Maglin Dennis D'Cruz

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Senator Datuk Seri Maglin Dennis D'Cruz (27 Februari 1956 - 17 November 2023) adalah ahli politik Malaysia berketurunan India dari suku Malayalam yang juga merupakan Presiden Parti Progresif Penduduk (myPPP), bekas parti komponen Barisan Nasional (BN). Beliau juga adalah Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dari 4 Jun 2010 sehingga tahun 2012, selepas sahaja tamat tempohnya sebagai senator di Dewan Negara.[1]

Latarbelakang[sunting | sunting sumber]

Dilahirkan pada 27 Februari, 1956 di Kuala Lumpur kepada keluarga berketurunan India dari suku bangsa Malayalam dan beragama Kristian dari mazhab Roman Katolik (satu faktor yang dia salah seorang rakyat Malaysia berbangsa India yang mempunyai nama keturunan dari Bahasa Portugis iaitu melalui nama keturunannya D'Cruz), beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan St. John, Kuala Lumpur dan kemudiannya berhijrah ke Kluang, Johor. Pada zaman persekolahan, beliau adalah seorang yang aktif dalam beberapa bidang sukan seperti badminton, bola sepak, hoki serta olahraga sehingga dipilih mewakili negeri.

Beliau telah melanjutkan pelajaran sehingga ke tahap Sarjana di bidang Pengurusan di University of Canterbury, Cheshire, United Kingdom pada tahun 2003.

Politik[sunting | sunting sumber]

YB Senator Datuk Maglin D’Cruz memulakan karier politiknya sebagai Pengerusi Cawangan PPP Taman Gembira, Klang pada tahun 1996. Beliau pernah menyandang jawatan Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan, dan pada tahun 2008 telah dilantik oleh Parti sebagai Naib Pengerusi PPP Negeri Selangor.

Pada pemilihan parti tahun 2000, 2004 dan 2008, beliau telah meraih jumlah undi tertinggi bagi jawatan Naib Presiden dan seterusnya beliau telah diamanahkan untuk menyandang tanggungjawab sebagai Naib Presiden Kanan Parti PPP Malaysia sehinggalah kini.

Usaha gigih beliau dalam membantu ahli-ahli Parti PPP dan perwatakan yang peramah, berprinsip serta berdisplin, menyebabkan beliau popular di kalangan ahli-ahli PPP di peringkat akar umbi.

YB Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia mulai 4 Jun, 2010 sehingga tempohnya sebagai senator dalam Dewan Negara tamat pada tahun 2012.

Beliau dilantik sebagai Presiden parti myPPP sejak Mei 2018 sehingga 2019 ekoran pemecatan Tan Sri M. Kayveas dari parti tersebut. Kelayakan myPPP dimansuhkan RoS bermula 2019 hingga 2023. Pada tahun 2023, parti myPPP berjaya didaftarkan semula dan beliau dilantik sebagai Presiden parti sehinggalah ke hari ini.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ ""Profil Timbalan Menteri", Portal Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, 5 April 2012". Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-11-29. Dicapai pada 2012-04-06.