Infinatez

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Kumpulan Infinatez)

Infinatez (INF) merupakan sebuah kumpulan vokal harmoni Malaysia yang memperjuangkan RnB, Soul dan A Cappella dengan suntikan unsur-unsur seperti pop, nu jazz dan hip hop, dan dianggotai oleh lima orang vokalis yang mempunyai tahap vokal, keistimewaan dan kemahiran yang tersendiri.[1]

Infinatez atau singkatan yang sering digunakan, INF, dianggotai oleh Andy Ariffin Merican (Andy, lahir 1983), Muhammad Yasir Syah Abdul Aziz (Syahans, lahir 1985), Danial Mohd Hashim (Danial, lahir 1983), Mohd Rafiq Mohd Taib (Rafiq, lahir 1984) dan Alvin Mahathir Yunus (Alvin, lahir 1981) dan sepanjang penubuhannya sejak tahun 2004 melihat Infinatez mengalami fasa perubahan ahli sebanyak tiga kali.

Pada pertengahan tahun 2005, Infinatez telah menerbitkan demonstrasi pertama mereka, diberi tajuk "The Beginning" yang mengandungi empat buah lagu, termasuk intro dan outro asli, ciptaan dan terbitan mereka sendiri. Antara pengaruh muzik Infinatez adalah Boyz II Men, Innuendo, VE, Ruffedge, All 4 One, Jodeci, Azyet, Dru Hill, Drop N Harmony, dan Sixth Day.


Sejarah penubuhan[sunting | sunting sumber]

Bermula daripada sebuah kumpulan Acappella yang diberi nama "Solemn", kumpulan ini telah menemui Hafeez dan Rafiq. Setelah kumpulan tersebut dibubarkan, bersama dengan seorang lagi sahabat mereka yang juga merupakan pengasas terawal Infinatez, Amir Erwan bin Ahmad Khalili, merancang untuk menubuhkan sebuah kumpulan baru dengan bantuan Shah Hans.

Oleh kerana perbezaan matlamat, kumpulan yang masih tidak bernama itu berpecah kepada dua kumpulan dengan Rafiq dan Shah Hans di satu pihak, sementara Hafeez dan Amir berada dalam satu pihak yang lain, namun komunikasi dan hubungan persahabatan di antara mereka masih dikekalkan. Maka kedua-dua kumpulan ini berhempas pulas mencari bakat-bakat baru bagi melengkapkan barisan kumpulan masing-masing.

Rafiq telah menyertai uji bakat untuk menyertai pertandingan berbentuk realiti yang diterbitkan oleh 8tv, iaitu Malaysian Idol yang diadakan di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Peluang tersebut telah digunakan oleh Rafiq dan Shah Hans untuk mencari bakat-bakat untuk diserap ke dalam kumpulan mereka yang pada ketika itu menggunakan nama "Extreme Luscious". Shah Hans menjemput Hafeez dan Amir untuk memberi sokongan kepada Rafiq di samping membantu beliau memilih calon yang sesuai untuk melengkapkan barisan kumpulannya.

Uji bakat tersebut telah menemukan keempat-empat mereka dengan Wan Syaiful yang juga merupakan peserta uji bakat tersebut. Bertempat di bawah tangga Berjaya Times Square, Syaiful diterima masuk ke dalam gerombolan vokalis yang tidak bernama itu. Hafeez dan Amir akhirnya berjaya dipujuk untuk bersama kembali bagi melengkapkan kumpulan tersebut. Maka pada tanggal 9 Jun 2004, Infinatez dilahirkan.

Pendedahan awal[sunting | sunting sumber]

Selang beberapa bulan selepas penubuhannya, Infinatez telah dijemput menyertai pertandingan berbentuk realiti yang diterbitkan oleh Astro, iaitu Blast Off musim pertama. Bagi melayakkan diri untuk menyertai pertandingan tersebut, Infinatez terpaksa melalui uji bakat dan Infinatez telah memilih untuk ke Johor Bahru, Johor. Pelbagai suka duka yang terpaksa ditempuhi sepanjang berada disana.

Berkat kesabaran dan kesungguhan mereka, akhirnya Infinatez berjaya melayakkan diri dan muncul buat pertama kali, bersama kumpulan-kumpulan vokal harmoni yang lain seperti Soul Dinero dan Siarra, di kaca televisyen sebagai peserta dalam rancangan Blast Off musim pertama dan berjaya melayakkan diri sehingga ke peringkat suku akhir sebelum tersingkir kerana undian yang tidak mencukupi.

Sejak dari saat itu, Infinatez tidak lagi memandang ke belakang dan terus mendapat peluang membuat persembahan di majlis-majlis rasmi dan gig di dalam dan luar Lembah Klang.

Pertukaran ahli[sunting | sunting sumber]

Tahun 2005 menyaksikan pengunduran Amir Erwan daripada Infinatez. Ini telah mengakibatkan Infinatez terpaksa bergerak secara berempat selama beberapa bulan sebelum Andy, bekas anggota kumpulan vokal Crescendo, dimasukkan sebagai pengganti selepas membantu Infinatez untuk beberapa persembahan.[2]

Tahun 2006 pula melihat Infinatez kehilangan seorang lagi ahli, iaitu Syaiful. Namun kekosongan itu telah diisi oleh seorang vokalis yang tidak kurang hebatnya, iaitu Danial, bekas ahli kumpulan vokal Quizziclez.

Hujung tahun 2006 Alvin dari Fourvoices telah menggantikan Hafeez yang ingin menumpukan lebih perhatian dalam bidang guaman. Alvin merupakan kenalan Infinatez sejak awal penubuhan kumpulan ini.

Pengaruh[sunting | sunting sumber]

Setiap ahli kumpulan Infinatez dipengaruhi oleh berbagai genre muzik. Sebagai contoh, Hafeez lebih banyak mendengar dan mengkaji lagu-lagu daripada kumpulan-kumpulan vokal yang lebih eksotik seperti The Gospellers (Kumpulan A Cappella dari Jepun), A Cappella7 (dari Thailand), Jamaican Cafe (dari Indonesia). Andy pula lebih banyak memvariasikan pendengarannya kepada RnB 90-an dan New Jack Swing seperti Silk, Coming of Age, Shai, Joose atau Profyle. Namun pengaruh-pengaruh RnB yang lebih moden, Fusion dan Nu Soul tetap diaplikasikan terutamanya penghasilan daripada 112, Usher, Alicia Keys, Dru Hill dan sebagainya.

Sebagai kumpulan yang lahir dari Malaysia, pengaruh tempatan ternyata tidak dapat dielakkan. Kumpulan-kumpulan vokal harmoni tempatan seperti Shades, Innuendo, Kool, VE dan RuffEdge tetap menjadi pilihan utama. Malah Infinatez kerap menggunakan lagu-lagu dari kumpulan-kumpulan tersebut sama ada untuk persembahan atau latihan. Tidak ketinggalan juga pengaruh besar daripada kumpulan vokal nasyid seperti Raihan dan Mirwana.

Gang Starz[sunting | sunting sumber]

Infinatez telah memasuki pertandingan akhir Gang Starz di TV3. Infinatez penah diundi keluar tetapi dimasukkan semula setelah memenangi acara 'wild card' yang membolehkan kumpulan ini memasuki pertandingan akhir. Di pertandingan akhir, kumpulan Infinatez telah berduet dengan Nurul menerusi lagu Seiring dan Sejalan.

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

Pada pertengahan tahun 2005, Infinatez telah melakukan langkah yang drastik bagi memecahkan kesunyian industri RnB underground dengan menerbitkan demonstrasi professional mereka yang diberi tajuk the beginning.

Hasil yang diterbit dan diedarkan secara terhad itu sedikit sebanyak membantu infinatez dari segi memperkenalkan kumpulan tersebut kepada massa yang lebih luas dan telah mendapat pujian di samping kritikan positif yang diberikan oleh pendengar mereka.

senarai lagu di dalam The Beginning: 1-infitro 2-Disini Bermula 3-In Luv Again 4-Diziz How We Do 5-Puteri 6-Infoutro

setiap lagu di dalam penghasilan tersebut adalah hasil usaha ciptaan anggota-anggota infinatez sendiri termasuk penghasilan melodi, lirik, susunan vokal, susunan muzik dan proses rakaman.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Infinatez tampil dengan Paparazzi". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-09-02. Dicapai pada 2018-09-02.
  2. ^ Temubual Eksklusif Bersama Andi Bekas Ahli Infinatez

Pautan luar[sunting | sunting sumber]