Kubur Panjang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kubur panjang merupakan sebuah pekan kecil di daerah Pendang, Kedah.

Legenda[sunting | sunting sumber]

Pekan kecil ini mengambil nama sempena sebuah kubur yang begitu panjang ukurannya jika dibandingkan dengan panjang kubur kebiasaannya. Menurut cerita orang-orang lama di sini, pada zaman dahulu terdapat dua saudara kembar yang begitu disegani dek kejaguhan mereka di dalam sukan sabung ayam. Kedua-duanya mempunyai ayam sabung masing-masing yang terkenal gagah di dalam penyabungan. Diringkaskan cerita, setelah tiada lagi ayam sabungan penduduk yang mampu menewaskan ayam mereka, maka timbullah pertarungan akhir yang menemukan ayam sabungan mereka berdua. Setelah kedua-dua ayam tersebut bertarung dengan hebatnya, ayam sabungan si adik telah menewaskan ayam sabungan si abang. Hiruk pikuk serta sorakan kemenangan telah bertukar menjadi ejekan menyebabkan si abang hilang pertimbangan lantaran terlalu marah dan menikam si adik. Si adik pulak dikatakan sempat membalas tikaman tersebut kepada abangnya. Kedua-dua mereka akhirnya mati lalu dikebumikan pada dua lokasi yang berbeza. Salah satu dari kubur mereka itu telah bertambah ukuran panjangnya hari demi hari, lalu menimbulkan misteri dikalangan penduduk. kampung mereka akhirnya dinamakan sempena kubur tersebut yang semakin hari semakin bertambah ukurannya. Maka hari ini, wujudlah sebuah pekan kecil yang dinamakan Kubur panjang.

Prasarana[sunting | sunting sumber]

Pekan kecil ini mempunyai prasarana yang agak cukup seperti kemudahan sekolah rendah dan sekolah menengah, klinik rakyat, pejabat pos mini, balai polis yang agak besar, kemudahan kedai-kedai runcit, gerai-gerai makanan, kedai-kedai buku, pasar mingguan, bengkel membaiki kenderaan dan tidak ketinggalan kemudahan kedai internet. Rata-rata penduduk di sini adalah berbangsa melayu sebagai kaum majoriti, cina, siam dan sedikit kaum india.