaran atau bertujuan menutup mulutnya, Jayanti berkata, beliau tidak diberitahu maksud pemberian wang itu. Ketika disoal peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah kemudian, saksi mengakui ada alat perhubungan interkom secara terus dari pejabat Lingam dengan ahli korporat, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun. Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor tersenyum mendengar jawapan itu lalu mencelah sama ada soalan itu bertujuan membuktikan hubungan rapat antara Lingam dan Vincent Tan. Galeri awam tergelak besar apabila Haidar berulang kali menyebut closeness, closeness, closeness - hubungan rapat. Menjawab soalan lain, Jayanti berkata, Vincent Tan ialah orang penting di belakang Kumpulan Berjaya dan juga memiliki syarikat Mutiara Telecommunications iaitu pengendali talian telefon selular 016 pada ketika itu. Dalam pada itu, Jayanti turut memberitahu bahawa peguam W. Satchithanandan merungut kepadanya berhubung keputusan Lingam yang tidak mencadangkan namanya sebagai Pesuruhjaya Kehakiman. Menceritakan mengenai perkara itu, saksi berkata, Satchithanandan memberitahu dia kecewa apabila Lingam menamakan Datuk K.L. Rekhraj sebagai Pesuruhjaya Kehakiman. "Selepas saya berhenti kerja dengan Lingam, saya pergi ke Pulau Pinang dan terserempak dengan Satchithanandan yang memberitahu saya mengenai perkara itu," ujarnya. Menjawab satu lagi soalan Muhammad Shafee, Jayanti berkata, Satchithanandan menelefonnya untuk bertanya sebab beliau (Jayanti) menyebut namanya (Satchithanandan) dalam kenyataan kepada BPR. "Dia telefon dan tanya kenapa saya sebut namanya dalam laporan saya. Dia beritahu bahawa Lingam berjaya memperoleh kenyataan yang saya berikan kepada BPR," katanya. Menceritakan sebab beliau berhenti kerja dengan Lingam, Jayanti berkata, beliau dituduh mencuri sijil saham Kumpulan Berjaya bernilai RM1 juta milik Lingam. Katanya, selain menjalankan tugas sebagai setiausaha, beliau turut mengendalikan urusan saham Lingam dengan menghantar sijil saham ke firma sekuriti, dua tingkat di bawah pejabatnya. Katanya, saham itu tidak dapat dikesan namun dua minggu kemudian, Lingam menghubunginya dan memberitahu bahawa sijil saham tersebut telah ditemui. "Beliau membuat tawaran agar saya terus bekerja dengan beliau tetapi saya memilih untuk berhenti kerja. Saya menghantar notis dan Lingam menerimanya," kata beliau. Jayanti juga menyatakan beliau sering membuat pengeluaran wang tunai dalam jumlah besar bagi pihak Lingam tetapi tidak pernah menyerahkan wang tersebut kepada mana-mana individu.

Saksi 20:D. Ramachandran[sunting | sunting sumber]

Bekas pemandu V.K.Lingam, D. Ramachandran mengesahkan perkara itu semasa ditanya oleh peguam Wee Choo Keong yang mewakili adik Lingam, V. K. Thirunama.

Saksi 21:Tan Sri Dr. M. Mahadevan[sunting | sunting sumber]

Pakar Psikiatrik, Tan Sri M. Mahadevan memberitahu Suruhanjaya Diraja Siasatan Klip Video hari ini bahawa adik Datuk V. K. Lingam, Thirunama menghadapi masalah kecelaruan personaliti.[24] Menurut Mahadevan, 78, beliau membuat kesimpulan itu berdasarkan pemerhatian serta pengakuan yang ditulis sendiri oleh Thirunama mengenai masalah-masalah yang dihadapinya. Beliau yang merupakan saksi ke-21 dan terakhir bagi suruhanjaya itu mengaku Thirunama tidak mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri. Mahadevan bagaimanapun menjelaskan, ia hanya salah satu daripada simptom kecelaruan personaliti selain rasa tidak berguna, sedih dan rasa tidak ketentuan dan lain-lain yang dialami oleh Thirunama.

Semasa disoal oleh peguam yang mewakili Lingam, R. Thayalan dan Christopher Leong yang mewakili Badan Peguam Malaysia, Mahadevan tidak merujuk kes Thirunama secara spesifik.

Beliau sebaliknya kerap memberi pandangan secara umum bagi penyakit tersebut berdasarkan simptom-simptom yang ada pada Thirunama.

Dalam masa yang sama, Mahadevan mengaku mengeluarkan kenyataan bahawa "Thirunama tidak gila, tetapi berperangai teruk (you are bad, not mad)".

Sementara itu, menjawab pertanyaan ahli suruhanjaya, Datuk Mahadev Shankar, Mahadevan mengaku bahawa seseorang yang tidak ada kecelaruan personaliti boleh mengada-adakan cerita agar dikata mempunyai masalah tersebut.

Agak mengejutkan semua yang hadir hari ini apabila pakar psikiatrik itu memberitahu tiada siapa yang membayar bil Thirunama kerana rawatan itu diberi secara percuma

Robert Amirtharaj Lazar[sunting | sunting sumber]

Robert Amirtharaj Lazar (51) merupakan peguam mewakili Badan Peguam Malaysia. Beliau juga rakan kongsi firma guaman Shearn, Delamore & Co.

Robert Lazar menuduh V.K. Lingam mahu memalukannya dengan menuduh Robert Lazar pernah meminta jasa baiknya mengatur pelantikannya sebaga Hakim Mahkamah Rayuan pada 2000. [25]

Peranan Anwar Ibrahim[sunting | sunting sumber]

Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai tokoh yang mendedahkan 2 siri klip video V.K Lingam tetapi Suruhanjaya Siasatan Diraja memutuskan kesaksiannya tidak relevan. Beliau tidak perlu dipanggil memberi apa-apa keterangan. Pada 28 Januari 2008 Anwar Ibrahim mendedahkan transkrip ke-3 iaitu lanjutan klip video V.K Lingam, yang baru diperolehinya sekembali dari Hong Kong. Peguam bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah M.Puravelan.

Suruhanjaya juga memutuskan tidak akan memangil Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R. Sivarasarasiah. Dua saksi pakar video dan audio dari United Kingdom dan Amerika Syarikat yang diupah oleh V.K Lingam juga tidak dipanggil.

Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja, Tan Sri Haidar Mohamed Noor pernah naik angin dengan tingkah laku peguam, Wee Choo Keong.[26]

Laporan akhir inkuiri[sunting | sunting sumber]

Pada 9 Mei 2008 Tan Sri Haidar Mohamed Noor, Pengerusi Suruhanjaya Diraja Siasatan Klip Video V.K. Lingam menyatakan laporan akhir telah siap dan diserahkan kepada Sultan Mizan selaku Yang Di Pertuan Agung. Penyerahan laporan itu disaksikan oleh 4 anggota suruhanjaya iaitu bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, bekas Peguamcara Negara Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh dan pakar sejarah Prof Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim.

Suruhanjaya Diraja 5 orang itu dibentuk bagi menyiasat klip video 14 minit. 21 saksi dipanggil termasuk bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad. 3 orang ketua hakim negara turut dipanggil memberi keterangan. Klip video itu menunjukkan seorang peguam India mampu mengatur perlantikan hakim hanya melalui perbualan telefon dan pakej perlancongan ke luar negara.

Setiausaha Suruhanjaya Diraja , Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, yang juga Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri, akan menyerahkan laporan itu kepada Perdana Menteri Malaysia , Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Laporan itu hanya setebal 186 halaman dan hanya Perdana Menteri Malaysia boleh menentukan ia boleh didedahkan kepada umum atau tidak.[27]

Salah seorang saksi dalam kes pita Lingam, Dr Mahathir Mohamad, mendakwa tujuan video Lingam adalah peras ugut dan menjatuhkan kredibiliti beliau dan peguam bela beliau dalam kes saman Anwar Ibrahim yang kebetulan adalah Lingam.[28]

Laporan Suruhanjaya diraja yang menyiasat skandal klip video Lingam mengesyorkan supaya mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan lima orang lagi, disiasat berhubung peranan mereka dalam pelantikan hakim-hakim. Lima yang lainnya ialah bekas ketua hakim negara - Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Eusoff Chin - peguam kanan Datuk VK Lingam; bekas menteri di jabatan perdana menteri, Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga setiausaha agung Umno serta ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan. Suruhanjaya itu mengesyorkan supaya mereka disiasat di bawa Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi (OSA), Kanun Keseksaan dan kerana menghalang proses keadilan[29]

Implikasi besar[sunting | sunting sumber]

Kes ini antara punca kekalahan besar parti Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 pada 8 Mac 2008. Perubahan tarikh penyerahan laporan ditunda dari 11 Mac kepada dua bulan kemudian dan sepatutnya berakhir pada 10 Mei 2008.

Perakam video klip ini yang bekerja di Hong Kong telah menjadi ahli politik bidan terjun kerana menjadi calon Parti Keadilan Rakyat tanpa perlu kempen hebat-hebat . Beliau , Gwo-Burne Loh menang besar di parlimen Kelana Jaya.

Hakim / peguam bukanlah insan kamil , pakar undang-undang yang diutus untuk menghakimi kita tanpa ragu. Setiap pesalah mesti pasang peguam dan mungkin boleh bebas. Sejarah lampau hakim mesti diselidik. Laporan hakim tidak semestinya tulen dan kredibiliti. Kemahiran undang-undang mudah dimanipulasi untuk kepentingan sendiri.

Kredibiliti ketua hakim negara merosot sejak sekian lama, apatah lagi para peguam. Dalam ceramah di Semenyih, Anwar Ibrahim menekankan betapa judi boleh mencatur masa depan negara.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengubah tatacara perlantikan ketua hakim negara. Tun Salleh Abas telah diberi exgratia atas jasa-jasa lampau beliau.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Suruhanjaya diraja ditubuh siasat kes klip video
  2. ^ http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=296474
  3. ^ http://www.harakahdaily.net/bm/index.php/utama/kehadiran-mahathir-akan-hangatkan-siasatan-pita-lingam-mahfuz.html
  4. ^ http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=307844
  5. ^ http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=307709
  6. ^ http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=307816
  7. ^ http://www.agendadaily.com/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_1b63fcca-cabec5bb-154de0b0-d08a5a1a
  8. ^ http://www.harakahdaily.net/bm/index.php/utama/kehadiran-mahathir-akan-hangatkan-siasatan-pita-lingam-mahfuz.html
  9. ^ http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_09.htm
  10. ^ http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=308081
  11. ^ http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_12.htm
  12. ^ http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=308164
  13. ^ http://agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_83860dc1-cabec5bb-7c789400-15053ef2
  14. ^ [1] [Saya Tidak Terbabit Dalam Proses Lantikan Ahmad Fairuz, Kata Eusoff ]
  15. ^ [2] Beliau Bukan Ahmad Fairuz, Kata Lingam
  16. ^ [3] "Saya Boleh Berlagak Bercakap Dengan Presiden Bush Jika Mahu," Kata Lingam
  17. ^ [4] Perbualan Dalam Klip Video Adalah Fitnah, Kata Fairuz
  18. ^ [5] Ahmad Fairuz tidak minta Lingam berikan surat tunjuk sebab
  19. ^ [6]Dr Mahathir adalah kawan saya, kata Vincent Tan
  20. ^ [7] Dr Mahathir Adalah Kawan Saya, Kata Vincent Tan
  21. ^ [8]‘Saya cuma tidak suka Eusoff Chin’
  22. ^ [9] Saya Tidak Benci Eusoff Chin, Saya Hanya Tidak Suka Beliau - Dzaiddin
  23. ^ "``Saya 110 peratus siuman’’ - adik Lingam", Utusan Malaysia, 5 Februari 2008.
  24. ^ Thirunama bermasalah kecelaruan personaliti
  25. ^ Dakwaan Lingam bohong semata-mata - Robert Lazar
  26. ^ "Haidar berang tingkah laku Choo Keong", Utusan Malaysia. 23 Januari 2008
  27. ^ Laporan Inkuiri Klip Video Lingam Perlu Didedahkan Kepada Umum, Kata Haidar
  28. ^ Mahathir: Video Lingam untuk 'peras ugut', Malaysiakini, 11 Mei 2008
  29. ^ Suruhanjaya syor Dr M dan 5 lagi disiasat, Malaysiakini, 16 Mei 2008