Majalah URTV

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Utusan Radio & Televisyen (URTV)
Salah satu kulit majalah URTV
Pengarang Majalah URTV Huzz
Kategori Majalah hiburan
Kekerapan Bulanan
Penerbit Utusan Karya Sdn. Bhd.
Isu pertama Januari 15, 1970 (1970-01-15)
Syarikat Utusan Karya Sdn. Bhd.
Negara Malaysia
Ibu pejabat Bandar Baru Bangi, Selangor
Bahasa Bahasa Melayu
Laman web utusankarya.com.my/v2/urtv

Utusan Radio & Televisyen (atau lebih dikenali sebagai URTV) merupakan sebuah majalah berbahasa Melayu yang diterbitkan di Malaysia. Majalah ini asalnya diterbitkan secara dwibulanan, namun pada tahun 2015 ia telah diubah konsepnya menjadi majalah bulanan.

Majalah ini juga mengkhusus berita dan perkembangan artis dalam industri hiburan. Memaparkan cerita-cerita eksklusif daripada artis-artis popular tanah air dan luar negara.

Sehingga kini URTV tetap bersemangat, berwarna-warni dan menghiburkan sebagaimana ia pertama kali diterbitkan pada tahun 1970. URTV tidak pernah lapuk ditelan zaman kerana ia mampu bertahan sebagai salah sebuah majalah hiburan yang popular di Malaysia yang mengikuti dengan rapat, kalau pun tidak menerajui, perubahan zaman. 

Menjaminkan kekaguman kepada pembaca, URTV membuat liputan yang tajam dan tegas, serta pantas terhadap berita dan peristiwa terkini sekitar dunia hiburan tempatan dan antarabangsa. Gambar-gambarnya yang menarik mencuit hati pembacanya. Bergaya dan juga menguja.

Syarikat penerbitan bagi majalah ini ialah Utusan Karya Sdn. Bhd.

Sidang Redaksi[sunting | sunting sumber]

Pengarang : HUZZ

Wartawan:

  • FADHIL ABDOLLAH (DEEL ANJER)
  • QARAMI HASHIM
  • NUR ASYIKIN MAYUDIN

Pereka Grafik

  • MASYUTTY A SAMAD
  • FIRHAT YASIR

Sejarah percetakan[sunting | sunting sumber]

MAJALAH Utusan Radio & TV (URTV) kini sudah berusia 45 tahun. Masih kekal menjadi wadah kepada peminat seni dan hiburan tanah air dengan paparan personaliti serta diari hiburan dari semasa ke semasa.

Ternyata keputusan pihak pengurusan Utusan Melayu (M) Bhd. menerbitkan sebuah majalah hiburan dengan terbitan perdana pada 15 Januari 1970 satu keputusan tepat.

Pihak pengurusan pada masa itu memikirkan perlunya ada sebuah majalah hiburan kerana tidak banyak majalah genre tersebut di pasaran ketika itu.

Sementelah pada masa itu majalah Utusan Film & Sport yang juga terbitan Utusan Melayu sudah diberhentikan penerbitan.

Untuk penerbitan URTV itu sekumpulan wartawan kanan di Utusan Melayu diberi tanggungjawab mengendalikannya dengan AR Kamaludin mengepalainya.

Sarimah Kian Improve. Itulah tajuk utama dengan seniwati Sarimah dipilih sebagai penghias muka hadapan dengan harga pengenalan 30 sen. Pada masa itu Sarimah antara pelakon hebat dunia perfileman Malaysia.

Sesuai dengan namanya, pengisian URTV pada edisi terawal juga mengangkat program televisyen (TV) yang ada pada masa itu. Program Juara Kugiran antara yang mendapat liputan meluas.

Sementelah program itu sendiri diilhamkan apabila melihat semaraknya kugiran yang mahu melangkah ke dunia muzik. URTV antara yang banyak mempromosikan kugiran yang muncul.

Antara kugiran tempatan yang mendapat liputan termasuk Orkes Nirwana, The Zurah, De Fictions dan banyak lagi. Penghibur di kelab turut mendapat tempat dalam URTV.

Pada tahun yang sama URTV juga membuat perubahan untuk memberikan kepuasan kepada pembaca dan harga dinaikkan kepada 40 sen senaskhah.

Dari semasa ke semasa, majalah dwi bulanan itu turut dinaikkan harga dengan harga terkini RM5.00 termasuk GST. Sejak Januari tahun ini URTV kini terbit secara bulanan.

URTV juga mengalami perubahan masthead sesuai dengan perubahan zaman yang dilalui. Daripada Utusan Radio & TV pada era 70-an diberi wajah baharu dengan singkatan URTV sejak era 1980-an hingga sekarang.

Perubahan masthead dianggap perlu untuk menjadikan URTV terus relevan dari zaman ke zaman dan nampak sentiasa segar untuk cita rasa remaja pada zamannya.

Motto URTV juga turut berubah. Kali pertama dengan motto Majalah Hiburan Untuk Semua dan pada era 1980-an hingga sekarang ditukar kepada Majalah Hiburan Paling Popular.

Tahun 1980-an boleh dianggap zaman kemuncak URTV. Pada masa itu golongan selebriti juga semakin bercambah dengan adanya stesen televisyen swasta dan pertambahan bahan tempatan di kaca TV.

URTV menjadi lebih selektif dengan hanya memilih nama-nama popular sebagai penghias muka depan dan pengisian dalaman. Sebab itu artis turut berasa tempias populariti apabila menghiasi dada majalah URTV.

Sepanjang 45 tahun ini banyak nama besar dalam bidang kewartawanan hiburan memberi sentuhan mereka kepada URTV. Antaranya Bahyah Mahmood (BAM), Juwie, Rosie Hashim, Norshah Tamby, Mustafa AR, Norbaya Musa, Muzlina Abu Bakar, Huzz, Fatimah Hassan dan ramai lagi.

Bahyah atau BAM menjadi nama yang sangat sinonim dengan URTV. Dia antara yang menjadi wartawan sejak awal dan menjadi peneraju URTV daripada pertengahan era 1970-an hingga 1990-an.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

URTV melangkau lima dekad http://www.utusan.com.my/hiburan/urtv-melangkau-lima-dekad-1.138132