Kumpulan Bentong

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kumpulan Bentong merupakan kumpulan batuan yang merujuk kepada formasi-formasi batuan berusia Paleozoik yang berjujukan di sepanjang kaki Banjaran Besar di Semenanjung Malaysia. Nama Kumpulan Bentong pada masa kini tidak lagi digunapakai berdasarkan perkembangan kajian geologi semasa.

Taburan[sunting | sunting sumber]

Kumpulan Bentong bertaburan di sepanjang Zon Sutura Raub - Bentong di mana berlakunya pertembungan 2 kepingan tektonik semasa usia Trias.

Batuan daripada kumpulan ini terdapat di sempadan Thailand di bahagian utara hingga ke Muar, Johor di bahagian selatan

Sejarah Pengkajian[sunting | sunting sumber]

Kajian mengenai batuan-batuan yang wujud di sepanjang kaki Banjaran Besar telah pun dilaksanakan Richardson (1939) yang membahagikan jujukan batuan sekitar Raub kepada Formasi Berkapur Permo-Karbon dan Formasi Berarenit Trias.

Formasi Berarenit Trias yang banyak tersingkap di kawasan kaki Banjaran Besar kemudian juga dikenali sebagai Formasi Kaki Bukit (Foothills Formation) oleh Richardson (1946).

Formasi Berarenit Trias dikelaskan lagi kepada Siri Berarenit Tua dan Siri Berarenit Muda, seterusnya Alexander (1959) menjenamakan siri batuan ini masing-masing kepada Kumpulan Bentong dan Kumpulan Lipis.

Alexander (1959, 1968) cuba memperluaskan penggunaan Kumpulan Bentong ke sepanjang jujukan batuan di sepanjang Zon Sutura Raub - Bentong.

Pengkajian batuan-batuan dalam Kumpulan Bentong di Semenanjung Malaysia berbeza mengikut kawasan dengen lebih terperinci kecuali kawasan lebih utara dari Bentong yang kini dikenali sebagai Kumpulan Gua Musang (Kamal Roslan et al., 2016).

Kawasan Bentong - Raub[sunting | sunting sumber]

Kajian di kawasan Bentong - Raub dilakukan oleh Alexander (1968) dan Haile et al. (1977).

Pengelasan ahli-ahli batuan Kumpulan Bentong di kawasan Bentong - Raub
Berdasarkan Alexander (1968) Berdasarkan Haile et al. (1977)
Siri arenit tua Terdiri daripada lapisan sedimen jenis flysch merangkumi konglomerat, kuarzit bermika dan subgreiwak, syal - filit - syis dan rijang berkarbon (Kumpulan Raub)
Lapisan Merah
  • Unit termuda yang terdiri daripada selang lapis konglomerat, batu pasir dan batu lumpur kemerahan.
  • Mempunyai pelapisan landai, tidak terlipat dan tidak termetamorf.
  • Tiada fosil ditemui.
  • Haile et al. (1977) mencadangkan usia Karbon atau lebih tua, tetapi ciri tidak termetamorf dan asalan pengendapan daratan mencadangkan usia lebih muda seperti Jura - Kapur, seterusnya perlu dikeluarkan daripada Kumpulan Bentong.
Rijang / argilit
  • Terdiri daripada rijang radiolaria, syal, batu lodak dan batu pasir.
  • Mengalami pelipatan tetapi belum termetamorf kuat.
  • Ditafsirkan berusia Devon Akhir - Karbon Awal oleh Spiller dan Metcalfe (1995a, b).
Siri syis Terdiri daripada syis kuarza dan grafit bersama filit, sabak dan honfels, syis garnet, syis amfibol Syis
  • Terdiri daripada syis kuarza - mika, syis kuarza - grafit dan syis amfibol.
  • Mengalami pelipatan dan canggaan lebih kuat berbanding unit lain.
  • Lim (1972) mencadangkan unit ini dimasukkan ke dalam fasies syis hijau.
  • Haile et al. (1977) mencadangkan unit ini dipisahkan dengan unit di atasnya oleh ketidak selarasan atas faktor perbezaan canggaan yang ketara.

Kawasan Karak[sunting | sunting sumber]

Kajian di kawasan Karak dilakukan oleh Jaafar (1976), di mana keseluruhan batuan sedimen yang terdapat di kawasan ini dirangkumkan sebagai Formasi Karak. Namun begitu, penggunaan Formasi Karak bagi kesemua unit batuan adalah tidak tepat kerana perbezaan yang ketara dari aspek metamorfisme.

Pengelasan oleh Haile et al. (1977) digunapakai bagi jujukan batuan Kumpulan Bentong di kawasan Karak. Apa yang membezakan dengan kawasan Bentong - Raub ialah wujudnya Unit Batu Kapur di bahagian teratas Formasi Karak yang berusia Perm Awal.

Kawasan Genting Sempah[sunting | sunting sumber]

Kajian oleh Alexander (1968) ke atas jasad batuan sisa bumbung atas batuan granit mencadangkannya sebagai sebahagian daripada Kumpulan Bentong yang terdiri daripada 4 unit batuan.

Pengelasan ahli-ahli batuan Kumpulan Bentong di kawasan Genting Sempah
Berdasarkan Alexander (1968) Ciri-ciri
Riolit dan dasit Batuan riolit berusia Perm Awal berdasarkan Bignell (1972).
Jujukan lapisan merah konglomerat dan tuf ignimbrit (kemudian Konglomerat Sempah) Konglomerat Sempah mungkin berusia Karbon Awal atau Devon berdasarkan Haile (1970) kemudian disangkal dan dikorelasikan sama ada dengan unit sedimen daratan Kumpulan Gagau atau unit Lapisan Merah berdasarkan Haile et al. (1977) seterusnya bukan ahli Kumpulan Bentong sekiranya berusia Jura - Kapur.
(ketidak selanjaran)
Jujukan rijang - argilit (kemudian Rijang Gombak)
  • Penemuan fosil radiolaria oleh Spiller dan Metcalfe (1995a, b) mencadangkan usia Devon Akhir hingga Karbon Awal.
  • Oleh itu, Rijang Gombak boleh dikorelasikan dengan Unit Rijang / Argilit di kawasan Bentong - Raub.
(sesar)
Jujukan syis (kemudian Syis Selut) Berkemungkinan boleh dikorelasikan dengan Unit Syis di kawasan Bentong - Raub.

Kawasan Kuala Kelawang[sunting | sunting sumber]

Kajian geologi batuan di kawasan Kuala Kelawang dilaksanakan oleh Shu (1989) di mana pencirian sebagai ahli-ahli Kumpulan Bentong diaplikasikan ke atas Konglomerat Kelintau, Lapisan Pelong dan Syis Jelebu.

Pengelasan ahli-ahli batuan Kumpulan Bentong di kawasan Kuala Kelawang
Ahli Ciri-ciri
(Formasi Semantan)
(ketidak selanjaran)
Konglomerat Kelintau
  • Ahli paling muda.
  • Berusia Karbon.
  • Terdiri daripada batu pasir dan konglomerat dengan sedikit lapisan merah, didominasi ciri berudit.
(ketidak selanjaran)
Lapisan Pelong
  • Berusia Devon.
  • Terdiri daripada subgreiwak, kuartzit, rijang dan sabak.
(ketidak selanjaran)
Syis Jelebu
  • Ahli paling tua.
  • Berusia Ordovisi hingga Silur.
  • Terdiri daripada syis dan filit, dengan amfibolit syis paling biasa dan sedikit serpentinit.

Kawasan Kuala Pilah[sunting | sunting sumber]

Kajian geologi batuan di kawasan Kuala Pilah dilaksanakan oleh Khoo (1990) menemukan jujukan Formasi Semantan, Lapisan Kepis dan Syis Jelebu yang dipisahkan secara tidak selanjar, di mana hanya Syis Jelebu sahaja yang boleh dikorelasikan dengan Kumpulan Bentong.

Kajian oleh Spiller dan Metcalfe (1995) dan Basir dan Che Aziz (1997) berjaya menemukan singkapan rijang - argilit di kawasan Langkap (kemudian dinamakan sebagai Rijang Langkap) dan dikorelasikan dengan Kumpulan Bentong.

Pengelasan ahli-ahli batuan Kumpulan Bentong di kawasan Kuala Pilah
Ahli Ciri-ciri
(Formasi Semantan)
(ketidak selanjaran)
(Lapisan Kepis, termasuk Ahli Marmar Jelai)
  • Berusia Perm Awal.
  • Didominasi oleh batuan metasedimen seperti sabak, filit, metabatupasir dan metakonglomerat dengan sedikit syal dan batu lumpur berfosil serta marmar.
(ketidak selanjaran)
Rijang Langkap
  • Berusia Devon Akhir hingga Karbon Awal.
  • Boleh dikorelasikan dengan Unit Rijang / Argilit di kawasan Bentong - Raub.


(ketidak selanjaran)
Syis Jelebu
  • Terdiri daripada syis kuarza - mika dan syis bergrafit dengan sedikit honfels, filit, kuatzit dan syis ciastolit. Jalur-jalur rijang dan serpentinit juga terdapat di kebanyakan tempat.
  • Satu-satunya unit yang setara dengan Kumpulan Bentong.

Kawasan Durian Tipus[sunting | sunting sumber]

Kajian geologi batuan di kawasan Durian Tipus oleh Loganathan (1993) menggunapakai penamaan oleh Shu (1989) iaitu Syis Jelebu, Lapisan Pelong dan Konglomerat Kelintau dengan penemuan jujukan batuan dan persempadanan secara ketidak selanjaran yang sama.

Apa yang membezakan ialah penentuan usia Konglomerat Kelintau kerana lapisan ini masih menunjukkan ciri landai yang kurang mengalami canggaan berbanding unit-unit di bawah.

Pengelasan[sunting | sunting sumber]

Pembahagian ahli-ahli batuan dalam Kumpulan Bentong mula-mula sekali dilakukan oleh Alexander (1968) kepada 4 unit litologi iaitu rudit, arenit, lutit dan berijang tetapi gagal memasukkan unit syis yang banyak tersingkap di bahagian barat.

Tjia (1987) kemudian mengelaskan kumpulan ini kepada 4 jenis iaitu serpentinit, syis kuarza-mika, batu kapur dan klastik-rijang.

Khoo (1990) seterusnya mencadangkan keseluruhan batuan Paleozoik di kaki Banjaran Besar sebagai Kumpulan Bentong yang terdiri daripada 2 unit utama iaitu unit syis dan unit arenit - argilit tetapi kurang sesuai kerana masukan Formasi Kepis yang dilakukan tidak sesuai atas faktor usia batuan yang ketara.

Berdasarkan kajian-kajian yang telah dilaksanakan, jujukan batuan yang sebelum ini berada dalam Kumpulan Bentong mungkin hanya terdiri daripada unit syis dan unit rijang sahaja yang boleh dikorelasikan seperti berikut:

Usia Bentong - Raub Karak Genting Sempah Kuala Kelawang Durian Tipus Kuala Pilah
Jura hingga Kapur? (Unit lapisan merah) (Konglomerat Sempah) (Konglomerat Kelintau)
Trias (Formasi Semantan)
Perm Awal Unit batu kapur (Riolit dan dasit) - (Lapisan Kepis)
Devon Akhir hingga Karbon Awal Unit rijang / argilit Rijang Gombak - Rijang Langkap
Devon - - Lapisan Pelong? -
Ordovisi hingga Silur Unit syis Syis Selut Syis Jelebu


Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Alexander, J. B., 1959. Geology and Palaentology in Malaya: Pre-Tertiary Stratigraphic Succession in Malaya. Nature, 183, 230-31.
  2. Alexander, J. B., 1968. Geology and Mineral Resources of the Bentong Area, Pahang. Geological Survey Malaysia, Ipoh. 250 p.
  3. Basir Jasin, Che Aziz Ali
  4. Bignell, J.D., 1972. The geochronology of the Malayan granites. PhD Thesis.
  5. Jaafar Ahmad, 1976. The geology and mineral resources of the Karak and Temerloh area, Pahang. Geol. Surv. Mal. Dist. Mem., 15, 127 pp.
  6. Haile, N.S., 1970. Rhyolitic and granitic rocks around Genting Sempah, Selangor and Pahang, Malaysia, with a definition of a proposed ner formation, the Sempah Conglomerate. Geol. Soc. Malaysia, Ipoh Discussion Meeting Abstracts, 1-4.
  7. Haile, N.S., Stauffer, P.H., Krishnan., Lim, T.P., Ong, G.B., 1977. Paleozoic redbeds and radiolarian chert: reinterpretation of their relationships in the Bentong and Raub areas, Pahang, Peninsular Malaysia. Mull. Geol. Soc. Malaysia no.8, pp.45-60.
  8. Kamal Roslan Mohamed, Nelisa Ameera Mohamed Joeharry, Mohd Shafeea Leman, Che Aziz Ali, 2016. The Gua Musang Group: A newly proposed stratigraphic unit for the Permo-Triassic sequence of Northern Central Belt, Peninsular Malaysia. Bulletin of the Geological Society of Malaysia, 62:131-142.
  9. Khoo, H. P., 1990. Stratigraphy of the “Main Range Foothills” Area of Peninsular Malaysia. Proc. Geol. Soc. Mal. Ann. Conf., 1990. Tech. Papers, 2, p.128-134.
  10. Lim, 1972
  11. Loganathan, P., 1993. Geology and mineral resources of the Durian Tipus area, Negeri Sembilan Darul Khusus. Geol. Surv. Mal. Map Rep., 6, 118 pp.
  12. Richardson, J.A., 1939.The Geology and Mineral Resources of the Neighbourhood of Raub, Pahang, Federated Malay States. Geological Survey Department Federation of Malaya, Ipoh. 25 p.
  13. Richardson, J.A., 1946. The stratigraphy and structure of the Arenaceous Formation of the Main Range foothills, F.M.S., Geol. Mag. 83, 217-29.
  14. Shu, Y. K., 1989. Geology and Mineral Resources of the Kuala Kelawang Area, Jelebu, Negeri Sembilan. Geol. Surv. Mal. Dist. Mem., 20, 208 pp.
  15. Spiller, F. C. P. & Metcalfe, I., 1995a. Late Paleozoic radiolarians from the Bentong-Raub suture and the Semanggol Formation of Peninsular Malaysia- initial results. J. Southeast Asian Earth Sci. 11(3), 217-224.
  16. Spiller, F. C. P. & Metcalfe, I., 1995b. Paleozoic and Mesozoic radiolarian biostratigraphy of Peninsular Malaysia. Proceedings of IGCP Symposium on Geology of SE Asia,Journal of Geology ser. B. Hanoi 5/6, 75-93.
  17. Tjia, H.D., 1987. Olistostrome in the Bentong area, Pahang. Warta Geologi, 13(3), 105-111. ?