Lee Keok Chih

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Lee Keok Chih dilahirkan pada 28 April 1962 di Selising, Kelantan. Lee Keok Chih mendapat pendidikan awal di SRJK (C) Khay Boon di Rantau Panjang sebelum meneruskan pelajarannya di Sekolah Menengah Rantau Panjang.

Lee Keok Chih mula membabitkan dirinya dalam dunia kesusasteraan sejak berada di sekolah rendah lagi. Sajak pertamanya tersiar di dalam Medan Pelajar. Sajaknya "Tiga Kali Terima Kasih" turut tersiar di dalam majalah Dewan Sastera ketika beliau masih berada di tingkatan empat.

Lee Keok Chih, salah seorang penerima biasiswa daripada Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan Kejuruteraan Marin. Jawatan jurutera perkapalan yang disandang ketika itu membawanya mengembara ke serata dunia.

Beliau memiliki kelulusan taraf Kejuruteraan Marin Kelas Pertama selain memiliki ijazah sarjana teknologi maklumat.

Dalam bidang kesusasteraan, beliau banyak menghasilkan puisi dan cerpen. Karyanya pernah dimuatkan dalam Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Bacaria, Watan, Mingguan Wanita, Utusan Pengguna, Utusan Zaman, Mastika, Jelita, Dewan Siswa, Dewan Sastera dan Dewan Masyarakat.

Beliau juga pernah menghasilkan novel remaja berjudul Cinta dan Dendam terbitan Karangkraf (M) Sdn. Bhd dengan menggunakan nama pena Ardi Amin.

Lee pernah memenangi Hadiah Sastera Sin Chew Jit Poh dan Hadiah Sastera Utusan - Public Bank.

Kini beliau merupakan pengurus besar di sebuah syarikat perundingan. Walaupun sibuk dengan pengurusan dan sering berada di luar negara, beliau masih mampu menerbitkan beberapa kumpulan puisi.

Antara kumpulan puisi Lee Keok Chih ialah 2002 dan Di Pinggir Semenanjung. Cerpen-cerpen beliau pula telah dibukukan di dalam kumpulan cerpen persendirian, Insomnia.