Kubah Al-Sakhrah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kubah Al-Sakhrah (Arab: قبة الصخرة, rumi: Qubbat aṣ-Ṣakhra, lit.'Kubah Batu'; Ibrani: כיפת הסלע, rumi: Kippat ha-Sela; bahasa Inggeris: Dome of the Rock) ialah antara seni binaan Islam yang tercantik di dunia. Kubah Al-Sakhrah bukanlah sebuah masjid sebaliknya ialah sebuah kompleks yang terdapatnya sebuah batu besar yang dikatakan tempat Nabi Muhammad s.a.w berdiri ketika peristiwa Israk Mikraj. Kubah Al-Sakhrah terletak di Baitulmuqaddis. Kubah Al-Sakhrah bukanlah Masjid Al-Aqsa tetapi termasuk dalam kompleks Masjid Al-Aqsa yang terlatak di satu perkarangan yang sama yang dianggap sebagai Tanah Suci bagi umat Islam. Kubah Al-Sakhrah juga sering disalahertikan sebagai Masjid Umar yang merupakan tempat Saidina Umar Al-Khatab bersolat ketika tiba di Baitulmuqaddis. Berbanding dengan rumah-rumah ibadat yang lain, Kubah Al-Sakhrah yang paling dikenali sebagai simbol Baitulmuqaddis yang menjadikannya istimewa.

Sebuah kumpulan radikal Yahudi di Israel ingin memusnahkan Kubah Al-Sakhrah dan bangunan-bangunan lain di Masjid Al-Aqsa bagi membina kuil ketiga Yahudi di kawasan terbabit. Sebarang rancangan untuk memusnahkannya atau memindahkannya pasti akan menimbulkan kemarahan umat Islam sehingga boleh membawa kepada konflik dan peperangan.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Kubah Al-Sakhrah, kawasan Nabi Muhammad s.a.w. naik ke langit.

Kubah Al-Sakhrah, seni binaan agung Islam yang pertama dibina diantara tahun 687 masihi sehingga tahun 691 masihi oleh Khalifah Abdul Malik ibni Marwan, khalifah kerajaan Ummaiyyah. Ia dibina setengah kurun selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.. Pelbagai masalah dan cabaran dihadapi bagi mempertahankan dan mengekalkan dan mengelakkan bangunan ini daripada musnah. Sejarah Kubah Al-Sakhrah boleh difokuskan kepada empat zaman secara keseluruhannya iaitu Zaman Islam, Zaman Perang Salib, Zaman Mandat British dan Zaman Pendudukan Israel.

Israk Mikraj[sunting | sunting sumber]

Pada tahun kesembilan misi Rasulullah s.a.w., lebih kurang tahun 620 masihi, Nabi Muhammad berjaga pada waktu malam untuk melakukan ibadah di Masjidil Haram, Makkah. Selepas beribadat, baginda tertidur seketika dekat Kaabah. Malaikat Jibril datang mengejutkan Rasulullah daripada tidur dan membawa baginda ke hujung Masjidil Haram. Menanti mereka ialah sejenis makhluk yang bernama Al Buraq. Rasulullah kemudiannya menaiki Al Buraq yang kemudian membawa baginda ke Masjidil Aqsa di Baitulmuqaddis dalam sekelip mata.

Apabila tiba di Baitulmuqaddis, Rasulullah turun daripada Al Buraq dan bersembahyang dekat sebuah batu. Nabi Ibrahim a.s, Nabi Musa a.s,Nabi Isa a.s dan nabi-nabi yang lain berkumpul bersama dan bersolat bersama-sama baginda. Nabi Muhammad s.a.w. dipersembahkan semangkuk arak dan semangkuk susu. Rasulullah s.a.w. memilih susu. Malaikat Jibril a.s kemudiannya berkata "Ternyata engkau telah memilih ajaran yang sebenar". Rasulullah kemudiannya naik ke langit untuk menerima perintah menunaikan solat kepada umat Islam.

Penaklukan Baitulmuqaddis[sunting | sunting sumber]

Pemandangan di dalam Kubah Al-Sakhrah.

Pada tahun 638 masihi, selepas beberapa tahun kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., tentera Islam mengepung Baitulmuqaddis. Ketua Gereja Baitulmuqaddis, Sophronius, menyerahkan kota itu selepas kepungan yang singkat. Cuma terdapat satu syarat iaitu perbincangan mengenai penyerahan itu mestilah menerusi Khalifah Saidina Umar Al Khatab sendiri, khalifah kedua Islam.

Saidina Umar memasuki Baitulmuqaddis dengan berjalan. Tidak ada pertumpahan darah dan tidak ada pembunuhan oleh tentera Islam. Sesiapa yang ingin meninggalkan Baitulmuqaddis dengan segala harta benda mereka, dibenarkan berbuat demikian. Sesiapa yang ingin terus tinggal dijamin keselamatan nyawa, harta benda, dan tempat beribadat mereka. Semua ini terkandung dalam Perjanjian Umariyya.

Buat pertama kalinya Baitulmuqaddis terselamat daripada bermandi darah. Mengikut cerita, Saidina Umar kemudiannya menemani Sophronious ke Gereja Makam Suci yang mana Saidina Umar ditawarkan bersolat di dalamnya. Saidina umar menolak takut akan timbulnya syak wasangka yang dapat menjejaskan penggunaan gereja itu sebagai tempat beribadat penganut Kristian. Saidina Umar sebaliknya menunaikan solat di sebelah selatan gereja tersebut yang kini merupakan tapak Masjid Umar di Baitulmuqaddis.

Saidina Umar kemudiannya meminta supaya dibawa ke tempat Masjid Al-Aqsa dengan ditemani beratus-ratus orang Islam. Saidina Umar mendapati tempat itu dipenuhi dengan habuk dan sampah sarap. Saidina Umar terus mengarahkan supaya tempat itu dibersihkan dengan serta-merta. Sebuah masjid yang diperbuat daripada kayu kemudiannya didirikan pada masa Saidina Umar di sebelah paling selatan iaitu Jamik Al-Qibli.

Pembinaan[sunting | sunting sumber]

Dalam tahun 630, beberapa tahun sebelum Kubah Al-Sakhrah dibina, Umar ibn al-Khattāb dibantu oleh Kaab al-Ahbar dan orang Islam yang lain memulihkan batu-batu asas dan menggali ia keluar daripada debu dan membersihkan kawasan yang telah ditinggalkan untuk beratus tahun sejak dimusnahkan oleh tentera Rom. Ibn Asakir[1] menyatakan yang Saidina Umar Al-Khatab tidak pernah membina apa-apa rumah ibadat untuk orang Islam bersembahyang tetapi memilih untuk mendirikan sebuah masjid di kawasan selatan Masjid Al-Aqsa. Saidina Umar berbuat demikian bagi menjelaskan bahawa kiblat terletak di bahagian selatan, ke arah Kaabah di Mekah dan bahawa orang Islam tidak pernah berbalah dalam menentukan arah kiblat. Kawasan batu asas kekal tidak terbongkar sehinggalah masa khalifah Abdul Malik bin Marwan yang memulakan pembinaan dalam tahun 685, menyiapkannya dalam tahun 691. Sarjana Islam al-Wasiti melaporkan kejadian ini:

Apabila Abdul Malik bin Marwan hendak membina Kubah Al-Sakhrah, baginda datang dari Damsyik ke Baitulmuqaddis. Dia menulis, "Abd al-Malik berkehendakan untuk membina sebuah kubah di atas As-Sakhrah (Batu) untuk melindungi orang Muslim daripada panas dan sejuk, dan hendak membina masjid. Tetapi sebelum dia bermula dia ingin tahu pendapat rakyatnya." Dengan persetujuan mereka, timbalan menulis kembali, "Semoga Allah membenarkan siapnya projek ini, dan moga Allah s.w.t. merestui pembinaan masjid dan kubah ini dan memberi rahmat kepada Abd al-Malik dan para penggantinya." Dia kemudian menghimpunkan tukang-tukang binaan daripada semua wilayah kekuasaannya dan meminta mereka untuk menyediakan deskripsinya dan bentuk perancangan kubah pembinaan dirancangkan.

Baitulmuqaddis ialah tempat suci bagi agama Kristian, Yahudi, dan Islam. Selepas kematian Saidina Ali Abi Talib (khalifah terakhir Khulafa al-Rasyidin), menantu dan sepupu kepada Rasulullah s.a.w., adalah di Baitulmuqaddis pemimpin-pemimpin Arab dan Islam bertemu pada tahun 660 untuk memilih khalifah yang baru. Mu'awiyah, pengasas kerajaan Bani Ummaiyyah telah dipilih sebagai khalifah. Beberapa tahun selepas itu, Khalifah Abdul Malik bin Marwan mengarahkan pembinaan Kubah Al-Sakhrah sebagai simbol perpaduan agama Kristian, Yahudi, dan Islam.

Seni Bina[sunting | sunting sumber]

Kubah Al-Sakhrah terkenal dengan keindahan dan kehalusan seni binanya. Kubahnya yang amat terkenal diliputi oleh batu-batu marmar yang mahal dan cantik bagi memperindahkan lagi seni binaannya. Malah, ia juga dikategorikan sebagai bangunan warisan dunia PBB. Kubah emasnya disalut emas hasil daripada bantuan Arab Saudi.

Kekeliruan mengenai Kubah Al-Sakhrah[sunting | sunting sumber]

Enver Pasha dan Jamal Pasha melawat Kubah Al-Sakhrah, Yerusalem.

Kubah Al-Sakhrah seringkali dianggap sebagai Masjid Umar yakni tempat Saidina Umar Al-Khatab bersembahyang ketika ditawarkan bersembahyang di gereja besar Kristian. Anggapan ini salah kerana Kubah Al-Sakhrah dan Masjid Umar ialah dua bangunan yang berbeza.

Kubah Al-Sakhrah juga sentiasa dianggap sebagai Masjid Al-Aqsa, sedang ia sebahagian daripada kompleks masjid tersebut.

Sekatan memasuki Kubah Masjid Al-Sakhrah[sunting | sunting sumber]

Tanda buat pelancong.

Mengikut undang-undang Taurat, orang Yahudi tidak dibenarkan melakukan sembahyang di Kubah Al-Sakhrah.

Sehingga pertengahan abad kesembilan belas, orang bukan Islam disekat darpada memasuki kawasan berkenaan. Semenjak tahun 1967, orang bukan Islam kadang kala dibenarkan masuk, tetapi orang bukan Islam dilarang bersembahyang di sini.[2]

Selepas Perdana Menteri Israel Ariel Sharon melawat kawasan ini pada tahun 2000, yang merupakan satu bentuk provokatif bagi membangkitkan kemarahan umat Islam, orang bukan Islam adalah dilarang memasuki kawasan ini.[3] Ia menyebabkan berlaku pentempuran Intifadah Kedua.

Pada tahun 2006, kawasan ini dibuka semula kepada orang bukan Islam secara percuma, kecuali pada hari Jumaat dan hari-hari raya orang Muslim, di antara 7-10 a.m. dan 12:30-1:30 p.m.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Nota kaki[sunting | sunting sumber]

Petikan teks[sunting | sunting sumber]

  • Peterson, Andrew (1994). Dictionary of Islamic Architecture (Kamus Seni Bina Islam). London: Routledge. ISBN 0-415-06084-2

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]