Masjid Sempering

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

SEJARAH MASJID AL-AMIN SEMPERING

Masjid Al-amin Sempering terletak di Kilometer 2 Jalan Santan, Kampung Sempering, 01000 Kangar, Perlis. Masjid ini merupakan masjid pertama yang dibina di Kampung Sempering. Duhulu di kampung ini hanya terdapat surau sahaja untuk para jemaah di kampung ini. Masjid yang telah bercat merah lembut dan putih ini telah dibina pada 3 Julai 1970. Masjid Al-Amin, Sempering, Perlis ini telah dibuka dengan rasmi oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail yang merupakan raja negeri Perlis. Walaupun masjid ini agak kecil namun masjid ini dapat memuatkan hampir semua penduduk di kampung ini. Namun begitu, masjid yang ada sekarang telah diperbesar dan ditambahbaikan untuk memuatkan lebih banyak jemaah di samping menggalakan lebih ramai penduduk di kampung ini dan kampung yang berhampiran untuk datang solat berjemaah dengan kemudahan yang disediakan.

Setiap masjid pasti menyediakan kemudahan asas untuk memudahkan jemaah menggunakannya. Begitu juga dengan masjid di kediaman saya yang banyak menyediakan kemudahan dan antara kemudahannya ialah tempat mengambil wudu’ untuk jemaah lelaki dan wanita yang terletak secara berasingan. Tempat wudu’ pula disediakan sebanyak 5 air pancuran untuk bahagian lelaki dan 5 pancuran lagi untuk bahagian wanita manakala diluar pula disediakan 2 pili air bagi memudahkan jemaah mangambil wudu’. Selain itu, kemudahan asas yang paling penting ialah tandas. Terdapat dua tandas untuk lelaki dan dua tandas untuk wanita. Tandas di masjid ini sentiasa bersih kerana dijaga dan dibersihkan oleh Encik Haji Nordin Hassan yang merupakan penjaga kawasan masjid. Beliau yang bertanggungjawab menjaga kebersihan di sekitar kawasan masjid supaya sentiasa kemas dan teratur.

Ruang solat yang disediakan di masjid ini cukup selesa. Terdapat dua bahagian ruang solat iaitu ruang solat di dalam dan ruang solat di luar. Ruang solat di dalam dibentangi dengan permaidani berwarna biru manakala ruang solat di luar merupakan lantai berjubin. Lantai dan permaidani ini sentiasa dipastikan dalam keadaan bersih. Tempat solat antara lelaki dan wanita telah digantung penghadang menggunakan tirai. Tempat solat bahagian wanita telah disediakan telekung sebanyak 5 pasang manakala bahagian lelaki pula disediakan beberapa kopiah. Telekung ini akan dibasuh oleh penduduk kampung sekali dalam 2 minggu untuk memastikan telekung berada dalam keadaan bersih. Sejadah juga disediakan sebanyak 5 helai.

Kemudahan peralatan turut disediakan. Peralatan yang paling penting ialah pembesar suara. Masjid ini terdapat 4 buah pembesar suara. 2 pembesar suara diletakkan di bahagian dalam manakala 2 lagi pembesar suara diletakkan di bahagian luar. Terdapat sebanyak 4 buah mikrofon di masjid ini. Masalah yang sering dihadapi ialah mikrofon sering rosak. Namun begitu, siak masjid ini, Haji Marzuki Md. Isa bertanggungjawab memperbetulkan mikrofon yang rosak. Sekiranya tidak dapat dibaiki, beliau akan membeli mikrofon yang lain. Bagi mengelak mikrofon dari rosak ketika digunakan, mikrofon akan diperiksa sebelum digunakan.

Kemudahan lain yang disediakan ialah bahan bacaan. Antara bahan bacaan yang terdapat dalam masjid ini ialah kitab suci Al-Quran, terjemahan Al-Quran, buku-buku tajwid, buku-buku yassin dan majalah-majalah ilmiah. Sebanyak 50 buah yassin disediakan untuk para jemaah lelaki dan 50 lagi untuk para jemaah wanita. Semua bahan bacaan ini telah disusun rapi di rak- rak buku. Perkakasan untuk kematian dan kenduri seperti keranda, perkakas mayat, pinggan dan mangkuk, kawah, periuk, gelas dan cawan turut tersedia di masjid ini. Sekiranya terdapat majlis atau kenduri, penduduk di kampung ini lebih suka bergotong-royong. Cara ini dapat mengeratkan lagi tali persaudaraan antara penduduk kampung tidak kira muda ataupun tua.

Tabung kutipan derma untuk anak-anak yatim dan tabung kebajikan turut disediakan. Hasil kutipan derma ini akan dibahagikan sama rata mengikut bilangan yang layak menerima. Di kampung ini, anak-anak yatim yang layak menerima derma ini ialah yang berumur 15 tahun kebawah. Kebiasaanya, derma akan diserahkan pada majlis-majlis tertentu seperti pada sambutan hari raya aidilfitri dan hari raya aidiladha. Ketua kampung yang akan menyerahkan derma ini kepada anak-anak yatim. Derma ini diserahkan selepas selesai solat sunat aidilfitri mahupun aidiladha.

Pelbagai aktiviti dijalankan di masjid ini. Antaranya, setiap malam jumaat diadakan kenduri tahlil. Makanan untuk kenduri tahlil ini selalunya disediakan oleh keluarga arwah. Setiap Sabtu pula diadakan kelas tajwid. Selain itu, kelas agama ataupun usrah juga turut dijalankan. Kelas usrah ini diadakan pada sebelah petang dan kadang-kala pada sebelah malam. Kelas usrah ini dikendalikan oleh imam dan penceramah bebas yang dijemput dari luar. Kelas ini sangat mendapat sambutan daripada golongan emas. Kuliah subuh turut dijalankan setiap hari selepas solat subuh. Ketika dalam bulan ramadhan pula, majlis berbuka puasa beramai-ramai sangat mendapat sambutan. Penduduk kampung bergotong-royong memasak bubur lambuk dan disedekahkan kepada penduduk-penduduk kampung. Di samping itu, dalam bulan ramadhan juga, majlis khatam Al-Quran secara beramai-ramai sering kali diadakan. Majlis seperti ini amat mendapat sambutan tidak kira tua atau muda.

Mengenai persekitaran masjid pula, di sekitar luar masjid disusun dengan pasu-pasu bunga kertas. Pokok-pokok bunga kertas yang berwarna oren, ungu dan merah ini dapat menceriakan kawasan masjid selain mudah untuk dijaga. Encik Nordin Hassan merupakan orang yang bertanggungjawab menjaga dan memelihara pokok-pokok bunga ini di samping menjaga sekitar kawasan masjid. Di hadapan masjid terpacak dua batang bendera, sebatang untuk kibaran bendera Jalur Gemilang dan sebatang lagi untuk kibaran bendera negeri Perlis yang berwarna kuning dan biru. Tempat meletak kenderaan untuk motosikal dan kereta disediakan di dalam dan di luar kawasan masjid. Terdapat 4 tempat meletak kenderaan yang berbumbung. Tempat meletak kenderaan mencukupi untuk penduduk-penduduk di sekitar kampung ini. Namun begitu, jika tiba musim perayaan, tempat letak kenderaan ini tidak mencukupi dan menyebabkan jemaah meletak kenderaan mereka di kawasan gerai yang bersebelahan dengan masjid ini.


ORGANISASI

PENGERUSI : Ustaz Haji Abu Hassan

NAIB PENGERUSI : Haji Alwi Mad

IMAM PERTAMA: Ustaz Haji Abu Hassan

IMAM KEDUA : Haji Alwi Mad

BILAL PERTAMA : Encik Abu Bakar Abdul Rahman

BILAL KEDUA : Haji Mad Isa Mad

SIAK PERTAMA : Encik Marzuki Md Isa

SIAK KEDUA : Encik Ahmad Mustapha SETIAUSAHA : Ustaz Abas

BENDAHARI : Haji Nordin Hassan

PENJAGA KAWASAN : Haji Nordin Hassan

PENUTUP

Kesimpulannya, masjid ini menjadi tumpuan kerana tempatnya yang strategik. Masjid ini terletak di tepi jalan. Berdekatan masjid ini terdapat dua buah gerai makan, sebuah kedai runcit dan sebuah kafe siber. Selain itu, terdapat tiga taman perumahan berdekatan dengan masjid ini dan kebanyakan penduduk taman perumahan tersebut datang bersolat di masjid ini.


SUMBER RUJUKAN 1. Ustaz Haji Abu Hassan 2. Haji Nordin Hassan 3. Encik Abu Bakar Abdul Rahman 4. Encik Marzuki Md Isa 5. Haji Azali Abas 6. http://media.isnet.org/islam