Kota Iskandar, Johor

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Rencana ini tentang pusat pentadbiran baharu di negeri Johor. Terdapat juga bandar dengan nama yang sama iaitu Kota Iskandar, Pahang di negeri Pahang.
Kota Iskandar

Kota Iskandar (dahulu Pusat Pentadbiran Baru Negeri Johor) atau juga digelar "Permata Mahkota" merupakan pusat pentadbiran kerajaan negeri Johor yang terletak di Iskandar Puteri. Pembangunan Kota Iskandar merupakan fasa pertama dalam projek Iskandar Puteri yang sebahagian daripada perojek pembangunan Iskandar Malaysia. Pusat pentadbiran mengandungi bangunan Dewan Negeri Johor (Bangunan Sultan Ismail), Kompleks Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Bangunan Dato' Jaafar Muhammad) disamping kawasan Dataran Mahkota dan dua buah Kompleks Jabatan Negeri.[1]

Kota Iskandar dibangunkan oleh Cahaya Jauhar Sdn Bhd, anak syarikat kerajaan negeri Johor melalui usahasama Pejabat Setiausaha Negeri Johor (JSSI) dan sebuah syarikat GLC, UEM Land Berhad. Diilhamkan daripada seni bina di Istana Alhambra, seni bina bangunan di Kota Iskandar mengandungi ciri-ciri Moor-Andalusia dan Melayu-Johor dimana semua bangunan dibina menghadap kiblat.[1] Bangunan di situ juga mendapat pengaruh daripada seni bina Bugis, Jawa, Belanda, British dan kumpulan etnik peribumi tempatan.[2]

Bangunan[sunting | sunting sumber]

Bangunan Sultan Ismail[sunting | sunting sumber]

Bangunan Sultan Ismail

Bangunan Sultan Ismail atau Dewan Negeri Johor adalah bangunan empat tingkat yang merangkumi Dewan Negeri bagi 114 Ahli Dewan Negeri (ADEN) Johor, perpustakaan, arkib, bilik gerakan, dewan jamuan dan ruang rehat. Bangunan ini juga turut dihiasi dengan laman-laman hiasan seperti Laman Kasturi dan Laman Bunga Rampai serta kemudahan asas seperti surau.

Nama bangunan ini diambil sempena nama Almarhum Sultan Johor terdahulu iaitu Sultan Ismail. Seni bina bangunan ini mengandungi ciri-ciri Moor-Andalus dan reka bentuk Melayu-Johor. Motif tumbuh-tumbuhan seperti nanas, lada hitam dan berlian terpampang di bangunan ini.[3]

Bangunan Dato' Jaafar Muhammad[sunting | sunting sumber]

Bangunan Dato' Jaafar Muhammad

Bangunan Dato' Jaafar Muhammad (BDJM) dibina dengan keluasan 21,480 kaki persegi setinggi lima tingkat. Kompleks ini merangkumi ruang Pejabat Menteri Besar, pejabat-pejabat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan jabatan-jabatan kerajaan. Ia mempunyai kapasiti bagi populasi 530 orang kakitangan. Dilengkapi dengan dewan serba guna, surau, kafetaria, lapangan teater dan taman.[1]

Nama Bangunan Dato' Jaafar Muhammad diambil sempena nama Menteri Besar Johor yang pertama iaitu Dato' Jaafar bin Haji Muhammad, bapa kepada Dato' Onn Jaafar. Bangunan ini merupakan Kompleks Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor. Konsep bangunan ini ialah unik iaitu "rumah dalam taman". Keindahan alam semulajadi seperti kawasan lapang, taman-taman dan ciri-ciri air menjadi unsur utama di bangunan tersebut.[4]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c "Pusat Pentadbiran Baru Negeri Johor". Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-07-22. Dicapai pada 2011-08-21.
  2. ^ Kota Iskandar: Seni bina
  3. ^ Kota Iskandar: Bangunan Sultan Ismail
  4. ^ Kota Iskandar: BDJM

Pautan luar[sunting | sunting sumber]