Agensi Kelayakan Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Lembaga Akreditasi Negara)
Logo MQA
Logo lama MQA (LAN)

Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang begitu pesat mencetuskan keperluan terhadap sumber tenaga manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

Y.A.B. Perdana Menteri sering menyatakan bahawa Malaysia telah bersedia menjadi tempat tumpuan negara lain mendapatkan pendidikan tinggi.

Pendidikan tinggi di Malaysia telah mencapai taraf komoditi eksport yang begitu strategik. Dasar ini telah disambut baik oleh badan-badan swasta dengan menubuhkan pelbagai bentuk institusi pendidikan tinggi sama ada secara bersendirian atau bekerjasama dengan institusi pendidikan tinggi awam tempatan dan institusi pendidikan tinggi luar negara. Bagi menjamin pertumbuhan pendidikan tinggi swasta ini dilaksanakan secara sihat, Parlimen telah meluluskan dua akta yang berkaitan pada tahun 1996, iaitu Akta Pendidikan Tinggi Swasta (Akta 555) dan Akta Lembaga Akreditasi Negara (Akta 556).

Akta Pendidikan Tinggi Swasta bertindak mengaturkan penubuhan dan pengurusan institusi pendidikan swasta agar dapat menyediakan suasana pendidikan tinggi yang berkualiti untuk pelajarnya.

Penubuhan MQA[sunting | sunting sumber]

Pada 21 Disember 2005, Kerajaan telah memutuskan untuk menggabungkan Lembaga Akreditasi Negara (LAN) dan Bahagian Jaminan Kualiti, Kementerian Pengajian Tinggi (BJK,KPT) menjadi sebuah entiti baru yang bertanggungjawab ke atas jaminan kualiti pengajian tinggi negara bagi sektor awam dan swasta.

Entiti berkenaan yang dinamakan sebagai Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) telah ditubuhkan pada 1 November 2007 ekoran penguatkuasaan Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 dan secara rasminya dilancarkan oleh YB Dato’ Mustapa Mohamed, Menteri Pengajian Tinggi pada 2 November 2007.

Peranan utama MQA adalah untuk melaksanakan Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF) sebagai landasan sistem jaminan kualiti pengajian tinggi dan titik rujukan kriteria dan standard kelayakan kebangsaan. MQA berperanan sebagai badan tunggal yang menyelia dan menyelaras jaminan kualiti dan akreditasi pendidikan tinggi negara.

Berikutan penubuhan MQA, LAN telah dibubarkan dan kakitangannya diserapkan ke dalam MQA.

Dengan visi untuk menjadi organisasi jaminan kualiti pengajian tinggi yang berwibawa dan diiktiraf di peringkat antarabangsa dan misi untuk memberi keyakinan kepada pihak berkepentingan melalui amalan bijak jaminan kualiti pengajian tinggi, MQA kini telah bersedia untuk menerokai sempadan-sempadan baru dalam jaminan kualiti pengajian tinggi.

Majlis MQA[sunting | sunting sumber]

Keahlian Majlis MQA adalah seperti berikut:

  • (a) Pengerusi; YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abu Hassan Othman
  • (b) Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia; Dato’ Dr. Rahmah binti Mohamed
  • (c) Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi atau wakilnya;
  • (d) Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran atau wakilnya;
  • (e) Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia atau wakilnya;
  • (f) Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam atau wakilnya;
  • (g) Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Pendidikan Tinggi atau wakilnya;
  • (h) seorang wakil pemberi pendidikan tinggi awam
  • (i) seorang wakil pemberi pendidikan tinggi swasta; dan
  • (j) lapan orang anggota lain yang, pada pendapat Menteri, mempunyai pengetahuan khas, pengalaman dan profesionalisme dalam perkara yang berhubungan dengan pendidikan tinggi atau pekerjaan, sekurang- kurangnya dua orang daripadanya hendaklah daripada badan profesional

Ahli-ahli Majlis adalah dilantik oleh Y. B. Menteri kecuali ahli di bawah perenggan (b) hingga (g).

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]