Membangun Bersama Islam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pergi ke navigasi Pergi ke carian

Membangun Bersama Islam (Jawi: ممباڠون برسام إسلام, disingkatL MBI) merupakan sebuah slogan yang menjadi dasar pemerintahan dan pentadbiran bagi kerajaan Negeri Kelantan yang berasaskan kepada prinsip UMI[1] iaitu Ubudiyyah (Kehambaan), Masuliyyah (Kebertanggungjawaban) dan Itqan (Ketekunan). Ia mula diperkenalkan pada 1990 selepas Parti Islam Se-Malaysia bersama-sama Angkatan Perpaduan Ummah mengambil alih pentadbiran negeri Kelantan selepas menang dalam Pilihan raya umum Malaysia 1990[2].

Konsep[sunting | sunting sumber]

Ubudiyyah[sunting | sunting sumber]

Prinsip ini menekankan tentang sifat manusia sebagai hamba kepada Allah. Maka setiap perbuatan dan pekerjaan seharian manusia hendaklah selari dengan syariat yang diturunkan oleh Allah. Ia berasaskan kepada keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Di mana setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah diniatkan sebagai ibadah. Justeru, tujuan ibadah itu sendiri merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk tingkah laku dalam pekerjaan sama ada perbuatan, perkataan dan gerak hati (niat) yang diredhai Allah. Oleh itu, kecemerlangan dan kejayaan dalam kerjaya dan juga kehidupan ini sangat berkait rapat dengan sejauhmana kita melakukan pekerjaan itu dengan sebaik mungkin kerana Allah SWT.

Masuliyyah[sunting | sunting sumber]

Masuliyyah pula prinsip berkaitan integriti dan tanggungjawab. Setiap perbuatan dan pekerjaan manusia adalah berkaitan dengan agama dan melibatkan soal dosa dan pahala. Ia akan dinilai dan diadili di akhirat kelak. Prinsip ini menekankan soal pelaksanaan tugas dengan penuh tanggungjawab dan akauntabiliti.

Itqan[sunting | sunting sumber]

Itqan ialah prinsip yang menekankan kepada akhlak dan amalan salih. Setiap manusia perlu bersungguh-sungguh, tekun dan memberi komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tugas. Ini akan melahirkan kualiti kerja yang baik dan cemerlang. Ia juga melibatkan soal keikhlasan atau mutu kerja di mana dari ajaran Islam inilah yang akan menyelamatkan manusia di dunia dan di akhirat.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

MBI merupakan satu slogan siasah ke arah menjana dan merealisasikan hasrat pelaksanaan Islam secara menyeluruh dalam urusan politik dan pentadbiran. Dengan kata lain ia bermaksud maju kehadapan dengan cara yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam atau sesuai dengan ajaran Allah S.W.T. Slogan ini diatur dan dirangka bagi membolehkan kerajaan meletakkan kedudukan Islam dalam situasi yang selesa, samada dalam aspek melaksanakan ajaran Islam atau bagi tujuan melindungi kepentingan Islam[3]. Slogan MBI ini adalah selaras dengan prinsip kedaulatan syariah, prinsip keberkatan dan kesejahteraan dan prinsip keadilan dan ketakwaan, prinsip amanah dan tanggungjawab[2].

Dasar "Membangun Bersama Islam" merupakan asas penting dalam menentukan halatuju Kerajaan Kelantan. Ia merupakan falsafah politik yang dinamik dan telah berjaya mencetuskan produk-produk keislaman dalam pentadbiran semasa seperti: penonjolan Islam sebagai dasar kerajaan, pemakaian al-Quran dan al-Sunnah sebagai rujukan tertinggi, peningkatan aktiviti kebajikan, program pembasmian dan pencegahan maksiat termasuk penghapusan kegiatan pelacuran, penyelarasan aktiviti kebudayaan dan kesenian mengikut prinsip Islam, penyediaan sistem perundangan Islam, peningkatan aktiviti dakwah dan penghayatan Islam, penyelarasan aktiviti ekonomi dan kewangan mengikut prinsip Islam, pengukuhan sistem pendidikan Islam, penerapan konsep kepimpinan ulama dan sebagainya. Secara keseluruhannya didapati Kerajaan Kelantan telah menggerakkan siasah syar`iyyah dalam skop bidang kuasa yang diperuntukkan kepada kerajaan Negeri sebagaimana yang termaktub dalam Undang-undang Negara Sebab itu apabila Kerajaan Kelantan cuba menguatkuasakan sistem perundangan Islam, ia telah mendapat tentangan daripada Kerajaan Persekutuan seperti yang akan disentuh dalam tajuk penyediaan sistem perundangan Islam.

Kesan dalam pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Berikut merupakan kesan dasar MBI melalui kepimpinan Haji Nik Abdul Aziz ialah:

  1. Penyelarasan undang-undang dan peraturan negeri dengan prinsip-prinsip Islam. Sebagai contoh,
    • Pada 1 Januari 1992, kerajaan Negeri telah mengharamkan semua jenis permainan judi kepada semua kaum dan agama tanpa mengira jenis masyarakat dan kebudayaan mereka. Semua premis judi yang telah beroperasi semenjak Kerajaan Barisan Nasional diarah supaya ditutup. Menteri Besar Kelantan dalam penjelasannya menyatakan bahawa pengharaman judi ini adalah selaras dengan prinsip semua agama, kepercayaan, adat atau kebudayaan yang tidak membolehkan unsur-unsur perjudian wujud dalam sistem kehidupan mereka, kerana terdapat unsur-unsur tipu daya, muslihat dan aniaya terhadap pihak lain dengan perbuatan judi. Dengan itu kerajaan negeri tidak lagi mengeluarkan lesen premis untuk kegiatan perjudian dan tempat-tempat yang menjadi punca maksiat.
    • Pada tahun 1993 pihak berkuasa Negeri Kelantan menerusi MPKB tidak lagi memberi lesen kepada pengusaha kelab-kelab malam.
  2. Penghapusan kegiatan pelacuran
  3. Peningkatan aktiviti kebajikan termasuk wanita dan masyarakat bukan Islam, contohnya Kerajaan Negeri melaksanakan beberapa langkah bagi menjaga kebajikan golongan wanita, terutama dari segi maruah dan kepentingan mereka. Di antaranya
    • Kerajaan Negeri tidak lagi membenarkan papan iklan yang memperagakan wanita yang mendedahkan aurat.
    • Kerajaan Negeri juga menambah cuti bersalin selama 60 hari bermula 1 Mac 1991[4]
    • Mengeluarkan arahan terhadap kakitangan awam wanita supaya menutup aurat semasa waktu pejabat, tidak bersolek dan bergincu semasa di pejabat.
    • Kerajaan Negeri telah memperkenalkan skim Takaful Kifalah bagi orang tua yang berumur 60 dan ke atas dengan menyediakan dana sumbangan apabila berlaku kematian. Begitu juga kebajikan ibu tunggal dipertingkatkan melalui skim Armalah.
  4. Penambahan aktiviti dakwah, contohnya
    • Program Membina Generasi Solat.
    • Penghayatan Ramadhan melalui Program Solat Terawih di Dataran Stadium (sekarang dikenali sebagai Qaryah Ramadhan) dengan imam jemputan dari Mesir, disusuli dengan tazkirah terawih dan subuh, juga program berbuka puasa di dataran dan Masjid Baraah, termasuk juga bersahur. Ia telah menarik peserta yang sangat besar jumlahnya, termasuk dari luar Kelantan.
    • Unit Dakwah Halaqat melalui 2653 orang guru al-Quran berjaya mengadakan majlis Khatam al-Quran di 14 kawasan pada setiap tahun yang menarik penyertaan sekitar 300 orang. Ini bererti seramai 4200 orang berjaya menamatkan pengajian al-Quran setahun.
  5. Pengukuhan ekonomi dan pertumbuhannya dalam pentadbiran
  6. Penonjolan imej bersih dalam pentadbiran, di mana tiada kes-kes rasuah dan pecah amanah dan penyelewengan yang direkodkan.
  7. Peningkatan kawalan terhadap aktiviti yang mendorong kepada maksiat dan jenayah, contohnya
    • Kerajaan Negeri telah memperkenalkan peraturan baru kedai gunting bagi mengelakkan berlakunya kegiatan maksiat, seperti pelacuran, minum arak dan sebagainya.
  8. Penyediaan sistem perundangan Islam
  9. Pengukuhan sistem pendidikan Islam, penambahan pusat pengajian Islam dan juga sains.
    • Kemampuan kewangan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dipertingkatkan
    • Sekolah Tahfiz dan Tahfiz Sains diwujudkan.
    • Aliran Sains tulen diperkenalkan di Maahad Muhammadi.
    • Skim perkhidmatan guru dipertingkatkan, malah elaun persaraan pun dinaikkan
  10. Hasilnya pelajar YIK dapat menyambung pengajian dalam berbagai bidang di semua pusat pengajian tempatan dan luar negara dalam jurusan pengajian Islam seperti Jordan Mesir, Maghribi, Arab Saudi, Sudan,Yaman, Syria, Kuwait, Indonesia dan lain-lain. Lepasan sekolah YIK juga dapat menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Jerman, Mesir, Kanada, Ireland, Jordan dan Australia[5]. Bekas-bekas pelajar sekolah YIK diterima dalam berbagai pasaran pekerjaan, samada kerajaan atau swasta.
  11. Penyelarasan aktiviti kebudayaan dan kesenian dengan prinsip-prinsip Islam[6], contohnya meluluskan Garis Panduan Persembahan Kebudayaan (hiburan) di Negeri Kelantan seperti
    • menghapuskan mana-mana kesenian yang bersifat pemujaan seperti Menora, Mak Yong, Main Puteri, Selampit, Wayang Kulit[7], Tinju Siam dan Pelaga Binatang.
    • Dikir Barat yang tidak melibatkan percampuran antara lelaki dan perempuan serta tidak mengandungi kata-kata lucah, mencela, maki hamun, unsur-unsur syirik dan fitnah adalah dibenarkan.
  12. Penyelarasan aktiviti kewangan dan ekonomi dengan prinsip-prinsip Islam, contohnya

Isu dan kontroversi[sunting | sunting sumber]

Wanita bertanding tilawah al-Quran[sunting | sunting sumber]

Dari 1990-2009, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melarang wanita daripada menyertai tilawah al-Quran . Suara wanita adalah aurat di sisi Islam dan haram untuk dipertandingkan. Pada tahun 1990, nyanyian dan tilawah sama naik. Tidak ada tilawah al-Quran di peringkat negeri dan daerah di Kelantan, pada hal Kelantan terkenal sebagai sebuah negeri Islam . Hanya kanak-kanak wanita umur bawah 12 tahun dibenarkan menyertai nasyid.

Sesetengah qariah dari Kelantan menyertai tilawah di peringkat daerah dan negeri di luar Kelantan .Rahmah Abdullah berasal dari Kelantan pernah muncul juara peringkat antarabangsa mewakili Malaysia selepas menjadi johan di peringkat negeri Johor pada 1990-an.

Pada 6 Februari 2010, Kerajaan Kelantan bersedia mengkaji semula larangan terhadap wanita menyertai tilawah al-Quran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ini berikutan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan imbuhan bulanan RM2,000 seumur hidup kepada qari dan qariah yang pernah menjadi johan dalam tilawah al-Quran peringkat antarabangsa berkuat kuasa Oktober 2010.[8]

Konsert Jom Heboh[sunting | sunting sumber]

Pada 26-27 Mac 2010, Konsert Jom Heboh anjuran TV3 diadakan di Kelantan sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan. EXCO kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan bahawa tidak mengharamkan hiburan sebaliknya mengawal pertunjukan hiburan mengikut enakmen hiburan yang diterima pakai di Kelantan.[9]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawatankuasa Induk UMI (Julai 2020). Manual Pelaksanaan Prinsip UMI. Kelantan: Perbendaharaan Negeri Kelantan.
  2. ^ a b Shukeri Mohamad; Mohamad Azrien Mohamed Adnan (2016). "Tok Guru Nik Aziz Pencetus Siasah Syar'iyyah dalam Sistem Politik Moden" (PDF). Muzakarah Fiqh & International Fiqh Conference 2016.
  3. ^ Buletin (ed. Keluaran Khas). Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan. April 1995.
  4. ^ Kerajaan Negeri Kelantan, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 1991
  5. ^ Yayasan Islam Kelantan, Suara YIK, YIK.,Bil 7/99
  6. ^ Kerajaan Kelantan tidak sekat hiburan: Nik Aziz
  7. ^ Pekeliling Am Negeri Bilangan 4 Tahun 2003, Garis Panduan Kawalan Hiburan 2003
  8. ^ Kelantan sedia kaji larangan wanita sertai tilawah
  9. ^ Kelantan Terima Konsert Jom Heboh TV3, Penyanyi Wanita Dilarang