Kongres Rakyat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kongres Rakyat
"Membina Malaysia Sejahtera"
Maklumat
Tarikh: 12 September 2015
Tempat: Shah Alam, Selangor, Malaysia
Peserta: Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO),
Parti Politik dan
Individu Perseorangan.

Kongres Rakyat adalah sebuah platform rakyat Malaysia bagi mencari formula dan pelan tindakan untuk menghadapi masalah yang membelenggu rakyat. Matlamat kongres ini adalah menjadi medium dan platform persidangan rakyat mengemukakan usul, memberi idea, berbincang mencari formula penyelesaian dan merangka Pelan Tindakan Rakyat jangka pendek dan jangka panjang untuk menangani segala permasaalahan yang melanda negara dan menghimpit rakyat.

Kongres ini dianjurkan oleh Sekretariat Kongres Rakyat yang dipengerusikan oleh Cikgu Azmi Abdul Hamid.

Persidangan Pertama[sunting | sunting sumber]

Persidangan Kongres Rakyat kali pertama yang dihadiri oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan individu perseorangan telah diadakan pada 12 September 2015 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Selangor. Persidangan telah diketuai oleh Speaker Kongres Rakyat Nasional, Saudara Mustaffa Kamil Ayub dari Parti Keadilan Rakyat.

Resolusi Persidangan Pertama[sunting | sunting sumber]

Sekretariat telah mengeluarkan Pengisytiharan Kongres Rakyat sebagai resolusi persidangan pertama. Kongres Rakyat bertemakan Membina Malaysia Sejahtera mengisytiharkan:

  1. Bersatu untuk membentuk sebuah Malaysia yang makmur dalam kerangka integrasi nasional dan bersama-sama menggembelingkan tenaga bagi menangani krisis yang sedang melanda negara.
  2. Bertindak menyedarkan rakyat ke arah mengembalikan semula tunjang-tunjang sistem ketatanegaraan yang adil dan saksama melalui kerangka Perlembagaan Persekutuan dan mengkaji semula semua undang-undang yang memeras rakyat.
  3. Bertindak mewujudkan amalan politik yang tulus dan telus seterusnya mengawal kegiatan politik dan perilaku ahli-ahli politik agar tidak menggugat kestabilan dan keharmonian negara.
  4. Menjadikan agenda pendidikan sebagai wahana terpenting ke arah memupuk kesedaran rakyat dalam membuat perubahan sosial, ekonomi dan politik, demi mengelakkan pendekatan yang boleh menghuru-harakan negara.
  5. Berusaha sedaya upaya membela golongan rakyat yang terpinggir dari arus pembangunan seperti golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, wanita, pekebun kecil, golongan miskin, golongan yang tidak mampu bekerjaya dan lain-lain.
  6. Bertindak mendesak kerajaan mengembalikan sistem pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman bagi menjamin integriti dan ketelusan dalam urus tadbir negara.
  7. Bertindak untuk menggesa kerajaan supaya diwujudkan segera satu badan perunding ekonomi negara yang lebih inklusif, mewakili semua golongan rakyat dan bebas dari pengaruh mana-mana pihak demi untuk menangani krisis ekonomi yang sedang berlaku.

Kongres Rakyat telah mengumumkan pembentukan satu Jawatankuasa Penggubal Pelan Tindakan Rakyat yang akan dipengerusikan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kongres, dan diuruskan oleh sekretariat.

Persidangan Kedua[sunting | sunting sumber]

Persidangan Kongres Rakyat kali kedua bersifat lokal yang dihadiri oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan individu perseorangan telah diadakan pada 3 Disember 2015 di Kompleks Pengajian Darul Hadis, Tok Keling, Kedah. Persidangan telah diketuai oleh Speaker Kongres Rakyat Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail dari Parti Islam Se-Malaysia yang merupakan mantan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah.

Resolusi Persidangan Kedua[sunting | sunting sumber]

Sekretariat telah mengeluarkan resolusi persidangan kedua bertemakan Membina Kedah Sejahtera mengisytiharkan:

  1. Berusaha mewujudkan masyarakat bertamadun dan berakhlak yang berteraskan pegangan agama, mendokong keluhuran nilai-nilai murni serta mengutamakan keharmonian antara rakyat dari pelbagai etnik dan pegangan agama.
  2. Bertekad membina Negeri Kedah Darul Aman yang mengutamakan kesejahteraan rakyat melalui pengemblengan dan gerakan kesedaran rakyat dari segenap lapisan; dari golongan masyarakat bawahan hinggalah pemimpin kerajaan, agar melaksanakan dasar pembangunan yang betul bagi menjayakan cita-cita Membina Kedah Sejahtera.
  3. Menjadikan agenda pendidikan sebagai wahana terpenting ke arah memupuk kesedaran rakyat kearah perubahan sosial, ekonomi dan politik yang adil, partisipatif dan demokratik serta mendidik rakyat agar mengelak pendekatan yang boleh menimbulkan suasana kucar kacir dan tidak harmonis di negeri Kedah.
  4. Bertindak mewujudkan amalan dan budaya berpolitik yang telus dan tulus, mengutamakan kepentingan rakyat dan membina politik yang sihat. Kongres Rakyat menekankan agar wujud ahli-ahli politik yang beramanah, berakhlak, berintegriti serta mengutamakan kepentingan rakyat.
  5. Berusaha membela masyarakat terbanyak di negeri ini yang terdiri dari golongan petani, penoreh getah, pekerja dan nelayan. Kongres juga memberi perhatian terhadap pembelaan hak dan tanggungjawab kepada masyarakat minoriti demi melahirkan negeri Kedah yang menegakan keadilan untuk semua.
  6. Memberi pembelaan dan bantuan sewajarnya terhadap golongan terpinggir, kurang berkemampuan atau hilang upaya seperti OKU, fakir, miskin, warga emas, ibu tunggal dan anak yatim.
  7. Memastikan agar sumber negeri Kedah diurus dengan berkesan, menghindari pembangunan yang menjejaskan kualiti alam sekitar, mengekalkan daya saing dan daya maju ekonomi negeri Kedah dengan mapan untuk generasi kini dengan erasi masa depan.
  8. Bertindak untuk mendesak Kerajaan Negeri dan Persekutuan berperanan dengan berkesan mentadbir urus negeri Kedah dengan amanah dan berintegriti demi kebajikan rakyat; serta mengekang segala amalan rasuah, salahguna kuasa dan pembaziran wang awam, menghentikan sebarang tindakan yang menyusahkan rakyat seperti pelaksanaan GST untuk semua golongan, menandatangani TPPA yang menggadai kedaulatan negara, menaikkan tol, cukai tanah dan pelbagai bayaran perkhidmatan awam yang membebankan kos sara hidup rakyat.
  9. Mengkaji, meneliti dan menghalusi semua tuntutan yang disuarakan dalam Kongres Rakyat Negeri Kedah; seterusnya merumuskan sebuah Pelan Tindakan Rakyat Kedah yang akan dideklarasikan pada 1 Januari 2016.

Persidangan Ketiga[sunting | sunting sumber]

Persidangan Kongres Rakyat kali ketiga bersifat lokal yang dihadiri oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan individu perseorangan telah diadakan pada 21 Februari 2016 di Yayasan An-Nahdhoh, Pulau Pinang. Persidangan telah diketuai oleh Speaker Kongres Rakyat Pulau Pinang, Saudara Norazman Ishak dari NGO Yayasan Amal Malaysia cawangan Pulau Pinang.

Resolusi Persidangan Ketiga[sunting | sunting sumber]

Sekretariat telah mengeluarkan resolusi persidangan ketiga bertemakan Membina Pulau Pinang Sejahtera mengisytiharkan[1]:

  1. Bertekad membina Negeri Pulau Pinang yang mengutamakan kesejahteraan rakyat melalui pengemblengan dan gerakan kesedaran rakyat melibatkan seluruh lapisan, dari golongan masyarakat bawahan hinggalah pemimpin kerajaan, agar melaksanakan dasar pembangunan yang betul bagi menjayakan cita-cita Membina Pulau Pinang Sejahtera.
  2. Menjadikan agenda pendidikan sebagai isu terpenting untuk memupuk kesedaran rakyat ke arah perubahan sosial, ekonomi dan politik yang adil, partisipatif dan demokratik serta mendidik rakyat agar mengelak pendekatan yang boleh menimbulkan suasana kucar kacir dan tidak harmonis di negeri Pulau Pinang.
  3. Memperkasa dan mengangkat peranan wanita dalam pelbagai sektor yang boleh membantu golongan ini membangunkan potensi yang ada dalam diri mereka serta memperketatkan undang-undang agar wanita tidak dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
  4. Bertindak menitikberatkan kebajikan rakyat dari sudut ekonomi dan pendidikan kepada semua kaum serta menyediakan program-program kemasyarakatan dengan memberi fokus kepada permasalahan sosial. Selain itu, pihak yang berwajib perlu bertegas dalam berhadapan dengan kepesatan pusat-pusat hiburan, rumah urut, kegiatan maksiat dan “gengsterism”.
  5. Kenaikan kos sara hidup rakyat yang semakin runcing, perhatian serius seharusnya diusahakan dalam membela masyarakat negeri ini terutama mereka yang berada di dalam sektor industri. Pemerincian akta-akta yang melibatkan kebajikan pekerja perlu diperhalusi agar memberi manfaat pada semua dan bukannya menindas.
  6. Meningkatkan mutu pendidikan Sekolah Agama Rakyat dengan memberikan peruntukan yang sekata serta hak kesamarataan dan keistimewaan sama seperti sekolah kebangsaan serta tidak dipolitikkan isu pendidikan Sekolah Agama Rakyat dalam melahirkan generasi insan yang berilmu dan menjunjung tinggi nilai agama.
  7. Kongres juga memberi perhatian terhadap pembelaan hak dan tanggungjawab kepada peniaga-peniaga Melayu dalam mengurangkan jurang ekonomi dan penindasan serta menyediakan peluang perniagaan yang sama terhadap semua kaum demi melahirkan negeri Pulau Pinang yang menegakkan keadilan untuk semua.
  8. Memastikan agar sumber negeri Pulau Pinang diurus dengan berkesan, menghindari pembangunan yang menjejaskan kualiti alam sekitar, meneliti dasar-dasar kerajaan dengan mengambil kira faktor ekonomi semasa, dan kepentingan rakyat juga perkara yang berkaitan sumber air, hasil laut serta sektor perikanan bagi mengelak dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab demi mengekalkan daya saing dan daya maju ekonomi negeri Pulau Pinang dengan mapan untuk generasi kini dan generasi masa depan.
  9. Bertindak untuk mendesak kerajaan negeri dan Persekutuan berperanan dengan berkesan mentadbir urus negeri Pulau Pinang dengan amanah dan berintegriti demi kebajikan rakyat serta mengekang segala amalan rasuah, salahguna kuasa dan pembaziran wang awam, menghentikan sebarang tindakan yang menyusahkan rakyat seperti pelaksanaan GST untuk semua golongan, menaikkan kos harga rumah, pengambilan tanah tanpa pampasan setimpal, pengurusan dan pembangunan tanah wakaf yang tidak efektif serta pelbagai bayaran perkhidmatan awam yang membebankan kos sara hidup rakyat.
  10. Mengkaji, meneliti dan menghalusi semua tuntutan yang disuarakan dalam Kongres Rakyat Negeri Pulau Pinang seterusnya merumuskan sebuah Pelan Tindakan Rakyat Pulau Pinang seperti berikut:

Pelan Tindakan Kongres Rakyat Negeri Pulau Pinang

  1. Menubuhkan pasukan petugas khas bagi setiap sektor isu rakyat untuk diambil langkah susulan.
  2. Menghasilkan sebuah memorandum rakyat Pulau Pinang untuk dipanjangkan kepada kerajaan negeri dan Pusat dengan tujuan tindakan dilaksanakan ke atas semua usul yang dinyatakan dalam Kongres Rakyat.
  3. Mengadakan dialog dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan berdasarkan isu yang dibangkit oleh pembicara pada Kongres Rakyat.
  4. Menganjur perhimpunan rakyat berdasarkan isu utama yang dibangkit agar memperinci tuntutan yang dibahaskan dalam Kongres Rakyat.
  5. Menubuhkan sekretariat tetap Kongres Rakyat Negeri Pulau Pinang bagi mengambil langkah susulan dan menjadi pusat penggemblengan rakyat.

Persidangan Keempat[sunting | sunting sumber]

Persidangan Kongres Rakyat kali keempat bersifat lokal yang dihadiri oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan individu perseorangan telah diadakan pada  20 Ogos 2016 di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Terengganu, Terengganu. Persidangan telah diketuai oleh Speaker Kongres Rakyat Terengganu, Tuan Wan Zainuddin Wan Musa, seorang peguam di firma guaman Wan Zainuddin & Co.

Resolusi Persidangan Keempat[sunting | sunting sumber]

Sekretariat telah mengeluarkan resolusi persidangan keempat bertemakan Membina Terengganu Sejahtera mengisytiharkan[2]

  1. Bersatu bagi “Membina Terengganu Sejahtera” melalui kebebasan demokrasi dan pendekatan budaya matang serta sejahtera dalam menangangi proses perubahan kepimpinan dan pemerintahan negeri bagi menjamin kestabilan dan keharmonian negeri.
  2. Bertindak menyedarkan rakyat ke arah mengembalikan semula tunjang-tunjang sistem ketatanegerian yang adil dan saksama bagi semua kaum, agama dan pegangan politik melalui keluhuran Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu berpaksikan Al-Quran, Sunnah, Ijma’ Ulama’ dan Qias yang muktabar.
  3. Menjadikan Islam sebagai dasar pemerintahan dan pembangunan negeri dengan usaha memartabatkan Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah melalui dukungan padu kepada pindaan Rang Undang-Undang 355 sebagai langkah pemerkasaan prasarana pelaksanaan Mahkamah Syariah di Malaysia.
  4. Berusaha sedaya upaya mengembalikan hak dan kedaulatan negeri Terengganu daripada dinafikan oleh kerajaan persekutuan terutama royalti petroleum, Bertam 307 termasuk penggunaan wang rakyat negeri bagi pembangunan projek persekutuan sebaliknya menangguhkan pembinaan hospital di Dungun, Kemaman dan UniSZA yang menjadi tanggungjawab kerajaan pusat.
  5. Mendesak kerajaan menubuhkan satu “Task Force” bagi merangka pelan perindustrian berpotensi besar dan mempunyai kesan multiplier dalam memacu Industri huluan dan hiliran, petroleum serta pelancongan, pertanian dan lain-lain dengan keutamaan kepada strategi merakyatkan ekonomi negeri melalui keutamaan pembukaan peluang usahawan dan kerjaya kepada anak negeri.
  6. Menjadikan agenda pendidikan sebagai wahana terpenting dalam pembangunan insan secara holistik dengan mendesak kerajaan mengembalikan semula bantuan kewangan pelajaran di dalam dan di luar negara di samping mewajibkan pendidikan agama dan moral sebagai teras pembinaan akhlak dan jati diri rakyat.
  7. Bertindak untuk menggesa kerajaan supaya diwujudkan segera satu badan perunding bagi pembangunan belia (generasi Y) yang inklusif merentasi semua kluster, demografi dan etnik penduduk negeri ini agar mencapai tahap glokal setanding dengan negeri-negeri maju di Malaysia.
  8. Menggesa kerajaan negeri agar memperkasakan Jabatan dan Agensi Pembangunan Wanita bagi menjamin penyertaan yang adil dan saksama kepada golongan wanita dalam semua sektor disamping menjamin kebajikan dan keselamatan wanita melalui pemerkasaan pelaksanaan Undang-Undang Keluarga Islam di negeri ini.

Agenda Bertindak Kongres Rakyat Negeri Terengganu

  1. Menubuhkan pasukan petugas khas bagi setiap sektor isu rakyat untuk diambil langkah susulan.
  2. Menghasilkan sebuah Memorandum Rakyat Terengganu untuk dipanjangkan kepada peringkat tertinggi pemerintahan dan kerajaan negeri serta kerajaan pusat dengan tujuan untuk melaksanakan semua usul yang dinyatakan dalam Kongres Rakyat Terengganu.
  3. Mengadakan dialog dengan jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan serta swasta yang berkaitan berdasarkan isu-isu rakyat bertujuan mewujudkan solusi bersama.
  4. Menganjur perhimpunan rakyat berdasarkan isu utama yang dibangkit bagi memperteguhkan dukungan rakyat terhadap semua isu yang diperjuangkan.
  5. Menubuhkan Sekretariat Tetap Kongres Rakyat Terengganu bagi mengambil langkah susulan dan menjadi pusat mobalisasi rakyat melalui jaringan-kebersamaan NGOs, jabatan dan agensi kerajaan serta swasta.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-10-12. Dicapai pada 2016-06-20.
  2. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-08-22. Dicapai pada 2016-08-22.