Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Lembaga Pelabuhan Pulau Pinang)

Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) adalah sebuah badan berkanun bertanggungjawab terhadap pentadbiran Pelabuhan Pulau Pinang dan juga sebagai Pihak Berkuasa Pelabuhan dan juga Badan Kawal Selia bagi Jeti Teluk Ewa di Langkawi mulai 1 Januari 1999. Pengerusi adalah Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan pengurus besar SPPP adalah Encik Noor Ariff bin Yusoff.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) telah ditubuhkan pada 1 Januari 1956 di bawah Akta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, 1955. SPPP adalah sebuah Badan Berkanun di bawah Kementerian Pengangkutan. Sebagai sebuah Badan Berkanun, SPPP bertanggungjawab terhadap pentadbiran Pelabuhan Pulau Pinang. Tanggungjawab yang dijalankan oleh SPPP sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, 1955 adalah untuk menyedia dan menyelenggarakan kemudahan-kemudahan serta perkhidmatan-perkhidmatan pelabuhan dan feri di Pelabuhan Pulau Pinang di samping mempertingkatkan kemajuan, pembangunan dan penggunaan pelabuhan.

Pelabuhan Pulau Pinang yang ditadbir oleh SPPP merupakan sebuah pelabuhan bertaraf antarabangsa di bahagian barat laut Semenanjung Malaysia yang menawarkan pelbagai kemudahan dan peralatan moden untuk pengendalian kontena, kargo pukal cecair, kargo pukal kering dan kargo am.

Mulai 1 Januari 1994, operasi perkhidmatan pelabuhan dan feri di Pelabuhan Pulau Pinang telah diswastakan kepada pengendali berlesen iaitu Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) mengikut Akta Pelabuhan-pelabuhan (Penswastaan) 1990. SPPP masih kekal sebagai Pihak Berkuasa Pelabuhan dan melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab tambahan iaitu sebagai Badan Kawal Selia mengikut Akta Pelabuhan-pelabuhan (Penswastaan) 1990, Pusat Sumber Pelabuhan bagi kawasan utara dan pihak Pentadbir Zon Bebas Komersil mengikut Akta Zon Bebas 1990 dan Peraturan-peraturan Zon Bebas 1991.

Parlimen telah meluluskan pindaan kepada Akta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, 1955 dalam tahun 1995. Pindaan ini membolehkan kuasa SPPP sebagai Pihak Berkuasa Pelabuhan dan Badan Kawal Selia diperluaskan ke lain-lain pelabuhan. Berkuatkuasa 1 Januari 1999, SPPP telah dilantik sebagai Pihak Berkuasa Pelabuhan dan juga Badan Kawalselia bagi Jeti Teluk Ewa apabila ianya diswastakan.

Selain itu, SPPP juga bertindak selaku fasilitator bagi aktiviti perdagangan dan pihak yang bertanggungjawab terhadap perancangan dan pembangunan pelabuhan. SPPP juga komited di dalam mempromosikan Pelabuhan Pulau Pinang sebagai pelabuhan pilihan utama dalam Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle : IMT-GT), serta menjadi pelabuhan feeder utama kepada Pelabuhan Klang.

Visi[sunting | sunting sumber]

Sebagai Pihak Berkuasa Pelabuhan di bawah Akta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, 1955 dan Badan Kawalselia di bawah Akta Pelabuhan-pelabuhan (Penswastaan) 1990, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang mempunyai wawasan dan misi ke arah menjadi Pengawalselia dan Fasilitator yang berjaya mewujudkan satu rangkaian hubungan kerjasama pengangkutan ke arah menjadikan Pelabuhan Pulau Pinang sebagai pelabuhan terkemuka di rantau utara Pertumbuhan Segi Tiga – Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT).

Peranan[sunting | sunting sumber]

  • Sebagai Pentadbir di bawah Akta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, 1955, SPPP telah menjalankan tugasan yang berikut:-
    • Melaksanakan fungsi undang – undang.
    • Menyelia aktiviti di dalam lingkungan pelabuhan
    • Melesenkan malim pelabuhan
    • Mengawal aktiviti marin melalui Jawatankuasa Pemaliman berkaitan dengan displin malim, keselamatan di pelabuhan dan kemalangan marin.
    • Menyelia aktiviti pelabuhan melalui pengeluaran lesen pesisir pantai dan permit mengangkut di pelabuhan dan lain – lain.
    • Menggalakkan pembangunan pelabuhan.
    • Menyelaras sistem maklum balas dari pengguna pelabuhan.
  • Sebagai Pentadbir di bawah Akta Pelabuhan-plabuhan (Penswastaan) 1990, SPPP:-
    • Bertindak sebagai tuan tanah yang memastikan tanah digunakan seperti yang telah dirancang.
    • Sebagai penggadai di antara lain, memastikan bahawa tiada modifikasi dijalankan ke atas struktur dan pelabuhan tanpa pengetahuan SPPP dan hanya boleh **digunakan seperti yang tertera dalam perjanjian
    • Bertindak sebagai pelesen yang mengeluarkan lesen kepada syarikat yang beroperasi tertakluk kepada perjanjian.
    • Mewujudkan dan memantau standard prestasi operator pelabuhan (PPSB) tertakluk kepada perjanjian Penswastaan dan Klausa 3 Lesen yang telah diberikan kepada PPSB.
    • Mewujudkan sistem maklum balas dari pengguna pelabuhan dengan mengambil kira prestasi operator pelabuhan.

Pada November 1995, Parlimen telah melaraskan perubahan ke atas Akta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, 1955. Melalui perubahan yang telah diselaraskan , kuasa dan pentadbiran SPPP telah dilanjutkan ke pelabuhan lain. Berkuatkuasa dari 1 Januari 1999, SPPP telah dilantik oleh kerajaan untuk menjadi Badan Kawal Selia. Sebagai Badan Kawal Selia, SPPP memainkan peranan seperti berikut:

    • Menjalankan tugasan pengawalan terhadap
      • pengelolaan fungsi pengawalan terhadap infrastruktur pelabuhan
      • menjalankan tugasan perkhidmatan dan kemudahan pelabuhan
      • menetapkan prestasi terhadap standard infrastrutur dan kemudahan
      • penguatkuasaan
    • Pungutan baki tertunggak pelabuhan
    • Peranan konservatif (saluran pendekatan)
    • Pentadbiran dan perlesenan.
  • Sebagai Pusat Sumber Pelabuhan Wilayah Utara SPPP:-
    • Memungut segala data dan informasi statistik yang berkaitan dengan pelabuhan dan aktiviti feri.
    • Membekalkan data informasi statistik kepada agensi kerajaan dan pihak korporat
    • Memberi maklum balas mengenai perihal pelabuhan
    • Bertindak sebagai penghubung di antara kerajaan dan agensi swasta.
    • Sebagai penasihat dalam perihal yang berkaitan aktiviti pelabuhan.
  • Sebagai Pentadbir Zon Bebas Komersil di dermaga laut dalam Butterworth, SPPP:-
    • Memastikan perimeter ZBK dipagar atau membina dinding yang siap dengan jalan masuk dan keluar ke dermaga.
    • Memastikan kawasan yang dipagar di pasang lampu yang berfungsi dari pukul 6.30 petang ke 7.30 pagi.
    • Memastikan bahawa pihak kastam disediakan pejabat dan pemeriksaan dilakukan di kawasan pintu hadapan.
    • Memastikan operator mematuhi Akta Zon Bebas Komersil 1990 dan Peraturan Zon Bebas 1991.
    • Menyerahkan laporan tahunan tentang aktiviti ZBK kepada Menteri Kewangan
    • Memastikan bahawa operator mengawal segala pergerakan pengguna dan barangan yang masuk dan keluar dari ZBK.
    • Memastikan operator menguruskan operasi yang selaras dengan duti dan cukai kastam serta barangan yang disimpan di ZBK.
    • Memastikan bahawa operator mematuhi segala arahan yang diberikan oleh Pengarah Besar Kastam.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]