Majlis Perbandaran Kangar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Majlis Perbandaran Kangar (MPK) adalah merupakan kerajaan tempatan bagi daerah Kangar. Yang Dipertua MPK masa kini adalah Rosley Mat yang dilantik pada 16 Julai 2010.[1]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sebelum tahun 1956, Kerajaan Tempatan di Negeri Perlis terletak di bawah "Town Board Enactment F.M.S. Cap 137" yang melibatkan tujuh kawasan pekan iaitu Kangar, Arau, Kuala Perlis, Simpang Empat, Kaki Bukit, Padang Besar dan Pauh. Keseluruhan kawasan Kerajaan Tempatan adalah seluas 2,848 kilometer persegi dengan bilangan penduduknya seramai 13,910 orang.

Kawasan Kerajaan Tempatan pada ketika itu, telah ditadbir oleh Lembaga Kesihatan atau dikenali oleh masyarakat setempat sebagai "Sanitary Board". Pengerusi lembaga berkenaan adalah Pesuruhjaya Tanah dan Galian Negeri dengan dibantu oleh 11 orang Ahli Lembaga yang berkuasa memberi nasihat kepada Pesuruhjaya tersebut. Dari segi kewangan, anggaran perbelanjaan dan hasil disediakan sama seperti jabatan kerajaan yang lain iaitu sebahagian daripada Pentadbiran Kerajaan Negeri disamping sebahagian lagi oleh Kerajaan Tempatan sendiri.

Pada tahun 1956, Tuanku Syed Putra Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalulail, Raja Perlis telah melantik satu Suruhanjaya untuk mengkaji dan membuat syor mengenai Kerajaan Tempatan di Negeri Perlis. Melalui cadangan yang dibuat oleh Suruhanjaya tersebut, pekan-pekan yang terletak di bawah "Sanitary Board" telah disusun semula di bawah empat Penguasa Tempatan iaitu Majlis Bandaran Kangar (MBK), Lembaga Bandar Padang Besar, Majlis Tempatan Kaki Bukit dan Majlis Tempatan Simpang Empat. MBK mentadbir tiga buah pekan iaitu Kangar, Arau dan Kuala Perlis.

Pada 1 Januari 1980, kesemua Penguasa Tempatan di Perlis disusun semula. Pihak Kerajaan telah menyarankan agar kesemua Penguasa Tempatan di Perlis disatukan bagi memastikan sistem pentadbiran dan perkhidmatan dapat diberikan dengan lebih cemerlang. Memandangkan Negeri Perlis adalah merupakan sebuah negeri yang unik dari segi keluasannya, maka yang demikian telah diputuskan bahawa hanya satu pusat pihak Penguasa Tempatan yang harus diwujudkan. Sehubungan dengan itu, Penguasa tempatan yang diwujudkan telah diberi taraf otonomi dan dinamakan Majlis Perbandaran Kangar (MPK).

Dengan status Majlis Perbandaran yang telah diberikan ini, sedikit sebanyak telah memberikan gambaran baik bahawa Negeri Perlis ini adalah merupakan sebuah kawasan yang telah membangun dan maju. Bukan itu sahaja, malah persepsi orang ramai mengenai imej Negeri Perlis sebagai sebuah negeri dikawasan luar bandar telah dapat diubah dengan secara tidak langsung. Pada peringkat awalnya, kawasan operasi MPK meliputi kawasan seluas 40 batu persegi.

Seterusnya dalam tahun 1989, kawasan operasi ini telah diperluaskan sehingga meliputi 118 km persegi. Malah kawasan operasi MPK juga telah dikaji semula oleh pihak Kerajaan Negeri dan melalui Warta Kerajaan Negeri Bilangan 5 Jilid 42 yang bertarikh 4 Mac 1999 berkuatkuasa mulai 22 Oktober 1997 telah sebulat suara meluluskan pindaan ke atas kawasan Majlis di mana seluruh Negeri Perlis kecuali Kawasan Hutan Simpan diisytiharkan sebagai Kawasan Majlis Perbandaran Kangar dengan keluasan 795 km persegi.

Kempen[sunting | sunting sumber]

Kempen memerangi sampah[sunting | sunting sumber]

Pada 26 Julai 2010, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) mengisytiharkan kempen memerangi sampah dalam usaha memastikan kawasan di bawah perbandaran itu sifar sampah. Perkataan "Sila Gunakan Saya" yang digunakan sejak tiga dekad lepas pada setiap tong sampah MPK juga akan diganti dengan perkataan "Biadap Jika Tidak Menggunakan Saya".

MPK yang diwakili oleh En. Rosley Mat berkata bahawa pihaknya juga bercadang menaikkan kadar kompaun terhadap mereka yang terbabit membuang sampah di merata tempat di negeri ini daripada RM500 kepada kadar yang lebih tinggi. MPK akan memasang kamera litar tertutup di lokasi strategik di samping menempatkan pegawai penguatkuasa berpakaian preman untuk menjalankan tugas penguatkuasaan termasuk mengenakan kompaun terhadap pembuang sampah.[2]

Isu dan kontroversi[sunting | sunting sumber]

Pejabat MPK disita[sunting | sunting sumber]

Pejabat Majlis Perbandaran Kangar (MPK) di sini hari ini disita selama dua minggu ekoran kegagalan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu membayar ganti rugi termasuk faedah berjumlah lebih RM6 juta kepada sebuah syarikat pemaju perumahan di Kuala Lumpur.

Kesemuanya bermula gara-gara tindakan MPK membatalkan kontrak perjanjian dengan syarikat terbabit iaitu Sonati Development Corp. Sdn. Bhd. (Sonati) yang telah dilantik untuk membangunkan sebidang tanah milik MPK di atas lot PT4417, Mukim Titi Tinggi di Padang Besar pada 14 April 2000.

Selepas melalui proses perundangan lebih lima tahun yang mengesahkan MPK melanggar syarat-syarat kontrak perjanjian, Sonati melalui Tetuan K. Kulasekar, Achan & Associates memperolehi perintah pelaksanaan penyitaan tersebut oleh Mahkamah Tinggi Kangar pada 8 Ogos lalu dan tepat pukul 12 tengah hari ini, perintah itu dilaksanakan oleh bailif.Utusan Malaysia 16 Ogos 2006

Bekas Yang Dipertua MPK dipenjara 4 tahun[sunting | sunting sumber]

Pada 30 November 2006, Bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Baharudin Ahmad telah dihukum penjara empat tahun dan denda RM405,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah atas empat tuduhan menerima rasuah berjumlah RM387,500 pada 1999.[3]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Laman rasmi Majlis Perbandaran Kangar

Rujukan[sunting | sunting sumber]