Lubuk Terua

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Lubuk Terua terletak di Lanchang, Temerloh, Pahang, Malaysia.

Lubuk Terua dahulunya merupakan tempat pertemuan perniagaan antara Karak dan Lanchang. Pahlawan Dato' Bahaman telah melakarkan Lubuk Terua sebagai satu kawasan pertempuran yang penting semasa menentang penjajah British ketika peperangan menentang kemerdekaan.

Lubuk Terua terkenal dengan sejarah pertempuran Dato' Bahaman. Sekolah yang dinamakan sebagai Sekolah Kebangsaan Lubuk Terua sehingga kini telah banyak melahirkan kepimpinan sama ada dalam kakitangan awam, tentera, polis dan swasta. Malangnya sejarah Lubuk Terua terbantut begitu saja dan pembangunannya hanya tinggal kenangan. Kini Lubuk Terua tinggal kenangan dan kawasannya dikenali sebagai salah satu perkampungan di Mukim Semantan berdekatan kampung Mempateh, Lanchang.

Lubuk Terua juga telah meninggalkan sejarah perjuangan menentang penjajah ketika penaklukan Inggeris di Tanah Melayu.

Kini Lubuk Terua hanya tinggal tapak asal sekolah yang terletak di tebing Kampung Sengarat, Sungai Semantan, dahulunya kegiatan sukan di sekolah ini amat popular, di mana semua perlawanan liga bola sepak 7 sebelah diadakan di sini, sebarang aktiviti sukan tahunan diadakan di padang bola kampung pulau. Pelajar yang bersekolah di sekolah Lubuk Terua terdiri daripada anak-anak yang datang dari kampung sekitar seperti Kampung Mempateh, Kampung Chempaka, Kampung Lanar, Kampung Pulau, Kampung Segarat, Kampung Tedong Ulu, Kampung Tedung Hilir (kini Kampung Lubuk Kawah), Kampung Paya Laman, Kampung Teris, kampong kampong Jergoh. Kini sekolah Kebangsaan Lubuk Terua telah dipindahkan ke tapak baru pada tahun 1977, di atas sebuah bukit, berdekatan simpang tiga dipusat kegiatan pertemuan penduduk kampong mempateh.

Sekolah tersebut dipindahkan kerana tapak lamanya sering dilanda banjir dan kawasan sekitarnya agak berbahaya kerana terlalu hampir dengan sungai. Pada ketika itu hampir setiap tahun kanak-kanak mati lemas kerana bermain dan mandi di 'Jamban' balak di sungai tersebut. Sekolah itu kini hanya menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh setiap pelajar yang melaluinya. Lubuk Terua kini telah berubah wajah daripada sebuah kampung kecil menjadi pusat ECER Pertanian yang terletak di kawasan Jergoh atau Teris.

Terdapat laluan keluar masuk Lebuh Raya Pantai Timur yang menjadikan kawasan Lubuk Terua lebih membangun. Kawasan sekitar Lubuk Terua juga terkenal dengan penternakan ikan air tawar seperti patin, rohu, jelawat, tongsan, selain daripada ikan paya seperti haruan, keli, sepat ronggeng, puyu, seluang, kepar, tebakang dan terubun. Ikan-ikan ini boleh didapati di empangan Kampung Lanar, Kampung Lubuk Kawah dan Kampung Chempaka.

Pada setiap tahun empangan tersebut akan dilepaskan atau dikeringkan airnya untuk acara pesta menangkap ikan secara tradisional. Kebiasaan pesta ini akan di rasmikan oleh orang-orang kenamaan dan tetamu Di Raja. Pelbagai acara lain juga di adakan seperti pertandingan memasak, pameran kraftangan, sukaneka dan kemuncaknya pertandingan menangkap ikan terbanyak atau ikan yang paling besar atau spesis yang jarang ditemui.