Lailan Malam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

LAILAN MALAM adalah i-Novel yang dihasilkan oleh Syamsul Qhomar terbitan Eyeroom editor & publisher pada tahun 2013. i-Novel ini diterbitkan secara E-buku yang telah diterjemahkan ke dalam empat bahasa lain iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Perancis, Bahasa Itali dan Bahasa Jerman[perlu rujukan]. Dan i-Novel ini juga telah menerima Anugerah i-Novel Surealisme Surealisme Eyeroom editor & publisher pada tahun 2014.

Lailan Malam menceritakan sebuah kisah seram mistik yang mengisahkan seorang gadis yang dilahirkan oleh seorang wanita yang dipercayai adalah seorang Pontianak yang telah dipaku oleh seorang lelaki bernama Aswad yang mempunyai ilmu persilatan yang sangat tinggi. Untuk menunjukkan sebagai tanda persilatan yang dimiliki berada di tahap yang tertinggi, beliau harus menundukkan musuhnya agar mendengar arahannya, maka dia memilih untuk menguasai Pontianak yang dikatakan mengganggu di Kampung Sentosa. Aswad berjaya menundukkan Pontianak dan Pontianak itu bertukar menjadi seorang wanita yang sangat jelita.

Aswad mengahwini wanita itu dan diberikan nama sebagai Rohani. Setelah 10 tahun berkahwin, Rohani akhirnya mengandung dan melahirkan seorang bayi perempuan yang tidak sempurna sifatnya. Anaknya itu tidak boleh bercakap, pekak, berkulit hitam dan juga bersifat pasif. Anaknya itu diberikan nama Lailan kerana anaknya itu dilahirkan di tengah malam.

Setelah Lailan berumur 12 tahun, Rohani akhirnya meninggal dunia namun hakikatnya, Aswad terpaksa membuka paku yang ada di tengkuk Rohani kerana Rohani bukanlah manusia biasa yang boleh terus bertahan menjadi manusia. Rohani kembali kepada dunianya namun masih menjaga Lailan. Lailan sentiasa sahaja diejek oleh orang kampung dan setiap kali orang kampung mengejek Lailan, Rohani akan datang mengganggu. Maka tergemparlah Kampung Sentosa di serang oleh Pontianak semula dan menuduh Lailan menjadi penyebab Kampung Sentosa di serang oleh Pontianak.

Setelah Lailan berumur 18 tahun, Lailan selalu sahaja diganggu oleh pemuda kampung yang mengejek dan menghinanya sebagai perempuan hodoh. Tanpa diduga, seorang lelaki yang berumur 30 tahun datang ke kampung itu yang dihantar untuk menjadi Imam di Kampung Sentosa menggantikan Imam yang lama membantu Lailan apabila Lailan cuba dicabul oleh pemuda kampung yang mana pemuda kampung itu akhirnya ditemui mati di sebuah dusun akibat serangan yang dilakukan oleh Rohani.

Aswad yang sudah berumur, akhirnya meninggal dunia dan dia sempat berpesan kepada Lailan agar menjaga rumah pusakanya dan tidak membiarkan rumah pusakanya itu dicerobohi. Lailan bersetuju dan kini Lailan tinggal berseorangan di rumah pusakanya itu. Rohani masih sahaja memerhatikan anaknya itu. Imam Kampung Sentosa yang masih bujang itu bersetuju untuk mengambil Lailan menjadi isterinya dan Lailan yang tidak punya siapa-siapa itu menerima sahaja kehendak Imam mereka yang bernama Qomar.

Qomar mengajarnya tentang ilmu agama dan ini membuatkan Rohani begitu sukar untuk mendekati anaknya. Rohani terpaksa melihat anaknya secara jauh dan dia sudah tidak mampu untuk menyentuh anaknya itu lagi. Namun, jauh di sudut hati Rohani, dia begitu gembira dengan kebahagiaan yang dikecapi oleh anaknya itu.

Lailan akhirnya mengandung dan Qomar berkata, mereka akan berpindah ke rumah baharu yang baharu dibinanya dan terpaksa meninggalkan rumah pusaka arwah ayahnya itu. Namun Lailan memberitahu kepada Qomar, dia harus menjaga rumah pusakanya itu. Qomar berpesan, mereka akan selalu datang menziarahi rumah pusaka arwah ayahnya itu dan juga mengizinkan Lailan untuk datang ke rumah itu setiap hari. Akhirnya Lailan bersetuju.

Pada pagi sebelum mereka berpindah, Lailan menjumpai sebuah kotak yang tersimpan di bawah katil arwah ayahnya. Dia membuka kotak itu dan mendapati ada sebuah pedang di dalamnya. Dia memegang pedang itu dan entah mengapa, jarinya terkena mata tajam pedang itu dan berdarah. Lailan segera mengelap darah yang ada di mata pedang itu. Dia menyimpan semula pedang itu di dalam kotak ke bawah katil.

Lailan tidak pernah mengetahui akan kewujudan kotak berisi pedang itu dan tanpa menduga, bahawa pedang itu telah menyimpan makhluk yang sangat zalim dan kejam iaitu Jin Aqrab. Jin Aqrab ini sebenarnya adalah suami kepada Rohani sebelum Rohani dijelmakan menjadi manusia oleh Aswad. Jin Aqrab berjaya keluar dari pedang itu kerana titisan darah Lailan.

Jin Aqrab mula mengganggu Kampung Sentosa dan akhirnya dia bertemu dengan Lailan. Namun dia tidak berani untuk datang mengganggu Lailan kerana apabila dia memandang wajah Lailan, dia dapat merasakan Lailan sebahagian daripadanya. Maka Jin Aqrab menyamar menjadi seorang lelaki cacat dan meminta pekerjaan kepada Qomar. Qomar bersetuju dan mengupahnya menjadi tukang kebun di rumahnya. Jin Aqrab akhirnya mengetahui bahawa Lailan adalah anak kepada isterinya sebelum dijelmakan menjadi manusia dan beranggapan Lailan itu sebenarnya adalah anaknya dan bukan anak Aswad.

Dia berusaha untuk mendapatkan Lailan apa tah lagi Lailan mengandung anak sulung yang mana adalah cucunya. Maka, berlakulah pertempuran di antara Jin Aqrab yang ingin mendapatkan cucunya dengan Qomar yang mempertahankan haknya dan melindungi Lailan serta anaknya. Lailan menyuruh suami untuk menghapuskan Jin Aqrab dengan pedang yang tersimpan di rumah pusaka arwah ayahnya namun Qomar berkata, hanya dengan ayat-ayat suci sahaja dapat menghapuskan Jin Aqrab. Lailan terpaksa bersetuju namun dia akhirnya mengalah, dia menggunakan juga pedang itu apabila melihat suaminya sudah tidak berdaya melawan. Sebelum mata pedang itu berjaya singgah ke tubuh Jin Aqrab, Lailan yang tidak boleh bercakap, akhirnya bercakap dan memberitahu kepada Jin Aqrab bahawa dia adalah seorang manusia sebanyak tujuh kali membuatkan Jin Aqrab hancur lebur. Rohani yang turut berlawan dengan suaminya juga turut menghilangkan diri dan sempat juga bertemu dengan Lailan di dalam bentuk cahaya terang.