Kuil Luxor
Tempat masuk kuil (tonggak pedaka pertama) | |
| Lokasi | Luxor, Kegabenoran Luxor, Mesir |
|---|---|
| Wilayah | Mesir Hulu |
| Koordinat | 25°42′0″N 32°38′21″E / 25.70000°N 32.63917°E |
| Jenis | Tempat suci |
| Sebahagian daripada | Thebes |
| Sejarah | |
| Diasaskan | 1400 SM |
| Perincian tapak | |
| Nama rasmi | Kuil Luxor |
| Sebahagian dari | Thebes Purba dengan Nekropolisnya |
| Kriteria | Budaya: (i), (iii), (vi) |
| Rujukan | 87-002 |
| Inskripsi | Sesi 1979 (ke-3 ) |
| Kawasan | 7,390.16 he (28.5336 bt2) |
| Zon penampan | 443.55 he (1.7126 bt2) |
Kuil Luxor (Arab: معبد الأقصر) ialah kompleks kuil Mesir purba yang besar di tebing timur Sungai Nil, di bandar yang kini dikenali sebagai Luxor (Thebes pada zaman purba). Ia dibina sekitar tahun 1400 SM. Dalam bahasa Mesir purba, ia dikenali sebagai ipet resyt, "tempat suci selatan". Ia merupakan salah satu daripada dua kuil utama di tebing timur, satu lagi ialah Karnak.[1] Berbeza dengan kuil-kuil lain di Thebes, Kuil Luxor tidak ditujukan kepada mana-mana dewa tertentu atau firaun yang didewakan selepas mangkat. Sebaliknya, Kuil Luxor didedikasikan untuk memperbaharui kuasa dan kedudukan raja. Ramai firaun mungkin ditabalkan di sini — sama ada secara sebenar atau simbolik. Malah, Alexander Agung, pernah mendakwa bahawa baginda dimahkotakan di Luxor, walaupun kemungkinan besar baginda tidak pernah pergi sejauh itu ke selatan Memphis, berhampiran Kaherah moden.
Di bahagian belakang kuil terdapat bandarsah yang dibina oleh Amenhotep III daripada Dinasti ke-18, dan Alexander. Bahagian lain kuil dibina oleh Tutankhamun dan Ramesses II. Semasa era Rom, kawasan kuil ini dijadikan kubu tentera dan pusat pentadbiran Rom di kawasan tersebut. Salah sebuah bandarsah di dalam Kuil Luxor yang asalnya didedikasikan kepada dewi Mut kemudiannya diubah menjadi tempat pemujaan Rom, dan selepas itu menjadi gereja.[2]
Bersama tapak arkeologi lain di Thebes, Kuil Luxor telah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1979.[3]
Pembinaan
[sunting | sunting sumber]
Kuil Luxor dibina dengan batu pasir dari kawasan Gebel el-Silsila, yang terletak di Mesir Barat Daya.[4] Batu pasir ini dipanggil batu pasir Nubia.[4] Ia digunakan untuk pembinaan monumen di Mesir Hulu serta dalam kerja-kerja pemulihan masa silam dan moden.[4]
Seperti binaan-binaan Mesir lain, teknik biasa yang digunakan ialah simbolisme, atau ilusionisme.[5] Contohnya, bagi orang Mesir, sebuah tempat suci yang berbentuk seperti jakal Anubis sebenar-benarnya Anubis.[5] Di Kuil Luxor, kedua-dua obelisk (yang lebih kecil lebih dekat ke barat kini berada di Place de la Concorde di Paris) yang mengapit pintu masuk tidak sama tinggi, tetapi kedua-duanya mencipta ilusi yang sebaliknya.[5] Dengan susun atur kuil, dua obelisk tersebut nampak sama tinggi, tetapi menggunakan ilusionisme, ia meningkatkan jarak relatif sekali gus menjadikannya seolah-olah saiz yang sama dengan dinding di belakangnya. Secara simboliknya, ia satu kesan yang menggunakan visual dan ruang untuk menyerlahkan ketinggian dan jarak dari dinding, memperelokkan rupa laluannya.[5]
Penggalian
[sunting | sunting sumber]
Sejak Zaman Pertengahan, penduduk Luxor telah menetap di dalam dan sekitar kuil ini, di hujung selatan bukit.[1] Disebabkan ini, runtuhan telah terkumpul selama berabad-abad, sehinggakan terdapat sebuah bukit buatan setinggi kira-kira 14.5 hingga 15 meter (48 hingga 49 ka).[1] Kuil Luxor mula digali oleh Profesor Gaston Maspero selepas tahun 1884, sebaik sahaja beliau diberi kebenaran untuk memulakan operasi.[1] Penggalian tersebut berselang-seli sehingga tahun 1960. Setelah berzaman, sampah terkumpul dari berabad-abad telah menanam tiga suku Kuil Luxor, yang ada dewan dan kolonad (yakni barisan tiang) yang membentuk bahagian utama kampung moden Arab. Maspero sebenarnya menunjukkan minat lebih awal, dan beliau mengambil alih tugas Mariette Pasha untuk menyiapkan kerja tersebut pada tahun 1881. Selain timbunan tanah dan sampah, kawasan itu juga dipenuhi dengan berek tentera, stor, rumah, pondok, serta menara burung merpati yang perlu dirobohkan bagi menjalankan penggalian. (Sebuah masjid yang masih digunakan hingga kini kekal berada di dalam kawasan kuil dan tidak pernah dirobohkan.) Maspero menerima kebenaran daripada menteri kerja raya Mesir untuk mendapatkan dana bagi membayar pampasan kepada pemilik tanah yang rumah dan bangunannya perlu diambil untuk kerja penggalian itu.
Perayaan
[sunting | sunting sumber]
Kuil Luxor dibina semasa Kerajaan Baru dan didedikasikan untuk Triad Thebes yang terdiri daripada Amun, isterinya Mut, dan anak mereka Khonsu. Fokus Perayaan Opet tahunan, di mana patung Amun diarak menuruni Sungai Nil dari Kuil Karnak (ipet-sut) yang berdekatan untuk tinggal di sana seketika dengan isterinya Mut, adalah untuk menggalakkan kesuburan Amun-Ra dan firaun. Walau bagaimanapun, kajian lain di kuil ini oleh pasukan Epigraphic Survey telah memberikan tafsiran baharu sepenuhnya tentang Luxor dan perayaan tahunannya yang besar (Perayaan Opet).[6] Mereka menyimpulkan bahawa Kuil Luxor sebenarnya didedikasikan kepada pemerintah Mesir yang dianggap suci, atau lebih tepat lagi kepada pemujaan Ka Diraja (roh kehidupan diraja).[6] Contoh pemujaan ini boleh dilihat pada patung duduk besar Ramses II yang didewakan di hadapan Tonggak Pedaka dan di pintu masuk ke dewan tiang besar. Patung-patung ini ialah patung Ka, iaitu patung pemujaan firaun sebagai jelmaan Ka diraja.
Lebuh Sfinks dan perhentian-perhentian Keramat
[sunting | sunting sumber]
Lebuh Sfinks Luxor ini (dikenali sebagai wi.t ntr "jalan dewa"; طريق الكباش)[7] yang terbentang lurus sejauh kira-kira 2.7 kilometer (1.7 bt)[8] antara Kuil Luxor dan Kuil Karnak dihiasi dengan deretan sfinks berkepala manusia. Pada zaman purba, sfinks-sfinks ini menggantikan veri terdahulu yang mempunyai kepala berbeza.[9] Enam keramat tongkang, atau perahu suci, yang berfungsi sebagai tempat singgah bagi tongkang para dewa semasa perarakan perayaan, didirikan di sepanjang lebuh ini di antara Karnak dan Kuil Luxor.[9] Sepanjang lebuh tersebut, perhentian didirikan untuk upacara seperti Perayaan Opet yang mempunyai kepentingan kepada kuil.[9] Setiap perhentian mempunyai tujuan, contohnya perhentian keempat ialah perhentian Kamare, yang menyejukkan pendayung Amun.[9] Perhentian Kelima Kamare ialah perhentian yang menerima "keindahan Amun".[9] Akhirnya, Perhentian Keenam Kamare ialah kuil untuk Amun bergelar “Yang Suci di Tangga”.[9]
Pada abad ke-2 Masihi (tahun 126 TM), sebuah kuil kecil daripada batu lumpur dibina di halaman pemerintahan Nectanebo I dan didedikasikan untuk Serapis dan Isis. Kuil ini dipersembahkan kepada Maharaja Rom Hadrian pada hari keputeraan baginda.[10]
Masjid Abu Haggag
[sunting | sunting sumber]
Masjid Abu Haggag (مسجد أبو الحجاج بالأقصر) yang masih digunakan hingga kini terletak di dalam kompleks Kuil Luxor, dibina di atas tiang-tiang purba. Bahagian Kuil Luxor itu telah ditukar menjadi gereja oleh orang Rom pada tahun 395 Masihi, dan kemudian menjadi masjid sekitar 640 Masihi, menjadikannya tempat ibadah yang digunakan secara berterusan selama lebih daripada 3,400 tahun.[11]
Kerosakan
[sunting | sunting sumber]Pada 2013, seorang pelajar dari China menimbulkan kontroversi selepas menyiarkan gambar ukiran yang bertulis "Ding Jinhao pernah ke sini" (Cina ringkas: 丁锦昊到此一游) dalam bahasa Cina pada sebuah arca. Penemuan ini mencetuskan perdebatan tentang kesan peningkatan pelancongan setelah media mengesahkan seorang pelajar China yang menyebabkan pencacatan ini dan yang lain-lain. Grafiti tersebut sejak itu telah dibersihkan sebahagiannya.[12]
Galeri
[sunting | sunting sumber]-
Tempat Suci Kuil Luxor
-
Halaman matahari Amenhotep III
-
Lebuh Sfinks pada waktu malam
-
Tonggak pedaka dan obelisk Ramesses II
-
Deretan Tiang Besar
-
Keramat Tongkang Triad Thebes
-
Tonggak pedaka pertama pada waktu malam
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b c d Science, "Excavation of the Temple of Luxor," Science, 6, no. 6 (1885): 370.
- ^ "Chapel of Imperial Cult". Madain Project. Dicapai pada 10 April 2019.
- ^ "Ancient Thebes with its Necropolis". UNESCO World Heritage Centre. United Nations Educational, Scientific, and Cultural Organization. Dicapai pada 7 September 2021.
- ^ a b c Bernd Fitzner, Kurt Heinrichs, dan Dennis La Bouchardiere, "Weathering damage on Pharaonic sandstone monuments in Luxor-Egypt," Building and Environment, 38 (2003): 1089.
- ^ a b c d Alexander Badawy, "Illusionism in Egyptian Architecture," Studies in the Ancient Oriental Civilization, 35 (1969): 23.
- ^ a b Lanny Bell, "Luxor Temple and the Cult of the Royal Ka," Journal of Near Eastern Studies, 44, no. 4 (1985): 251.
- ^ Martina Minas-Nerpel (2018). "Pharaoh and Temple Building in the Fourth Century BCE" (PDF). Heidelberg University. m/s. 133.
- ^ Mansour Boraik (2017). "The Sphinxes Avenue Excavations to the East Bank of Luxor". Sustainable Conservation and Urban Regeneration. Sustainable Conservation and Urban Regeneration. Research for Development. m/s. 7–31. doi:10.1007/978-3-319-65274-0_2. ISBN 978-3-319-65273-3.
- ^ a b c d e f Charles Nims, "Places about Thebes," Journal of Near Eastern Studies, 14, no. 2 (1955): 114.
- ^ "Chapel of Serapis". Madain Project. Dicapai pada 26 May 2019.
- ^ Fletcher, Joann (2013). The Search For Nefertiti. Hachette. m/s. 27. ISBN 9781444780543. Dicapai pada 21 August 2019.
- ^ Hiufu Wong, CNN (27 May 2013). "Kemarahan warganet selepas pelancong China mencacatkan kuil Mesir". CNN.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]| Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Kuil Luxor |