Laporan Abdul Rahman Talib

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Laporan atau Penyata Rahman Talib yang diperakukan dalam Akta Pendidikan 1961 telah mengabdikan cita-cita yang terkandung dalam Laporan Razak dan menggariskan hasrat sistem pendidikan Kebangsaan yang terdapat sekarang. Terdapat empat aspek penting dalam laporan ini iaitu:

  • Menjadi titik permulaan ke arah pelaksanaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama dan proses penukaran bahasa pengantar.
  • Mewujudkan sistem peperiksaan persekolahan yang sama walaupun berlainan bahasa di peringkat rendah, menengah,dan menengah atas.
  • Memberi penekanan kepada pendidikan teknik dan vokasional untuk keperluan tenaga mahir.
  • Memberi penekanan kepada pendidikan moral dan keagamaan untuk keperluan kerohanian sebagai teras.

Di antara beberapa perubahan dan pindaan yang dibuat dari Laporan Razak yang dikenali dengan Laporan Rahman Talib ialah:

  • Pelajaran di sekolah rendah adalah percuma
  • Sekolah rendah menjadi sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan.
  • Sekolah pelajaran lanjutan merupakan persekolahan hingga umur 15 tahun.
  • Murid naik darjah secara automatik.
  • Pelajaran agama Islam bagi murid-murid hendaklah sekurang-kurannya 15 orang.
  • Pendidikan akhlak dititikberatkan.

Selepas itu Sistem Pendidikan Aneka Jurusan ditubuhkan pada 1965 bagi Sekolah Menengah Rendah menggantikan Sistem Pelajaran Lanjutan yang dihapuskan. Mata pelajaran aneka jurusan di sekolah menengah pada waktu itu ialah Seni Perusahaan, Sains Rumah tangga, Sains Pertanian dan Perdagangan.

Walaupun hasrat dan tujuan Akta Pendidikan 1961 ini untuk menyatukan kaum yang ada di Malaysia ini, tetapi secara praktikalnya, sukar untuk mencapai matlamat itu memandangkan pola tempat tinggal yang berlainan. Misalnya orang Melayu tinggal di kampung-kampung dan pinggir pantai, kaum Cina tinggal di kawasan perlombongan dan kaum India di kawasan ladang-ladang getah. Keadaan ini menyukarkan usaha menyatukan mereka.

Selepas Laporan Rahman Talib 1960, muncul pula laporan-laporan seperti Laporan Hussein Onn (1971) dan Laporan Mahathir 1976. Kedua-dua Laporan ini adalah untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan Negara yang sebelumnya berdasarkan Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]