Kumkuat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Kumkuat
Dedaun dan buah Kumkuat Malaya
Pengelasan saintifik
Alam: Plantae
Divisi: Magnoliophyta
Kelas: Magnoliopsida
Order: Sapindales
Keluarga: Rutaceae
Genus: Citrus
Subgenus: Fortunella
(Swingle) Burkill
Spesies

Rujuk teks

Kumkuat ialah pokok renek atau pokok kecil yang lambat tumbuh dan malar hijau, dari tinggi 2.5–4.5 meter, berdahan tebal, kadang-kadang berduri halus. Daunnya hijau tua berkilat, dan bunganya puith tulen, serupa dengan bunga sitrus lain, berbuah satu-satu atau secara berkelompok dalam ketiak daun.

Limau kumkuat berasal dari China (disebut dalam sastera sejak abad ke-12), dan ditanam di sana dan di Jepun sejak sekian lama. Limau ini diperkenalkan ke Eropah pada tahun 1846 oleh Robert Fortune, seorang pengumpul untuk Persatuan Hortikultur London, dan tidak lama kemudian ke Amerika Utara. Mula-mulanya digolongkan dalam Citrus, limau ini dipindahkan ke genus Fortunella pada tahun 1915, namun kaji selidik seterusnya (Burkill 1931, Mabberley 1998) mendukung kembalinya limau kumkuat ke Citrus.

Kini diterima empat atau lima spesies:

  • Citrus crassifolia (syn. Fortunella crassifolia) - Kumkuat Meiwa. Biasanya dimakan segar, tanpa mengupas kulitnya, dan jarang dimasak.
  • Citrus hindsii (syn. Fortunella hindsii) - Kumkuat Hong Kong
  • Citrus japonica (syn. Fortunella japonica, C. margarita, F. margarita) - Kumkuat Marumi atau Nagami. Masam, dihargai kerana kekal segar di pokok lebih lama, biasanya dimasak atau dikupas.
  • Citrus obovata (syn. Fortunella obovata) - Kumkuat Jiangsu atau Fukushu
  • Citrus polyandra (syn. Fortunella polyandra) - Kumkuat Malaya

Pokok limau kumkuat mudah berkacuk dengan ahli-ahli lain dalam genus Citrus dan dengan Poncirus yang rapat pertaliannya.Kacukan-kacukan ini dikenali sebagai Citrofortunella; contoh-contohnya termasuk limequat, orangequat, dan calamondin.

Di luarannya, buah limau kumkuat menyerupai sebiji oren yang bujur, panjangnya 3–5 sentimeter dan lebarnya 2–4 sentimeter. Bergantung kepada jenisnya, warna kulitnya antara kuning hingga merah. Kumkuat Nagami berbentuk bujur, manakala kumkuat Marumi bulat.

Buah kumkuat lazimnya bermusim dari lewat musim luruh hingga pertengahan musim sejuk, dan boleh didapati dalam kebanyakan pasar makanan dengan hasil-hasil pertanian lain.

Khasiat[sunting | sunting sumber]

Buah kumkuat dijadikan manisan dan paling banyak dijual di Pulau Pinang dan Melaka. Buah yang masak dimakan mentah bersama kulitnya atau dibuat acar, jem, jeli, manisan, sirap dan jeruk.

Kegunaan lain[sunting | sunting sumber]

Kumkuat ditanam di dalam pasu sebagai tanaman hiasan popular di Malaysia menjelang Tahun Baru Cina. Buah kumkuat yang berwarna kuning emas menjadi kegemaran kaum Cina kerana warna emas menjadi simbol kekayaan yang abadi dan buah yang lebat menjadi simbol sesuatu yang lumayan.