Kota Lukut

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kota Lukut
Kota dan Muzium Lukut
Kota dan Muzium Lukut
KerajaanPembesar Tempatan
Pembesar 
• 1815 - 1834
Raja Busu
• 1835 - 1846
Raja Jaafar
• 1846 - 1864
Raja Jumaat
• 1864 - 1880
Raja Bot
Sejarah 
• Pembukaan Lombong Tin oleh Raja Busu
1815
• Diserahkan menjadi sebahagian kawasan Sungai Ujong
1878
Diganti oleh
Sungai Ujong
Sekarang sebahagian dariNegeri Sembilan

Kota Lukut ialah sebuah kota yang kini berada di Lukut, Negeri Sembilan. Penempatan ini ditubuhkan oleh Raja Busu, anak buah Sultan Ibrahim Shah iaitu Sultan Selangor.[1] Pada ketika itu, Lukut merupakan kawasan di bawah Kerajaan Selangor. Aktiviti perlombongan telah menyebabkan kemasukan buruh Cina secara mendadak dan perkembangan ekonomi Lukut. Namun, Raja Busu dibunuh kerana telah mengenakan cukai tinggi terhadap pengeluaran bijih timah.[2] Raja Jaafar, seorang putera Riau telah datang bersama anak-anaknya Raja Jumaat dan Raja Abdullah untuk membuka lombong dan diberikan Lukut oleh Sultan Muhammad Shah, Sultan Selangor yang baharu. Lukut mencapai zaman kegemilangannya di bawah seliaan Raja Jumaat dari 1846 sehingga 1864. Setelah kematian beliau, Lukut mengalami kemerosotan di bawah seliaan anaknya Raja Bot atas pelbagai faktor seperti perang di kawasan persekitarannya serta persaingan dalam pengeluaran bijih timah oleh lombong-lombong berdekatan. Akhirnya, Kota Lukut diserahkan kepada Sungai Ujong oleh Sultan Abdul Samad, Sultan Selangor baharu pada tahun 1878 dengan Raja Bot meninggalkan jawatannya pada 1880.

Sejarah[1][sunting | sunting sumber]

Pada awal abad ke-18, pelombong Cina dari Melaka yang berketurunan Hailam telah dibenarkan oleh Sultan Ibrahim Shah untuk melombong di kawasan Sungai Lukut. Berikutan daripada itu, Sultan Ibrahim telah menandatangani perjanjian perdagangan dengan Syarikat Hindia-Timur Inggeris yang beroperasi di Pulau Pinang. Perjanjian ini telah menyebabkan bijih timah yang datang dari lombong Lukut untuk memberi keuntungan kepada Sultan Ibrahim.Hal ini juga telah meningkatkan jumlah penduduk dan menyebabkan Sultan melantik seorang Kapitan Cina.

Raja Busu[sunting | sunting sumber]

Keperluan untuk mentadbir kawasan ini telah menyebabkan Sultan Ibrahim mengurniakan Lukut kepada anak buahnya Raja Hassan, atau lebih dikenali sebagai Raja Busu. Beliau membawa pengikut Melayu dari merata tempat untuk meneroka dan mendirikan penempatan di sini. Beliau juga telah memperkenalkan beberapa undang-undang sivil dan polisi ekonomi seperti meminta kebenaran beliau sebelum sebarang aktiviti dijalankan ke atas tanah pegangannya itu. Justeru, penduduk Lukut berjumlah 1000 orang pada tahun 1824 dan terus meningkat dalam dekad seterusnya. Perniagaan yang bertumpu untuk memberi perkhidmatan kepada pelombong Cina juga dijalankan seperti rumah candu dan rumah lacur yang dibawa dari Singapura. Raja Busu cuba untuk menyekat aktiviti kemaksiatan ini sebelum berleluasa.

Cukai yang dikenakan untuk setiap pengeluaran bijih timah dicajkan pada 10%. Ini tidak disenangi oleh pengusaha lombong yang datang untuk membincangkan perkara tersebut pada 1834. Namun begitu, Raja Busu enggan keluar dari rumahnya dan pemandangan bijih timah di sekitar kawasan perumahannya menimbulkan kemarahan 400 orang Cina yang datang pada malam itu. Oleh sebab itu, mereka bertindak membakar rumah Raja Busu dan menyebabkan kematiannya secara langsung. Raja Husin dari Riau, seorang saudara kepada Raja Busu dan juga Sultan Selangor telah mendapat khabar tentang kejadian ini dan membawa segerombolan pahlawan untuk membalas dendam. Mereka telah membunuh 1000 orang Cina lantas menyebabkan Lukut dikosongkan tak lama selepas itu.

Raja Jaafar dan Raja Jumaat[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1835, Raja Jaafar Raja Ali, seorang bangsawan dari rumah Bugis-Riau mendapat izin dari Sultan Muhammad Shah, penguasa baru Selangor - dan juga tiga pupunya - untuk menjalankan perniagaan perlombongan bijih timah di Lukut. Mendengar kejayaan usaha tersebut, baginda secara peribadi melawat Lukut dan menitahkan bahawa Lukut akan terus menjadi sebahagian daripada Selangor, lantas menghapuskan kebebasan relatif yang dinikmati. Titah itu menyebabkan orang Melayu kembali ke kawasan itu. Jaminan Sultan kepada pelabur Cina di Negeri Selat juga menyebabkan peningkatan modal dan tenaga kerja di Lukut.

Setelah kematian bapanya pada tahun 1846, Raja Jumaat menggantikannya sebagai pemimpin operasi tersebut. Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan Sultan, malah melunaskan hutang yang masih belum dijelaskan oleh baginda dengan saudagar Eropah dan Cina di Negeri-negeri Selat.Pada tahun 1846, Sultan telah mengkahwinkan anakandanya, Tengku Senai dengan Raja Jumaat serta mengurniakan surat kuasa yang memberi hak pemerintahan dan hak memungut cukai di Lukut bagi mengenang jasa Raja Jumaat. Di bawah pemerintahannya, Lukut mencapai zaman kegemilangannya, sehingga diklasifikasikan sebagai kota.

Hal Ini disebabkan oleh kemampuan Raja Jumaat untuk mengimbangkan dasar dengan pengusaha lombong serta dapat menjamin keamanan bagi rakyat Lukut. Kadar cukai diturunkan dari 20%, kadar yang ditentukan sebahagiannya kerana kecenderungan peniaga Selat untuk berurusan secara langsung dengan pengusaha lombong dan bukan pemerintah tempatan, menjadi 10% setelah bertemu dengan pemilik lombong tersebut. Sebuah rumah kastam didirikan untuk memastikan pelaksanaan perintah ini dengan adil. Selain itu, seperti Raja Busu, izin diperlukan untuk mendirikan usaha di tanah Lukut.

Beliau juga memperluaskan wilayah Lukut untuk meliputi kawasan dari Sungai Sepang ke Sungai Linggi. Perkara ini telah menimbulkan bantahan Dato' Kelana Sending yang mempunyai hak pungut cukai di kawasan Tanjung Tuan dan Sungai Linggi. Beliau telah bertemu dengan Sultan Abdul Samad yang berjanji secara lisan untuk menyerahkan Lukut kepada Dato' Kelana Sending tanpa ada tindakan oleh Raja Jumaat. Pertelingkahan ini masih berterusan selepas kematian Raja Jumaat dan hanya diselesaikan pada 1878.[3]

Orang Cina banyak terlibat dalam peningkatan Lukut kerana banyak yang berkemampuan telah mempelajari kemahiran tersebut di Melaka, tempat asal mereka. Oleh itu, orang seperti Chee Yam Chuan, Hin Siew dan Yap Si melaburkan wang untuk membangunkan bandar ini. Yam Chuan juga menjadikan Raja Bot, anak Raja Jumaat sebagai anak didik. Yap Ah Loy yang masih muda juga bekerja di lombong Chong Chong selama tiga tahun sebelum memperoleh cukup modal untuk memulakan perniagaannya sendiri.

Selain itu, jalan raya dibina dengan menggunakan banduan untuk memperluaskan jalan perhubungan Lukut dan digunakan oleh kereta lembu. Pasukan polis yang terdiri daripada orang Melayu ditubuhkan untuk menjaga ketenteraman kerana banyak pekerja lombong terlibat dalam kongsi gelap, terutamanya dengan kumpulan Ghee Hin dan Hai San yang bermusuhan.

Sebuah kubu didirikan di Bukit Gajah Mati pada 1847 untuk dijadikan sebagai kediaman Raja Jum'aat dan sebagai tempat strategik yang dapat digunakan. Kubu ini dilengkapi dengan meriam dan parit. Kubu yang berbentuk empat segi bujur yang berukuran lebih kurang 200 meter panjang dan 170 meter lebar ini dikelilingi parit yang dipasang dengan ranjau yang mempunyai kedalaman di antara tiga hingga lima meter dalam. Dari atas kubu ini, boleh dilihat pemandangan Sungai Lukut, Selat Melaka dan kawasan sekitarnya.

Raja Jumaat meninggal dunia pada tahun 1864.

Kemerosotan dan Penyerahan Lukut[sunting | sunting sumber]

Kematian Raja Jumaat mempunyai implikasi yang lebih besar kerana beliau merupakan salah seorang pembesar Selangor yang berkuasa. Oleh itu, setelah puteranya Raja Bot menjadi pembesar Lukut, Perang Saudara Selangor tercetus . Raja Bot dibantu oleh saudaranya Raja Yahya dalam mentadbir Lukut. Dia juga mengupah 30 orang Arab untuk membantu dalam pertahanan kota. Ada di antaranya yang berkahwin dengan penduduk tempatan dan menghasilkan keturunan campuran.

Pada masa yang sama lombong-lombong lain berjaya ditubuhkan dan mendatangkan untung di Selangor termasuk Kanching, Kuala Lumpur dan Ampang. Persaingan ini menjadi lebih teruk dengan kekurangan timah di lombong Lukut yang menyebabkan kerugian besar. Ini menyebabkan pelombong Cina berpindah ke arah utara untuk bekerja dengan pesaing Lukut. Oleh itu, peranan Lukut sebagai bandar perlombongan tidak dapat dikekalkan dengan hanya tinggal 300 orang pada tahun 1870-an. Oleh itu, lombong tersebut banjir kerana kekurangan penggunaan dan infrastrukturnya terbengkalai.

Lebih-lebih lagi, Lukut dikelilingi persekitaran yang tidak aman yang melibatkan kawasan mereka. Raja Sungai Raya, Raja Sulaiman berusaha untuk mendapatkan kemerdekaan dari Lukut tetapi gagal dan dikalahkan, hasil pertempuran menyebabkan tentera Arab melarikan diri. Lukut juga diganggu oleh Raja Yahya, anak angkat penguasa Langat ketika dia membunuh seorang penduduk Cina Lukut di hadapan Raja Bot. Raja Bot dengan itu membenarkan serangan balas terhadap orang-orang Melayu bukan Lukut yang menyebabkan pertempuran berlaku yang mengakibatkan Yahya melarikan diri dengan saudara Raja Bot, Raja Laut.[2]

Armada Britain yang diketuai oleh Mejar Anson dari Batalion ke-2 Buffs meminta bantuan dari Raja Bot dalam Perang Sungei Ujong. Beliau enggan untuk tetapi memberikan kebebasan melintas kawasannya. Sebagai hasil dari Perang Sungei Ujong, Lukut diserahkan kepada Sungei Ujong oleh Sultan Abdul Samad pada 1878. Raja Bot kekal memerintah sehingga 1880 di mana beliau meletakkan jawatan dan dipampas dengan wang berjumlah $2000.

Perjanjian Selangor-Sungei Ujong 1878[sunting | sunting sumber]

Perjanjian Sempadan Selangor - Sungei Ujong, dimeterai pada 10 Februari 1878. Perjanjian ini dibuat antara Sultan Abdul Samad dengan Tunku Syed Abdul Rahman, Dato' Klana Sungei Ujong. Kandungannya adalah seperti berikut.[4]

  • Dengan nasihat Kapten Bloomfield Douglas, Residen British di Selangor, Sultan Abdul Samad yang Dipertuan Selangor bagi pihak dirinya, dan puteranya Raja Musa atau sesiapa juga penggantinya yang akan ditabalkan sebagai Sultan atau waris-warisnya, mulai saat itu mengaku bahawa kawasan Lukut yang pada masa itu diperintah oleh Raja Bot dan semua kawasan tanah dalam Sungai Raya yang sekarang diperintah oleh Raja Daud, yang kesemuanya itu adalah di bawah kekuasaan Sultan Abdul Samad, diserahkan kepada Syed Abdul Rahman, Dato' Klana Sungei Ujong, pengganti-penggantinya dan waris-warisnya untuk selama-lamanya.
  • Dengan nasihat Kapten Murray, Residen British di Sungei Ujong, Tunku Syed Abdul Rahman Dato' Klana Sungei Ujong bagi pihak dirinya, pengganti-penggantinya dan waris-warisnya atau sesiapa juga yang memerintah Sungei Ujong dan bergelar Dato' Klana, mengaku bahawa mulai saat itu kawasan yang terletak di Seberang Tebing Sungai Langat yang bernama Rekoh dan semua tanah bernama Labu adalah diserahkan kepada Sultan Abdul Samad Selangor, pengganti-penggantinya dan waris-warisnya untuk selama-lamanya.

Akibat tidak dirujuk dalam perundingan perjanjian ini, Raja Bot membantah sekeras-kerasnya keputusan ini kerana akan terpaksa menyerahkan Lukut. Oleh itu, beberapa rundingan telah diadakan sehingga dipersetujui pada 30 Julai 1880 untuk menerima keputusan perjanjian 1878 dengan syarat Raja Bot diberikan pampasan berjumlah $2000.[5]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b Ahmad Kamal Ariffin, Mohd Rus; Noor Ain, Mat Noor; Mohamad Khairul Anuar, Mohd Rosli (August 2020). "Lukut, 1846-1864: Bandar Terawal Di Selangor". Jebat: Malaysian Journal of History, Politics & Strategy. 47 (2): 175–198 – melalui JEBAT.
  2. ^ a b Gammans, L.D (December 1924). "The State of Lukut". Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society. 2 (3): 291–295.
  3. ^ "Rundingan Mengenai Pertelingkahan Sempadan di Antara Negeri Selangor dengan Sungai Ujong". PeKhabar. 24 November 2015. Dicapai pada 10 April 2021.
  4. ^ "Perjanjian Sempadan Selangor Sungai Ujung". PeKhabar. 10 Februari 2018. Dicapai pada 10 April 2021.
  5. ^ "Perjanjian Sempadan Negeri Selangor dan Sungai Ujung 1880". Wangsa Mahkota. 13 Jun 2010. Dicapai pada 10 April 2021.