Pergi ke kandungan

Melayu Cape

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Melayu Cape
Kaapse Maleiers
Cape Malays
Cape Muslims
Jumlah penduduk
500,000+
Kawasan ramai penduduk
 Afrika Selatan
Cape Barat, Gauteng, Cape Utara
Bahasa
Kini: Bahasa Afrikaans, Inggeris Afrika Selatan
Terdahulunya: Melayu, Belanda, Ternate, Bugis dan lain-lain.
Agama
Majoriti: Islam
Minoriti: Ateis, Agnostik, Kristian, Tiada Agama
Kumpulan etnik berkaitan
Melayu, Ternate, Afrika, Belanda, Berwarna, Bugis

Melayu Cape adalah komuniti atau kumpulan etnik Islam di Afrika Selatan. Mereka adalah keturunan dari orang Melayu dan beberapa etnik lain yang diperhamba dari merdeka dari negara-negara Asia lain. Mereka dibawa ke wilayah Cape Barat semasa pemerintahan Belanda dan British.

Mereka pada mulanya menggunakan bahasa Melayu sebagai lingua franca dan bahasa pengajaran agama, dan ini adalah salah satu sebab yang berkemungkinan bahawa masyarakat itu masih dirujuk sebagai Melayu meski telah memiliki keturunan yang bercampur. Orang Melayu menyebar di kawasan Cape Town dan sekitarnya.

Masakan Melayu Cape membentuk bahagian penting dalam masakan Afrika Selatan, dan masyarakat memainkan peranan penting dalam sejarah Islam di Afrika Selatan. "Melayu" secara sah adalah subkategori kumpulan kaum Berwarna semasa era apartheid.

Semenjak tahun 1970-an sehingga ke hari ini, sesetengah ahli masyarakat ini – khususnya mereka yang mempunyai perhubungan dan kesetiaan pada gerakan pembebasan lebih luas di Afrika Selatan – telah ditakrif sebagai "hitam" dari segi Gerakan Kesedaran Orang Hitam. Pengenalan "Melayu Cape" telah juga menjadi suatu subkategori daripada kategori Coloured (orang kulit berwarna, berbanding kulit putih), dalam istilah klasifikasi kerajaan zaman aparteid perkauman. Seperti ramai penduduk Afrika Selatan, orang yang digelar dalam sesetengah keadaan sebagai "Melayu Cape" sering berketurunan daripada orang yang datang dari banyak benua dan agama.

Koir Melayu di District Six (Daerah/Kampung Enam)
Kejohanan Koir Melayu

Muzik Melayu Cape menarik minat para ahli akademik, sejarawan, ahli muzikologi, penulis, malah ahli politik juga. Pesta tahunan Cape Town Minstrel atau pesta jalanan Karnival ialah sebuah acara budaya yang berakar umbi budaya Melayu Cape. Ia memuatkan lagu jenaka atau moppie (sering kali dipanggil lagu-lagu ghoema) Melayu Cape. Gendang berbentuk tahang ataupun tong yang dipanggil "ghoema" berkait rapat dengan muzik Melayu Cape.

Kumpulan budaya ini telah menimbulkan muzik jenis baharu, "Melayu Cape" yang mempunyai ciri tersendiri. Satu jenis lagu rakyat sekular, yang berasal-usul Belanda, disebut nederlandslied. Bahasa dan gaya muzik genre ini mencerminkan sejarah keabdian di Afrika Selatan; ia sering diperi dan dirasa sebagai "sedih" dan penuh "emosi" dalam kandungan dan konteksnya. Persembahan-persembahan nederlandslied menunjukkan pengaruh gaya nyanyian Arabesque (kearaban). Gaya ini unik pada Afrika Selatan dan mungkin di dunia.[perlu rujukan]

Masyarakat Melayu Cape lazimnya bercakap sehari-hari dalam bahasa Afrikaans. Bahasa Afrikaans sendiri banyak menyerap perkataan Melayu seperti 'piesang' dan 'baklei'. Bahasa Melayu mereka untuk penggunaan keseharian telah mengalami kepunahan. Bahasa kedua yang ramai dipelajari ialah bahasa Inggeris. Hanya darah yang tersisa yang menunjukan identiti dan kebanggaan mereka.

Samosa versi Cape Malay dengan isi daging ayam, jenis makanan ringan yang sangat popular di Afrika Selatan

Penyesuaian makanan tradisional seperti bredie, bobotie, sosatie dan koeksister sering dijumpai di dalam banyak rumah kediaman Afrika Selatan. Faldela Williams, chef terkenal menulis buku yang bertajuk "More Cape Malay Cooking".

Dianggarkan terdapat 166,000 orang di Cape Town yang bangga dengan identiti mereka sebagai Melayu Cape, dan lebih kurang 10,000 orang di Johannesburg. Daerah Melayu yang menawan hati di bandar Cape Town terletak di Signal Hill (Bukit Semboyan), dan digelar Bo-Kaap. Diperkirakan seramai 500 ribu ras kulit berwarna di Afrika Selatan yang mempunyai darah melayu. Salah satu ahli politik terkenal, Dennis Brutus mengaku dalam tulisannya mempunyai darah Melayu dari ayahnya meski sayangnya dia tidak beragama Islam.

Ramai orang Melayu Cape bermastautin di Distrik Enam sebelum kampung itu diruntuhkan; selepas kemusnahannya mereka berpindah ke apa yang digelar bandar-bandar Berwarna di kawasan Cape Flats. Masjid Claremont Road, yang sering dikunjungi orang Muslim Cape, merupakan sebuah pusat penting pergerakan anti-aparteid. Sarjana Islam. Farid Esack datang dari masyarakat ini.

Perhubungan antarabangsa

[sunting | sunting sumber]

Perhubungan antara orang Malaysia dan Afrika Selatan pulih apabila Afrika Selatan menyertai masyarakat antarabangsa semula selepas penghapusan sistem aparteid. Kemasukan semula Afrika Selatan dialu-alukan oleh kerajaan Malaysia dan juga beberapa kerajaan Asia Tenggara lain. Pertubuhan bukan kerajaan, seperti Gapena juga menjalinkan perhubungan dengan masyarakat diaspora Melayu Cape. Beberapa derma juga turut membuka pelajaran mengenai bahasa Melayu bagi memartabatkan semula budaya yang telah pudar.[1]

  1. ^ "Gapena and the Cape Malays: Initiating Connections, Constructing Images Penerbit UKM" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 29 November 2016. Dicapai pada 28 Januari 2013.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]

< Templat:Ethnic groups in South Africa Templat:Overseas Malays