Kota Arialun

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kota Arialun ialah buku kedua di dalam siri buku-buku Saga Artakusiad yang ditulis oleh Ahmad Patria Abdullah. Cetakan pertama telah dikeluarkan pada tahun 1988 dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Cetakan kedua pula dilakukan pada tahun 2010.

Plot buku ini menyambung kisah Artakus daripada buku terdahulu, Permata Aurorius dan berkisar tentang pengembaraannya bersama Nazril dan peristiwa-peristiwa yang membawa kepada peperangan menentang Morrok di Kota Arialun.

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Plot[sunting | sunting sumber]

Setelah menewaskan Gargola dan merampas Permata Aurorius di Kota Arialun, Artakus kembali ke kubu Morrok yang baru ditawan di Genting Kolossus. Daripada berita yang baru diperolehi, Artakus mendapati bahawa Morrok telah menghantar satu angkatan tentera yang besar dan kini berada di Lapangan Dundinium.[1] Setelah mengadakan perbincangan dengan Atinius dan Nazril, satu keputusan telah dicapai di mana Armorikus akan tetap bertahan di Genting Kolossus sementara menantikan strategi sebenar angkatan Morrok di Dundinium.

Pada masa yang sama, Artakus merahsiakan tujuan sebenar dia pergi ke Arialun daripada rakan-rakannya, melainkan berita tentang kematian Adonis di Arialun. Artakus telah merahsiakan kewujudan permata Aurorius kerana mengharapkan kemunculan Merkia akan dapat memberitahunya tentang tindakan lanjut seterusnya, namun Merkia tetap tidak muncul-muncul.

Artakus kemudian telah pergi ke Lembah Takaryan bersama Esis[2], satu-satunya rakan yang tinggal setelah kematian Hansis dan Adonis. Tujuannya adalah untuk bertemu dengan Laira, gadis Armorikus yang mula mendapat tempat di hatinya. Semasa di dalam perjalanan, Esis telah memberitahu Artakus bahawa dia telah melihat Isytarrok, makhluk suruhan Herakos semasa Artakus tiada di Kolossus. Esis menceritakan tentang legenda Isytarrok seperti yang terdapat di dalam Syair Tujuh Malam dan Balada Tarminonn kepada Artakus.[3]

Sekembalinya Artakus ke Kolossus setelah menemui Laira, Artakus telah diserang oleh Isytarrok yang mahukan permata Aurorius, namun Nazril telah datang membantu menyelamatkan Artakus.[4] Ini membuatkan Artakus tiada pilihan lain selain menceritakan kepada Nazril tentang rahsia permata Aurorius dan pertarungan di antara Merkia dan Herakos. Setelah memahami situasi yang merumitkan Artakus, Nazril mencadangkan agar permata Aurorius dihantar ke dalam dunia Undewel dengan cara membuangnya ke dalam gaung Hangarang.[5] Dengan ini Herakos tidak akan dapat mengambilnya dan memperalatkannya untuk memusnahkan seluruh alam.

Artakus dan Nazril bergerak meninggalkan Kolossus menuju ke banjaran Nakassos, di mana terletaknya Gua Sarngan iaitu gua yang mengandungi gaung Hangarang. Namun tujuan mereka telah dihalang oleh Qrokul, yisykrak merah, yang juga merupakan bekas rakan seguru Nazril. Tetapi Qrokul mempunyai niat untuk menggunakan permata Aurorius untuk kepentingan dirinya sendiri dan bukan untuk Herakos. Dengan bantuan Isytarrok, Qrokul telah mengalahkan Nazril dan merampas permata Aurorius daripada Artakus.[6]

Walaupun kehilangan Nazril dan permata Aurorius, Artakus berjaya selamat kembali ke Kolossus. Disitu dia merangka satu strategi baru untuk menggagalkan Herakos: memulakan usaha menyatupadukan seluruh kaum Aurora.[7] Dengan angkatan 300 tentera berkuda, Artakus dan Armorikus bergerak menuju ke Kota Arialun untuk menawannya, dengan sangkaan bahawa ia masih lagi di dalam jajahan Morrok. Selain ditemani oleh Esis, Artakus turut dibantu oleh Silikin, Olafhul dan Hortas. Pasukan Atinius akan datang mengikutinya kemudian dari belakang.[8]

Apabila sampai di Arialun, Artakus mendapati bahawa penduduk kota telah memberontak dan mengalahkan Morrok. Kini Kota Arialun telah ditadbir oleh sebuah majlis bernama Majlis Uralia, diketuai oleh seorang panglima bernama Garilon.[9]

Pada mulanya, orang kota berasa curiga dan agak keberatan untuk menerima kedatangan Artakus dan puak Armorikus. Namun akhirnya mereka bersetuju bekerjasama untuk menentang Morrok. Hanya Panglima Zardaron, salah seorang ahli Majlis Uralia sahaja yang menentang kehadiran Artakus[10] sehingga sanggup menghantar orang kanannya, Laminon untuk membunuh Artakus.[11] Namun percubaan Laminon gagal dan perbuatan khianat Zardaron telah pecah di dalam Majlis Uralia. Keahliannya di dalam majlis itu turut digantung.[12]

Zardaron cuba mengubah rancangannya dengan berurusan dengan Panglima Takhun dari Morrok secara senyap, dan menghasut orang kota untuk membenci Artakus.[13] Namun tembelangnya pecah apabila Panglima Takhun enggan menerima bantuan Zardaron. Pengkhianatan Zardaron telah sampai ke pengetahuan penduduk kota melalui pendedahan Garilon dan dia terpaksa melarikan diri.[14]

Kota Arialun telah berperang dengan angkatan tentera Morrok pimpinan Panglima Takhun. Orang kota bersama angkatan Artakus telah diserang hebat oleh tentera Morrok, namun setelah angkatan Armorikus pimpinan Atinius tiba, angkatan Morrok telah berjaya ditewaskan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Ahmad Patria Abdullah. Kota Arialun – ISBN 978-983-62-0032-7. Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Cetakan Kedua 2010. ms. 7 . Diambil 19 Februari 2016
  2. ^ Ahmad Patria Abdullah. Kota Arialun – ISBN 978-983-62-0032-7. Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Cetakan Kedua 2010. ms. 22 . Diambil 19 Februari 2016
  3. ^ Ahmad Patria Abdullah. Kota Arialun – ISBN 978-983-62-0032-7. Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Cetakan Kedua 2010. ms. 24-26 . Diambil 19 Februari 2016
  4. ^ Ahmad Patria Abdullah. Kota Arialun – ISBN 978-983-62-0032-7. Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Cetakan Kedua 2010. ms. 51-56 . Diambil 19 Februari 2016
  5. ^ Ahmad Patria Abdullah. Kota Arialun – ISBN 978-983-62-0032-7. Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Cetakan Kedua 2010. ms. 66-68 . Diambil 19 Februari 2016
  6. ^ Ahmad Patria Abdullah. Kota Arialun – ISBN 978-983-62-0032-7. Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Cetakan Kedua 2010. ms. 103-109 . Diambil 19 Februari 2016
  7. ^ Ahmad Patria Abdullah. Kota Arialun – ISBN 978-983-62-0032-7. Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Cetakan Kedua 2010. ms. 111 . Diambil 19 Februari 2016
  8. ^ Ahmad Patria Abdullah. Kota Arialun – ISBN 978-983-62-0032-7. Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Cetakan Kedua 2010. ms. 124-130. Diambil 19 Februari 2016
  9. ^ Ahmad Patria Abdullah. Kota Arialun – ISBN 978-983-62-0032-7. Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Cetakan Kedua 2010. ms. 137-144 . Diambil 19 Februari 2016
  10. ^ Ahmad Patria Abdullah. Kota Arialun – ISBN 978-983-62-0032-7. Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Cetakan Kedua 2010. ms. 151 . Diambil 19 Februari 2016
  11. ^ Ahmad Patria Abdullah. Kota Arialun – ISBN 978-983-62-0032-7. Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Cetakan Kedua 2010. ms. 173-182 . Diambil 19 Februari 2016
  12. ^ Ahmad Patria Abdullah. Kota Arialun – ISBN 978-983-62-0032-7. Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Cetakan Kedua 2010. ms. 187-194 . Diambil 19 Februari 2016
  13. ^ Ahmad Patria Abdullah. Kota Arialun – ISBN 978-983-62-0032-7. Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Cetakan Kedua 2010. ms. 195-197 . Diambil 19 Februari 2016
  14. ^ Ahmad Patria Abdullah. Kota Arialun – ISBN 978-983-62-0032-7. Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Cetakan Kedua 2010. ms. 202-210 . Diambil 19 Februari 2016