Majlis Syura Ulamak PAS

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Majlis Syura Ulamak PAS merupakan salah sebuah entiti tertinggi dalam Parti Islam Se-Malaysia. Ia merupakan sebuah badan yang diberi kuasa untuk menafsir, menjelas dan menghuraikan dasar PAS, menafsir Perlembagaan PAS, mengeluarkan arahan supaya dasar PAS dipatuhi, memelihara supaya dasar dan ketetapan PAS dipatuhi serta mengawal tatatertib PAS. Ia menjadi badan tertinggi dalam PAS walaupun ia tidak memiliki kuasa eksekutif.

Ia dianggotai tidak lebih daripada 17 orang ulamak dan alimat PAS yang dilantik oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat seramai 4 orang, Dewan Ulamak PAS Pusat seramai 4 orang, Dewan Pemuda PAS Malaysia seramai 2 orang, Dewan Muslimat PAS Malaysia seramai 2 orang dan Majlis Syura Ulamak PAS sendiri seramai 5 orang.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Majlis Syura Ulamak PAS merupakan institusi kepada kepemimpinan ulamak dalam PAS telah ditubuhkan hasil dari keputusan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-28 pada 23-24 Oktober 1982. Usul Dewan Pemuda PAS Pusat yang diterima oleh Muktamar PAS itu menghendaki PAS menginstitusikan kepemimpinan ulamak. Hasilnya, satu kajian untuk meminda Perlembagaan PAS (Pindaan) 1977 telah dibuat bagi memperkasakan semula organisasi PAS dan pada 31 Ogos 1983, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah meluluskan cadangan-cadangan yang dikemukakan, termasuk cadangan menubuhkan Majlis Syura Ulamak PAS. Majlis Syura Ulamak PAS yang dianggotai oleh 12 orang ulamak dengan diketuai oleh seorang Mursyidul Am adalah bertanggungjawab mengawal dasar dan tatatertib parti, selain berkuasa menafsirkan Perlembagaan PAS. Cadangan ini telah diluluskan kemudiannya oleh Muktamar Tahunan PAS Ke-29 pada 30 April - 1 Mei 1983.[1]

Walaupun keseluruhan Ahli Majlis Syura Ulamak PAS telah dilantik pada 20 Oktober 1987, namun perlantikan ini tidak melibatkan jawatan Mursyidul Am PAS. Mursyidul Am PAS yang pertama, Ustaz Haji Yusof Rawa hanya dilantik pada 16 November 1987, iaitu dalam mesyuarat mereka yang kedua.[1]

Anggota Sesi Pertamaː(1987 - 1991)

Jawatan Nama
Mursyidul Am

(Bermula 16 November 1987)

Tuan Guru Haji Yusuf Abdullah Rawa
Setiausaha

(Bermula 20 Oktober 1987)

Ustaz Hassan Shukri
Ahli

(Lantikan Jawatankuasa

Kerja PAS Pusat)

(Bermula 21 Jun 1987)

1. Dato' Ustaz Fadzil Mohd Noor

2. Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

3. Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad (Sehingga 30 Oktober 1988)

4. Prof. Dr. Haron Din (Bermula 30 Oktober 1988)

Ahli

(Lantikan Dewan

Ulamak PAS Pusat)

(Bermula 21 Jun 1987)

1. Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

2. Tuan Guru Haji Yahya Junid

3. Tuan Guru Haji Azhari Abdul Razak

4. Tuan Guru Ustaz Yahya Othman

Ahli

(Lantikan Majlis Syura

Ulamak PAS)

(Bermula 20 Oktober 1987)

1. Tuan Guru Datuk Haji Harun Taib

2. Ustaz Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok

3. Ustaz Idris Omar

4. Ustaz Mohd Akhir Yaakob)

Pada 8 November 1992, satu pindaan Perlembagaan PAS telah dibuat dalam Muktamar Khas PAS yang antara lain untuk mewujudkan jawatan Timbalan Mursyidul Am PAS yang berfungsi untuk “membantu tugas-tugas Mursyidul Am PAS dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS semasa ketiadaan Mursyidul Am PAS.[2]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]


  1. ^ a b https://www.pas.org.my/arkib/hari-ini-dalam-sejarah-pas/9704-hari-ini-dalam-sejarah-pas-mesyuarat-pertama-majlis-syura-ulamak-pas-merasmikan-kepemimpinan-ulamak-dalam-pas-20-oktober-1987
  2. ^ https://www.pas.org.my/arkib/hari-ini-dalam-sejarah-pas/9497-hari-ini-dalam-sejarah-pas-tuan-guru-nik-abdul-aziz-dilantik-mursyidul-am-pas-18-september-1994