Pergi ke kandungan

Kuil Salib

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kuil Salib
Map
Maklumat umum
JenisBangunan gereja, Kuil Buddha Sunting nilai ini di Wikidata
LokasiFangshan District
NegaraRepublik Rakyat China Sunting nilai ini di Wikidata
Koordinat39°44′35″U 115°54′06″T / 39.7431°U 115.9017°T / 39.7431; 115.9017
sunting · sunting di Wikidata
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Kuil Salib[a] ialah bekas tempat ibadat di Fangshan, Beijing. Kuil ini digunakan pada zaman-zaman yang berbeza oleh penganut Buddha dan Kristian Cina awal. Walaupun pada asalnya dibina sebagai kuil Buddha, sesetengah cendekiawan berpendapat bahawa ia digunakan oleh penganut Kristian semasa wangsa Tang (618–907). Kuil ini digunakan oleh penganut Buddha semasa wangsa Liao (916–1125) dan oleh penganut Kristian semasa wangsa Yuan (1271–1368). Kuil itu kembali digunakan oleh penganut Buddha semasa wangsa Ming (1368–1644), sebelum dijual pada tahun 1911. Ia pertama kali direkodkan dalam kesarjanaan moden pada tahun 1919, rosak semasa Revolusi Kebudayaan dan ditubuhkan semula sebagai tapak perlindungan peringkat kebangsaan pada tahun 2006. Sesetengah sarjana menganggapnya sebagai satu-satunya tempat ibadat Gereja Timur (juga dikenali sebagai Kristian Nestorian) yang ditemui di China.[b]

Hari ini, tapak ini mempunyai dua prasasti purba serta kerja asas dan tapak-tapak bagi beberapa tiang. Prasasti-prasasti tersebut berasal dari wangsa Liao dan Yuan, tetapi tulisannya telah diubah suai semasa wangsa Ming. Pada awal abad ke-20, dua blok batu yang diukir dengan salib dan corak lain juga ditemui di tapak tersebut, dengan salah satunya juga mempunyai tulisan dalam bahasa Suryani. Blok-blok tersebut kini dipamerkan di Muzium Nanjing.

Sejarah awal: Penggunaan oleh penganut Buddha

[sunting | sunting sumber]

Menurut prasasti wangsa Liao (916–1125) di tapak kuil, seorang sami Buddha bernama Huijing (惠靜) mula membina kuil itu pada tahun 317—tahun pertama pemerintahan Maharaja Yuan, pengasas wangsa Jin Timur (317–420).[5] Pada tahun 639, semasa wangsa Tang (618–907), seorang sami bernama Yiduan (義端) telah memperindah kuil itu.[5] Cendekiawan Wang Xiaojing mencadangkan bahawa pengarang prasasti zaman wangsa Liao itu tersilap, dan kuil itu sebenarnya dibina semasa wangsa Jin Akhir (936–947).[5] Nama biara semasa zaman Jin dan Tang tidak diketahui.[6]

Konteks agama Kristian Cina awal

[sunting | sunting sumber]

Selepas Majlis Efesus pada tahun 431 yang mengutuk Nestorius, patriark Konstantinopel, pengikutnya pergi ke Empayar Sasan dan menyertai Gereja Timur. Gereja Timur kemudiannya menghantar para mubaligh ke Asia Tengah, Arab, dan India serta menubuhkan kebiskopan metropolitan di bandar-bandar penting di sepanjang Laluan Sutera yang menuju ke China. Pada tahun 635, rahib Kristian Alopen sampai ke Chang'an (Xi'an moden), ibu kota Tang. Menurut cendekiawan Nicolas Standaert, masyarakat Kristian Nestorian "agak ramai" semasa wangsa Tang, terutamanya di bandar-bandar yang mempunyai banyak perdagangan asing, tetapi masyarakat ini "mungkin tidak begitu penting".[7] Pada tahun 845, Maharaja Wuzong dari Tang memulakan penindasan terhadap penganut Buddha di Huichang. Walaupun hasrat utama maharaja adalah untuk menindas penganut itu, baginda mengarahkan sami dan rahib bagi semua agama asing, termasuklah Kristian Nestorian untuk kembali kepada kehidupan awam. Sekitar masa yang sama, wangsa Tang hilang kawalan ke atas wilayah barat laut China moden dan laluan antara China dan Asia Tengah telah terputus. Walaupun agama Buddha bangkit semula daripada penindasan, Gereja Timur di China hilang bersama kebanyakan agama asing yang lain.[7]

Salah satu sumber utama agama Kristian Nestorian semasa zaman wangsa Tang ialah Prasasti Xi'an. Ia dibuat sekitar tahun 781 dengan teksnya ditulis oleh rahib Nestorian Adam. Teks ini mengandungi doktrin Kristian, sejarah Gereja Timur di China sejak tahun 635, pelbagai pujian dan senarai ahli paderi di China. Ia ditemui berhampiran Xi'an pada tahun 1620-an.[7]

Penganut Kristian Nestorian Asia Tengah berpindah ke utara China semasa abad ke-12 dan ke-13, walaupun tidak mungkin mereka mempunyai apa-apa hubungan dengan penganut Kristian Nestorian wangsa Tang. Pada awal abad ke-13, apabila orang Mongol menakluki utara China, sebahagian daripada penganut Kristian Nestorian ini memegang jawatan pentadbiran. Pada tempoh yang sama, Gereja Timur juga menubuhkan kawasan-kawasan metropolitan baharu di sepanjang laluan perdagangan ke China.[7] Wangsa Yuan (1271–1368) yang diperintah oleh Mongol meletakkan gereja dan hierarki Nestorian di bawah pentadbiran kerajaannya: jawatan Chongfu Si (崇福司; "Tadbiran Rahmat Mulia") ditubuhkan pada tahun 1289 untuk menyelia paderi dan amalan Nestorian, dan pentadbir pertamanya ialah seorang Arab Nestorian bernama Isa.[7] Agama Kristian di China menurun lagi selepas kejatuhan wangsa Yuan.[7] Mubaligh Nestorian di China mungkin berlepas bersama bekas pemerintah Mongol, warga-warga asing yang menukar agama dan pedagang asing, apabila mereka diusir dari China. Rekod-rekod wangsa Ming berikutnya (1368–1644) tidak menyebut sebarang keturunan Kristian Yuan.[7] Menurut cendekiawan Qiu Shusen, kebanyakan Nestorian era Yuan adalah orang Asia Tengah dari kasta Semu yang kemudiannya berasimilasi dengan budaya Han yang dominan semasa zaman Ming dan tidak lagi mengamalkan agama barat mereka. Hal ini akhirnya menyebabkan agama Kristian Nestorian lenyap di China.[8]

Wangsa Tang: Kemungkinan penggunaan oleh penganut Kristian

[sunting | sunting sumber]

Sesetengah cendekiawan mencadangkan bahawa Kuil Salib mungkin milik Gereja Timur di China semasa wangsa Tang (618–907). Cendekiawan Jepun P. Y. Saeki membuat agakan bahawa penganut yang melarikan diri dari ibu kota Tang, Chang'an (Xi'an moden) ke Youzhou dan Liaodong[c] semasa penindasan abad ke-9 di Huichang mula menggunakan kuil tersebut.[9] Tang Xiaofeng menunjukkan tulisan pada prasasti zaman Liao sebagai petunjuk bahawa salib Kristian terdapat di kuil itu sebelum wangsa Liao. Di samping itu, Tang mendakwa bahawa teks lain yang ditulis oleh Li Zhongxuan (李仲宣) pada tahun 987 menunjukkan kehadiran masyarakat Nestorian di Youzhou.[9] Namun, ahli sinologi British Arthur Christopher Moule percaya bahawa terdapat bukti yang tidak mencukupi untuk menunjukkan bahawa Gereja Timur di China telah tiba ke Beijing sebelum abad ke-13.[9]

  1. ↑ Kuil ini juga dikenali sebagai Biara Salib.[1][2]
  2. ↑ Penggunaan istilah "Nestoria" merujuk kepada Gereja Timur menimbulkan perbalahan. Sesetengah cendekiawan enggan menggunakan istilah itu, memetik implikasi berpotensi tentang hubungan langsung antara Gereja dan ahli teologi abad ke-5 Nestorius, yang dihukum kerana bidaah di Majlis Efesus—walaupun teologi agama Kristian Cina awal tidak sepenuhnya sepadan dengan pandangan yang dipegang oleh atau dikaitkan dengan Nestorius.[3] Walau bagaimanapun, Aprem Mooken, seorang biskop metropolitan dalam Gereja Assyria Timur telah mengalu-alukan penggunaan istilah itu, menyatakan bahawa "nama Gereja Nestoria tidak tanpa penghormatan dalam sejarah mubaligh Gereja [...] Terutamanya di China, nama Gereja Nestoria merupakan nama yang terhormat."[4] Rencana ini akan menggunakan istilah "Nestoria" dan "Gereja Timur di China" secara bergantian.
  3. ↑ Kedua-dua Youzhou dan Liaodong merupakan wilayah di timur laut Empayar Tang. Youzhou ialah negeri yang mencakupi wilayah Beijing moden.
  1. ↑ Drake 1962, m/s. 23.
  2. ↑ Nicolini-Zani 2011, m/s. 356.
  3. ↑ Hofrichter 2006, m/s. 12–14.
  4. ↑ Mooken 2018, m/s. 71.
  5. 1 2 3 Wang 2018.
  6. ↑ Tang & Zhang 2018.
  7. 1 2 3 4 5 6 7 Standaert 2001.
  8. ↑ Qiu 2002.
  9. 1 2 3 Tang 2011a.
  • Li, Xue (27 April 2015). "北京十字寺遗址保护面临困境" [Pemeliharaan tapak Kuil Salib di Beijing mengalami kesukaran]. China Culture Daily 中国文化报 (dalam bahasa Cina). Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Disember 2025.

Disertasi

[sunting | sunting sumber]

Bacaan lanjut

[sunting | sunting sumber]