Liuk badan


Liuk badan (contortion) (Jawi: ليوق بادن) ialah seni persembahan di mana penghibur yang dipanggil ahli peliuk badan (Jawi: اهلي ڤليوق بادن)[1] mempamerkan kemahiran kelenturan fizikal yang ekstrem. Persembahan liuk badan sering mengiringi akrobatik, pertunjukan sarkas, gimnastik, penghibur jalanan, dan seni pentas langsung yang lain. Persembahan liuk badan biasanya dilakukan di hadapan penonton secara langsung. Sesuatu aksi akan memaparkan seorang atau lebih artis melakukan set gerakan atau sikap yang dikoreografikan, sering kali mengikut muzik, yang memerlukan kelenturan melampau. Kelenturan fizikal yang diperlukan untuk melakukan aksi sedemikian jauh melebihi populasi umum. Kehebatan dramatik kelenturan yang seolah-olah bukan manusia inilah yang memikat hati penonton.
Kemahiran
[sunting | sunting sumber]Banyak faktor yang mempengaruhi kelenturan penghibur termasuk umur, genetik, bentuk badan, dan kepatuhan kepada rutin latihan fizikal yang ketat. Kebanyakan ahli peliuk badan secara amnya dikategorikan sebagai "pelentik hadapan" atau "pelentik belakang", bergantung kepada arah mana tulang belakang mereka paling lentur. Relatif sedikit penghibur yang sama mahir dalam kedua-duanya. Individu yang mempunyai hipermobiliti, seperti mereka yang menghidap EDS, mungkin memiliki julat pergerakan yang meningkat. Walau bagaimanapun, ini boleh menyebabkan ketidakstabilan sendi dan risiko kecederaan yang lebih tinggi. Oleh itu, latihan kekuatan dan penyesuaian yang meluas adalah penting untuk menstabilkan sendi dan mencegah regangan berlebihan.
Kemahiran yang dilakukan oleh ahli peliuk badan termasuk:
- Kemahiran lentik depan seperti melipat badan ke hadapan pada bahagian pinggang dengan kaki lurus, atau meletakkan satu atau kedua-dua kaki di belakang leher atau bahu dengan lutut bengkok (dipanggil simpulan manusia).
- Kemahiran lentik belakang seperti menyentuh kepala ke kaki, atau sehingga ke punggung (dipanggil head-seat), semasa berdiri, berbaring di atas lantai, atau berdiri di atas tangan. Lentikan Marinelli ialah lentik belakang yang hanya disokong oleh pegangan pada bahagian atas tiang pendek yang digigit di dalam mulut.
- Split dan split lampau / oversplit (split melebihi 180 darjah) boleh dimasukkan dalam aksi lentik depan atau belakang. Oversplit boleh dilakukan semasa kaki disokong oleh dua buah kerusi atau oleh dua pembantu.
- Enterologi ialah amalan memuatkan badan ke dalam kotak kecil setinggi lutut atau ruang tertutup lain yang pada mulanya kelihatan terlalu kecil untuk memuatkan penghibur. Juga dikenali sebagai ‘pembungkusan badan’.
- Kehelan bahu atau pinggul kadangkala dilakukan sebagai aksi unik pendek yang tersendiri. Salah satu contoh ialah mengangkat lengan ke sisi sehingga melepasi belakang kepala dan terletak di atas bahu; juga dirujuk sebagai pematahan tulang.

Risiko
[sunting | sunting sumber]Ahli peliuk badan dengan hipermobiliti berisiko tinggi mengalami kehelan sendi, subluksasi, dan kecederaan tisu lembut disebabkan oleh peningkatan julat pergerakan dan penurunan kestabilan sendi. Walau bagaimanapun, kepercayaan bahawa ahli peliuk badan sentiasa mengalami kecederaan jangka panjang adalah satu salah faham. Ramai yang membina otot teras dan otot penstabil yang sangat kuat, yang penting untuk pencegahan kecederaan. Segelintir orang sahaja yang boleh mencuba sikap liuk badan yang ekstrem dengan selamat, jadi kekuatan yang diperlukan sering kali kurang dihargai.
Bukti daripada kajian perubatan adalah terhad. Kajian tahun 2008 oleh Peoples et al. menggunakan pengimejan resonans magnetik (MRI) dinamik seluruh tulang belakang untuk memeriksa lima ahli peliuk badan berumur 20 hingga 49 tahun. Kajian itu mendokumentasikan limbus vertebrae, cakera intervertebral yang menonjol, dan degenerasi cakera pada beberapa peserta, dan tiga daripadanya melaporkan sakit belakang. Memandangkan saiz sampel yang sangat kecil, penemuan ini adalah awal dan tidak boleh digeneralisasikan kepada semua ahli peliuk badan. Mereka mencadangkan bahawa pergerakan tulang belakang yang ekstrem boleh menyumbang kepada perubahan tulang belakang tertentu, tetapi penyelidikan lanjut dengan kohort yang lebih besar adalah perlu untuk memahami sepenuhnya implikasi kesihatan tulang belakang jangka panjang.[2]
Perlu juga diperhatikan bahawa sebilangan besar ahli peliuk badan bersara dalam keadaan sihat sepenuhnya, menunjukkan bahawa dengan penyesuaian, teknik, dan latihan kekuatan yang betul, ramai penghibur dapat mengekalkan kesihatan otot dan tulang jangka panjang. Penyesuaian yang betul, latihan proprioseptif, dan strategi pencegahan kecederaan adalah penting untuk mengurangkan risiko.
Persembahan
[sunting | sunting sumber]
Aksi liuk badan sangat pelbagai; banyak yang menyerapkan unsur jenaka, drama, kejutan, keghairahan, atau campuran gaya. Liuk badan boleh dimasukkan ke dalam jenis persembahan lain, seperti tarian dan teater.
- Aksi adagio ialah tarian akrobatik di mana seorang pasangan mengangkat dan membawa pasangan yang lain semasa dia melakukan split dan sikap lentur yang lain.
- Dalam aksi patung kain atau golliwog, satu atau dua pembantu membengkokkan, menggoncang dan membawa ahli peliuk badan sedemikian rupa untuk mencipta ilusi bahawa penghibur yang menyamar itu sebenarnya adalah patung bersaiz manusia yang lembik. Aksi itu sering berakhir dengan memasukkan patung itu ke dalam kotak kecil.
- Posisi liuk badan boleh dilakukan dalam jaring Sepanyol (Spanish web), iaitu aksi udara yang terdiri daripada tali dengan gelung tangan/kaki yang diputarkan oleh seseorang di bawahnya.
- Ahli peliuk badan boleh memanipulasi prop semasa persembahan mereka, contohnya memutar gelung atau bermain jugel, mengimbangi menara gelas wain, atau memainkan alat muzik - seperti Max Smith, AKA "The Musical Contortionist," seorang penghibur persembahan sampingan yang bermain banjo semasa berada dalam siri posisi liuk badan.[3]
Seorang ahli peliuk badan boleh membuat persembahan bersendirian atau mungkin mempunyai satu atau dua pembantu, atau sehingga empat ahli peliuk badan boleh membuat persembahan bersama sebagai satu kumpulan.
Pada masa lalu, ahli peliuk badan dikaitkan hampir secara eksklusif dengan sarkas dan pesta. Baru-baru ini, mereka juga didapati membuat persembahan di kelab malam, taman tema, dalam iklan majalah, di pameran perdagangan, dalam rancangan varieti televisyen, dalam video muzik, dan sebagai aksi pembukaan atau di latar belakang konsert muzik.
The Ross Sisters ialah ahli peliuk badan Amerika yang paling terkenal dengan persembahan muzik 'Solid Potato Salad' dalam filem 1944 Broadway Rhythm.[4] Di samping itu, foto liuk badan dan klip video digital didagangkan oleh peminat di Internet, dan beberapa laman web menyediakan foto asal aksi liuk badan dengan bayaran bulanan, atau menjual pita video persembahan melalui mel.
Sesetengah orang yang mempunyai sendi longgar mampu mengeluarkan sendi dari soketnya tanpa rasa sakit, sekali gus menyukarkan untuk menentukan sama ada sendi terkeluar tanpa pemeriksaan perubatan seperti sinar-X. Walau bagaimanapun, selagi soket sendi berada dalam bentuk yang betul, kebanyakan lenturan ekstrem boleh dicapai tanpa mengeluarkan sendi tersebut.[5] Kehelan sebenar jarang digunakan semasa aksi liuk badan olahraga kerana ia menjadikan sendi lebih tidak stabil dan terdedah kepada kecederaan, serta anggota badan yang terkeluar tidak dapat mengangkat dirinya sendiri atau menyokong sebarang beban.[6]
Sejarah
[sunting | sunting sumber]
Asal-usul utama liuk badan berlaku dalam tradisi Asia. Di China dan Mongolia, tarian Buddha tradisional iaitu tarian Cham menyerapkan liuk badan ke dalam pergerakannya. Kejayaan tarian ini kemudiannya mendorong aksi tersebut berkembang ke bentuk persembahan yang lain. Liuk badan juga mempunyai persamaan dan ekspresi dalam doktrin Hindu iaitu yoga. Melalui meditasi harian, pengamal yoga berusaha untuk melakukan banyak sikap yang serupa dengan sikap dalam persembahan liuk badan. Pengiktirafan terhadap persamaan dalam pelbagai amalan dan pemikiran ini membawa liuk badan kepada cahaya yang lebih jelas dan eksplisit. Bagi mereka dalam tradisi China, liuk badan biasanya dilakukan sebagai aksi akrobatik, yang digunakan untuk memukau penonton dengan bentuk luar biasa yang dibina di hadapan mereka. Menurut rekod sejarah China, peliuk badan awal bermula di China semasa Dinasti Zhou Barat (1045-771 SM), dan matang pada Dinasti Sui (581–618).
Senarai ahli peliuk badan terkenal
[sunting | sunting sumber]
- Alexey Goloborodko – Ahli peliuk badan Rusia.
- Anna McNulty – YouTuber, Ahli peliuk badan Kanada.
- Arne Arnardo – Penghibur sarkas Norway.
- Bonnie Morgan – Pelakon dan ahli peliuk badan Amerika yang menggunakan teknik liuk badan semasa melakonkan watak Colette dalam siri Netflix A Series of Unfortunate Events.
- Christine Danton – Ahli peliuk badan Australia yang muncul dalam Australia's Got Talent.
- Daniel Browning Smith – Kelenturan luar biasanya dikaitkan dengan sindrom Ehlers–Danlos hipermobil. Beliau juga menekankan kepentingan latihan kekuatan dan peneysuaian yang ketat untuk mengekalkan kestabilan sendi dan mencegah kecederaan.
- Doug Jones – Pelakon Amerika dan penghibur watak makhluk.
- Irina Kazakova – Ahli peliuk badan dan gimnas Rusia.
- Jinny Jacinto – Ahli peliuk badan Kanada yang pernah membuat persembahan dengan Cirque du Soleil.
- Leilani Franco – Ahli peliuk badan British yang muncul dalam Britain's Got Talent.
- Major Zamora – Ahli peliuk badan kerdil dari muzium dime Kanada dan artis melepaskan diri (escape artist).
- Olga Pikhienko – Ahli peliuk badan dan penghibur sarkas Rusia.
- Sofie Dossi – Ahli peliuk badan dan YouTuber Amerika yang muncul dalam musim ke-11 America's Got Talent.
- Takako Fuji – Pelakon Jepun.
- The Ross Sisters – Trio adik-beradik yang merupakan penyanyi, penari, dan akrobat.
- Velma Adkerson – Ahli peliuk badan Amerika yang dikenali sebagai "Miss Wiggles".
Glosari
[sunting | sunting sumber]

- Aksi kotak (Box act) (juga dipanggil: pembungkusan badan; enterologi): Aksi sarkas di mana ahli peliuk badan memuatkan badannya ke dalam kotak kecil atau bekas lutsinar.
- Aksi patung kain atau Golliwog (Ragdoll act): Jenis persembahan sarkas di mana ahli peliuk badan berpakaian seperti patung yang lembik dan tidak bernyawa, dimanipulasi oleh pembantu dan akhirnya dimasukkan ke dalam kotak kecil.
- Cucuk sanggul (Hairpin): Sikap di mana seseorang melutut, duduk di atas kaki, dan lentik ke belakang sehingga bahagian atas kepala bersentuhan dengan tulang ekor; ia juga boleh dilakukan bermula dengan posisi tangan dan lutut di lantai.[7]
- Dirian siku (Elbow stand): Mana-mana sikap songsang di mana penghibur hanya menggunakan lengan bawah di atas lantai untuk sokongan.
- Dirian dada (Chest stand): Mana-mana sikap lentik belakang di mana dada penghibur terletak di atas lantai untuk sokongan.
- Dislokasi atau kehelan:
- 1. [kata kerja] Mencederakan sendi dengan memaksa tulang keluar dari soket normalnya secara sementara.
- 2. [kata nama] Dalam gimnastik lelaki, putaran bahu semasa melakukan pusingan ke belakang pada gelang pegun. Banyak kemahiran dalam akrobatik kelihatan seperti melibatkan dislokasi sendi, sedangkan sebenarnya tidak.
- Duduk kepala (Headsit): Lentik belakang yang ekstrem di mana bahagian atas kepala penghibur menyentuh punggung; biasanya dalam dirian tangan atau dirian dada.
- Gimnastik artistik: Satu disiplin gimnastik yang menyaksikan atlet melakukan rutin pendek menggunakan pelbagai jenis perkakasan.
- Gimnastik berirama: Sukan Olimpik yang menggabungkan elemen balet, lompatan, imbangan dan kelenturan menggunakan perkakas seperti bola, tali, gelung, belantan, atau reben.
- Jaring Sepanyol (Spanish web): Aksi sarkas di mana akrobat melakukan senaman tinggi di atas lantai sambil memegang tali yang tergantung secara menegak.
- Lentik belakang (Backbend): Mana-mana sikap dengan tahap lenturan ke belakang yang luar biasa pada pinggang dan/atau mana-mana bahagian tulang belakang semasa berdiri, melutut, berehat di atas lantai, atau semasa tergantung.
- Lentik depan (Frontbend): Mana-mana sikap yang menampilkan tahap lenturan ke hadapan yang luar biasa pada pinggang dan/atau tulang belakang, sama ada dengan kaki rapat atau terbuka.
- Lentik Marinelli: Dudukan kepala dengan kaki lurus, dilakukan sambil hanya disokong oleh pencengkam mulut kulit pada bahagian atas tiang yang pendek.
- Lipatan Ruppel: Posisi liuk badan di mana penghibur melipat batang tubuh ke hadapan sambil serentak membengkokkan satu atau kedua-dua kaki ke belakang melepasi bahu.[8]
- Lipatan tiga (Triple fold): Variasi dirian dada di mana lutut dibengkokkan sehingga tulang kering terletak rata di atas lantai, menghasilkan posisi bertindan tiga lapisan: dada, paha, dan tulang kering.[9]
- Pikulan kaki (Leg shouldering): Split berdiri di mana kaki menyentuh bahu. Boleh dilakukan ke hadapan, sisi, atau belakang.
- Pointe: Dalam balet klasik, apabila penari menggunakan kasut pointe untuk menari di atas hujung jari kaki mereka.
- Posisi kura-kura (Tortoise/pancake): Lentik depan secara duduk dengan dada rapat ke lantai di antara kaki; lengan yang mendepa juga rapat ke lantai di bawah lutut.
- Regangan pasif: Amalan menggerakkan anggota badan yang relaks melampaui julat pergerakan normalnya dengan bantuan pasangan atau daya luaran.
- Sikap Durvasa atau sikap bangau: Dinamakan sempena pendeta India mitologi, Durvasa, yang kononnya melakukan sikap ini semasa bertahun-tahun melakukan penebusan dosa: berdiri dengan satu kaki manakala kaki yang satu lagi diangkat ke hadapan dan diletakkan di belakang leher atau bahu.
- Skala (Scale): Dalam akrobatik, apabila kaki diangkat ke arah belakang dan mungkin dipegang dengan satu tangan semasa berdiri.
- Skala jarum (Needle scale): Split depan sambil berdiri dengan kaki hadapan, dengan batang tubuh dibongkokkan ke bawah dan tangan menyentuh lantai, manakala kaki belakang diunjurkan secara menegak ke arah siling.
- Split: Mana-mana sikap di mana kaki diunjurkan ke arah bertentangan sehingga sudut kaki menjadi 180 darjah.
- Split berputar (Twisting split): Senaman di mana penghibur bertukar daripada split kaki kiri ke hadapan, kepada split kangkang, dan kemudian ke split kaki kanan ke hadapan tanpa menggunakan tangan sebagai sokongan.
- Split depan: Split di mana satu kaki diunjurkan ke hadapan dan kaki yang satu lagi diunjurkan ke belakang, kedua-duanya pada sudut tepat dengan batang tubuh. Sebaik-baiknya, pinggul tegak menghadap ke hadapan.
- Split kangkang (Straddle split): Split di mana kaki diunjurkan ke kiri dan kanan sehingga mencapai sudut 180 darjah.
- Split lampau (Oversplit) (juga dipanggil: hipersplit): Mana-mana split di mana sudut yang dibentuk oleh kaki melebihi 180 darjah.
- Tombak (Pike): Lentik depan pada pinggang dengan kaki dan batang tubuh kekal lurus.
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ "Carian Umum". prpm.dbp.gov.my. Dicapai pada 2025-12-23.
- ^ Peoples, R. R. (2008). "Whole-spine dynamic magnetic resonance study of contortionists: anatomy and pathology". Journal of Neurosurgery: Spine. 8 (6): 501–509. doi:10.3171/SPI/2008/8/6/501.
- ^ "10 Incredible And Shocking Sideshow Performers From The Past". LOLWOT (dalam bahasa Inggeris). 2015-10-27. Dicapai pada 2020-01-24.
- ^ Pellot, Emerald. "The Ross Sisters Prove No One Does It Like The 1940s In This Epic Contortion Performance". LittleThings.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2017-10-03.
- ^ Hahn F, Kissling R, Weishaupt D, Boos N (July 2006). "The extremes of spinal motion: a kinematic study of a contortionist in an open-configuration magnetic resonance scanner: case report". Spine (dalam bahasa Inggeris). 31 (16): E565–7. doi:10.1097/01.brs.0000225983.44327.b1. PMID 16845345. S2CID 23025533.
- ^ Owen E (May 1882). "Notes on the Voluntary Dislocations of a Contortionist". Br Med J (dalam bahasa Inggeris). 1 (1114): 650–3. doi:10.1136/bmj.1.1114.650. PMC 2371707. PMID 20750190.
- ^ "Imej Ahli Peliuk Badan". Pinterest. Dicapai pada 23 Disember 2025.
- ^ "Aksi Liuk Badan Metro UK 1". Metro UK. Dicapai pada 23 Disember 2025.
- ^ "Aksi Liuk Badan Metro UK 2". Metro UK. Dicapai pada 23 Disember 2025.
Sumber
[sunting | sunting sumber]- Louis, Michel (1974a). Contortionists. Contortionists. I. Europa Verlag. Dicapai pada 2024-08-06.
- Louis, Michel (1974b). Contortionists. Contortionists. II. Europa Verlag. Dicapai pada 2024-08-06.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]| Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Liuk badan. |
- Buku panduan ahli peliuk badan
- Laman Utama Liuk Badan
- Contortion Space (dalam bahasa Inggeris)