Kota Long Jaafar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kota Long Jaafar merupakan nama sebuah kota pertahanan dan tempat kediaman yang dibina oleh Long Jaafar di Bukit Gantang, Perak. Kota ini terletak di atas sebidang tanah yang memiliki keluasan 5 hektar persegi.

Kota Long Jaafar ini diperbuat daripada batu-bata dan tanah yang bercampur ketul-ketul batu disusun dengan baik dan sempurna, sesuai dengan tingginya tembok kota yang bergantung kepada kedudukan tapaknya di lereng bukit. Tembok kota ini tingginya lebih daripada 2 meter, di samping tembok yang rendah kira-kira 1½ meter. Pembinaan kota ini memakan masa hampir lima tahun.

Long Jaafar merupakan orang yang pertama menemui bijih timah di negeri Perak dan mengusahakannya pada tahun 1848 dan memajukannya dengan usaha-usaha perlombongan bijih timah. Di dalam kota inilah terdapat bekas-bekas gudang tempat menyimpan bijih timah semasa pemerintahan Long Jaafar. Di samping itu juga, terdapat sebuah tasik yang dibina di hadapan kota tersebut.

Long Jaafar telah meningggal dunia pada tahun 1857 dan dikebumikan di dalam kota ini. Makamnya masih terdapat sehingga kini.

Rujukan[sunting | sunting sumber]