Maktab Rendah Sains MARA Kota Putra

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Sejarah Penubuhan[sunting | sunting sumber]

Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kota Putra terletak di pinggir Pantai Bukit Kluang, Besut, Terengganu merupakan MRSM ke 24 dari 52 MRSM yang telah ditubuhkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA). MRSM Kota Putra merupakan MRSM pertama menawarkan Program Ulul Albab pada tahun 2009 diikuti Program Ulul Albab beserta Program IGCSE pada tahun 2011 sehingga 2016. Program Ulul Albab merupakan satu program pendidikan integrasi antara program pendidikan sedia ada, Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM) dengan program aliran agama termasuk Tahfiz Al-Quran.

Objektif penubuhan Program Ulul Albab ini diharap dapat melahirkan ahli profesional, teknokrat, usahawan dan mempunyai kemahiran dalam bidang keagamaan berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai generasi Ulul Albab. Sebagai tambahan, Sistem Pendidikan MRSM Program Ulul Albab ini merangkumi Pengajian Al-Quran (Hafazan), Bahasa Arab dan Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah selain subjek teras seperti yang sedia ada di MRSM. Selain mengambil Peperiksaan PT3 (Tingkatan 3) dan SPM (Tingkatan 5), mereka juga akan mendapat Sijil Tahfiz Malaysia yang dikeluarkan oleh JAKIM jika memenuhi syarat yang ditetapkan. MRSM Kota Putra terletak 15KM dari Bandar Jerteh dan 3KM dari Pusat Pentadbiran Daerah Besut di Kampung Raja. Kapasiti maksimum pelajar seramai 800 orang pelajar pada satu-satu masa.

MRSM Kota Putra mula beroperasi pada 1 Januari 1998. Pengetua dan kakitangan bukan akademik telah melapor diri di Institut Kemahiran MARA Besut (IKM Besut) pada 1 November 1997 manakala guru-guru mula melapor diri pada 1 Januari 1998 seramai 23 orang. Kumpulan pertama pelajar mendaftar pada 16 Februari 1998 seramai 340 orang yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 4.

Antara keistimewaan dan ciri-ciri unik yang terdapat di MRSM Kota Putra ialah keluasannya sebesar 262813 meter persegi dengan kedudukannya yang menarik di pinggir Laut China Selatan dan terletak di kawasan yang nyaman dan kondusif. Selain itu, rupa bentuk bangunan akademik atau asrama berbeza berbanding dengan MRSM yang lain kerana pada awalnya projek ini adalah kepunyaan Yayasan Pelajaran MARA yang ingin menempatkan para pelajar bagi program lepasan SPM. Pada tahun 1999, pelajar telah bertambah seramai 450 orang dan guru seramai 34 orang.

Dengan memakai nama MRSM Besut pada mulanya, ia kemudian ditukar kepada MRSM Kota Putra bagi mengelakkan kekeliruan dengan sebuah lagi MRSM iaitu MRSM Yayasan Terengganu (YT) Besut. Pada tahun 2003, blok bangunan akademik dan blok asrama puteri baru telah disiapkan dan MRSM Kota Putra telah menerima pelajar Tingkatan 1 seramai 116 orang yang mula mendaftar pada 3 Ogos 2003.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]


Pautan luar[sunting | sunting sumber]