Lydia Koidula
Lydia Jannsen (Koidula) | |
|---|---|
| Kelahiran | Lydia Emilie Florentine Jannsen 24 Disember 1843 |
| Meninggal dunia | 11 Ogos 1886 (umur 42) Kronstadt, Empayar Rusia |
| Pekerjaan | |
| Pasangan | Eduard Michelson (k. 1873) |
| Anak-anak | 4 |
| Keluarga | Johann Voldemar Jannsen (bapa) |
Lydia Emilie Florentine Jannsen (24 Disember [G.L.: 12 December] 1843 – 11 Ogos [G.L.: 30 Julai] 1886), dikenali dengan nama pena Koidula, ialah seorang penyair Estonia. Gelaran timangannya bermaksud "(Lydia dari) Fajar" dalam bahasa Estonia, yang diberikan oleh Carl Robert Jakobson. Beliau juga sering digelar Koidulaulik, iaitu "Penyanyi Fajar".
Pada pertengahan abad ke-19, seperti di kebanyakan tempat di Eropah, bidang penulisan tidak dianggap sesuai untuk wanita muda yang dihormati. Oleh itu, puisi Koidula serta kerja kewartawanannya untuk akhbar milik bapanya yang berhaluan populis, Johann Voldemar Jannsen, pada awalnya diterbitkan tanpa nama.
Walaupun begitu, Lydia Koidula menjadi tokoh sastera penting, pengasas teater Estonia, dan mempunyai hubungan rapat dengan Carl Robert Jakobson serta Friedrich Reinhold Kreutzwald, penulis epik kebangsaan Estonia, Kalevipoeg (Anak Kalev). Seiring waktu, beliau diiktiraf sebagai penyair kebangsaan Estonia.[1]
Biografi
[sunting | sunting sumber]
Lydia Koidula dilahirkan sebagai Lydia Jannsen di Vändra dan dibesarkan di Pärnu sebelum keluarganya berpindah ke Tartu. Bapanya, Johann Voldemar Jannsen merupakan penerbit akhbar bahasa Estonia yang penting, dan Koidula turut menulis untuk akhbar tersebut ketika kebangkitan kesedaran nasional Estonia di bawah pemerintahan Tsar Alexander II dari Rusia.[2]
Pada tahun 1873, beliau berkahwin dengan seorang doktor tentera dan berpindah ke Kronstadt, Rusia, namun tetap merindui tanah airnya. Beliau mempunyai tiga orang anak dan meninggal dunia akibat kanser payudara pada tahun 1886. Puisi terakhirnya mencerminkan kecintaannya yang mendalam terhadap Estonia yang berjudul Enne surma — Eestimaale! (Sebelum mati — kepada Estonia!).
Hasil karya
[sunting | sunting sumber]Karya terpenting Lydia Koidula ialah Emajõe ööbik (1867), yang diterbitkan dalam suasana politik yang tegang di bawah Empayar Rusia.[2] Ketika itu, tuntutan rakyat Estonia untuk hak bahasa dan layanan yang lebih adil sering ditekan, dan kebebasan penerbitan turut disekat semula. Bagaimanapun, zaman tersebut juga menyaksikan kebangkitan nasional Estonia selepas pembebasan daripada sistem perhambaan, dan Koidula muncul sebagai suara paling lantang yang menyuarakan semangat kebangsaan serta aspirasi penentuan nasib sendiri.
Walaupun dipengaruhi sastera Jerman dan aliran Biedermeier,[3] Koidula berjaya melangkaui gaya sentimental tersebut dengan puisi patriotik yang kuat dan penuh emosi. Berbeza dengan penulis terdahulu seperti Friedrich Reinhold Kreutzwald yang meniru bentuk puisi rakyat lama, Koidula menggunakan bentuk puisi moden Eropah yang lebih mudah difahami oleh pembaca umum.
Sumbangan terbesarnya ialah mengangkat bahasa Estonia, yang ketika itu dianggap bahasa golongan bawahan dan kurang berkembang sebagai medium sastera yang berkuasa untuk meluahkan cinta, perasaan peribadi dan semangat kebangsaan. Melalui karya-karyanya, beliau membuktikan bahawa bahasa Estonia mampu menjadi alat ekspresi sastera yang tinggi dan bermaruah.
Drama
[sunting | sunting sumber]Lydia Koidula turut dianggap sebagai pengasas teater Estonia melalui penglibatannya dalam Persatuan Vanemuine yang ditubuhkan di Tartu pada 1865 untuk memajukan budaya Estonia.[4] Beliau merupakan orang pertama yang menulis drama asli dalam bahasa Estonia serta mengarahkan pementasan sendiri. Antara karya awalnya ialah Saaremaa Onupoeg (1870), diikuti Maret ja Miina dan Säärane mulk, yang dianggap drama Estonia sepenuhnya yang pertama. Walaupun sumber dan pelakon ketika itu masih amatur, karya-karyanya berjaya menarik perhatian kerana watak yang meyakinkan dan tema semasa yang dekat dengan masyarakat.
Dalam Festival Lagu Estonia pertama pada 1869, dua puisinya dijadikan lagu, termasuk Mu isamaa on minu arm ("Tanah Airku Cintaku"), yang kemudian menjadi lagu tidak rasmi rakyat Estonia semasa pendudukan Soviet apabila lagu kebangsaan rasmi dilarang. Lagu tersebut secara tradisi dinyanyikan pada penutup setiap festival, dan amalan itu berterusan hingga kini..[5]
Muzium Peringatan
[sunting | sunting sumber]
Muzium Koidula yang merupakan cawangan Muzium Pärnu memaparkan kehidupan dan karya penyair Lydia Koidula serta bapanya, Johann Voldemar Jannsen, tokoh penting dalam kebangkitan kebangsaan Estonia abad ke-19 dan penulis lirik lagu kebangsaan Estonia.[6][7] Muzium ini terletak di bangunan sekolah lama Pärnu Ülejõe yang dibina pada 1850, yang pernah menjadi kediaman keluarga Jannsen dan pejabat editorial akhbar Perno Postimees sehingga 1863, dan kini dilindungi sebagai monumen bersejarah.
Di pusat bandar Pärnu juga terdapat monumen Lydia Koidula yang didirikan pada 1929, hasil karya terakhir pengukir Estonia Amandus Adamson.[8] Selain itu, wajah beliau pernah dipaparkan pada wang kertas 100 krooni sebelum Estonia menggunakan mata wang euro.[9]
Catatan
[sunting | sunting sumber]- ^ Richard C. Frucht (2005). "Estonia". Eastern Europe: An Introduction to the People, Lands, and Culture. I. ABC-Clio. m/s. 91. ISBN 1-57607-800-0.
- ^ a b Gunter., Faure (2012). The Estonians : the long road to Independence. Mensing, Teresa. London: Lulu.com. m/s. 145–146. ISBN 978-1105530036. OCLC 868958072.
- ^ "Estonica.org - Baltic German literature and its impact". www.estonica.org (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2018-03-27.
- ^ "Ljubov Vassiljeva, The Origins of Theatre in Estonia – Mirek Kocur". kocur.uni.wroc.pl (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2018-03-27.
- ^ Jaworowska, Jagna. "Revolution by Song: Choral Singing and Political Change in Estonia". enrs.eu (dalam bahasa Poland). Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-08-02. Dicapai pada 2018-03-27.
- ^ Taylor, Neil (2002). Estonia (ed. 3rd). Chalfont St. Peter, England: Bradt. m/s. 180. ISBN 9781841620473. OCLC 48486870.
- ^ "Koidula Museum". www.parnumuuseum.ee (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2018-03-27.
- ^ Indrek, Rohtmets (2006). A cultural guide to Estonia : travel companion. Liivamägi, Marika,, Randviir, Tiina. Tallinn. m/s. 59. ISBN 9789985310441. OCLC 183186590.
- ^ Lestal, Tania (2017-07-16). "Estonia - Paradise of the North: Lydia Koidula & the 100 kroon Estonian banknote". Estonia - Paradise of the North. Dicapai pada 2018-03-27.
Bibliografi
[sunting | sunting sumber]| Wikisumber bahasa Melayu mempunyai teks asal berkaitan rencana ini: |
| Wikisumber bahasa Melayu mempunyai teks asal berkaitan rencana ini: |
- Ots.L. The History of Estonian Literature. University of Tartu.
- Olesk.S & Pillak.P . Lydia Koidula .24.12.1843-11-08.1886. Tallinn. Umara Kirjastus, P.14
- Nirk.E. Estonian Literature. Tallinn Perioodika. 1987. pp73–77, 79–81, 366
- Raun.T.U. Estonia and the Estonians. Hoover Institution Press, Stanford. 2001. pp 77–79, 188
- Kruus.O & Puhvel.H. Eesti kirjanike leksikon. Eesti raamat.Tallinn. 2000. pp 210– 211