Malas (burung)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Malas
Julat zaman: Pertengahan Eosen hingga kini
48–0 Ma
Malas besar (Nyctibius grandis)
Pengelasan saintifik s
Domain: Eukaryota
Alam: Animalia
Filum: Chordata
Kelas: Aves
Klad: Strisores
Order: Nyctibiiformes
Yuri et al., 2013[1]
Keluarga: Nyctibiidae
Chenu & des Murs, 1853
Spesies jenis
Caprimulgus grandis
Genera
Julat global (merah)

Burung malas ialah sekumpulan burung yang berkaitan dengan burung tukang dan burung segan. Keluarga Nyctibiidae dahulunya termasuk bersama burung tukang dalam order Caprimulgiformes tetapi kini diletakkan dalam order berasingan, Nyctibiiformes. Terdapat tujuh spesies dalam dua genus di Amerika Tengah dan Selatan tropika. Bukti fosil menunjukkan bahawa ia juga mendiami Eropah semasa Paleogen.

Malas ialah insektivor nokturnal yang tidak mempunyai bulu kejur di sekeliling mulutnya yang terdapat pada tukang. Ia memburu dari tempat bertenggek seperti tirjup atau sambar. Pada siang hari ia tenggek menegak di atas tunggul pokok, disamarkan supaya kelihatan seperti sebahagian daripada tunggul tersebut. Ia hanya menghasilkan sebiji telur bertompok dalam satu sangkak yang terus ditelurkan di atas tunggul pokok.

Di Argentina dan Bolivia, ia dikenali sebagai kakuy[2] daripada Quechua yang bermaksud 'kekal'. Di Brazil, ia dipanggil urutau dari bahasa Guaraní guyra 'burung' dan tau 'hantu'.[3]

Evolusi dan taksonomi[sunting | sunting sumber]

Fosil Paraprefica major

Malas kini merupakan keluarga Dunia Baharu yang eksklusif, tetapi ia tampaknya mempunyai taburan yang lebih meluas pada masa dahulu. Sisa-sisa fosil malas yang berasal dari zaman Eosen telah ditemui di Jerman.[4] Rangka lengkap genus Paraprefica telah ditemui di Messel, Jerman. Ia mempunyai ciri tengkorak dan kaki yang serupa dengan malas moden, menunjukkan bahawa ia mungkin merupakan saudara terdekat awal malas moden. Oleh kerana satu-satunya fosil selain fosil purba ini yang ditemui ialah fosil terbaru yang telah pupus, tidak diketahui sama ada keluarga tersebut pernah mengalami taburan sejagat yang telah menguncup, atau jika taburan keluarga tersebut pada asalnya terhad sekitar Dunia Lama dan telah beralih ke Dunia Baharu.[4]

Kajian 1996 tentang DNA mitokondria malas menyokong monofil keluarga tersebut walaupun ia tidak menyokong andaian sebelumnya bahawa ia berkait rapat dengan burung minyak.[5] Kajian tersebut juga mendapati banyak pencapahan genetik antara spesies, menunjukkan bahawa spesies tersebut sendiri sangatlah tua. Tahap kecapahannya adalah yang tertinggi daripada mana-mana genus burung, lebih tipikal daripada kecapahan antara genus atau keluarga. Ini menimbulkan kemungkinan terdapat beberapa spesies samar untuk ditemui. Sebagai contoh, malas utara telah lama dianggap sebagai sama spesies dengan malas biasa, tetapi kedua-dua spesies tersebut kini telah dipisahkan berdasarkan seruannya. Walaupun begitu, tiada cara morfologi untuk memisahkan kedua-dua spesies tersebut.[6]

Keluarga Nyctibiidae telah diperkenalkan (sebagai Nyctibie) pada tahun 1853 oleh naturalis Perancis Jean-Charles Chenu dan Œillet des Murs. Sebelum ini, spesiesnya dikelaskan dalam Caprimulgidae.[7][8]

Spesies[sunting | sunting sumber]

Nyctibiidae

Paraprefica

Nyctibiinae
Phyllaemulor

Malas karat (P. bracteatus)

Nyctibius

Malas besar (N. grandis)

Malas ekor panjang (N. aethereus)

Malas Andes (N. maculosus)

Malas sayap putih (N. leucopterus)

Malas biasa (N. griseus)

Malas utara (N. jamaicensis)

Keluarga Nyctibiidae mengandungi tujuh spesies dalam dua genus:[9]

Sebelum 2018, Nyctibius dianggap satu-satunya genus yang masih ada dalam Nyctibiidae; walau bagaimanapun, kajian pada tahun tersebut mendapati perbezaan yang mendalam antara malas karat dan semua spesies lain dalam genus, menyebabkan ia diperihalkan dalam genus baharu iaitu Phyllaemulor dan mengembangkan bilangan genus dalam keluarga tersebut.[10] Hal ini diikuti oleh Kongres Ornitologi Antarabangsa pada 2022.[9]

Di samping itu, genus fosil Paraprefica, satu-satunya ahli subfamili Parapreficinae yang telah pupus, diketahui dari Eosen di Jerman (lombong Messel), menandakan bukti fosil terawal burung malas. Genus fosil Euronyctibius, dari Oligosen di Perancis, dahulunya dianggap sebagai burung malas, tetapi pencerakinan menyokongnya sebagai saudara terdekat burung minyak (keluarga Steatornithidae).[11]

Pemerihalan[sunting | sunting sumber]

Keluarga burung malas ialah keluarga yang sangat konservatif dari segi rupa, dengan semua spesies hampir menyerupai satu sama lain; gambaran spesies dalam kesusasteraan ornitologi menyatakan tentang penampilan luar biasanya.[6] Malas berpanjang antara 21–58 cm (8.3–22.8 in). Ia menyerupai burung tukang yang duduk tegak, sebuah keluarga yang berkait rapat (Caprimulgidae). Ia juga menyerupai burung segan di Australasia, yang lebih berisi dan mempunyai paruh yang lebih berat. Ia mempunyai kepala yang lebih besar berbanding saiz badannya dan sayap dan ekor yang panjang. Kepala besarnya dipenuhi oleh paruh besar yang luas dan mata yang besar. Dalam pemerihalan keluarga tersebut dalam Buku Panduan Burung Dunia, Cohn-Haft menggambarkan malas sebagai "lebih sedikit daripada mulut dan mata yang terbang".[6] Paruhnya, walaupun besar dan luas, juga pendek, hampir tidak menonjol melepasi mukanya. Ia halus, tetapi mempunyai "gigi" yang unik pada sisi pemotong rahang atas yang boleh membantu dalam mencari makanan. Tidak seperti burung tukang yang berkait rapat, malas tidak mempunyai bulu kejur di sekeliling mulut. Kaki dan batang kakinya lemah dan hanya digunakan untuk bertenggek.

Matanya besar, bahkan lebih besar daripada mata burung tukang. Seperti dalam kebanyakan spesies burung nokturnal, ia memantulkan cahaya lampu suluh.[12] Matanya, yang boleh dilihat oleh bakal pemangsa pada waktu siang, mempunyai celahan luar biasa pada kelopak matanya,[13] yang membolehkan burung malas merasakan pergerakan walaupun matanya tertutup. Buluannya samar-samar, membantunya menyatu dengan dahan tenggeran sehariannya.

Taburan dan habitat[sunting | sunting sumber]

Malas mempunyai taburan Neotropik.[6] Julatnya dari Mexico hingga Argentina, dengan kepelbagaian terbesar berlaku di Lembangan Amazon, yang mengandungi lima spesies. Ia ditemui di setiap negara Amerika Tengah dan Selatan. Ia juga berlaku di tiga pulau Karibia: Jamaika, Hispaniola, dan Tobago. Malas biasanya sangat bersetempat, walaupun terdapat laporan sesekali tentang kutu rayau, terutamanya spesies yang telah mengembara di atas kapal. Semua spesies mendiami hutan lembap, walaupun beberapa spesies juga mendiami hutan yang lebih kering.

Tingkah laku[sunting | sunting sumber]

Malas biasa disamarkan pada tunggul kayu

Malas adalah sangat nokturnal dan biasanya tidak terbang pada siang hari. Ia menghabiskan hari dengan bertenggek di atas dahan dengan mata separuh tertutup. Dengan buluan samarnya, ia menyerupai tunggul kayu, dan sekiranya ia mengesan bakal kebahayaan, ia akan "membekukan" diri untuk menyerupai dahan yang patah.[14][15] Peralihan antara bertenggek dan kedudukan kaku adalah beransur-ansur dan hampir tidak dapat dilihat oleh pemerhati.

Ahli zoologi Inggeris Hugh Cott, memerihalkan Nyctibius griseus sebagai "burung yang indah", menulis bahawa ia "biasanya memilih bahagian atas tunggul kayu tegak sebagai bekas untuk telurnya, yang biasanya menempati lubang kecil, dan cukup-cukup besar untuk mengandunginya ... tunggul yang dipilih mempunyai tangkai utama baharu tepat di bawah titik patah ... dan burung-burung tersebut duduk menghadap batang tunggul sedemikian rupa sehingga apabila dilihat dari belakangnya, ia kelihatan sebaris dan bercampur dengan batang kelabu tersebut."[16]

Makanan dan pemakanan[sunting | sunting sumber]

Malas memakan serangga terbang pada waktu senja dan pada waktu malam.[6] Teknik mencari makan biasanya adalah dengan menghinggap di atas dahan dan kadang-kadang terbang keluar seperti sambar untuk menyambar serangga yang lalu-lalang. Ia kadang-kadang terbang ke tumbuh-tumbuhan untuk menangkap serangga sebelum kembali ke tenggerannya, tetapi ia tidak akan cuba mendapatkan mangsa di tanah. Kumbang membentuk sebahagian besar daripada dietnya, tetapi ia juga memakan rama-rama, belalang, dan anai-anai. Seekor malas utara pernah ditemui dengan bangkai burung kecil di dalam perutnya juga. Setelah menangkap serangga, malas menelannya sekali gus tanpa memukul atau menghancurkannya.

Pembiakan[sunting | sunting sumber]

Malas besar, Nyctibius grandis

Malas membiak secara monogami dan kedua-dua induk berkongsi tanggungjawab untuk mengeram telur dan membesarkan anak. Keluarganya tidak membina apa-apa jenis sarang, sebaliknya meletakkan telur tunggal di atas lekukan di dahan atau di bahagian atas tunggul kayu reput. Telurnya berwarna putih dengan tompok ungu-perang. Seekor induk, selalunya jantan, mengeram telur pada siang hari, kemudian tugasnya dikongsi berdua pada waktu malam. Pertukaran untuk melegakan induk yang mengeram dan memberi anak makan adalah jarang untuk meminimumkan perhatian kepada sarang, kerana malas bergantung sepenuhnya pada penyamaran untuk melindungi dirinya dan tapak bersarangnya daripada pemangsa. Anaknya menetas kira-kira sebulan selepas bertelur dan fasa menyarang ialah dua bulan, tempoh yang agak lama untuk burung darat. Buluan malas yang menyarang berwarna putih dan apabila ia terlalu besar untuk bersembunyi di bawah induknya, ia menggunakan kedudukan kaku yang sama seperti induknya, menyerupai rumpun kulat.

Pertahanan[sunting | sunting sumber]

Tingkah laku yang diperihalkan menunjukkan bahawa malas biasa menggunakan strategi pertahanan yang berbeza-beza mengikut keadaannya. Untuk malas yang bersendirian, atau dewasa mengeram dengan bakal pemangsa yang hampir dengan sarangnya, ia akan cuba mengelak pengesanan dengan kekal tidak bergerak dan bergantung pada penyamaran. Jika tidak berkesan, malas tersebut akan membongkarkan dirinya dan cuba menakut-nakutkan pemangsa dengan membuka paruh dan matanya dengan luas sambil menyuarakan seruan atau hanya terbang keluar dari jangkauan pemangsa. Pemangsa nokturnal kurang bergantung pada penglihatan untuk mencari mangsa, oleh itu strategi yang berbeza mungkin diperlukan pada waktu malam.[17]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Yuri, T.; Kimball, R.T.; Harshman, J.; Bowie, R.C.K.; Braun, M.J.; Chojnowski, J.L.; Han, K.-L.; Hackett, S.J.; Huddleston, C.J.; Moore, W.S.; Reddy, S.; Sheldon, F.H.; Steadman, D.W.; Witt, C.C.; Braun, E.L. (2013). "Parsimony and model-based analyses of indels in avian nuclear genes reveal congruent and incongruent phylogenetic signals". Biology. 2 (1): 419–444. doi:10.3390/biology2010419. PMC 4009869. PMID 24832669.
  2. ^ "cacuy". Diccionario de la lengua española. Real Academia Española. Dicapai pada 6 Jun 2021.
  3. ^ Marcondes, Rafael Sobra (4 Aug 2012). "Bichos do Brasil: urutaus e mães-sa-lua". Caapora (dalam bahasa Portuguese). State University of Campinas. Dicapai pada 21 December 2022.CS1 maint: unrecognized language (link)
  4. ^ a b Mayr, G (2005). "The Palaeogene Old World Potoo Paraprefica Mayr, 1999 (Aves, Nyctibiidae): its osteology and affinities to the New World Preficinae Olson, 1987". Journal of Systematic Palaeontology. 3 (4): 359–370. doi:10.1017/S1477201905001653.
  5. ^ Mariaux, Jean; Braun, Michael J. (1996). "A Molecular Phylogenetic Survey of the Nightjars and Allies (Caprimulgiformes) with Special Emphasis on the Potoos (Nyctibiidae)". Molecular Phylogenetics and Evolution. 6 (2): 228–244. doi:10.1006/mpev.1996.0073. PMID 8899725.
  6. ^ a b c d e Cohn-Haft, M (1999) "Family Nyctibiidae (Potoos)". in del Hoyo, J.; Elliot, A. & Sargatal, J. (eds).
  7. ^ Chenu, J.-C.; Des Murs, M.A.P.O. (1853). Encyclopédie d'Histoire Naturelle, Oiseaux: Part 2. Paris. m/s. 180.
  8. ^ Bock, Walter J. (1994). History and Nomenclature of Avian Family-Group Names. Bulletin of the American Museum of Natural History. Number 222. New York: American Museum of Natural History. m/s. 232. hdl:2246/830.
  9. ^ a b Gill, Frank; Donsker, David; Rasmussen, Pamela, penyunting (January 2022). "Frogmouths, Oilbird, potoos, nightjars". IOC World Bird List Version 12.1. International Ornithologists' Union. Dicapai pada 8 July 2022.
  10. ^ Costa, Thiago V. V.; Whitney, Bret M.; Braun, Michael J.; White, Noor D.; Silveira, Luís Fábio; Cleere, Nigel (2018-04-01). "A systematic reappraisal of the Rufous Potoo Nyctibius bracteatus (Nyctibiidae) and description of a new genus". Journal of Ornithology (dalam bahasa Inggeris). 159 (2): 367–377. doi:10.1007/s10336-017-1511-2. ISSN 2193-7206.
  11. ^ Mourer-Chauviré, C. (2013-12-01). "New data concerning the familial position of the genus Euronyctibius (Aves, Caprimulgiformes) from the paleogene of the Phosphorites du Quercy, France". Paleontological Journal (dalam bahasa Inggeris). 47 (11): 1315–1322. doi:10.1134/S0031030113110117. ISSN 1555-6174.
  12. ^ Van Rossem, A (1927). "Eye shine in birds, with notes on the feeding habits of some goatsuckers" (PDF). The Condor. 29 (1): 25–28. doi:10.2307/1363006. JSTOR 1363006.
  13. ^ Borrero, J (1974). "Notes on the structure of the upper eyelid of potoos (Nyctibius)" (PDF). The Condor. 76 (2): 210–211. doi:10.2307/1366732. JSTOR 1366732.
  14. ^ Perry, D (1979). "The Great Potoo in Costa Rica" (PDF). The Condor. 81 (3): 320–321. doi:10.2307/1367649. JSTOR 1367649.
  15. ^ Attenborough, D. 1998 The Life of Birds.
  16. ^ Cott, Hugh. 1940.
  17. ^ "Common Potoo - eBird". ebird.org.