Maarof Zakaria
Maarof Zakaria | |
|---|---|
| Kelahiran | Maarof bin Haji Zakaria 1904 |
| Meninggal dunia | 7 Disember 1947 (umur 42–43) |
| Sebab kematian | Dibunuh |
| Dikebumikan | Tanah Perkuburan Islam Jalan Mohamaden, Ampang, Selangor |
| Pekerjaan | Peguam |
| Pasangan | Kamsiah Mohd Ali |
| Anak-anak | Mustapha Maarof |
Maarof Haji Zakaria (s. 1904 – 7 Disember 1947) ialah seorang peguam dan tokoh ekonomi Melayu. Beliau dikenali sebagai pengasas Bank Kebangsaan Melayu (bahasa Inggeris: Malay National Bank), bank pertama yang ditubuhkan khusus untuk orang Melayu.[1]
Latar belakang
[sunting | sunting sumber]Maarof merupakan seorang peguam kelahiran Seri Menanti, Negeri Sembilan. Beliau seangkatan dengan Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pendeta Zaaba (16 September 1895 – 23 Oktober 1973), dan pernah berkhidmat sebagai pegawai daerah di Perak.
Selain kerjayanya dalam bidang perundangan, Maarof terlibat secara langsung dalam usaha membangunkan institusi kewangan Melayu melalui penubuhan Bank Kebangsaan Melayu di Kuala Lumpur, yang bertujuan menyediakan alternatif kepada orang Melayu yang bergantung kepada peminjam wang persendirian.
Antara anaknya ialah pelakon veteran Malaysia, Datuk Mustapha Maarof. Bagi mengenang jasa beliau, sebatang jalan di Bangsar telah dinamakan Jalan Maarof.[1]
Pembunuhan misteri
[sunting | sunting sumber]Pada 4 Disember 1947, Maarof Zakaria pernah cuba dibunuh oleh sekumpulan lelaki bersenjata api ketika mereka berpindah ke kediaman baharu di Taman Seputeh, Jalan Klang Lama. 10 bulan kemudian Maarof ditemui mati digantung pada sebatang pokok di hutan berhampiran Batu 13, Jalan Kuala Lumpur-Bentong, Pahang pada 7 Disember 1947. Maarof, yang ketika itu berumur 43 tahun, dikatakan hilang selama 2 hari selepas keluar dari rumah menuju ke Kampung Baru, Kuala Lumpur. Jam tangan jenama Rolex dan wang dalam dompetnya tidak diambil oleh pembunuhnya.[1][2]
Sebelum kejadian beliau baru membeli sebidang tanah dusun dianggarkan seluas 0.8 hektar di kawasan bukit yang mempunyai dua unit rumah setingkat, terletak berhampiran Sekolah Melayu Seputeh (kini SK Taman Bukit Desa).[3] Ketika pembunuhan itu berlaku, anaknya Mustapha Maarof masih bersekolah di Maktab Melayu Kuala Kangsar.[2]
Peristiwa pembunuhan pegawai bank ini hampir menyamai pembunuhan pegawai Bank Bumiputera Finance di Hong Kong, Abdul Jalil Ibrahim yang akhirnya membongkar Skandal BMF.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b c Mohd Aziz Ngah; Zulhilmi Hat (9 April 2015). "BERSIRI: Malay National Bank sempat bantu Melayu". Berita Harian. Dicapai pada 13 Disember 2025.
- ^ a b Affandi, Osman (3 Januari 2019). "Kisah hitam di sebalik penubuhan Malay National Bank, bank pertama untuk orang Melayu". Iluminasi.
- ^ "Cubaan bunuh keluarga Maarof". Berita Harian. 1 Jun 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-06-01. Dicapai pada 2014-06-01.