Majlis Konsultasi Perpaduan Negara

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pergi ke pandu arah Pergi ke carian

Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) merupakan sebuah badan baru yang ditubuhkan pada 11 September 2013. MKPN dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak pada 26 November 2013 iaitu ekoran Pilihan raya Umum Malaysia 2013 yang memperlihatkan polarisasi kaum dan agama. Perpaduan nasional akan dapat dicapai jika rakyat tidak lagi melihat antara satu sama lain melalui lensa agama atau kaum.Pengerusi MKPN ialah Tan Sri Samsudin Osman dan Timbalan Pengerusi MKPN, Tan Sri Lee Lam Thye.

[1]

Garis panduan[sunting | sunting sumber]

Dasar yang diputuskan mesti berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara sebagai landasan serta mengambil panduan daripada Gagasan 1Malaysia yang antaranya terkandung prinsip menegakkan keadilan sosial.Semua program yang diatur juga perlu lebih bersifat neutral, bukan berkisar kepada agama dan kaum selain menghormati sensitiviti antara satu sama lain.MKPN turut mengambil kira Model Baharu Ekonomi (MEB) dalam konteks memastikan kekayaan negara dapat dikongsi secara inklusif, adil dan saksama. Malaysia perlu melihat ke hadapan dalam proses pembangunan negara yang menjangkau tempoh agak panjang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup menjelaskan bahawa MKPN merupakan usaha penyatuan nasional bagi mengurangkan polarisasi kaum dan untuk membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu.Tiada sebarang maksud tersirat yang berkait dengan agenda politik jangka pendek atau pilihan raya.

Organisasi[sunting | sunting sumber]

Setakat ini ahlinya seramai 29 tokoh tokoh masyarakat, ahli akademik, pemikir, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain ahli politik daripada Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.Mereka telah menerima watikah pelantikan daripada Najib. Pengerusi MKPN ialah Tan Sri Samsudin Osman dan Timbalan Pengerusi MKPN, Tan Sri Lee Lam Thye. [2]

Majlis pelancaran di Kuala Lumpur turut disertai oleh Samsudin Osman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Joseph Kurup dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Dato Lee Lam Thye, Dato Saifuddin Abdullah, Marina Mahathir, Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot, Napisah Omar dan lain-lain.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

MKPN merupakan sebuah badan yang mempunyai peranan dan tanggungjawab sama dengan Majlis Perpaduan Negara yang ditubuhkan oleh Majlis Gerakan Negara (Mageran) selepas berlakunya Peristiwa 13 Mei pada 13 Mei 1969. Majlis itu telah dibubarkan serentak dengan pembubaran Mageran berikutan pemulihan kerajaan demokrasi berparlimen pada 23 Februari 1971 dan sebagai ganti sebuah badan baru iaitu Majlis Penasihat Perpaduan Negara telah ditubuhkan.

Majlis itu kemudiannya dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein dan dianggotai seramai 51 ahli yang terdiri daripada pelbagai kaum dengan mengekalkan peranan Majlis Perpaduan Negara. Kemudian, pada 15 September 2011, Perdana Menteri mengumumkan proklamasi darurat yang telah diisytiharkan dahulu ditamatkan penguatkuasaannya.[3]

Cadangan ke arah Perpaduan Nasional[sunting | sunting sumber]

Selaku Pengerusi MKPN, Tan Sri Samsuddin Osman mengemukakan 10 cadangan kepada kerajaan ke arah perpaduan nasional .

  1. kontroversi serbuan dan rampasan Bible di Selangor hendaklah diselesaikan secara baik. Semua pihak hendaklah mengelak daripada terus mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan perpaduan nasional.MKPN akan menganjurkan perbincangan tertutup antara pihak berkuasa agama dan pemimpin-pemimpin agama bagi mencari penyelesaian secara aman. [4]
  2. Rang Undang-undang Jenayah Kebencian Kaum dan Agama
  3. Rang Undang-undang Harmoni dan Rekonsiliasi
  4. Rang Undang-undang Suruhanjaya Harmoni dan Rekonsiliasi.

Bantahan[sunting | sunting sumber]

Pada 22 Jun 2014, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menyatakan bahawa tiga rang undang-undang bagi menggantikan Akta Hasutan 1948 bakal mendedahkan agama Islam dan bangsa Melayu terhadap serangan tanpa kawalan sehingga dibimbangi meletuskan api persengketaan. Ternyata ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Seluruh NGO Melayu , parti politik hendaklah bangun menentang usaha Majlis Peguam dan MKPN ini sebelum 'nasi menjadi bubur'. Majlis Peguam dan MKPN cuba bertindak sebagai 'kerajaan dalam kerajaan'. Cadangan ini berbahaya terutama terhadap kesucian Islam dan kelangsungan Melayu. Jelas ia bertujuan menghapuskan dasar berasaskan agama, bangsa dan keturunan. Tindakan menghapuskan Akta Hasutan 1948 bakal menjadi 'tragedi' sebagaimana Akta Dalam Negeri (ISA).[5]

Pada 1 Jun 2014, bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad pernah menolak tawaran menjadi Pengerusi MKPN kerana khuatir diperalat, keputusan yang dikatakannya dibuat sebelum mengetahui komposisi dan nama-nama ahli MKPN. Beliau bimbang menjadi 'pengkhianat' kepada bangsa Melayu dan agama Islam . Ahli-ahli MKPN yang terdiri daripada anak negeri Sabah dan Sarawak, terutama sekali yang beragama Kristian, yang kurang senang dengan orang Melayu dan Islam di Semenanjung kerana isu kalimah Allah juga akan bersekongkol tanpa menyedari bahawa hak-hak mereka juga akan terhakis.

Dakwanya, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) secara sengaja atau tidak, sudah pun menyerahkan tugas menetapkan dasar dan menyediakan draf undang-undang iaitu 'Racial and Religious Hate Crime Bill', 'National Harmony and Reconciliation Bill' dan National Harmony and Reconciliation Commission Bill' kepada pembangkang, yang dilihat sebagai 'merampas' MKPN. Janganlah sampai menyerahkan penentuan dasar dan penggubalan kepada Majlis Peguam dan parti pembangkang.[6]


Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional perlu diteruskan". Utusan Malaysia. 28 Jun 2013.[pautan mati kekal]
  2. ^ "Syarat capai perpaduan nasional". Utusan Malaysia. 26 November 2013.
  3. ^ "MKPN tiada sebarang kaitan dengan politik, pilihan raya - Kurup". Utusan Malaysia. 24 Nov 2013.
  4. ^ "10 cadangan MKPN atasi isu perpaduan, agama". Utusan Malaysia. 6 Jan 2014.
  5. ^ "Perkasa bidas Majlis Peguam, MKPN". Utusan Malaysia. 23 Jun 2014.
  6. ^ "Tun Abdul Hamid tolak jadi pengerusi MKPN kerana bimbang diperalat". The Malaysian Insider. 1 Julai 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-07-02. Dicapai pada 2014-07-01.