Maskiran Jakiran

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Kieran
KelahiranMaskiran Jakiran
Kuala Lumpur, Malaysia
PekerjaanPenyampai radio, pengacara
Tahun aktif1998–kini
PasanganYang Azliyang Mohd Yunos (2008–12; bercerai)
Anak2
Ibu bapa
  • Jakiran Jachomah Ali (bapa)
  • Kamariah Akbar (ibu)

Maskiran Jakiran atau lebih dikenali sebagai Kieran, merupakan seorang penyampai radio Malaysia, terkenal sebagai penyampai radio Era, Hot FM dan Sinar.[1] Selain itu, beliau juga terkenal sebagai pengacara rancangan Roda Impian.

Biografi[sunting | sunting sumber]

Kieran dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur kepada pasangan Jakiran Jachomah Ali dan Kamariah Akbar.[2] Ibu bapanya bercerai ketika Kieran berusia 6 bulan. Beliau mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Batu Belah, Klang, Selangor. Seterusnya meneruskan pendidikan menengahnya di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Kuantan, Pahang.[2] Kieran kemudiannya menuntut di MRSM Kertih, Terengganu ketika di tingkatan tiga dan MRSM Muar, Johor dari tingkatan empat hingga lima. Selepas tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1992, Kieran mendapat tawaran daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang di luar negara.[2]

Bagaimanapun, beliau terpaksa menolak tawaran tersebut atas sebab-sebab tertentu. Keadaan itu menyebabkan permohonan untuk menyambung pelajaran di universiti awam tempatan dipandang sepi. Kieran kemudiannya memohon untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang akauntan di Institut Profesional Baitulmal di Kuala Lumpur. Permohonan itu berjaya dan Kieran menamatkan pengajian di institut itu tiga tahun kemudian.[2]

Berbekalkan kelulusan sedia ada, Kieran memohon untuk bekerja di Rating Agency Malaysia Berhad (yang kini dikenali sebagai RAM Holdings Berhad). Pada waktu itu, jawatan yang dipohon adalah pegawai perhubungan awam (PRO). Bagaimanapun, beliau mengambil keputusan untuk berhenti kerja kerana merasakan jiwanya tidak begitu serasi di pejabat.[2]

Kieran berkhidmat sebagai penyampai radio Era FM dan mengendalikan segmen Pagi Di Era bersama Khairil Rashid selama sembilan tahun. Pada 2008, beliau berpindah ke stesen radio Hot FM dan mengendalikan beberapa segmen termasuk Hot FM AM Pagi Krew dan Hot FM Jam. Selepas lapan tahun berkhidmat di Hot FM, Kieran mengambil keputusan berhenti pada 12 Disember 2014 kerana merasakan dirinya "sudah tidak sesuai lagi" di Hot FM.[3]

Kieran paling dikenali menerusi gandingannya bersama Fouziah Gous dalam rancangan Roda Impian yang pernah bersiaran di TV3 pada 2009.[4]

Beliau juga diberi kepercayaan sebagai pengulas Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea pada pertengahan September 2014. Selain itu, beliau juga mengusahakan produk makanan sejuk beku, Kieran’s Food Products.

Sejak Januari 2015, beliau berkhidmat sebagai penyampai radio Sinar FM.[5]

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Kieran berkahwin dengan Yang Azliyang Mohd Yunos pada Jun 2008 dan dikurniakan dua anak lelaki—Muhammad Adam (lahir 2009) dan Muhammad Iman (lahir 2011). Bagaimanapun, pasangan ini bercerai pada November 2012.[6]

Kontroversi[sunting | sunting sumber]

Kieran pernah mencetuskan satu kontroversi di mana beliau memanggil pendengar "sakai" hingga mengundang rasa kurang senang pendengar. Bagaimanapun, Sinar FM bagi pihak beliau, memohon maaf atas insiden tersebut.[7]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Zul Husni Abdul Hamid (21 Disember 2014). Bukan kerana tawaran lumayan Berita Harian. Diperoleh pada 22 September 2015.
  2. ^ a b c d e Amirah Amaly Syafaat (15 Mac 2015). Kieran berdikari sejak kecil Utusan Malaysia. Diperoleh pada 22 September 2015.
  3. ^ Abie Abdullah (4 Februari 2015). Kieran: "Saya dah tak sesuai di Hot FM Harian Metro. Dicapai pada 22 September 2015.
  4. ^ Kieran dan Fouziah Gous hos baru Roda Impian Sensasi Selebriti (30 Januari 2009). Dicapai pada 22 September 2015.
  5. ^ Kemalia Othman (13 Januari 2015). Kieran sertai Sinar FM bermula Sabtu ini mStar Online. Dicapai pada 22 September 2015.
  6. ^ Kemalia Othman (15 Januari 2015). Menduda tiga tahun jadi bukti Kieran bukan "mata keranjang" mStar Online. Dicapai pada 22 September 2015.
  7. ^ Kieran panggil pendengar "sakai", Sinar FM minta maaf MyNewsHub (17 Mac 2015). Dicapai pada 22 September 2015.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]