Kumpulan Kristal 9-Gem Enterprise

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kumpulan Kristal 9-Gem Enterprise (K9) dikaitkan dengan aktiviti peminjaman wang (Ah Long) , pengedaran dadah, pelacuran dan samseng. Kumpulan enam lelaki ini diburu polis kerana dipercayai terbabit merantai dan mengurung tiga lelaki di tingkat bawah sebuah rumah kedai di Sri Kembangan, Serdang, Selangor.Tiga lelaki mangsa along dirantai dan dikurung dalam dua 'lokap' di tingkat bawah sebuah rumah kedai empat tingkat di Jalan PBS 14/2, Pusat Perindustrian Bukit Serdang.

Seorang daripada 'banduan' along itu ditahan selama dua bulan.Seorang lagi lebih sebulan.Manakala seorang lagi kira-kira 10 hari. Ketiga-tiga mereka diikat dengan rantai besi pada leher, tangan dan kaki ke sebatang tiang dalam 'neraka' itu. Di tubuh mereka terdapat kesan lebam dan luka, dipercayai dirotan di beberapa bahagian badan kerana membuat bising atau cuba menarik perhatian orang ramai di luar bangunan supaya menyedari mereka dikurung.Mereka hanya diberi sebuku roti seorang sebagai makanan selama seminggu, manakala air minuman disalurkan dari paip tandas yang dibina khusus untuk lokap berkenaan.

Mangsa anya berhutang antara RM1,500 dan RM4,000, tetapi mereka dilayan seperti anjing kurap. Pasukan bomba dan penyelamat terpaksa menggunakan mesin pemotong besi serta masa kira-kira dua jam untuk menyelamatkan semua mangsa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, mendedahkan bahawa ketua kumpulan itu dikenali sebagai Franco atau nama penuhnya Ong Leng Kok, 32, dan berperanan mengawal keseluruhan operasi K-9 di Selangor . Ketua cawangan Klang ialah Chang Ching Fatt @ Ah Fat (22). Yong Hock Fai @ Alex (25) menjadi Ketua di Ampang. Sementara Lee Chin Onn @ Kai Chi (23) menjadi pembantu Alex dan berperanan menculik mangsa yang gagal membayar balik pinjaman.

Alamat terakhir Franco ialah Taman Cheras Indah; Ah Fatt (Kampung Bersatu Batu 13, Jalan Klang Puchong); Alex (Taman Kosas Ampang) dan Kai Chi (Pandan Perdana, Kuala Lumpur).

Kumpulan ini amat berpengaruh dan berbahaya di Selangor serta mampu membuat kutipan daripada peminjam sehingga RM40,000 sehari atau RM500,000 sebulan.Kumpulan ini mempunyai organisasi tersusun dan rangkaian di seluruh daerah di Selangor, selain tiga lokap untuk menahan peminjam, iaitu di Sri Kembangan, Gombak dan Pandan Indah.

Polis Selangor berjaya menahan dua beradik di sebuah rumah di Taman Bukit Permai, Ampang. Mereka ditugaskan sebagai tukang simbah cat dan menculik peminjam yang gagal membayar hutang.Pelbagai peralatan ditemui seperti rantai, tukul, cat, gam, fail dan lesen memandu peminjam serta pelbagai papan tanda iklan pinjaman dalam serbuan di pejabat berdekatan rumah suspek. [1]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Raja along diburu". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-06-05. Dicapai pada 2009-06-04.