Mek Mulung

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Mek Mulung (atau Mek Mulong) ialah salah satu daripada teater tradisional masyarakat Melayu yang sangat popular di negeri Kedah Darul Aman, Malaysia. Ia telah menjadi hiburan rakyat di negeri tersebut sejak zaman dahulu lagi.

Mek Mulung merupakan satu adunan kesenian yang menggabungkan unsur-unsur lakonan, nyanyian, tarian dan muzik dalam suatu persembahan. Meskipun seimbas lalu persembahannya kelihatan begitu mudah, tetapi ia tetap mempunyai keunikan yang tinggi nilainya. Menurut satu laporan seorang pengamal kesenian Mek Mulung yang boleh dikatakan waris terakhir, terdapat himpunan sebanyak dua puluh cerita hikayat asal, namun sedikit sahaja yang dikatakan masih kekal.[1]

Sejarah Mek Mulung[sunting | sunting sumber]

Mek Mulung dikatakan berasal dari Ligor, Siam dan diperkenalkan di negeri Kedah ketika berlakunya persengketaan di antara Kedah dan Siam. Tempat ia mula-mula sekali diperkenalkan ialah di Kampung Perit, Mukim Kurung Itam, Jajahan Kuala Nerang. Seterusnya ia berkembang ke Kampung Belukar Mulung, Kampung Paya Keladi dan akhirnya di Kampung Wang Tepus, Jitra, Kedah.

Asal-usul Mek Mulung[sunting | sunting sumber]

Kononnya pada zaman dahulu, ada sebuah keluarga miskin yang menjadikan bidang hiburan sebagai sumber hidup. Si ayah yang bernama Pak Mohor telah membuat sejenis alat muzik yang dipanggil geduk dan memalunya dengan gaya Menora. Si ibu pula membuat gendang dan memalunya menurut cara Mak Yong. Sementara itu, anak mereka yang bernama Mek Julung membuat sejenis alat muzik yang diberi nama semborong dan memalunya di sekeliling kampung.

Pada suatu hari, ketika dalam keghairahan memalu semborongnya, Mek Julung telah tiba di tengah-tengah hutan. Di situ beliau telah bertemu dengan seorang anak raja yang bernama Cahaya Bulan. Cahaya Bulan telah dibuang negeri lantaran hasutan seorang ahli nujum yang meramalkan bahawa Cahaya Bulan akan menimbulkan malapetaka di dalam negeri.

Cahaya Bulan tertarik hati dengan persembahan Mek Julung, lalu baginda dan para pengikutnya turut sama bermain dengan menambahkan lagi alat muzik yang sedia ada. Akhirnya kumpulan ini dinamakan Mek Mulung.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

  • TEATER TRADISIONAL MELAYU BUKU SATU oleh Mohd Ghazali Abdullah; terbitan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia; cetakan pertama tahun 1995; Muka surat 62-69.