Kumpulan Karangkraf

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Kumpulan Media Karangkraf Sdn. Bhd., juga dipendekkan kepada Karangkraf, merupakan sebuah syarikat yang diasaskan oleh Dato' (Dr.) Hussamuddin bin Haji Yaacub pada 1978. Majalah pertama yang diterbitkan ialah Majalah Mingguan Kanak-kanak yang seterusnya disusuli oleh akhbar tabloid mingguan iaitu Bacaria, Watan, Media Hiburan, Majalah Remaja Majalah Nona dan sebagainya.

Pasaran dalan bahan bacaan bahasa Melayu yang menggalakkan mendorong kepada peningkatan judul yang diperkenalkan oleh Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd yang ketika itu terletak di Taman Tun Dr Ismail dan Jalan Penchala, Petaling Jaya, Selangor. Pada penghujung 2002 Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd telah berpindah ke kompleks barunya di Shah Alam, Selangor yang dikenali sebagai kompleks Karangkraf. Bangunan berwarna ungu ini terletak di atas tapak seluas 12.5 ekar yang menempatkan kesemua operasi Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd di bawah satu bumbung.

Sehingga 2008, Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd telah menerbitkan sejumlah 29 judul terbitan cetak. Pada 2010, Karangkraf mempunyai lebih 1,400 orang kakitangan di seluruh Malaysia.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Tindakan seorang pelajar tahun akhir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Haji Hussamuddin Haji Yaacob, menerbitkan sebuah buku ‘Kajian Sejarah Melayu’ pada tahun 1977, menjadi titik tolak bermulanya sejarah Kumpulan Media Karangraf Sdn Bhd (Karangkraf). Suntikan semangat sebenarnya datang daripada ayahandanya, Allahyarham Haji Yaacob Idris yang berjaya membesarkan anak-anak dengan cuma hasil kedai kecil ‘Toko Buku Yaacob Idris’

Kejayaan buku sulung terbitannya telah membakar semangat beliau untuk muncul sebagai penerbit berjaya. Langkah awal ialah menubuhkan Kumpulan Media Karangkraf. Sdn. Bhd. pada 1978, bersama-sama saudara-saudaranya, Haji Fickri Haji Yaacob dan Muhd. Nasir Haji Hamzah. Sebuah rumah sewa di SS 2, Petaling Jaya dijadikan pejabat operasi sekaligus kediaman mereka.

Sejak itu, Karangkraf terus mengorak langkah dengan menubuhkan beberapa anak syarikat, antaranya Karangkraf Edar, Karya Bestari, Keluarga Communication, Bistari Distributor dan Karangkraf Cetak Sdn. Bhd.

Antara penerbitan awal Kumpulan Media Karangkraf ialah majalah Mingguan Kanak-Kanak yang pernah mencapai edaran 159,000 naskhah seminggu. Penerbitan ini diikuti dengan penerbitan majalah Gelihati, majalah Remaja dan Bacaria di samping turut menjadi pengedar kepada 14 penerbitan lain, antaranya majalah Sarina, majalah Kisah Cinta, Watan, Alam Wanita dan Majalah Koleksi. Pada 1981 lagi, syarikat ini telah muncul sebagai pengedar akhbar dan majalah bumiputera terbesar di Malaysia.

Pada Januari 1983, Karangkraf diperkasakan dengan penubuhan Kumpulan Media Karangkraf yang diterajui sendiri oleh Haji Hussamuddin, manakala abangnya, Mohd. Fahim menjadi Pengerusi.

Pada 28 November 1984, Kumpulan Akhbar Watan (KJ) yang ditubuhkan empat bulan sebelum itu telah menggabungkan tokoh politik terkemuka Tan Sri Mohd. Khir Johari (bekas menteri) sebagai Pengerusi dan Haji Hussamuddin sebagai Pengarah Urusan yang menerajui kemunculan semula akhbar Watan (yang diambil alih daripada penerbit sebelumnya, Pustaka Antara).

Dari sebuah rumah sewa, Kumpulan Media Karangkraf memperkukuh operasi dengan memiliki bangunan 3 blok, 3 tingkat di No. 50 & 52, Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, sebagai premis perniagaan. Begitu juga dengan jumlah kakitangan yang bertambah secara mendadak selaras dengan keperluan majalah-majalah yang diterbitkannya.

Namun begitu, sebagai sebuah syarikat penerbitan yang berdaya maju, suatu ‘lompong’ yang perlu dilengkapi ialah urusan pencetakan. Syarikat berasa sudah tiba masanya memiliki syarikat pencetakan sendiri, sekaligus tidak bergantung harap dengan syarikat pencetakan lain untuk mengeluarkan majalah-majalah terbitannya.

Maka, tertubuhlah Ultimate Print Sdn. Bhd. (UPSB). Kesungguhan dan keyakinan membolehkan UPSB bergerak pantas walaupun terpaksa menempuhi pelbagai ranjau dan cabaran.

UPSB mampu mencetak sehingga 2 juta naskhah setiap bulan dilengkapi dengan pelbagai jenis mesin yang canggih di samping para pekerja mahir. Oleh sebab itu, UPSB telah dianugerahkan sijil antarabangsa ISO 9001:2000 pada Oktober 2004.

UPSB dan Kumpulan Media Karangkraf bergerak seiring. Pada Oktober 2003, dengan jumlah 27 judul, Kumpulan Media Karangkraf telah diiktiraf sebagai penerbit majalah bahasa Melayu terbanyak oleh Malaysian Book of Records. Anugerah disampaikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu, Datuk Seri Rafidah Aziz.

Kumpulan Media Karangkraf terus merancakkan nadi industri penerbitan tanah air. Penubuhan Alaf21 pada April 1997 dan Buku Prima Sdn Bhd pada 2006 memberi ruang kepada penulis dan masyarakat pembaca untuk berkongsi ilmu.

Terkini,[bila?] akhbar Sinar Harian yang diterbitkan sejak 31 Julai 2006 di Kota Bharu, Kelantan menjadi satu lagi bukti kejayaan Kumpulan Media Karangkraf. Selepas mendapat sambutan di luar dugaan[penjelasan lanjut diperlukan] di Kelantan dan Terengganu, Sinar Harian kini diterbitkan untuk edisi Pahang, edisi Selangor & KL, edisi Melaka & Negeri Sembilan, edisi Utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang) dan edisi-edisi ini akan diikuti edisi Perak dan juga edisi Johor.

Pada 13 Mac 2018, Karangkraf telah menjadi syarikat media pertama menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Malaysia.[1]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ W Saidatul Najemudin; Nur Fadhilah Ismadi (13 Mac 2018). "Karangkraf syarikat media pertama tandatangani IBR". Sinar Online. Foto oleh Nurulniza Suhaimi. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Mac 2018. Dicapai 14 Mac 2018. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]