Lina Joy

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Lina Joy
Kelahiran Azlina Jailani
(1963-07-28) 28 Julai 1963 (umur 53)
Malaysia
Warganegara Malaysia
Terkenal kerana Mencabar mahkamah untuk penukaran semula agama

Lina Joy (atau nama Islamnya Azlina Jailani; lahir 28 Julai 1963) merupakan wanita Melayu Malaysia yang mengaku telah murtad (keluar dari agama Islam) dan memeluk agama Kristian Katolik. Lantaran itu beliau cuba menggugurkan perkataan Islam daripada kad pengenalan MyKad yang dimilikinya. Rayuan dan permohonannya dibuat dengan mengenepikan kuasa mahkamah syariah, tetapi secara lansung melalui proses undang-undang sivil. Pada mulanya beliau ke Mahkamah Tinggi, kemudian ke Mahkamah Rayuan, seterusnya ke Mahkamah Syariah dan Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN).

Biografi[sunting | sunting sumber]

Azlina Jailani dilahirkan oleh ibu bapa Melayu pada 28 Julai 1963. Dia menukar agama Islam kepada Kristian Katolik pada usia 26 tahun pada 1998. Dia telah dibaptiskan dan cuba mendapatkan pengesahanan daripada Mahkamah Malaysia, tanpa melalui mahkamah syariah. Namanya di dalam kad pengenalan berjaya ditukar kepada Lina Joy pada 1999.

Selagi dia dikatakan sebagai orang Islam, Lina Joy tidak boleh berkahwin dengan pasangannya yang beragama Kristian, seorang kaum India. Sebaliknya pasangannya hendaklah menukar agama kepada Islam.

Beberapa kes yang hampir serupa telah dilaporkan. Antaranya kes 'Maria' dan Nyonya Tahir.

Kuasa Mahkamah Persekutuan[sunting | sunting sumber]

Kuasa Mahkamah Persekutuan terhad dan tidak boleh memaksa Jabatan Pendaftaran Negara memadam perkataan Islam tersebut. Dalam konteks ini bidang kuasa Mahkamah Syariah mengenai hal-ehwal Islam lebih diberi keutamaan dari Mahkamah Persekutuan dan Jabatan Pendaftaran Negara serta Mahkamah Persekutuan. Hak asasi seseorang itu juga terlindung dalam 'konteks' memeluk agama Islam, menurut peraturan yang telah ditetapkan.

Mahkamah Syariah terlebih dahulu mesti mengeluarkan satu sijil, deklarasi atau surat perintah yang mengesahkan seseorang Melayu beragama Islam itu 'murtad' dan sah terkeluar daripada Islam. Selepas itu barulah perkataan Islam boleh dipadam dari kad pengenalannya. Sebagai contoh, menurut jurucakap Persatuan Peguambela Muslim, mahkamah syariah Negeri Sembilah telah mengesahkan 16 kes murtad [1].

Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dari Mahkamah Persekutuan menjelaskan JPN berhak untuk menggenakan syarat kepada sesiapa yang 'murtad' mengemukakan sijil atau deklarasi atau satu perintah daripada Mahkamah Syariah untuk mengesahkan dia keluar daripada Islam sebelum bertindak menggugurkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya.

Rentetan[sunting | sunting sumber]

Pada 2 Februari 1997, Azlina Jailani memohon kepada JPN untuk menukar namanya kepada Lina Joy tetapi permohonan itu ditolak pada 11 Ogos 1997.

Pada 1999, dia sekali lagi memohon kepada JPN untuk menukar namanya kepada Lina Joy dan diluluskan, tetapi permohonan untuk menukar status agama itu ditolak kerana tidak mendapat pengesahan daripada Mahkamah Syariah atau pihak berkuasa Islam yang lain.

Pada April 2001 Lina Joy telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi. Tetapi Mahkamah Tinggi menetapkan bahawa sebagai seorang Muslim, dia tidak boleh keluar daripada Islam, dan soal keluar daripada Islam, perlu diputuskan oleh Mahkamah Syariah. Oleh itu Lina Joy membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada 19 September 2005 Lina mengemukakan rayuan itu kepada Mahkamah Persekutuan setelah Mahkamah Rayuan membuat keputusan menghalangnya daripada menggugurkan perkataan "Islam" daripada kad pengenalannya dengan sebab bahawa tindakannya keluar daripada Islam tidak mendapat pengesahan daripada Mahkamah Syariah atau pihak berkuasa Islam yang lain.

Pada 30 Mei 2007 rayuan Lina Joy ditolak oleh Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Alauddin Sherif. Manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Richard Malanjum membenarkan deklarasi yang dipohonnya.[2] Lina menamakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, kerajaan Malaysia dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Wan Ibrahim Wan Ahmad, sebagai responden.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ The Sun, 13 Mei 2007, m/s 2
  2. ^ "Lina Joy Loses Appeal". theStarOnline.  Dicapai pada 2007-05-30.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]