Mamahan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Mamahan ialah bahan makanan yang dibalikkan dari perut haiwan ruminan ke dalam mulut untuk dikunyah buat kali kedua. Secara lebih tepat, mamahan merupakan bolus makanan separa terurai yang diluahkan dari retikulorumen dalam ruminan. Mamahan dihasilkan ketika proses pencernaan fizikal dalam peruminatan, atau "mengunyah mamahan".

Penerangan[sunting | sunting sumber]

Salur alimentari ruminan seperti lembu, kambing, biri-biri, alpaka dan antelop, tidak boleh menghasilkan enzim yang diperlukan untuk mengurai selulosa dan hemiselulosa jisim tumbuhan. Sehubungan dengan itu, haiwan-haiwan ini menjalin hubungan simbiosis dengan beraneka jenis mikrob yang hidup dalam retikulorumen dan berupaya mensintesiskan enzim-enzim yang diperlukan itu. Justeru itu, retikulorumen merumahkan penapaian mikrob yang menghasilkan keluaran (terutamanya asid lemak meruap dan protein mikrobial) yang boleh dicernakan dan diserap oleh ruminan. Ini membolehkan pencernaan tumbuh-tumbuhan yang kurang sesuai dimakan juga.

Proses peruminatan[sunting | sunting sumber]

Proses peruminatan dirangsang oleh kehadiran pelawas di bahagian atas retikulorumen. Rongga dada diregangkan supaya terbentuknya hampagas dalam kerongkong yang menyedut kandungan perut yang separa cecair ke dalam esofagus. Dari esofagus, bahan berkenaan dibawa kembali ke dalam mulut secara retroperistalsis. Setibanya dalam mulut ruminan, mamahan ditolak ke arah lelangit dengan lidah untuk menggugurkan cecair lebihan yang kemudiannya ditelan sementara bahan pepejal dikunyah betul-betul. Fungsi peruminatan adalah supaya makanan ditapis secara fizikal untuk mendedahkan lagi permukaan retikulorumen untuk diusahakan oleh bakteria, sambil merangsang perembesan ludah untuk menampan pH rumen.

Kimia[sunting | sunting sumber]

Retikulorumen ada pH optimum 6.5 untuk menampung kehidupan dan fungsi mikrob. Jika ruminan mengambil makanan yang tidak cukup berserat, maka berkurangnya pembentukan mamahan dan penghasilan ludah. Ini pula berkenaan asidosis, yang mana pH rumen boleh menurun hingga pH 5 ke bawah. Asidosis rumen dikaitkan dengan kurang selera makan yang menyebabkan kadar perembesan ludah yang masih rendah. Akibatnya, keruntuhan ekosistem mikrob dalam rumen akan berlaku akibat tahap pH rendah. Asidosis rumen yang parah boleh menyebabkan kematian haiwan berkenaan, apatah lagi pasti berlaku jika haiwan itu dibenarkan memakan diet tanpa pelawas tetapi tinggi dengan sari kanji yang mudah dicerna.

Pencernaan akhir[sunting | sunting sumber]

Apabila makanan diuraikan secekapnya, ia pergi dari retikulorumen melalui orifis retikuloomasum ke dalam omasum, diikuti oleh abomasum untuk meneruskan proses pencernaan dalam bahagian bawah salur alimentari. Dalam rumen tidak dirembeskan apa-apa enzim. Dari abomasum (perut keempat) barulah enzim dan asid hidroklorik dirembeskan, dan dari situ ruminan berfungsi seperti haiwan monogastrik seperti manusia.