Mega (kumpulan muzik)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Mega
Anggota kumpulan Mega bermula dari album kedua.
Dari kiri: Mat Mega, Sam, Rahmad dan Munir.
Depan: Adie
Latar belakang
Juga dikenali sebagai
Maiden Child (1987-1988)
Berasal dariJohor Bahru, Johor Johor, Malaysia Malaysia
Genre
PekerjaanPenyanyi/Pemuzik
Instrumen
Tahun aktif1988–2001
2015 (reunion)
2020-kini
Syarikat rakaman
Pengkarya berkait
AhliZarith - vokal
Adie - gitar
Sam - gitar
Mat Mega - bass
Munir - dram
Bekas ahliRahmad - vokal
Lomaq - bass
Joey - dram
Reyno - vokal
Boy - gitar
Jai - bass
Amy - dram

Kumpulan Mega merupakan sebuah kumpulan rock yang pernah aktif di Malaysia bermula tahun 1989 hingga pertengahan dekad 90-an. Kumpulan ini menyampaikan lagu-lagu rock Melayu.

Pada tahun 2020, kumpulan Mega telah mengumumkan reunion di mana Mega kini dianggotai oleh Zarith (vokal), Adie (gitar), Sam (gitar), Mat Mega (bass) dan Munir (dram).

Perjalanan Karier[sunting | sunting sumber]

1987-1988 : Maiden Child[sunting | sunting sumber]

Kumpulan Mega telah ditubuhkan pada tahun 1987 di Johor Bahru, Johor oleh Adie dan Sam, pasangan hero gitar adik-beradik yang sering menjadi sebutan dalam kalangan peminat muzik rock negara. Turut dibarisi oleh Jalal (vokal), Hatta (bass) dan Joey (dram), kumpulan yang pada asalnya menggunakan nama Maiden Child ini sering mengadakan sesi latihan di B'Sound Studio. Kumpulan ini bagaimanapun direhatkan seketika apabila Adie menyertai kumpulan Hellions di Kuala Lumpur, manakala Joey pula berhijrah ke Ipoh, Perak untuk menyertai SYJ '88.

Kumpulan ini kemudiannya dihidupkan semula apabila sebuah syarikat produksi baharu di Johor Bahru iaitu Jojo's Production telah memanggil Maiden Child untuk menghadiri ujibakat untuk menjadi artis rakaman. Maka, Adie dan Joey kembali ke Johor Bahru untuk mencuba nasib bersama anggota yang lain. Nasib menyebelahi mereka apabila terpilih sebagai artis pertama Jojo's Production dan ditawarkan kontrak rakaman.

Sebelum menandatangani kontrak, mereka sepakat untuk menukarkan nama kumpulan daripada Maiden Child kepada Mega agar mudah dingati. Pada saat ini, pertukaran anggota mula berlaku apabila Jalal dan Hatta terpaksa meninggalkan Mega atas faktor komitmen dan tempat mereka kemudiannya digantikan oleh Man Penang (vokal) dan Lomaq (bass). Meskipun demikian, menerusi Jojo's Production sebagai pengurus mereka, kumpulan Mega terus mengorak langkah dengan berhasil menggunakan khidmat Rahim Othman yang sedang popular melalui produknya bersama kumpulan Gersang untuk rakaman album pertama mereka. Malah, Jojo's Production juga menyediakan kelengkapan studio serta alat muzik dan bunyi yang paling canggih dan mahal pada zaman itu. Boleh dikatakan Mega adalah kumpulan rock paling mewah yang pernah wujud pada masa itu.

Percaya dengan teknik pemasaran sebelum keluarnya album bakal menaikkan kumpulan Mega, Jojo's Production mula menganjurkan konsert sendiri untuk Mega dengan mengambil nama-nama besar seperti Search, Wings, Ramli Sarip dan Ella & The Lips sebagai tajuk utama konsert-konsert tersebut dengan Mega diletakkan sebagai kumpulan pembuka persembahan. Dibantu oleh sistem audio yang canggih di Malaysia milik Jojo's Production, teknik pemasaran ini serta-merta melonjakkan nama kumpulan Mega di persada rock negara. Malah, nama Jojo's Production sendiri sebagai penganjur konsert rock terunggul mula meniti dalam kalangan 'scene' penganjur persembahan.

1989-1990 : Penyertaan Zarith & Mat Mega, Album Pertama & Juara Lagu '90[sunting | sunting sumber]

Pada lewat tahun 1988, kumpulan Mega memasuki King Studio di Petaling Jaya, Selangor untuk proses rakaman album pertama mereka. Beberapa lagu ciptaan mereka sendiri bernuansakan pengaruh Iron Maiden dicipta di studio sambil menerima lagu ciptaan komposer ternama seperti Rahim Othman, M. Nasir dan Saari Amri. Namun sesudah siap merakamkan 2 lagu iaitu Pasti dan Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara, Lomaq (bass) telah meninggalkan Mega atas beberapa faktor dan tempatnya digantikan oleh Mad (kemudiannya dikenali sebagai Mat Mega) dan pada masa yang sama, Man Penang (vokal) juga turut dikeluarkan daripada rakaman. Namun begitu, Mega masih meneruskan sesi rakaman sementara membuka sesi uji bakat untuk mencari vokalis baharu. Akhirnya, Zarith dipilih sebagai vokalis baharu Mega dan terus siap merakamkan 10 lagu untuk dimuatkan dalam album pertama Mega. Album pertama yang menggunakan nama kumpulan sebagai tajuk album hinggap di pasaran pada lewat tahun 1989, terbitan Jojo's Production dan diedarkan oleh BMG Pacific yang ketika itu masih lagi mengekalkan logo lamanya iaitu PMC.

Hasil usaha Mega dan Jojo's Production, album pertama Mega ini berjaya terjual sekitar 100,000 unit sekaligus melayakkan mereka mendapat anugerah platinum daripada BMG Pacific. Nama kumpulan Mega yang sememangnya kukuh dalam muzik rock tempatan telah menguatkan lagi populariti mereka apabila tiga buah lagu mereka iaitu Pasti, Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara dan Mega Cinta telah tercalon dalam Muzik-Muzik 1990, berbeza dengan kumpulan rock lain yang hanya tercalon dengan dua buah lagu sahaja. Kejayaan Mega kian memuncak apabila lagu Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara menjuarai carta Muzik-Muzik pada bulan April 1990, sekaligus mara ke peringkat akhir Juara Lagu '90. Namun begitu, perkara yang tidak diduga berlaku apabila vokalisnya, Zarith demam sewaktu hari pertandingan. Kesannya, mutu persembahan Zarith jatuh merudum dan tidak dapat menyampaikan lantunan vokal serak tinggi beliau kepada penonton, menyebabkan Mega tidak berjaya membawa sebarang anugerah pada malam tersebut.

Kejadian yang menimpa kumpulan Mega itu mencetuskan sedikit konflik di antara mereka dengan Jojo's Production. Demi mengelakkan hal yang berlaku ini berterusan, Zarith telah menarik diri dari meneruskan perjuangannya bersama Mega, yang kemudiannya diikuti oleh pemain dram mereka iaitu Joey.

1991-2001 : Penyertaan Rahmad & Munir, Juara Lagu '91 & Album Seterusnya[sunting | sunting sumber]

Bagi kumpulan Mega yang tinggal hanya tiga anggota iaitu Adie, Sam dan Mat Mega, mereka sekali lagi membuka uji bakat untuk mencari anggota baharu. Mat Mega telah membawa masuk bekas pemain dram kumpulan lamanya, FRU iaitu Munir untuk menggantikan Joey di posisi dram. Untuk posisi vokal pula, anggota Mega sepakat untuk memilih seorang pemuda yang berasal dari Felda Cahaya Baru, Masai, Johor iaitu Rahmad Tohak sebagai vokalis baharu mereka. Bersama Rahmad & Munir, Mega sekali lagi memasuki King's Studio untuk sesi rakaman album kedua dengan Rahim Othman sekali lagi diberi kepercayaan sebagai penerbit album.

Album kedua Mega yang mula dipasarkan pada April 1991 telah diberi judul Ilustrasi . Album ini memuatkan lagu hit Takdir Dan Waktu ciptaan Rahim Othman dan lirik oleh Juwie serta sebuah lagu instrumental berjudul Ilustrasi Mega yang memperlihatkan sentuhan yang cukup memukau oleh gitarisnya, Adie. Seperti album pertama, Ilustrasi juga terjual dengan sangat baik dan Mega sekali lagi mendapat anugerah platinum daripada BMG Pacific. Kejayaan album Ilustrasi menjadi lebih manis lagi apabila lagu Takdir Dan Waktu layak ke peringkat akhir Juara Lagu ke-6 selaku juara bulan November Muzik-Muzik '91, menyaksikan 100 peratus peserta yang bertanding di peringkat akhir Juara Lagu terdiri daripada artis rock sama ada berkumpulan ataupun penyanyi solo. Kumpulan Mega juga bernasib baik kerana selaku finalis kedua yang membuat persembahan selepas Hattan, Mega berjaya mempersembahkan kualiti muzik yang terbaik berbanding finalis lain yang banyak dihinggapi masalah teknikal, ditambah pula dengan lantunan vokal Rahmad yang penuh penghayatan pada malam tersebut. Hasilnya, Mega telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan (Lagu Terbaik Juara Lagu '91), menewaskan artis-artis lain yang bertanding iaitu Hattan, Ella, Shima, Dinamik, Kris, Damasutra, Blackrose, Olan, Laksamana dan Masa Scarecrow.

Berkat kejayaan kumpulan Mega, nama Jojo's Production juga semakin dikenali ramai membuatkan syarikat tersebut mengasah lagi sebuah kumpulan rock remaja iaitu Exist (kini Exists). Ahli kumpulan Mega yang juga staf Jojo's Production turut memberikan tunjuk ajar kepada ahli-ahli Exist sewaktu kumpulan ini hendak merakamkan album pertama di Lion Studio, Singapura. Pada masa yang sama, kumpulan Mega juga sedang mempersiapkan material untuk rakaman album ketiga mereka yang sekali lagi diadakan di King Studio.

Setelah berhempas pulas sepanjang hampir setahun, akhirnya album ketiga Mega berjudul Rentak Kaki Lima mendarat di pasaran pada awal tahun 1993 di bawah terbitan Jojo's dengan masih mengekalkan BMG Pacific selaku pengedar album. Album ini menampakkan kelainan yang amat ketara apabila genre muzik kumpulan Mega lebih kepada rock n roll dan gaya muzik yang lebih santai, berbeza dengan dua album terdahulu yang lebih ke arah heavy metal bawaan Iron Maiden. Album ketiga Mega ini menampilkan lagu hit Bayangan Gurauan dan Suara Cinta yang turut tercalon dalam Muzik-Muzik 1993. Namun, format pembahagian genre bersasar yang diperkenalkan sejak Muzik-Muzik 1992 menyebabkan dua lagu hit Mega ini tidak berjaya mara ke peringkat akhir Juara Lagu. Namun begitu, lagu Bayangan Gurauan telah menjuarai pertandingan Pujaan 10 Nescafe 1993 terbitan RTM.

Dengan status Mega sebagai salah satu kumpulan rock yang menyertai Juara Lagu sebanyak dua kali, ia membuatkan nama Mega kekal utuh biarpun di zaman kejatuhan rock kapak. Mega kemudiannya menghasilkan dua lagi album studio bersama Jojo's Production iaitu Kita pada tahun 1994 (edaran Pony Canyon), disusuli pula dengan album Megalomania pada tahun 1996 (edaran Life Records). Namun pada pertengahan tahun 1995, Adie telah mengambil keputusan untuk meninggalkan Mega, menjadikan kumpulan ini bergerak dengan hanya 4 anggota sahaja sewaktu proses rakaman album Megalomania. Selepas album tersebut, kesemua anggota Mega telah membawa haluan masing-masing.

Pada tahun 2000, Mega telah dihidupkan kembali oleh vokalisnya, Rahmad dengan line-up baharu iaitu Boy (gitar), Jai (bass) dan Amy (dram). Rahmad bersama line-up baharu ini telah menghasilkan album keenam Mega iaitu Potret pada tahun 2001, sekali lagi di bawah label Jojo's Production dengan Nova Music pula bertindak sebagai pengedar album. Namun selepas album Potret, Rahmad memutuskan untuk bergerak secara solo dan tidak lagi bersama line-up tersebut.

2007 : Mega Reunion, Rahmad & Zarith Beraksi Di Atas Satu Pentas[sunting | sunting sumber]

Pada pertengahan dekad 2000-an menyaksikan musim penggabungan semula (reunion) di mana kumpulan-kumpulan rock era 80-an dan 90-an kembali aktif dalam industri muzik. Para vokalis yang telah melancarkan karier solo berlumba-lumba untuk 'kembali ke pangkuan' kumpulan asal masing-masing, antaranya Amy dan Search, Awie dan Wings, Mus dan May serta Nash dan Lefthanded. Giliran Mega tiba pada tahun 2007 di mana Mega telah berpeluang beraksi bersama kedua-dua vokalis mereka iaitu Rahmad dan Zarith dalam siri persembahan 'live' di pusat hiburan Planet Hollywood. 'Showcase' tersebut menggandingkan Mega dengan kumpulan Fotograf.

Ahli Kumpulan[sunting | sunting sumber]

Line-up terawal kumpulan Mega setelah mengikat kontrak dengan Jojo's Production pada tahun 1989. Dari kiri: Sam, Mat Mega, Zarith, Joey dan Adie.

Vokalis:[sunting | sunting sumber]

  • Jalal
    • Vokalis asal Mega pada tahun 1987 ketika era Maiden Child. Namun atas faktor komitmen, Jalal mengundurkan diri setelah Jojo's Production melamar Mega sebagai artis pertama mereka.
  • Man Penang
    • Vokalis Mega setelah kumpulan tersebut diterima sebagai artis pertama Jojo's Production, namun terpaksa dikeluarkan daripada sesi rakaman album.
  • Asmazaris bin Ismail (Zarith)
    • Vokalis Mega untuk album pertama yang turut diberi judul MEGA. Sempat bersama Mega dalam satu album sahaja sebelum meninggalkan kumpulan tersebut pada hujung tahun 1990. Kembali menggalas peranan sebagai vokalis Mega bermula pada tahun 2020 sehingga kini.
  • Rahmad bin Tohak (Rahmad)
    • Vokalis yang dipilih oleh kumpulan Mega untuk menggantikan Zarith pada tahun 1991. Bersama kumpulan Mega, Rahmad telah menghasilkan empat buah album sepanjang tahun 90-an sebelum berpecah.
  • Reyno (2015)
    • Vokalis Mega Reunion pada tahun 2015 dan sempat melahirkan single berjudul Pulau.

Gitaris:[sunting | sunting sumber]

  • Hasdi bin Kamal Ariff (Adie)
    • Pengasas dan tunjang utama kumpulan Mega sejak tahun 1987 bersama abangnya, Sam. Merakamkan semua album kumpulan Mega sepanjang tahun 90-an kecuali album Megalomania.
  • Husni bin Kamal Ariff (Sam)
    • Pengasas dan tunjang utama kumpulan Mega sejak tahun 1987 bersama adiknya, Adie. Merakamkan kesemua album kumpulan Mega sepanjang tahun 90-an.
  • Boy
    • Gitaris yang diambil oleh Rahmad untuk menghidupkan kembali kumpulan Mega. Melahirkan satu album sahaja bersama Mega iaitu Potret pada tahun 2001.

Pemain Bass:[sunting | sunting sumber]

  • Hatta
    • Pemain bass asal Mega pada tahun 1987 ketika era Maiden Child. Seperti Jalal, Hatta juga mengundurkan diri setelah Jojo's Production melamar Mega sebagai artis pertama mereka disebabkan komitmen.
  • Musa bin Mohd Taib (Musa@Lomaq)
    • Pemain bass yang menggantikan Hatta setelah kumpulan Mega diterima sebagai artis pertama Jojo's Production. Sempat merakamkan petikan bass untuk 2 lagu terawal Mega iaitu Pasti dan Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara sebelum meninggalkan kumpulan tersebut atas beberapa faktor.
  • Mohamed bin Sulaiman (Mat Mega)
    • Pemain bass yang menggantikan Lomaq sewaktu proses rakaman album pertama Mega sedang berjalan. Merakamkan petikan bass untuk lagu-lagu yang dimuatkan dalam album pertama Mega kecuali Pasti dan Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara di mana 2 lagu ini telah dirakamkan oleh Lomaq.
  • Jai
    • Pemain bass yang diambil oleh Rahmad untuk menghidupkan kembali kumpulan Mega. Melahirkan satu album sahaja bersama Mega iaitu Potret pada tahun 2001.

Pemain Dram:[sunting | sunting sumber]

  • Abdul Hamid bin Shahlan (Joey)
    • Pemain dram asal Mega sejak tahun 1987. Seperti Zarith, Joey juga meninggalkan Mega setelah berakhirnya Juara Lagu '90.
  • Abdul Munir bin Samsudin (Munir)
    • Pemain dram yang menggantikan Joey bermula pada tahun 1991. Sempat menghasilkan empat buah album bersama Mega sebelum kumpulan ini berpecah.
  • Amy
    • Pemain dram yang diambil oleh Rahmad untuk menghidupkan kembali kumpulan Mega. Melahirkan satu album sahaja bersama Mega iaitu Potret pada tahun 2001.

Diskografi[sunting | sunting sumber]

Tahun Keluaran Judul Jenis Label Keluaran Semula Jualan
1989 Mega Album Studio
  • Jojo's Production
  • PMC/BMG (edaran)
100,000 unit
1991 Ilustrasi Album Studio
  • Music Valley Malaysia
  • Universal Music Malaysia
100,000 unit
1993 Rentak Kaki Lima Album Studio
  • Jojo's Production
  • BMG Pacific (edaran)
  • Music Valley Malaysia
  • Universal Music Malaysia
1994 Kita Album Studio
  • Music Valley Malaysia
  • Universal Music Malaysia
1996 Megalomania Album Studio
  • Music Valley Malaysia
  • Universal Music Malaysia
2000 Terbaik Mega Album Kompilasi
2001 Potret Album Studio
  • Jojo's Production
  • Nova Music (edaran)

Anugerah/Pencapaian[sunting | sunting sumber]

Carta pujaan 10 Radio 1 Malaysia (kini Radio Klasik)
Tahun Tajuk Kedudukan
(10 Mei - 20 Jun) 1993 Bayangan Gurauan 1


Kumpulan Mega pernah dua kali menyertai pertandingan akhir Anugerah Juara Lagu iaitu pada tahun 1990 menerusi lagu Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara (ketika bersama Zarith) dan tahun 1991 menerusi lagu Takdir Dan Waktu (ketika bersama Rahmad). Lagu Takdir dan Waktu telah meraih kejayaan besar pada AJL 1991 iaitu sebagai Lagu Terbaik (Juara Keseluruhan).

Pada tahun 1993 lagu Bayangan Gurauan telah memenangi kategori Lagu Paling Popular Pujaan 10 Nescafe kategori artis berkumpulan. Mega turut memenangi kategori Persembahan Terbaik Berkumpulan.

Anugerah Industri Muzik (AIM) edisi pertama pada tahun 1993 turut menyenaraikan Mega menerusi album Rentak Kaki Lima dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik di dalam Album (Berkumpulan). Kategori tersebut bagaimanapun dimenangi oleh kumpulan Iklim menerusi album Dunia Iklim.

Info Tambahan[sunting | sunting sumber]

  • Kesemua barisan anggota Mega sama ada yang lama mahupun yang terkini berasal dari negeri Johor kecuali Zarith (vokal) yang berasal dari Gopeng, Perak dan Munir (dram) yang berasal dari Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur.
  • Rahmad yang menyertai Mega bermula dari album kedua iaitu Ilustrasi merupakan vokalis asal sebuah kumpulan rock dari Felda Cahaya Baru, Masai iaitu Gerimis. Bersama Gerimis, Rahmad yang ketika itu dikenali dengan nama glamornya, Aily sempat melahirkan satu album pada tahun 1990 di bawah label Arek Sdn. Bhd. (ASB) dan diedarkan oleh CBS yang kini dikenali sebagai Sony Music.
  • Vokalis asal Mega, Zarith merupakan vokalis pertama sebuah kumpulan rock dari Gopeng, Perak iaitu D'Riyadh sebelum kumpulan tersebut merakamkan album bersama Akhil Hayy (kini Ustaz Akhil Hayy).
  • Selepas meninggalkan Mega, Zarith menerusi kariernya sebagai penyanyi solo dan telah menghasikan dua buah album iaitu Eva pada tahun 1992 dan Sejuta Rahmat pada tahun 1999.
  • Selepas Mega berpecah, Rahmad kemudiannya menjadi vokalis kumpulan Utama yang merupakan artis naungan anak syarikat TV3 iaitu Ambang Klasik. Kumpulan Utama pada asalnya merupakan anggota kumpulan U.K's yang pada ketika itu keluar dari Mekar Production sebelum vokalis mereka, Amir kembali ke pangkuan komposer Saari Amri untuk menghidupkan semula U.K's.
  • Mat Mega dan Munir merupakan anggota asal Kumpulan FRU, sebuah kumpulan rock yang diterajui oleh penyanyi Dato' Hattan. FRU hanya sempat melahirkan satu album sahaja iaitu Kelahiran pada tahun 1988 sebelum berpecah.
  • Lomaq atau nama sebenarnya, Musa bin Mohd Taib merupakan anak kepada seniman Taib Othman dan anak saudara komposer terkenal iaitu Rahim Othman. Dilahirkan dalam keluarga berdarah seni, Lomaq juga mempunyai 3 orang saudara kandung yang turut bergiat aktif dalam bidang seni iaitu Kid (gitaris Gersang & Search), Din (gitaris Search) dan Tambi (pemain dram kumpulan Dejavu).
  • Selepas meninggalkan Mega, Joey (dram) telah terpanggil untuk bersama-sama Lomaq dan Mukhris (Boy) untuk menubuhkan kumpulan Kris yang hit dengan lagu Tiara.
  • Kemunculan Adie & Sam dalam industri muzik tempatan telah meletakkan Mega sebagai salah satu dari tiga kumpulan rock 80-an di Malaysia yang mempunyai gitaris adik-beradik selain Search (Kid dan Din) & Ekamatra (Shahrul dan Nurul).
  • Berbeza dengan kumpulan lain yang gemar menggunakan konsep gitar utama dan kedua, Adie & Sam menggunakan konsep twin lead di mana muzik dan cara permainan mereka banyak dipengaruhi oleh Iron Maiden, sebuah kumpulan rock barat yang mempunyai dua gitaris hebat iaitu Dave Murray dan Adrian Smith. Konsep ini kemudiannya digunakan oleh kumpulan junior mereka iaitu Exists yang turut mempunyai dua gitaris hebat iaitu Along dan Shah sewaktu awal kemunculan mereka.
  • Mat Mega merupakan bapa saudara kepada penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti TV Akademi Fantasia Musim Ketujuh iaitu Akim Ahmad.
  • Dua komposer terkenal tanahair iaitu Saari Amri dan LY mula mencipta nama setelah menyumbangkan lagu hit kepada kumpulan Mega. Saari dengan lagu Pasti dan LY menerusi lagu Bayangan Gurauan.
  • Lagu Bayangan Gurauan telah diubah judulnya kepada Gadis Misteri untuk pasaran Indonesia dan mendapat sambutan baik dari penggemar muzik di sana.
  • Mega merupakan salah satu daripada tiga kumpulan rock yang menyertai Anugerah Juara Lagu beberapa kali dengan dua vokalis yang berbeza selain Wings dan Exists. Mereka menyertai pertandingan akhir Juara Lagu buat pertama kali pada tahun 1990 dengan lagu Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara, ketika bersama Zarith. Mereka menyertai AJL kali kedua pada tahun berikutnya (1991) dengan lagu Takdir Dan Waktu di mana vokalisnya pada ketika itu ialah Rahmad.
  • Pada tahun 2007, Rahmad bertemu dengan Zarith buat kali pertama, selepas 16 tahun Zarith meninggalkan kumpulan tersebut. Pada waktu itu, Mega telah mengadakan konsert live di Planet Hollywood bersama kumpulan Fotograf.

Rujukan[sunting | sunting sumber]