Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz
مسجد سلطان صلاح الدين عبدالعزيز
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz dari Taman Tasik Shah Alam.
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah is located in Bumi
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Bumi)
Info asas
LokasiShah Alam, Selangor, Malaysia
Koordinat geografi3°04′41″N 101°31′16″E / 3.078°N 101.521°E / 3.078; 101.521Koordinat: 3°04′41″N 101°31′16″E / 3.078°N 101.521°E / 3.078; 101.521
AgamaIslam
Cabang/MazhabMazhab Syafii Sunni
NegaraMalaysia
Penerangan seni bina
ArkitekDato Baharuddin Abu Kassim
Jenis seni binaMasjid
Gaya seni binaIslamik, Melayu
Disiapkan pada1988
Spesifikasi
Kapasiti24,000
Tinggi kubah (luaran)106.7 m (350 ka)
Lebar kubah (luaran)51.2 m (168 ka)
Bil. menara masjid4
Tinggi menara masjid142.3 m (467 ka)
Bahan binaanBesi, keluli, aluminium, panel keluli bersalut enamel berkaca, kayu, kaca, jubin seramik

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Jawi: مسجد سلطان صلاح الدين عبد العزيز) ialah sebuah masjid di Malaysia. Masjid ini bertaraf masjid negeri bagi Selangor. Ia mula dibuka pada pada 11 Mac 1988 dan dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Masjid ini adalah masjid kedua terbesar di Asia Tenggara[1] selepas Masjid Istiqlal di Jakarta, Indonesia.Ia dikenali juga sebagai Masjid Biru.[2]

Ilham Diraja[sunting | sunting sumber]

Ilham untuk mengadakan sebuah masjid seindah apa yang dilihat hari ini bermula apabila Shah Alam diisytiharkan sebagai ibu negeri Selangor Darul Ehsan selepas Kuala Lumpur diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan pada tahun 1974 mengikut Perjanjian Penyerahan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974.[perlu rujukan]

Lokasi[sunting | sunting sumber]

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah terletak di bahagian utara tebing Tasik Shah Alam. Ia terletak di satu kawasan yang lebih tinggi daripada kawasan bandar, kawasan yang paling sesuai bagi sebuah bangunan penting dan penuh makna seperti masjid negeri. Sultan Salahuddin menitahkan masjid baru dibina untuk memuatkan kira-kira 20,000 jemaah, sejajar dengan ramalan perkembangan penduduk di Shah Alam iaitu kira-kira 250,000 orang menjelang tahun 2000.

Sultan Salahuddin juga bertitah bahawa rekabentuk dan seni binanya adalah tradisional. Bangunan masjid akan menjadi tanda mercu di pusat bandar itu.

Titik Pembinaan[sunting | sunting sumber]

Pembinaan masjid ini mengambil masa selama 12 tahun. Pada asalnya projek ini dibina atas arahan Sultan Salahuddin melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) pada awal tahun 1975. Tahun 1977, Jurubina Bertiga Arkitek diketuai oleh Dato' Baharuddin Abu Kassim, sebuah firma tempatan diberi kepercayaan dan tugas membuat penyelidikan yang menyeluruh mengenai jenis-jenis dan rekabentuk masjid sebelum keputusan mengenai rekabentuk sekarang dibuat. Beliau telah mengunjungi beberapa negara Islam untuk melihat dengan lebih dekat rekabentuk masjid yang ada di negara-negara berkenaan.

Jurubina Bertiga Internasional Sdn Bhd berjaya menghasilkan satu reka bentuk yang unik, tidak menyentuh mana-mana pihak dan boleh diterima oleh masyarakat Melayu. Struktur masjid ini kombinasi seni rekabina tradisional Islam dan Asia Barat, India, Barat dan ciri-ciri binaan Melayu asli.

Pembinaan masjid RM160 juta di atas tapak seluas 35 ekar ini bermula pada 1 Oktober 1983. Pelbagai firma dan pakar juga terlibat dalam pembinaannya. Mereka termasuklah:

  • Tahir Wong & Partners
  • Brian Moorhead & Partners, Manchester
  • Pakatan Internasional Malaysia
  • Bina Goodyear Bhd, Malaysia
  • Satrick Corporation (Korea)
  • Baco Contract Ltd
  • Maju Tenko Sdn Bhd
  • O'Connor's (Malaysia) Sdn Bhd
  • Cahaya Letrik Kompeni

Sumbangan Sultan Salahuddin[sunting | sunting sumber]

Sultan Salahuddin telah menyumbang idea dan pandangan. Selain itu menyumbang 4 lampu chandelier berharga lebih RM2 juta untuk masjid ini. Lampu ini ditempatkan di pintu masuk utama. Lampu ini direka sendiri oleh Sultan Salahuddin.

Sultan Salahuddin juga menghadiahkan jam antik berumur 600 tahun bernilai RM200,000 yang dibeli di Hong Kong. Sultan juga menyumbang elaun baginda selama 4 bulan kepada masjid negeri ini.

Keistimewaan[sunting | sunting sumber]

Masjid ini mempunyai kubah yang terbesar di dunia. Empat menara tinggi dibina di keliling kubah. Pembinaan masjid menggunakan teknologi terbaru. Kubah luar berdiri 300 kaki dari paras bumi dan garis pusat 170 kaki menjadi kubah agama yang terbesar pernah dibina sehingga kini. Bahagian luar kubah diperbuat daripada kepingan aluminium berlipat dan mempunyai panel yang menarik berwarna biru, tidak akan karat dan tahan beratus tahun.

Bahan aluminium berukuran 35 kaki tinggi disaluti dengan emas. Kubah dalam dan luar terletak di atas alang bulat setinggi 24 kaki dan 14 kaki lebar. Di bahagian luar mempunyai panel enamel yang dihiasi Khat al Quran berwarna biru dan berlatar belakang panel kelabu.

Tulisan khat adalah hasil kerja penulis khat Mesir, Sheikh Abdel Moneim Mohamed Ali El Sharkawi. Usaha membuat khat ini dilakukan oleh Emaillierwerk dari Hannover, Jerman Barat.

Bagaimanapun selepas 26 tahun, wujud kecacatan yang ketara pada kubah masjid hingga mencemarkan pandangan mata. Kecacatan itu mungkin berpunca dari kerja-kerja penyelenggaraan yang dijalankan sebelum ini yang menggunakan cecair kimia khas untuk membersihkan kulat dan kulapok yang akhirnya lama kelamaan mengakibatkan panel-panel kubah masjid mula kelihatan kusam dan berkarat.

JKR Selangor telah mengeluarkan tender bagi mengganti kesemua panel lama yang berkeluasan 5,184.72 meter persegi itu dengan panel kemasan kubah baharu dari jenis Vitrous Enamel yang ditempah khas dari Jerman dengan kos projek yang agak kontroversial berjumlah RM32.4 juta. 

Pemilihan panel dari bahan yang lebih berkualiti tersebut dibuat kerana kemasan baharu ini tahan lasak, sama dengan panel sedia ada dan mempunyai jaminan selama 30 tahun dari pengeluarnya. Bahan tersebut juga ringan selain struktur lama tidak perlu diganti.

Dari keseluruhan jumlah kos tender ini turut termasuk didalamnya ialah kerja-kerja pemasangan paip-paip khas pada kubah yang menyediakan punca air bagi memudahkan kubah dicuci dimasa depan serta pemasanagan tangga untuk akses cepat naik ke kubah. Punca air di kubah akan memudahkan kerja penyelenggaraan dan akan menjimatkan kos serta mengelakkan kontraktor dari menggunakan cecair kimia atas alasan sukar untuk mendapatkan bekalan air dari bawah menggunakan paip getah yang terlalu banyak dan sangat panjang hingga berselirat ekoran keluasan dan ketinggian kubah.

Sistem bunyi[sunting | sunting sumber]

Sistem bunyi semasa awal pembinaan masjid dipasang oleh pakar bunyi terkemuka, Bolt - Beranek dan Newman dari New York. Rank O'Connor's pula menyempurnakan masalah bunyi gema yang selalu dihadapi oleh kebanyakan bangunan yang mempunyai kubah besar. Sistem bunyi ini digunakan sehingga penghujung tahun 2015.

Sistem bunyi yang lama telah digantikan dengan yang baru pada awal tahun 2016, sistem bunyi digital dan lebih maju dipasang oleh syarikat tempatan, Acousticon Sdn Bhd.

Dewan Sembahyang[sunting | sunting sumber]

Dewan Sembahyang utama seluas 73,000 kaki persegi ditutupi oleh satu kubah besar yang didokong oleh lapan tiang berbentuk empat persegi. Kubah itu mempunyai garis pusat 170 kaki dan 180 kaki tinggi. Setiap tiang mempunyai tangga dan dua darinya dilengkapi lif untuk memudahkan jemaah yang berkerusi roda.

Dewan Sembahyang Utama dibentuk dalam dua peringkat. Tingkat atas untuk wanita. Semua lantai disaluti permaidani yang diperbuat daripada benang bulu bercorak geometrik berlatar belakang warna biru. Tiang dan dinding disaluti oleh batu marmar putih Mahsuri dari Langkawi. Keseluruhan ruang sembahyang seluas 162,000 kaki persegi.

Mehrab[sunting | sunting sumber]

Dinding Mehrab disaluti batu marmar diimport menggunakan batu marmar antik Turki dihiasi dengan ayat-ayat al Quran dalam bentuk tradisional.

Mimbar[sunting | sunting sumber]

Mimbar masjid dibuat oleh pengukir tempatan mengikut corak masjid-masjid lama di Malaysia. Berukuran 7 kaki tinggi. Pelantarnya 5 kaki persegi , berdiri di atas empat tiang dan berbumbung batu marmar putih Mahsuri setinggi 30 kaki. Dihiasi dengan bintang dan bulan sabit emas di atasnya.

Cermin dinding dihiasi dengan gril yang tinggi diperbuat daripada kayu berukir setinggi 7 kaki.

Pintu masuk dan tempat wuduk[sunting | sunting sumber]

Ada tiga pintu masuk. Pintu masuk utama menghadap pusat bandar Shah Alam. Dihiasi dengan pancutan air setinggi 70 kaki. Pintu masuk Diraja terletak di sebelah kanan. Bagi memudahkan jemaah yang yang lanjut usia untuk naik ke dewan solat, tangga eskalator dipasang di pintu kanan dan kiri.

Paip air untuk berwuduk paling moden telah dipasang di tempat wuduk utama di bahagian belakang, serta di empat lagi tempat wuduk tambahan iaitu dua di sisi kanan dan lagi dua di sisi kiri masjid. Jemaah hanya perlu menyuakan tangan dan air akan keluar sendiri dan berhenti juga sendiri. Akan tetapi pada tahun 2007, sistem wuduk ini telah ditukar kepada sistem manual sepenuhnya, hanya bilik wuduk VVIP sahaja yang masih mengekalkannya. Sebuah janakuasa tunggu sedia digunakan semasa ketiadaan bekalan elektrik.

Dengan siapnya masjid ini, rakyat Selangor tidak lagi terkilan. Impian Sultan Selangor menjadi kenyataan.

Mula digunakan[sunting | sunting sumber]

Masjid Negeri ini mula digunakan pada hari Khamis 3 Disember 1987. Datuk Mufti Haji Ishak bin Baharom telah memulakan bacaan khutbah Jumaat ketika menunaikan sembahyang Jumaat yang pertama. Imam pertama masjid ini ialah Tuan Haji Aluwi bin Parman. Bilal pertama ialah Tuan Haji Syafie bin Khati.

Galeri[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

  1. ^ IDRIS, HASIF (2024-01-12). "Alif Satar ajak berjemaah subuh di masjid". Utusan Malaysia. Dicapai pada 2024-02-16.
  2. ^ Zain, Ruwaida Md (2020-05-15). "Some turned up to perform Friday prayers at Shah Alam mosque, turned away | New Straits Times". NST Online (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-02-16.