Serbuan Gereja Methodist Damansara Utama

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kontroversi serbuan Jabatan Agama Islam Selangor ke Gereja Methodist Damansara Utama bermula pada malam hari Rabu, 3 Ogos 2011 dilakukan oleh pegawai-pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke Dewan Dream Center milik dan berhampiran dengan Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya, Selangor. Beberapa pegawai penguatkuasa JAIS dan anggota polis bertindak selepas menerima aduan.

Pastor kanan DUMC Dr Daniel Ho menjelaskan bahawa 30 anggota polis dan pegawai JAIS memasuki premis gereja itu tanpa waran jam 10 malam. Majlis itu dihadiri antara 100 hingga 120 orang dari pelbagai kaum, kebanyakannya penganut agama Kristian. Kira-kira 12 orang Melayu hadir.[1]

Kenyataan Dr Hasan Mohd Ali[sunting | sunting sumber]

YB Dr Hasan Mohd Ali, selaku Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor dan mewakili JAIS mendakwa terdapat 12 orang Islam menghadiri majlis kesyukuran tahunan anjuran pihak gereja terbabit. Seorang penganjur beragama Islam menghalang mereka masuk selama sejam. Selepas rundingan, mereka dibenarkan masuk selepas majlis tamat. Perkataan “Quran” dan “Pray” turut diselitkan di dalam ucapan. Pegawai Penguatkuasa JAIS tidak melakukan sebarang tangkapan, cuma pemeriksaan selepas rundingan dengan penganjur yang beragama Islam. Ada yang cuba lari mengikut pintu belakang. Beberapa bahan telah diperiksa termasuk dalam tong sampah. 12 orang Islam itu diminta memberi penjelasan kepada Bahagian Penguatkuasaan JAIS pada hari lain. [2][3]

Mereka boleh didakwa dibawah Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995 kiranya terbukti ada unsur penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut beragama Islam.

Bantahan pihak Kristian[sunting | sunting sumber]

Persekutuan Kristian Malaysia (CFM), melalui pengerusinya Biskop Datuk Ng Moon Hing menjelaskan bahawa majlis hanyalah makan malam amal tahunan anjuran "Harapan Komuniti". Aduan orang ramai pula tidak spesifik. Pihak berkuasa dan Sultan Selangor melakukan siasatan menyeluruh terhadap serbuan tersebut.

Presiden Majlis Aids Malaysia (MAC) menjelaskan bahawa "Harapan Komuniti" adalah rakan pertubuhannya dan mengadakan program bantuan pendidikan kepada anak-anak yang kurang bernasib baik di negeri Johor dan Kuala Lumpur. Mereka juga memperjuangkan nasib pesakit HIV di Malaysia.

Perspektif undang-undang[sunting | sunting sumber]

Undang-undang wajib ditegakkan. Objektif penggubalan undang-undang untuk memberi kesejahteraan dan keselamatan kepada semua manusia. Maqasid Syariah menegaskan keadilan kepada orang Islam dan bukan Islam. Perlembagaan Persekutan membenarkan setiap rakyat di dalam aspek kebebasan agama (Rujuk: Perkara 11(1),(2),(3),(4) dan (5)). Namun sebenarnya ia tertakluk kepada undang-undang negeri masing-masing.

Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, Bahagian III menjelaskan bahawa undang-undang syariah Selangor berkuasa menghalang sesiapan yang menghina dan mempersendakan agama Islam. Dari sudut undang-undang — Perlembagaan Malaysia mahupun enakmen Syariah di Malaysia — jelas mengiktiraf bahawa agama Islam adalah agama rasmi di Malaysia.

Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee menyatakan JAIS bertindak berdasarkan enakmen 1988 yang diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional. Empat undang-undang terlibat ialah:

  1. Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995
  2. Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988
  3. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003
  4. Enakmen Prosedur Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003.

Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam), yang menggariskan tindakan-tindakan memurtadkan dilakukan oleh bukan Islam ke atas Muslim, membolehkan pihak berkuasa agama untuk melancarkan siasatan dan menahan mana-mana individu tanpa waran.

Antara kesalahan ialah termasuklah memujuk atau menggalakkan Muslim untuk tukar agama, menerima arahan ataupun untuk menyertai mana-mana aktiviti demi kepentingan agama bukan Islam; jika bukan Islam berkomunikasi dengan seseorang yang beragama Islam bagi mengakibatkan mereka didedahkan kepada sebarang ucapan berkaitan agama bukan Islam dan jika seseorang menggunakan sesetengah perkataan untuk menggambarkan kepercayaan agama bukan Islam.

Seksyen 11 enakmen ini menggariskan kesalahan-kesalahan yang “berat”, di mana di bawah Kanun Prosedur Jenayah tidak menghalang polis daripada menyerbu mana-mana kawasan persendirian.

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menjelaskan bahawa umat Islam tidak salah menerima bantuan daripada pihak Kristian atau agama lain jika terdesak. Dikatakan pejabat agama dan lembaga zakat berkira sangat memberi bantuan RM100 ke RM200. Sedangkan pejabat zakat kelihatan mewah, gaji pegawai dan bos begitu tinggi dan peralatan urusan nampaknya canggih. [4]

Kronologi[sunting | sunting sumber]

  • Malam hari Rabu, 3 Ogos 2011 serbuan dilakukan oleh pegawai-pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke Dewan Dream Center milik dan berhampiran dengan Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya, Selangor. 12 orang Muslim didapati turut menghadiri majlis tersebut.
  • 4 Ogos 2011 Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim menghubungi Pastor Daniel Ho dari Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya secara peribadi untuk menyatakan rasa kesal di atas serbuan pihak Jais. [5], [6]
  • 5 Ogos 2011, Shah Alam MP Khalid Samad menegaskan bahawa kenyataan Datuk Hasan Ali bahawa Kristian cuba menarik orang muslim bukanlah pandangan PAS. [7] Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim mengeluarkan arahan kesemua exco negeri melarang membuat sebarang kenyataan mengenai isu tersebut sehingga laporan Jais diterima dan tindakan lanjut dilakukan.[8]
  • 10 Oktober 2011 Sultan Selangor bertitah tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memeriksa Kompleks Dream Centre di Petaling Jaya 3 Ogos lalu adalah selaras dengan bidang kuasanya dan berpuas hati bahawa tindakan itu "betul dan tidak menyalahi mana-mana undang-undang" di Selangor, berdasarkan mendapat nasihat pakar agama dan undang-undang.[9]
  • 10 Oktober 2011 Seorang ahli akademik, Abdul Aziz Bari kurang senang dengan tindakan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk campurtangan mempertahankan akidah umat Islam, berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja Methodist tersebut.[10]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ CFM kesal tindakan Jais dan polis, mahu Sultan campur tangan
  2. ^ Serbuan Jais: Perspektif dakwah dan undang-undang — Mohd Aizat Mohd Salleh
  3. ^ Serbuan Jais: Kenyataan penuh Datuk Dr Hassan Ali
  4. ^ Asri: Bukan haram umat Islam terima bantuan agama lain
  5. ^ "Explain raid on church, Selangor MB tells JAIS, Harakahdaily". Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-07-19. Dicapai pada 2012-07-19.
  6. ^ Hasan Ali backs Jais raid, says ‘Quran’ and ‘Pray’ used in front of Muslims, UPDATED @ 06:53:43 AM 05-08-2011 By Debra Chong August 04, 2011
  7. ^ Hasan’s view on church raid not PAS’s, says Khalid, By Shannon Teoh August 05, 2011
  8. ^ MB Khalid issues gag order on church raid, Friday, August 05 @ 06:35:51 CDT
  9. ^ Tindakan JAIS betul, titah Sultan Selangor
  10. ^ Aziz Bari: Campurtangan perlu selaras ajaran Islam.