Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari MAIK)
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan
MAIK
Logo Rasmi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan

Pejabat Urusan Majlis Agama Islam dan Adat istiadat Melayu Kelantan
Intisari agensi
Dibentuk17 Disember 1915 (108 tahun yang lalu) (1915-12-17)
Bidang kuasa
Institusi diraja Kelantan & Kerajaan Negeri
Ibu pejabatKompleks Islam Darul Naim, Lundang, Jalan Sultan Yahya Petra, 15200 Kota Bharu, Kelantan
Menteri bertanggungjawab
Laman sesawang
e-maik.my

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan atau MAIK ditubuhkan pada 17 Safar 1334 bersamaan 24 Disember 1915 melalui satu perisytiharan oleh KDYMM Sultan Muhammad Ke IV. Penubuhannya bertujuan untuk menasihati KDYMM Al-Sultan selaku ketua agama berkenaan dengan hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu Kelantan. Pentadbiran Majlis pada awalnya terletak di Bangunan Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu di hadapan Istana Balai Besar. Pada 25 Disember 2012 bersamaan 11 Safar 1434, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan telah menyambut 100 tahun penubuhannya. Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan diterajui oleh Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato' Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz (Tengku Temenggong Kelantan) selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang ke-18 sejak 19 Mac 2019.

Sejarah Penubuhan[sunting | sunting sumber]

Bangunan Lama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan

Penubuhan Majlis Agama Islam Kelantan sangat berkait rapat dengan latar belakang sejarah perkembangan pengajian Islam dan juga peralihan kuasa politik yang berlaku di Kelantan pada awal abad ke-20. Pada Tahun 1909, melalui Perjanjian Bangkok, negeri Kelantan bersama-sama dengan negeri Kedah, Perlis dan Terengganu diserahkan oleh Siam kepada Inggeris. Ekoran daripada perjanjian ini, seorang Penasihat British, J.S.Mason, tiba di Kelantan pada bulan Julai 1909. Perkembangan dan pembaharuan yang dilaksanakan oleh J.S.Mason dalam bidang pentadbiran dan keagamaan negeri ini, menyebabkan beberapa orang cerdik pandai Kelantan pada masa itu memikirkan bahawa satu institusi khusus perlu ditubuhkan bagi menjaga dan mentadbir urusan keagamaan di peringkat negeri Kelantan. Bertolak daripada sinilah, idea penubuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan mula dicadangkan dan digerakkan.

Sejumlah 12 orang telah dilantik oleh Baginda bagi menjadi anggota Majlis pada hari perisytiharan itu. Mereka ialah:-

  1. Haji Nik Mahmud Bin Nik Ismail (Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja)
  2. Haji Muhammad Bin Khatib Hj Muhammad Said (Dato' Laksamana)
  3. Haji Awang Muhammad Yusuf bin Ahmad (Tok Kenali)
  4. Muhammad Ghazali Arifin (Dato' Bentara Luar)
  5. Nik Jaafar Hj. Nik Abdul Kadir (Dato' Bentara Dalam)
  6. Tengku Abdul Rahman bin Sultan Muhammad III
  7. Haji Wan Muhammad Hj. Abdul Samad
  8. Haji Muhammad Said Jamluddin
  9. Haji Wan Abdullah Hj. Abdul Samad
  10. Muhammad Daud @ Che' Wook bin Salim
  11. Nik Wan Muhammad Amin Wan Musa
  12. Tambi Omar bin Tambi Kechik

Persetujuan kemudian dicapai bagi melantik Tengku Muda Hasan bin Tengku Mahmud, Hakim Mahkamah Tinggi Kelantan pada masa itu, dan menantu kepada KDYMM al-Sultan, menjadi yang Di Pertua Majlis yang pertama.

Selepas penubuhannya, pejabat Majlis buat sementara waktu ditempatkan di tingkat atas bangunan Pejabat Tanah Kota Bharu, dihadapan Istana Balai Besar, Kota Bharu. Pada 19 Ogos 1917, bangunan itu berpindah ke bangunan sendiri iaitu di sebuah bangunan kayu disebelahan Masjid Muhammadi. Majlis akhirnya berpindah ke bangunan baru bertempat di Kompleks Islam Darul Naim, Lundang, Kota Bharu, Kelantan pada 16 Februari 1990 hinggalah sekarang.

Perisytiharan Penubuhan MAIK[sunting | sunting sumber]

Titah Perisytiharan Penubuhan MAIK oleh DYMM Sultan Muhammad IV

Menurut kajian, KDYMM Sultan Muhammad Ke-IV mengampuni perkenan penubuhan MAIK setelah mendapat cadangan dan pandangan daripada tiga orang ulama dan cerdik pandai Melayu (inteligensia). Mereka ialah :

   Haji Nik Mahmud Bin Nik Ismail (Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja)
   Haji Muhammad bin Khatib Hj. Muhammad Said (Dato' Laksamana)
   Haji Awang Muhammad Yusuf bin Ahmad (Tok Kenali)

Pada 24 Disember 1915 bersamaan 17 Safar 1334, MAIK dimasyurkan penubuhannya oleh KDYMM Sultan Muhammad Ke-IV dalam suatu istiadat gilang gemilang di bangunan Pejabat Tanah lama Kota Bharu, di hadapan pembesar-pembesar negeri, orang-orang kenamaan negeri, dengan disaksikan oleh sebahagian besar rakyat Kelantan.

" Bahawasa di dalam mesyuarat Council pada hari Selasa, 30 Muharram 1334 bersamaan dengan 7 Disember 1915, sesungguhnya telah suka kita mekurniakan kepada anak-anak negeri kita satu majlis yang bernama "Majlis Ugama dan Istiadat Melayu" kerana menimbangkan bagi kebajikan negeri Kelantan. Maka dengan sebab demikian itu, inilah hari yang kita mulai buka Majlis ini kepada pengetahuan anak negeri kita supaya mereka itu mengetahui akan maksud kita kurniakan Majlis ini. Adalah tujuan kita perkataan "ugama" itu ialah tiap-tiap perkara yang mendatangkan muslihat kepada sekalian anak negeri kita lagi menambahkan bagi kebajikan Kelantan. Dan kita kehendaki bagi perkataan "Istiadat Melayu" itu ialah yang melengkapi atas adat dan adab Melayu yang dengan elok dan seyogia dipelihara akan dia mengikut bagaimana peredaran masa....."

Pentadbiran Majlis[sunting | sunting sumber]

Perlembagaan negeri Kelantan ada memperuntukan bahawa KDYMM al-Sultan adalah Ketua Agama Islam bagi negeri Kelantan. Dalam menjalankan tugas ini Baginda dibantu dan dinasihati oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, sebagaimana termaktub dibawah perkara 6 (1) Bahagian Pertama Perlembagaan Negeri yang berbunyi:

"adapun kepala bagi ugama negeri ialah Yang Maha Mulia dan Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu, di dalam bahasa Inggeris Council of Religion and Malay Custom yang ditubuhkan dibawah undang-undang negeri yang ada sekarang hendaklah terus membantu dan menasihati Yang Maha Mulia mengikut undang-undang itu."

Kuasa tertinggi Majlis terletak pada sebuah lembaga bernama "Anggota Majlis" yang dilantik oleh KDYMM al-Sultan dari semasa ke semasa. Semua perkara yang melibatkan dasar, tindakan dan pentadbiran Majlis mestilah terlebih dahulu mendapat persetujuan dan pengesahan daripada "Anggota Majlis" ini. Dalam perkembangan selanjutnya, lembaga ini dibantu pula oleh sebuah "Jemaah Ulama" yang dipengerusikan oleh Mufti Kerajaan Negeri Kelantan bagi memastikan bahawa keputusan-keputusan yang dibuat dan dilaksanakan dalam bidang pentadbiran dan kewangan tidak bercanggah dengan hukum-hukum agama yang diamalkan dalam negeri ini.

Pada tahun 1979, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) ditubuhkan bagi membantu Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dalam urusan kuatkuasa undang-undang dan kehakiman sementara Yayasan Islam Kelantan (YIK) ditubuhkan pada tahun 1983 bagi membantu Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dalam bidang pelajaran dan persekolahan.

Fungsi Majlis[sunting | sunting sumber]

YTM Tengku Muhammad Faiz Petra lbni Sultan Ismail Petra (Tengku Mahkota Kelantan) merangkap Yang Dipertua MAIK yang ke-17
YTM Tengku Mahkota Kelantan mengampuni perkenan untuk mengurniakan sumbangan kepada asnaf melalui program Mesra MAIK

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan menjalankan tanggungjawab ke atas perkara-perkara berikut:-

  • Kutipan dan Agihan Zakat
  • Baitulmal
  • Wakaf
  • Tanah Perkuburan Orang Islam
  • Pengurusan Maahad Tahfiz / Sekolah Pondok
  • Dakwah
  • Mengurus Rumah Anak Yatim Darul Aitam
  • Tauliah Mengajar
  • Khairat Kematian
  • Pungutan Derma
  • Saudara baru / Mualaf
  • Penerbitan Buku-buku
  • Memelihara Adat Istiadat Melayu Kelantan yang berlandaskan Islam
  • Perpustakaan Islam
  • Pentadbiran, penyelenggaraan dan imarah masjid-masjid dan surau-surau.

Objektif, Strategi, Misi dan Visi[sunting | sunting sumber]

Logo Asal Majlis Agama Islam (Pertama)

Objektif[sunting | sunting sumber]

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan menggariskan beberapa objektifnya seperti berikut:

  1. Dakwah Islamiah yang berkesan
  2. Membentuk dan mewujudkan sebuah masyarakat Islam yang dinamis dan progresif yang sentiasa mencari keredhaan Allah
  3. Memupuk keimanan dan mengukuhkan ukhwah Islamiah di kalangan orang-orang Islam di negeri Kelantan khususnya an di Malaysia amnya bagi mencapai perpaduan ummah.
  4. Memperbanyakkan usaha-usaha kebajikan dan mencegah kemungkaran di dalam masyarakat Islam di Kelantan ; dan
  5. Logo Rasmi MAIK lama (kedua)
    Melaksanakan usaha-usaha menambahkan harta dan sumber melalui pelaburan dan usaha-usaha halal yang lain bagi kemajuan dan kesejahteraan sosial dan ekonomi masyarakat Islam di Kelantan.

Strategi[sunting | sunting sumber]

Antara strategi yang diatur bagi mencapai objektif MAIK adalah sebagaimana berikut :

  1. Mewujudkan sebuah organisasi pentadbiran yang mantap dan berkesan bagi melaksanakan fungsi dan matlamat penubuhan MAIK.
  2. Memperkemas dan memperluaskan bidang usaha dan kegiatan dakwah dan tarbiah (pendidikan) agama demi mempertingkatkan kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat
  3. Memperkemas dan memperkembangkan aktiviti-aktiviti pembangunan ekonomi.
  4. Mewujudkan institusi kebajikan bagi meningkatkan kegiatan amal bagi mengatasi masalah kemasyarakatan umat islam di kalangan fakir miskin, saudara baru, anak yatim, dan lain-lain.
  5. Menggalak dan mempergiatkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti-aktiviti bercorak keagamaan dan amal kebajikan

Visi[sunting | sunting sumber]

Untuk menjadikan sebuah organisasi pengurusan wang zakat dan pengurusan harta baitulmal dan wakaf yang terunggul di malaysia.

Misi[sunting | sunting sumber]

Memberi sumbangan bermakna untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi islam.

Piagam Pelanggan[sunting | sunting sumber]

Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan menyediakan piagam pelanggan seperti berikut bagi mempastikan keperluan dan kepuasan pelanggan dipenuhi :

  1. Memberi layanan yang mesra dan perkhidmatan yang cekap kepada setiap pelanggan
  2. Memberi penerangan yang jelas dan kiraan taksiran yang tepat kepada Pembayar Zakat serta mempastikan setiap pembayaran dapat disiapkan dalam masa 5 hingga 10 minit
  3. Mempastikan agihan bantuan wang zakat kepada asnaf-asnaf dilakukan pada tahun semasa
  4. Memproses permohonan sewaan premis dan tanah MAIK dalam tempoh tidak melebihi 3 bulan
  5. Menerima pembayaran sewaan premis dan tanah MAIK dalam tempoh 5 hingga 10 minit dan segala pengaduan kerosakan bangunan-bangunan MAIK akan diambil tindakan dalam masa 2 minggu

Senarai Yang Dipertua MAIK[sunting | sunting sumber]

  1. YM Tengku Muda Hassan bin Tengku Mahmood (1915 - 1919)
  2. YTM Tengku Ibrahim ibni Sultan Muhammad IV (1919 - 1944)
  3. YTM Tengku Indra Petra Ibni Sultan Ibrahim (12 Disember 1944 - 29 November 1947)
  4. YTM Tengku Yahya Petra ibni Sultan Ibrahim (1 januari 1948 – 31 Disember 1953)
  5. YBhg. Dato’ Nik Ahmad bin Haji Nik Mahmood (1 Januari 1954 – 1 Disember 1954)
  6. YBM Tengku Ahmad bin Tengku Abdul Ghaffar (15 Disember 1954 – 1 Jun 1955)
  7. Sahib al-Samahah Dato’ Haji Ahmad Maher bin Ismail (pemangku) (7 Jun 1955–16 September 1960)
  8. YBhg. Dato’ Haji Muhammad Saleh bin Umar (16 September 1960 – 31 Disember 1964)
  9. YBhg. Dato’ Haji Muhammad Yusoff bin Hassan (1 Januari 1965–31 Disember 1966)
  10. YBM Tengku Abdul Aziz bin Tengku Hamzah (1 Januari 1967 – 31 Mei 1975)
  11. YB Dato’ Haji Nik Mahmood bin Nik Daud (pemangku) (1 Jun 1975 – 31 Mei 1979)
  12. YBhg. Dato’ Haji Nor bin Zainal (1 Jun 1979 – 1 Februari 1981)
  13. YB Dato’ Haji Nik Ishak bin Dato’ Haji Nik Daud (pemangku) (1 Februari 1981 – 1 Julai 1981)
  14. YB Dato’ Haji Nik Sulaiman bin Dato’ Haji Nik Daud (1 Julai 1981 – 30 Jun 1991)
  15. YAB Dato’ Haji Abdul Razak bin Salleh (15 November 1991 – 13 Mac 1999)
  16. YAB Dato’ Haji Wan Mohamad bin Wan Konok (14 Mac 1999 – 20 Jun 2009)
  17. YTM Dr. Tengku Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra (21 Jun 2009 – 18 Mac 2019)
  18. YBM Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Bin Tengku Abdul Aziz (19 Mac 2019 - Sekarang)

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]