Makanan di Argentina

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Asado

Makanan di Argentina, mempunyai pengaruh Eropah yang kuat terutamanya dari sebelah Itali dan Sepanyol. Ini adalah disebabkan golongan ini merupakan golongan majoriti di Argentina.

Argentina terkenal dengan diet berprotin tinggi, dengan makanan paling utama ialah daging lembu. Negara ini merupakan salah sebuah pengeluar daging lembu terbesar di dunia, maka daging ini adalah murah serta digemari ramai. Daging digril yang dipanggil (parrillada) dari asado merupakan makanan ruji mereka, dengan stik dan "beef ribs" sebagai makanan harian. Chorizo, morcilla, chinchulines, mollejas, mondongo dan setiap bahagian lembu telah dijadikan makanan yang digemari oleh rakyat Argentina. Lain pula di sebelah Patagonia, kambing biri-biri dan chivito - kambing - adalah lebih popular berbanding daging lembu. Chimichurri, sejenis sos dari herba dan cili, merupakan perasa untuk stik dan chorizo.

Milanesa atau daging goreng dengan serbuk roti merupakan snek kebangsaan, dan ia dijadikan sandwich atau dimakan panas beserta kentang lenyek - puré. Empanadas - pastri berisi daging, keju, jagung manis dan beratus-ratus ramuan yang lain - adalah makanan biasa yang dihidangkan sewaktu parti, sebagai pembuka selera dan piknik diseluruh Argentina. Sayur dan salad juga penting, malah lebih mustahak dari kentang goreng atau kentang lenyek. Terung, buah skuash dan zukini merupakan sayuran utama dalam masakan mereka.

Fideos, makanan dari Itali yang popular di Argentina


Di samping itu, makanan harian Itali seperti piza dan al dente pasta, juga merupakan makanan asasi disini. Malah, Buenos Aires dikatakan mempunyai lebih banyak pizzeria berbanding Rom iaitu tempat asal piza. Fideos, ñoquis dan ravioles yang segar boleh dibeli disetiap blok disekitar Buenos Aires. Aiskrim ala Itali yang dikenali sebagai "gelato" dengan pelbagai perasa boleh dibeli dari kedai aiskrim yang besar dan juga restoran pandu-masuk yang banyak di bandar-bandar besar Argentina untuk memenuhi permintaan ramai.

Antara pengaruh Eropah yang lain termasuk juga "English Tea", di mana wanita berkelas tinggi akan menghirup teh dan memakan kek pada pukul empat petang. Di Chubut, masyarakat Welsh terkenal dengan rumah teh (teahouse) mereka, dengan hidangan skon dan Torta Galesa, sama seperti Bara Brith makanan yang terdapat di Wales.

Di kawasan pedalaman, makanan mereka lebih mirip kepada makanan pra-Colombia dan tradisi kolonial, dengan jagung, kekacang, labu dan cili menjadi ramuan utama makanan. Locro ialah sejenis stew berempah dicampur dengan jagung putih, biasanya bersama labu dan sosej. Pucheros dan cazuelas mencerminkan gabungan kuisin Amerindian dan Sepanyol.

Kuih manis dipanggil Dulce de leche juga popular di Argentina, dan merupakan ramuan utama di dalam kek dan penkek atau perasa aiskrim. Alfajor adalah dua biskut kek rapuh (shortbread) bersama dengan dulce de leche di tengah-tengahnya. Dulce de batata adalah manisan yang dibuat daripada kentang manis /keledek. Buah-buahan di Argentina adalah lazat dan buah-buahan mereka seperti quinces, pic, kiwi, avokado dan plum adalah eksport utama negara.

Minuman biasa di Argentina adalah minuman ala teh dipanggil mate, mate cocido (daun teh yang sama tetapi dihangatkan (roasted) dan bukannya dibru sewaktu hijau) dan wain. Teh dan kopi juga penting, manakala jenama bir nasional ialah 'Quilmes'.